Pages

Thursday, November 27, 2008

sedikit info tentang blog boleh dibaca di http://www.infomalaya.com/mengapa-perlu-blog/ yang telah saya copy and paste di bawah ini


Mengapa Perlu BLOG?


Sudah lama rasanya tidak menulis dengan serius.. Maafkan aku ya wahai rakan-rakan.. Jadi berbalik pada topik asal kita kali ni, “MENGAPA PERLU BLOG?“..Sila fahami dahulu soalan ini, aku risau jika ada orang yang salah menafsirkannya…


Apa itu BLOG?
Ini untuk pembaca yang baru sahaja, blogger atau pembaca yang sudah arif, bolehlah abaikan bahagian ini, tiada paksaan..hehe..Baiklah, blog merupakan singkatan daripada perkataan weblog atau dalam bahasa melayunya, log web. Ianya bercorak jurnal dan entri(tulisan) disusun dalam turutan kronologi. Iaitu entri terbaru akan sentiasa berada di atas entri yang sebelumnya. Untuk keterangan lebih lanjut, bolehlah melihat sendiri bagaimana Wikipedia menakrifkan apa itu blog.

Mengapa BLOG?
Sebab utama kebanyakan pengguna internet memilih blog ialah:

Senang untuk diuruskan.
Banyak servis yang menawarkan blog secara percuma.
Ringan dan tidak memberatkan server(melainkan kau isi dengan lagu2 mp3, dan yang seangkatan dengannya).
Mempunyai ciri-ciri jurnal online, diari dan juga boleh dijadikan photoblog untuk tatapan rakan taulan serta mak mentua..wahaha
Dan lagi…Tambahkan sendiri ya, letakkan di ruang komen jika sesiapa ada pandangan atau info tambahan, hehe..
Untuk apa BLOG ini?
Ada yang masih tertanya-tanya tujuan blog diwujudkan di dunia internet ini? Sila rujuk pandangan aku tentang hal ini di bawah :

Untuk berkongsi pendapat dalam apa jua bidang/idea/minat/ilmu , berkongsi itu banyak kelebihannya tau..
Untuk menjana pendapatan tambahan/tetap daripadanya..Banyak yang dah buat duit dengan blog, tapi AWAS, mereka yang berjaya dengan blog ni, usaha mereka bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, jadi fikir-fikirkanlah, jangan kau masuk skim taik cepat kaya atau menipu orang sudah..
Sebagai portfolio online bagi mereka yang bergelar designer atau programmer. Tahukah kau, kau dan kau bahawa negara kita mempunyai ramai designer/programmer muda yang berbakat?
Sebagai tempat meluahkan perasaan/coretan hidup/rasa tidak puas hati di dalam hidup. Sememangnya aku akui menulis blog dapat melepaskan tekanan..
Ada kalanya blog juga menjadi tempat untuk insan-insan teraniaya membela nasib mereka dengan berkongsi kisah mereka dengan orang lain..Agak-agaknya di mana tu?
Tapi tak kurang hebatnya blog-blog dijadikan tempat polemik dan propaganda mahu pun debat-debat politik..Kau orang tahu kan di mana nak cari blog-blog ini?
Tapi, adakah kau sedar?
Blog-blog yang terdiri dari pelbagai variasi dan warna kulit ini sememangnya menjadi rencah dan kudapan pengguna-pengguna internet di dunia. Pilihlah mana satu yang berkenan di hati, tiada salahnya jika kau semua tahu membezakan mana yang benar, dan mana yang palsu, bukan? Kadangkala, pendapat yang disuarakan oleh para blogger kesukaan kau, kau dan kau lagi, menjadi ikutan dalam menentukan keputusan dalam sesuatu hal tanpa kau sendiri sedari..Tak percaya? ikut sukalah, terpulanglah…Aku tiada hak untuk menyuruh sesiapa bersetuju dengan aku..Aku cuma menyampaikan, bukan mengharapkan..tau takpa

Akhir kata dari aku
Industri blog di Malaysia sudah semakin meriah sekarang, artis pun dah ada blog sendiri, kau semua bila lagi? Apa? Tak tahu nak guna? Kalau asyik memberi alasan, sampai bila pun kau tak akan tahu, jadi pesan aku, cubalah sendiri dahulu..Orang dulu-dulu pernah berpesan,”Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, bukan?“..

p/s: Selepas ini, aku akan lebih serius dalam berblog di sini, aku sudah lama terlena dibuai mimpi indah..Tengahari tadi baru terjaga..hehe..Assalamualaikum dan salam sejahtera..


Artikel lain berkaitan yang ditulis penulis sama, di blog yang sama adalah seperti berikut;
http://www.infomalaya.com/etika-ketika-berblog-perlukah/

Etika ketika berBLOG, perlukah?

Berdasarkan komen yang diberikan oleh saudara ck-x mengenai entri ini, aku berasa ingin menulis mengenai etika ketika berBLOG, mengapa ya? Walaupun aku tidak lagi layak dipanggil problogger, namun izinkan aku menulis dari perspektif aku sendiri, sila betulkan aku jika ada tersalah di mana-mana, aku bukan pencinta wanita, eh silap, bukan manusia sempurna..haha..Ok, cukup la setakat tu..Er boleh kita mulakan sekarang?


Dari pendapat aku, semua orang yang ingin berblog PERLU mengikut etika atau pun beretika ketika menulis entri masing-masing, KERANA :

Setiap entri yang kita tulis, akan ada orang yang akan membacanya..
Ada orang/golongan yang akan terasa hati sekiranya kita menulis tanpa etika yang betul.
Inginkah kau dilabel sebagai pem’plagiat’ sekiranya tidak meletakkan kredit di atas entri yang kau cedok dari tempat lain?
Supaya pembaca dapat meyelami dan menilai apakah mesej yang ingin kau sampaikan dengan BETUL.
Seperti biasa, letakkan sendiri hujah-hujah yang kau rasakan betul/sesuai di ruangan komen..
Mari kita lihat apakah etika-etika yang perlu diikuti.
Sebelum kita mulakan, ingin aku nyatakan di sini, etika-etika di bawah TAK semestinya betul 100 peratus, jika ada kesilapan atau penambahan, sila maklumkan di ruangan komen. Ok, mari kita mulakan :

Sekiranya kau menulis tentang sesuatu yang berkaitan dengan fakta, PASTIkan ianya betul dan disokong oleh beberapa sumber atau bukti yang kukuh.
Jikalau kau mengambil gambar, idea atau kandungan entri dari blog lain, JANGAN lupa memberikan kredit dengan meletakkan ‘links’ atau sumber dari mana ia diambil, sekurang-kurangnya penulis asal entri tersebut tidak menaruh perasaan marah atau terkilan dengan perbuatan kau. Tidak salah sebenarnya mengambil, aku pun begitu juga, tapi jangan lupa meletakkan kredit sebagai tanda terima kasih..
Tulislah dengan bahasa yang indah, indah di sini bukan bermaksud bahasa berkias, berbunga atau yang seangkatan dengannya, tapi bahasa yang tidak kasar, tidak menyinggung perasaan dan melukakan hati dan perasaan orang lain..Ohh..
Jangan sesekali kau menyuruh orang lain/pembaca bersetuju dengan pandangan kau, kerana siapa kau untuk menyuruh mereka berbuat demikian..Setiap orang mempunyai hak dan pandangan masing-masing..
Sekiranya kau tersilap atau tersalah ketika menulis entri, jangan berasa segan untuk meminta maaf dan membetulkannya, kau tahu kan tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini melainkan Nabi Muhammad s.a.w? Jadi tiada apa yang perlu dirisaukan..
Kalau kau memberikan ulasan tentang sesuatu, jangan sesekali bias atau bersikap berat sebelah, tapi ianya berlainan sekiranya kau memberikan pendapat kau, tak faham? Andaikan sekiranya kau menulis mengenai wordpress, walaupun ianya bagus, jangan memperlekehkan cms yang lain, kau cuma dapat memberikan pendapat kau sahaja, ingat ya, pendapat kau boleh menjurus ke arah positif dan negatif..Janganlah kau ingin menaikkan sesuatu, tetapi pada masa yang sama, kau menjatuhkan pihak yang lain..
Jangan sesekali meyentuh soal perkauman, isu-isu yang dapat menjadikan kau buruan ISA dan isu-isu lucah..Teruskan sekiranya kau mahu disaman..hehe
Ada lagi?tambahkan di ruangan komen ya, aku juga ingin mengetahui etika-etika lain yang elok untuk dikongsi..
Kesimpulannya?
Berbalik kepada tajuk entri ini, perlukah semua etika ini? Kalau ditanya pada aku, mestlah perlu, cuma aku ingin tahu pendapat kau, kau dan kau di sana..Berikan pendapat kau ya.


Rujukan penulis ini boleh didapati di http://www.google.com.my/search?hl=en&q=blog+ethics&btnG=Google+Search&meta=

Selamat menelaah...

Pendapat mahasiswa

di petik daripada pendapat mahasiswa dalam Kosmo yang boleh disurf di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Akademi&pg=ak_04.htm


Kredibiliti sebagai blogger
Mohd Aliff mohd Nor,
UIAM


Blogger seharusnya memiliki etika yang betul, menyampaikan apa yang benar, bersedia menerima dan menjawab kritikan serta tidak memihak kepada mana-mana individu.

DEWASA ini, kemudahan Internet telah membawa kepada kewujudan weblog ataupun lebih dikenali sebagai blog.

Blog ialah sebuah laman web. Ia dibina menggunakan perisian yang telah diformat bagi membolehkan sesiapa sahaja membinanya tanpa perlu menguasai pengetahuan teknikal yang mendalam.

Dalam erti kata lain, blog ialah sebuah laman web yang mudah dibina, dikemaskini, bersifat interaktif dan boleh dimulakan tanpa sebarang bayaran pendahuluan.

Berbanding membangunkan sebuah laman web, sedikit modal perlu dikeluarkan untuk membayar hosting.

Ada yang berpendapat laman web agak sukar untuk membentuk kumpulan pelawat yang aktif berinteraksi di alam siber.

Hakikatnya, tujuan utama sebuah blog dibangunkan adalah untuk mencipta komuniti siber supaya berlaku pertukaran idea dan dapat berinteraksi antara pengendali blog dan pelawat siber.

Blog merupakan alam baru yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja yang bijak mengaplikasikan teknologi Internet. Di Malaysia sahaja, terdapat lebih 600,000 blog yang aktif.

Pelbagai faedah yang boleh diperoleh seandainya seseorang itu bijak memanfaatkan blog. Melalui blog, seseorang boleh menghantar profail diri, pendapat, idea, berita terkini, gambar atau produk yang akan menarik perhatian pembaca.

Menerusi blog peribadi, seseorang boleh meluahkan perasaan mereka untuk dikongsi bersama pelawat siber. Ia menjadi diari maya yang mencatatkan perjalanan hidup mereka.

Sebagai contoh, pelakon terkenal Afdlin Shauki menggunakan blog untuk menceritakan kisah hidup beliau bukan sahaja untuk berinteraksi dengan rakan-rakan dan peminat seni tanah air, tetapi blog ini juga digunakan untuk mempromosikan filem beliau.

Adalah suatu pembohongan jika kita menganggap blog tidak boleh membuat duit. Sebenarnya, ramai blogger menerima cek lumayan daripada Google. Malah, semakin ramai pengurus daripada syarikat terkemuka terjun ke dunia blog.

Muzaffar Mustapha menerima tawaran untuk berkhidmat bersama ASTRO setelah tiga musim beliau menjadi pengkritik bebas Akademi Fantasia melalui blog. Di samping itu, beliau dipilih untuk membangunkan laman web rasmi teater agung, Puteri Gunung Ledang The Musical. Kejayaan beliau bermula dengan blog.



PENGENDALI blog harus bertanggungjawab dengan kenyataan, maklumat dan kritikan yang mereka salurkan dalam laman blog mereka.


Kandungan blog yang bebas membolehkan sesiapa sahaja meletakkan apa sahaja yang mereka mahu. Di sinilah, titik permulaan keburukan blog bermula.

Pengisian blog yang sedikit menyimpang dan berunsur fitnah mampu mengheret seseorang untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Kes Raja Petra Raja Kamaruddin dan Syed Akbar Ali, blogger yang didakwa baru-baru ini menjadi contoh kepada semua bahawa blogger ataupun pengendali blog tidak kebal daripada undang-undang.

Beberapa tahun lalu, dunia digemparkan dengan lukisan seorang kartunis Denmark yang melukis kartun mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w yang membawa kepada rusuhan sehingga memaksa pemimpin Denmark meminta pemimpin-pemimpin Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) meredakan ketegangan tersebut.

Lukisan tersebut telah digunakan oleh beberapa buah blog yang memusuhi Islam bertujuan untuk menyemarakkan lagi kemarahan umat Islam.

Pengajaran daripada kedua-dua buah cerita ini ialah setiap orang mempunyai kebebasan untuk bersuara, tetapi ia harus tidak menyentuh sensitiviti dan hak asasi orang lain sehingga boleh menimbulkan kekacauan.

Blogger seharusnya memiliki etika yang baik bagi meningkatkan kredibiliti mereka. Mereka sepatutnya menyampaikan apa yang benar, bersedia menerima dan menjawab kritikan, tidak sepatutnya memihak kepada mana-mana individu bagi mencapai agenda tersendiri, adil dan tidak melakukan plagiat.

Beberapa bulan yang lalu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, pihak UiTM bersedia untuk mengesyorkan kursus pengajian blog sebagai salah satu mata pelajaran yang akan diajar di universiti tersebut.

Cadangan sebegini amat baik dan ia wajar dijadikan platform bagi menjadikan blogger itu seorang yang beretika dan berada di landasan yang betul.

Pilihan Raya Umum yang ke-12 yang diadakan pada Mac lalu telah membuka mata semua pihak tentang keupayaan blog. Pemerhatian menunjukkan pengundi lebih tertarik kepada isi-isi pilihan raya yang dibawa oleh blogger-blogger berbanding yang disampaikan oleh media massa.

Dengan kewujudan teknologi tanpa sempadan, segelintir masyarakat menonjolkan pendirian mereka tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang. Kebaikan blog boleh diteroka kalau kita bijak menggunakannya.

Blog: Teknologi jadi Raja

dipetik dari http://www.malaysiandigest.com/index.php?view=article&catid=102%3Aopinion&id=791%3Aetik-teknologi&tmpl=component&print=1&page=&option=com_content&Itemid=105

Etik Teknologi

Blog Tanpa Etika:Teknologi Jadi Raja


Baha Zain


13 OCTOBER 2008


Apakah kita sedang berhadapan dengan kebudayaan baru di mana sains dan teknologi telah mengubah kepercayaan , sikap, dan gaya hidup kita ; dan mengubah pertanyaan-pertanyaan biasa tentang apa dan siapa kita? Kita tidak sempat lagi menentukan kehidupan secara terperinci kerana sains dan teknologi dengan lebih pantas mengubah persepsi serta tindakan kita tanpa kita sedari.

Seorang ahli jemaah di masjid dengan pantas merujuk SMS melalui Nokianya pada saat tazkirah sedang sopan dan jelas disampaikan di ruang solat. Matanya terbuka luas membaca: “kewangan US merudum hari ini”. Wau! Seolah-olah malaikat turun membawa berita besar dari langit. Alat canggih teknologi komunikasinya telah merebut perhatian dan pendengarannya daripada agamawan yang sedang bersyarah di depan mukanya.

Apakah kita ada pilihan lain lagi ? Sains , teknologi dan perniagaan akan membentuk kebudayaan pada zaman ini dan akan datang . Seluruh landasan fikiran dan landasan bertindak pihak politik dan sesiapa yang hendak terus berkuasa mesti berpandukan sains, teknologi dan perniagaan kerana ia menentukan arah, penguasaan (control), pengurusan, inovasi, dan perluasan pengaruh. Di sini bergantung kekuasaan ( politik dan ekonomi) bagi individu, institusi, parti, dan malahan negara.

Internet, e-mel, sms , dan blog sekarang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia yang menghantar kita sebagai warga masyarakat global. Prasarana maklumat moden ini membebaskan rakyat daripada propaganda dan manipulasi akhbar, radio dan TV yang bertahun-tahun membentuk pandangan massa yang kritikal. Kerajaan BN melalui parti-parti komponennya melalui proksinya telah memanfaatkannya dan menggaji ribuan kakitangan media untuk bekerja dan mengerjakan jenis kebebasan berfikir serta cara membuat keputusan di kalangan pembacanya. Tetapi sejak empat lima tahun yang lalu dominasi ini dihakis dan diruntuhkan oleh internet dan blog sehingga mempengaruhi keputusan Pilihan Raya 2008.

Satu prasarana mental baru seolah-olah terentang sebagai jaring dari utara ke selatan dan dari timur ke barat Malaysia bagi menapis maklumat, laporan dan propaganda media perdana supaya fikiran masyarakat bebas daripada perhambaan yang dideritainya selama bertahun-tahun. Blogs telah menyediakan “swarming” atau analisis daripada pelbagai sudut dan penjuru.
Dunia blog telah mengubah sifat pelaporan berita ke arah yang baru, dan pantas, walaupun belum tentu lebih baik dan sempurna.

Walau bagaimana pun setiap sesuatu perkembangan itu ada kebaikan dan kelemahannya. Bloggers juga tidak sunyi daripada mengulangi kedurjanaan yang pada mulanya diserangnya. Dia lalu menjadi pendosa yang baru. Kenapa?Kalau manusia tidak dipandu oleh etika , dia akan menjadi seperti haiwan. Apa yang membezakan manusia daripada haiwan ialah akhlak yang baik ,rohani yang jernih, dan fikiran yang rasional bagi mengawalnya daripada nafsu dan naluri yang tabii.

Etika bertujuan membawa manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan. Mana agama besar dalam dunia (Islam, Kristian dan Judaisme etc) yang tidak menekankan pentingnya etika kerana etika mengatur perhubungan baik manusia dengan manusia, antara individu dengan individu lain, antara individu dengan masyarakat, antara pemimpin dengan yang terpimpin, dan sebaliknya. Matlamat ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan sesama manusia ini menjadi suluh bagi tindak tanduk, percakapan, penulisan dan tutur kata kita.

Tuhan memberikan seseorang itu bakat kreatif, kepandaian berbahasa serta kepintaran mengucapkan perasaan, pandangan ; dan fikiran yang kritis atau bernas. Bakat itu adalah suatu amanah yang dipinjamkan kepada kita; dan bukan hak mutlak kita. Ia diamanahkan kepada seseorang untuk menggunakannya bagi kebaikan, kebahagiaan dan kesejahteraan dunia di sekelilingnya. Inilah asas dan prinsip etika bagi umat yang bernama Islam. Demikian juga bagi mereka yang mempunyai bakat sebagai pemimpin, ilmuwan, wartawan, pemuzik, peniaga atau pekebun.

Falsafah Konfusius pun menekankan bahawa etika seseorang itu bertujuan bukan sahaja sebagai pedoman hidup bagi dirinya dengan orang lain, tetapi juga sebagai norma sosial supaya masyarakat boleh berlangsung dalam keharmonian. Sejak Plato dan Aristotle lagi soal etika ini sangat dipentingkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Tegasnya ia tidak menggalakkan percakapan, perbuatan dan tingkah laku yang melukai orang lain, lebih-lebih lagi kalau sengaja berniat melukai, menjatuhkan, merosakkan nama baik orang, mencerca dan memfitnah. Ingat ! ini adalah suatu dosa; dan melakukannya adalah berdosa.

Walaupun ruang siber (cyberspace) adalah dunia maya atau dunia virtual dan bukan dunia kenyataan, tetapi ia masih menggunakan bahasa, simbol, konotasi, dan malahan berfungsi untuk menimbulkan kesan terhadap manusia di dalam dunia yang nyata. Apabila ia menjejaskan sesuatu pihak, ia adalah salah walaupun dilakukan dalam ruang siber. Kebebasan berfikir dibenarkan dalam apa-apa komunikasi pun, tetapi tindakan dan tingkah laku yang membabitkan akibat tertentu mungkin harus dibayar dengan harga yang mahal.

Manusia adalah makhluk simbol (kata Ernst Cassirer), tetapi dia juga adalah makhluk moral yang boleh memilih antara buruk dan baik. Justeru itu dia harus bertanggungjawab dengan pengertian bahawa melalui istilah tanggungjawab itu dia tahu apa konsekuensi daripada perbuatannya (buruk atau baik). Kalau akibatnya buruk , itu adalah akibat daripada pilihannya sendiri , dan dia tidak boleh menyalahkan takdir atau orang lain. Prinsip inilah yang harus difahami oleh penulis , wartawan atau sesiapa sahaja.

Setiap perbahasan lebih-lebih lagi dialog yang intelektual sifatnya, bukan sekadar memikirkan hal-hal teknik digital, stail dan retorik yang memikat pembaca, etiket penulisan yang standard, tetapi juga memikirkan segi falsafah tentang prinsip etika yang menyangkut tingkah laku orang di sekitar dunia siber.

Apakah kita harus mengekang diri daripada berkata tentang kebenaran? Tidak. Kebenaran harus dinyatakan, tetapi bukan secara bebal dan tidak beradab. Korupsi, kezaliman, penindasan, ketidakadilan, diskriminasi, jenayah, penipuan, pecah amanah, tirani, konspirasi dan pembunuhan bangsa, budaya dan bahasa harus didedah dan diperangi terhadap siapa sahaja, walaupun Menteri. Tentu ada fakta dan buktinya. “Fakta itu sakti; dan pendapat harus adil”, facts are sacred; and opinion must be fair. Ini prinsipnya untuk bercakap tentang kebenaran seperti kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-Hud dalam al-Quran (Surah Semut atau An-Naml (27): 20-23 ). Makhluk kecil , burung Hud-Hud, berani menceritakan kebenaran yang telah dipastikannya walaupun di depan Nabi Sulaiman atau seorang penguasa atau hakim yang hebat yang pada mulanya murka terhadapnya. Dan Nabi Sulaiman pula telah menunjukkan keadilan dan merendahkan dirinya di depan kebenaran. Inilah yang patut menjadi panduan kepada yang kerdil mahupun kepada yang besar. Kebenaran itu walaupun nampak kecil, tetapi di sisi Tuhan ia adalah lebih besar daripada segala-gala di sekelilingnya. Jadi jangan mengalah kepada nafsu dan amarah; dan jangan remehkan fakta, bukti, dan kebenaran . Sama pentingnya ialah penampilan pendapat atau fikiran apa sahaja haruslah disalurkan melalui ungkapan yang bersopan, beradab dan berakal budi seperti kata pantun Melayu lama:

"Apalah tanda batang tebu,
Batang tebu halus ruasnya;
Apalah tanda orang berilmu,
Orang berilmu halus sifatnya."

Wujudkan Etika Blog?

Dipetik dari Utusan online yang boleh disurf di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm


ARKIB : 29/05/2008


Media teras negara maju

Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK



PERKEMBANGAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membuka ruang yang luas kepada orang ramai untuk mengikuti paparan laman-laman web dan blog tanpa sebarang batasan.
- Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



INDUSTRI media di Malaysia berkembang dengan begitu pesat sejak dahulu lagi dan mempunyai peranan yang cukup luar biasa. Industri ini walaupun mempunyai kaitan orientasi ekonomi yang kuat, namun perlu dibezakan dengan industri lain memandangkan objektif utamanya ialah sebagai penyalur maklumat dan korpus ilmu, di samping medan penting penjanaan misi dan visi kerajaan kepada rakyat.

Hubungan media sebagai agen perubahan dan rakan negara dalam pembentukan masyarakat yang maju dalam segala disiplin cukup rapat serta merupakan teras kepada kekuatan politik dan demokrasi di negara kita.

Kebebasan bersuara sangat berkait rapat dengan industri media di negara kita. Namun hak tersebut tidak boleh dijadikan alasan atau lesen besar untuk merosakkan reputasi dan harga diri seseorang atau menghina kepercayaan dan agama lain termasuk agama Islam.

Kebebasan bersuara sememangnya adalah hak asasi setiap individu tetapi ia bukanlah sesuatu yang mutlak atau boleh dilakukan tanpa kawalan di mana hak menyampaikan sesuatu pandangan dan kritikan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menjatuhkan maruah seseorang, menabur fitnah atau mencemar simbol keagamaan orang lain.

Setiap negara termasuk Malaysia memerlukan undang-undang sebagai landasan untuk melindungi dan membela rakyatnya daripada sebarang dakwaan berunsur fitnah, penghinaan, tuduhan dan mempertahankan institusi terasnya daripada kenyataan berbentuk hasutan.

Jika kebebasan tanpa sekatan wujud dan dibiarkan begitu sahaja, bermakna tiada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang cuba menghasut, memfitnah, menimbulkan keganasan etnik dan sebagainya.

Media sebagai rakan kongsi strategik dan bijak bagi sesebuah kerajaan merupakan komponen terpenting dalam pembentukan negara bangsa dan pentadbiran yang terbaik serta mampu menjadi alat untuk tadbir urus yang baik selagi berpegang kuat kepada nilai-nilai seperti ketepatan, kebijaksanaan dan kesaksamaan di samping terus berpegang kepada kesahihan fakta dan keadilan dalam laporan.

Oleh demikian, pengamal media tradisional dan media baru perlu memiliki pengetahuan, pengalaman serta kemahiran membezakan antara fakta, berita atau dakwaan tidak berasas.

Ini kerana tanggungjawab media sangat penting dalam membantu pembangunan serta kestabilan sesebuah negara.

Institusi media juga penyalur maklumat utama tidak boleh memandang ringan prinsip dan konsep keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita sehingga boleh mengancam ketenteraman awam atau keselamatan negara. Oleh demikian satu dasar yang boleh memantapkan penggunaan media perlu diperkenalkan memandangkan teknologi komunikasi baru ini mampu menjadi alat untuk tadbir urus yang baik dan jentera kerajaan yang paling berkesan untuk menyampaikan hasrat dan perancangan kerajaan kepada rakyat.

SensasiSehubungan itu, semua pengamal media tempatan lebih beretika, konstruktif dan bertanggungjawab ketika melaporkan sesuatu isu terkini dan sensasi terutamanya berkaitan kenaikan harga minyak dan krisis kekurangan makanan yang sedang dialami.

Ini penting kerana pengamal media terutamanya golongan wartawan termasuklah penulis blog di negara kita berupaya menarik perhatian rakyat dan mempengaruhi fikiran dan emosi rakyat menerusi penulisan, penilaian, kritikan serta kajian yang dihasilkan oleh mereka.

Kredibiliti amat penting di kalangan pengamal media arus perdana dan media alternatif kerana ia akan menentukan penerimaan dan kepercayaan rakyat.

Pengamal media mestilah memahami dan mematuhi etika serta peraturan penulisan bagi mengelak mereka membuat laporan yang tidak bertanggungjawab, prejudis, berat sebelah, kurang tepat, tidak membina, perkauman dan menyeleweng dari fakta sebenar.

Berita atau laporan bersifat spekulasi, cakap dengar, sembang kedai kopi dan andaian semata-mata sehingga menjadikan keadaan lebih teruk perlu dielakkan sama sekali.

Mereka perlu bijak dan ikhlas melaporkan sesuatu yang bermanfaat kepada semua dan bukannya cuba menimbulkan polemik atau sensasi. Ini adalah tanggungjawab kolektif yang perlu dipikul oleh pengamal media terutamanya wartawan dan penulis blog di negara kita.

Walaupun negara kita sejak sebelum merdeka lagi telah mengamalkan prinsip kebebasan akhbar di mana wartawan dan penulis berhak menulis sesuatu perkara tanpa rasa takut dan bimbang agar maklumat serta kebenaran sampai kepada sasaran, namun begitu mereka mestilah beretika dan bertanggungjawab atas apa yang ditulis dan dilaporkan kepada umum.

Dalam buku Mengenali Undang-Undang Media dan Siber (2002), diterangkan bahawa konsep kebebasan akhbar tidak wujud secara tersendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan di mana ia merupakan sebahagian daripada apa yang dikenali sebagai kebebasan bersuara atau kebebasan bercakap.

Maksud kebebasan bersuara di sini termasuklah juga kebebasan mengeluarkan fikiran di mana konsep kebebasan bersuara ini diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tidak dapat dinafikan kebebasan bersuara, yang merangkumi kebebasan akhbar, adalah asas penting kepada semua jenis hak dan kebebasan asasi yang lain dalam Perlembagaan. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, kebebasan bersuara ini yang merangkumi juga kebebasan akhbar adalah suatu konsep yang penting.

Tanpa kebebasan bersuara, kehidupan masyarakat demokratik seperti yang diamalkan di Malaysia tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Akhbar dan media lain, sebagai wadah menyampaikan fikiran merupakan sebahagian daripada konsep kebebasan bersuara ini.

Penggubalan undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan banyak lagi bukanlah bertujuan untuk menyekat dan mengawal kebebasan bersuara di negara kita malahan bertujuan melindungi rakyat dan institusi teras negara serta bagi memastikan masyarakat kita berada dalam keadaan yang terkawal, tenteram dan bebas.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kewujudan undang-undang ini bukan menyekat kebebasan tetapi ia penting supaya masyarakat hidup makmur meskipun mungkin mendatangkan sedikit kesan kepada Malaysia terhadap Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang berasaskan andaian tertentu.

Etika Menulis Blog

Di petik daripada Bernama.com
--------------------------------------------------------------------------------
Am 22 November, 2008 19:02 PM
Syed Hamid Cadang Penulis Blog Wujudkan Kod Etika




KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari Sabtu mencadangkan penulis blog mewujudkan kod etika mereka sendiri bagi memastikan mereka bertanggungjawab dengan apa yang ditulis.

Beliau berkata perkara itu penting kerana kebanyakan penulis blog bukan dari kalangan wartawan yang dilatih untuk menulis sesuatu perkara secara adil dan seimbang.

Syed Hamid berkata kod etika yang dicadang itu perlu dibuat dalam bentuk peraturan dan bukannya perundangan atau akta baru.

Beliau berkata penulisan blog merupakan cara berkesan dan boleh mempengaruhi serta membentuk perspektif pembaca mengenai pelbagai isu.

"Mereka (penulis blog) boleh menyatukan masyarakat atau memecahkan. Seperti rakyat Malaysia lain, penulis blog juga perlu mempunyai tanggungjawab dalam menjaga kestabilan dan keselamatan negara," katanya ketika merasmikan persidangan 'Bloggers Buff' 2008 di sini.

Syed Hamid berkata wartawan profesional sekalipun mempunyai garis panduan masing-masing, dan oleh itu tidak ada sebab kenapa penulis blog tidak perlu mempunyai kod etika mereka sendiri.

Beliau berkata blog tidak dimasukkan dalam media lain kerana menerusi blog, pembaca boleh memberikan reaksi terhadap sesuatu isu yang ditulis sebaik ia disiarkan.

"Komen dan sesi menjawab semula itu malangnya menyediakan saluran kepada orang ramai untuk menyebarkan perasaan benci dan sentimen perkauman," katanya.

Sementara itu, presiden penaja National Alliance of Bloggers (All-Blogs) dan wartawan Ahirudin Atan berkata penulis blog sepatutnya mengeluarkan kod etika mereka sendiri tanpa campurtangan kerajaan.

"Penulis blog mempunyai kuasa mempengaruhi pendapat, dan jika ia (kuasa)disalahguna, ia boleh menimbulkan pemusuhan di kalangan rakan," katanya pada persidangan itu.

Beliau juga berkata komen yang tidak mempunyai nama perlu dilayan seperti "surat layang" dan penulis blog serta pembaca mempunyai hak untuk tidak melayan mesej itu.

-- BERNAMA



Copyright © 2008 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA. Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels

Thursday, November 6, 2008

Anugerah baru diperkenal

Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail diperkenal


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Institut Akhbar Malaysia (MPI) akan memperkenalkan satu lagi kategori iaitu Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail selain 13 kategori lain sempena penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2008.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPI, Datuk Azman Ujang berkata, kategori baru itu diperkenalkan sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan Tokoh Wartawan Negara itu dalam bidang kewartawanan sejak zaman mudanya.
''Kategori ini terbuka kepada semua wartawan berumur 30 tahun ke bawah dengan hadiah yang ditawarkan bernilai RM11,000. Pertubuhan berita berkenaan boleh mencalonkan mana- mana wartawan muda yang dirasakan mempunyai potensi untuk menjadi wartawan besar negara pada masa akan datang,'' katanya pada sidang akhbar Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas di sini semalam.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya dan Ahli Majlis Pentadbir MPI, Maimunah Abd. Rashid.


Menurut Azman, 13 kategori lain yang dipertandingkan ialah Hadiah Kajai, Kewartawanan Sukan, Foto Media Terbaik, Foto Esei Terbaik, Penulis Majalah Terbaik, Rencana TV Terbaik, Laporan Ekonomi/Kewangan, Kewartawanan TV Terbaik dan Kewartawanan Hiburan.
Selain itu, katanya, kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas, Anugerah Khas Juri serta Tokoh Wartawan Negara turut dipertandingkan.


''Bermula tahun 1994 hingga kini, Petronas telah menjadi penaja utama penganjuran hadiah ini dan seperti sebelumnya, hadiah lumayan bernilai RM200,000 menanti para pemenang bagi semua kategori yang dipertandingkan," katanya.
Azman berkata, pembaharuan juga turut dibuat apabila para pemenang tidak lagi dipilih mengikut kompartmen bahasa, sebaliknya setiap penyertaan akan diadili secara sama rata untuk mencari seorang pemenang bagi setiap kategori.
''Perubahan ini dibuat untuk meningkatkan lagi mutu kewartawanan negara dengan penyertaan setiap satu kategori bagi semua bahasa, maka persaingan bergelar pemenang dijangka lebih sengit,'' katanya.


Beliau berkata, penyertaan kini dibuka sehingga 15 Januari 2009 dan dengan setiap penyertaan hendaklah meliputi karya- karya kewartawanan yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, penyertaan hanya terbuka kepada semua organisasi media cetak, elektronik dan secara Online yang berdaftar sebagai sebuah entiti perniagaan di bawah Akta Syarikat sahaja.


Dalam pada itu, Azman memberitahu, majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada awal April depan dan ia dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wednesday, November 5, 2008

Pengalaman Mencari Maklumat/Bahan


Artikel ini dipetik daripada KOSMO Ahad, 26 Oktober 2008 yang juga boleh dibaca secara online di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm


Moga-moga dapat membantu.



Susah cari berita

Pelakon Frontpage bercakap tentang dunia wartawan
Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK




TONY EUSOFF, Cheryl Samad dan Akhtar Amin menjadi nadi penggerak siri Frontpage (Ahad, 10 malam di ntv7) yang menyingkap sisi kewartawanan Malaysia. Mereka bersatu dalam The Voice, akhbar yang membawa berita realiti ke dalam bentuk penulisan. Siang malam yang bergelumang berita, risiko dan pastinya deadline dipaparkan dalam siri arahan Kabir Bhatia dan tulisan Mira Mustaffa ini.



Sejenak menjadi penulis dan wartawan, VAZZ cuba menyelinap ke dalam minda mereka perihal kewartawanan.


Setelah sama-sama ‘bekerja’ sebagai wartawan, di mata kamu apakah kesusahan karier ini?


C: Ini satu pekerjaan yang bukan senang. Untuk sebuah cerita muka depan, wartawan perlu menunggu berita - kerja yang tidak pernah habis. Tapi mereka bertuah kerana mendapat berita first hand. Berdasarkan pemerhatian, wartawan perlu ke tempat kejadian. Saya dapat rasa keseronokannya kerana kita dapat cerita daripada perspektif yang berbeza. Tapi yang paling susah adalah untuk mendapatkan cerita muka depan di samping memaparkan berita yang benar.


A: Wartawan berhadapan dengan risiko. Apabila berlaku satu-satu kejadian, wartawan perlu turun padang dan pergi ke tempat kejadian. Ada yang jadi undercover. Itu bagi saya penuh dengan risiko. Kalau saya, saya akan fikir dua kali.


T: Cabarannya adalah untuk mencari maklumat. Maklumat tidak akan datang sendiri. Ini sangat mencabar. Lagi besar sesebuah berita, lagi mencabar kehidupan wartawan tersebut. Boleh saya katakan bahawa penulisan di Malaysia masih ada sekatan dan tidak bersifat telus. Kerjaya wartawan seperti berlakon juga, ada sekatan dan kita tidak mampu menyampaikan sesuatu yang berbentuk sangat jujur.



Sebut tentang Frontpage, kita kecilkan skop kepada hiburan, berita hiburan bagaimana yang bagus untuk berada di muka depan?
A: Bagi saya, berita muka depan yang berbentuk hiburan adalah seperti kegiatan artis. Maksudnya tidak berbentuk hiburan. Contohnya artis yang berniaga atau menjadi ikon. Bagi saya gosip kadangkala membina namun kita lebih mahu tahu kisah kejayaan artis. Boleh untuk letak berita tentang artis kena penjara atau ditangkap tetapi ia tidak begitu elok. Kita harus lebih kepada sesuatu yang berbentuk ikonik.


C: Orang selalu komplen pasal berita negatif. Ya, berita ini mudah mempengaruhi remaja khususnya. Sepatutnya kita letakkan berita yang membina dan berfaedah. Biar relevan dan memberi pengaruh yang baik.


T: Cerita hiburan yang memberi ilham atau inspirasi kepada orang ramai, misalnya kisah P. Ramlee dan kejayaannya yang sukar diatasi oleh sesiapa.



Dari kaca mata kamu – ikhlas tentang wartawan hiburan.

C: Saya rasa wartawan (tidak semua) sekarang lebih fokus kepada perkara-perkara tidak penting. Lebih banyak kepada gosip. Kalau sesuatu gosip itu tidak penting, usahlah ditulis. Sebab wartawan bertanggungjawab menentukan pemikiran pembaca. Tapi tak dinafikan orang lebih tertarik pada gosip.


A: Bagi saya sudah berbeza. Dulu banyak gosip tapi sekarang telah berkurangan. Kalau dahulu banyak tumpuan pada peribadi, keluarga dan cinta. Mungkin juga kerana artis sudah berubah dan sedar. Kadangkala gosip boleh membunuh. Kini kita boleh lihat banyak berita baik tentang artis. Tak pasti sama ada itu trend atau apa tetapi ini juga jadi panduan pada artis untuk menjalani kehidupan dan karier mereka. Kita tak nak jadi macam Hollywood, lagi nakal lagi dilihat sebagai cool. Kita mahukan yang sebaliknya.

T: Saya tidak faham kenapa gosip dibiarkan berleluasa. Perkara ini perlu seimbang. Mungkin kerana tabiat manusia suka lihat perkara yang negatif, baru orang baca atau lihat. Saya seru wartawan supaya tidak terlalu banyak menulis hal negatif selebriti. Tulislah sesuatu yang membina.


Sejauh mana wartawan membantu kerjaya selebriti?

A: Ramai orang ingat gosip itu membantu tetapi saya rasa ia cukup untuk membuatkan seseorang itu dikenali walaupun bukan untuk satu jangka panjang.


C: Wartawan banyak membantu kerjaya saya. Saya bernasib baik kerana sentiasa mendapat bantuan mereka baik dari segi promosi mahupun perkembangan karier saya. Mungkin kerana saya tidak ada berita negatif. Kalau dengar gosip pun mereka akan rujuk saya dulu. Sudah seperti persahabatan.


T: Saya boleh katakan bahawa 50 peratus kejayaan saya dibantu oleh wartawan, kalau tidak saya tidak akan sampai ke tahap sekarang.




Penulis gosip, perlu atau tidak sebenarnya?

C: Sampai kepada satu tahap, penulis gosip diperlukan. Orang luar mahu tahu cerita artis tetapi nasib kita baik kerana kita tidak ada budaya paparazzi. Gosip ini ada yang membina dan tidak. Berita tentang kahwin itu bagus. Tapi saya harap agar sesuatu gosip itu ada kepastian kerana gosip juga boleh mengganggu periuk nasib seseorang artis.


A: Perlu kerana dengan gosip kita mudah sedar dengan hal yang terjadi dalam dunia hiburan. Mungkin boleh dijadikan panduan dan nasihat. Kalau tiada gosip, saya rasa orang tidak akan mudah ingat akan kesilapan dan pengajaran. Ini membuatkan artis perlu pandai jaga diri.


T: Perlu seimbang. Kalau saya kata tidak perlu, ramai yang akan tidak bersetuju kerana ini membabitkan perniagaan. Sebagai artis saya rasa tidak perlu. Tulis gosip yang positif. Dan hal kalau yang negatif biarlah memberi pengajaran kepada khalayak. Kalau sampai tahap digam akan memberi efek kepada ekonomi artis itu sendiri.






TIGA anak seni yang berharap gosip tidak mendominasi dunia hiburan sehingga kerjaya mereka menjadi picisan.


Seksyen mana yang akan kamu buka jika membaca surat khabar?



C: Muka depan memang kegemaran saya. Kemudian beredar ke berita nasional dan dunia. Kalau saya tidak sempat baca pun saya akan baca sepintas lalu. Saya tidak mahu jadi orang yang tidak tahu menahu akan berita. Biasanya saya akan mengambil masa satu setengah jam untuk membaca surat khabar.


A: Memang sudah jadi tabiat saya, saya akan tumpu pada tajuk utama yang menarik. Saya akan baca muka depan dan cari berita yang mempunyai tajuk yang menarik.


C: Saya juga suka artikel yang dihantar oleh penulis luar. Mereka ada pandangan yang menarik.

T: Saya lebih kepada politik dan hiburan. Tapi politik saya baca untuk pengetahuan saja. Dan semestinya saya akan baca bahagian hiburan agar saya sentiasa up-date. Namun yang paling diutamakan adalah muka depan. Saya juga mengambil masa sejam setengah untuk membaca.



Apabila ada wartawan yang menulis lirik atau terlibat dalam bidang lakonan, ada pihak yang tidak senang dengan kepelbagaian ini. Ada yang cakap cuba cari glamor dan menggunakan kerjaya sebagai batu loncatan, komen kamu?


C: Kita tidak boleh halang orang daripada mencari rezeki. Kalau orang itu berbakat, kenapa tidak? Nasihat saya wartawan yang terlibat dalam bidang seni ini perlu tahu membezakan persekitaran. Jika sudah berada dalam bidang lakonan atau nyanyian, mereka tidak akan menyebarkan cerita kepada khalayak. Harap mereka dapat bezakan dua kerjaya ini. Jangan lupa tugas sebagai sahabat juga dan jangan salah guna posisi.


A: Ini dinamakan multitalented dan kerana mereka sudah terdedah dalam aliran bidang yang sama, tidak salah untuk mencuba dan mempelbagaikan bakat. Saya tidak faham kenapa orang Malaysia suka gunakan terma gila glamor. Ini berbaur negatif.

C: Saya tidak suka terma overexposed.

A: Kita tidak boleh menghakimi seseorang dengan cara yang negatif. Beri teguran membina.



Kalau kamu seorang wartawan, bidang apa menjadi fokus kamu dan berita muka depan bagaimana yang kamu pilih?


A: Saya akan tulis dan fokus pada bakat baru. Tulis apa sumbangan mereka dan beri mereka publisiti yang baik. Mereka bekerja keras dan membantu menaikkan taraf industri. Apa yang berada di muka depan boleh mempengaruhi pembaca. Juga saya akan tulis tentang kehidupan seharian. Satu kolum tentang apa yang berlaku sehari-hari terutamanya servis pelanggan kita yang masih ditahap tidak memuaskan.


C: Saya suka melakukan perkara-perkara yang boleh mengajar. Contohnya hal semasa atau politik. Pembaca tidak mengetahui terma atau keadaan sebenar politik atau ekonomi. Kita perlu beri pengajaran berkaitan yang mereka boleh aplikasi dalam kehidupan seharian.


T: Tidak kisah di meja mana tetapi yang penting adalah cerita yang akan saya laporkan memberi manfaat kepada orang ramai. Tak semestinya hiburan sahaja atau politik tetapi secara umum. Cerita itu bukan sahaja menarik tetapi berfaedah buat rakyat Malaysia.

Monday, November 3, 2008

Kebebasan Akhbar

Artikel ini dipetik dari blog persendirian sdr Wiramanja seperti alamat berikut
http://www.geocities.com/wiramanja01/jurnal4.htm

KEBEBASAN AKHBAR DI MALAYSIA: SATU PEMIKIRAN INTELEKTUAL
Oleh: ABDUL RAHMAN AHMAD HANAFIAH (WIRAMANJA)

Malaysia mengalami perkembangan pesat penyebaran media informasi melalui media elektronik dan media cetak. Media tersebut di wakili dua kelompok wartawan iaitu wartawan arus perdana dimilik oleh kerajaan dan wartawan arus alternatif dimiliki oleh NGO iaitu Malaysiakini.com di Malaysia dan di barat iaitu American Journalism Review. Artikel ini ingin mengutarakan satu permasalahan identiti krisis pemikiran masyarakat Malaysia mengenai kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara sememang menjadi isu penting diperdebatkan sama ada di menara gading mahupun di mana-mana. Namun, kebebasan yang diinginkan manusia sebenarnya menjadi pokok persoalan tulisan ini. Masyarakat Malaysia umumnya menyedari akhbar berperanan mengubah pendirian masyarakat dan selain itu merupakan agenda kerajaan memerintah negara dengan bantuan media ini.

Masyarakat Malaysia yang didedahkan dengan latarbelakang akademik secara total menginginkan rakyat bersuara lantang melalui akhbar yang bebas daripada kekangan kerajaan. Walau apapun andaian dan pemikiran rational rakyat memerlukan kebebasan akhbar, namun ianya memberi impak kecenderungan mengugat jentera kerajaan jika kebebasan ini diberikan secara padu. Kerajaan memberi kebebasan bersuara melalui akhbar, tetapi ada sekatan-sekatan tertentu untuk kepentingan sejagat. Isu yang dimuatkan dalam akhbar semestinya tidak menyentuh hal-hal politik kerajaan, isu perkauman dan isu agama. Ketiga-tiga isu ini boleh memperakperandakan pentadbiran kerajaan dalam memastikan keamanan sejagat dapat dipelihara dengan sentosa dan damai alam. Justeru, kebebasan yang sebenar ialah rakyat didedahkan dengan perkara yang tidak membabitkan akta, perundangan dan pentadbiran kerajaan yang boleh menggugatkan kepopulariti kerajaan yang memerintah mutakhir.

Surat khabar di zaman alaf baru ini dianggap satu komoditi. Perniagaannya tidak terbatas kepada penjualan berita tetapi pengiklanan dan sebagainya. Pengaruh surat khabar dinilai dengan sasaran edarannya. Jika edarannya tidak meresapi seluruh pelusuk tanah air ianya bukanlah dinamakan surat khabar tetapi bahan bacaan sebaliknya. Edaran surat khabar yang terbanyak menentukan sikap akhbar tersebut ada pertembungan dengan rakyat ataupun khalayak. Khalayak ingin memperolehi khabar yang banyak merakyatkan berita di dalamnya. Bayaran senaskhah surat khabar perlulah setimpal dengan bahan-bahan yang dipaparkan.


Surat khabar mempunyai sejarahnya; tetapi ia berlainan daripada sejarah biasa. Sebagaimana yang sering diandaikan oleh golongan bermoral, media cetak, sebagaimana ia wujud, bukanlah daripada ciptaan sengaja kumpulan kecil manusia yang hidup. Sebaliknya ia adalah hasil ciptaan proses sejarah dan ramai individu mengambil bahagian tanpa melihat terlebih dahulu apakah hasil usaha terakhir mereka itu. Surat khabar sebagaimana bandar raya moden pada keseluruhannya, bukanlah merupakan penghasilan yang rasional. Tidak ada seorangpun yang duba menjadikan apa yang ada padanya. Di sebalik segala usaha individu dan generasi manusia mengawal dan mewujudkan sesuatu berdasarkan kehendak hati mereka, ia terus tumbuh dan berubah dengan cara tersendiri.[1][1]


Menyingkap sejarah secara ringkas persuratkhabaran di Amerika adalah bermulanya Boston News-Letter yang diterbitkan oleh penguasa pos. Peranan posmen menghantar surat sekaligus mengedar surat khabar yang dianggap sebagai risalah biasa. Risalah tersebut memuatkan pengumuman penting rakyat berkaitan dengan kehidupan sosial mereka. Setiap hari risalah sampai ke pengetahuan masyarakat sehingga mereka terbiasa dengannya. Makanya, lahir surat khabar yang benar-benar wujud sebagai wadah penyebaran maklumat secara menyeluruh. Permulaan dengan The gazzette maka persuratkhbaran mencatat tinta sejarah pertama dunia.


Dunia persuratkhabaran mulai melalui detik-detik kegemilangannya memenuhi keperluan yang amat terhad kerana pengeluarannya yang terlalu minima kerana pelbagai masalah. Antaranya teknologi percetakan pada awal keluarannya amat mengecewakan. Begitulah resapan era persuratkhabaran di tanahair melalui detik-detik perkembangan awalnya pada 1 Mac 1806 akhbar yang berjudul The Goverment Gazette. Ketika itu masyarakat menyambut baik kemunculan akhbar tersebut yang menyiarkan pengumuman rasmi, berita dan iklan.


[2][1] Robert E. Park, 1995. (Terj) Peranan Berita, dalam Everette E. Dennis dan rakan-rakan, Isu-Isu Komunikasi Massa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. (nota kaki. Nota kaki tidak dapat dibetulkan dalam tulisan ini, harap maklum).


Pada permulaan penerbitannya akhbar tersebut diletakkan dibawah pengawasan residen british dan raja-raja melayu yang menjadi pak turut Inggeris (British). Suratkhabar sebagai wadah penyebaran maklumat, berita dan pelbagai lagi yang boleh mendidik rakyat dan membangunkan mentaliti mereka. Mentaliti mereka didedahkan dengan penyebaran akhbar yang ketika itu cuma berharga 15 sen senaskhah.


Kerajaan penerajuan orang putih tidak memberikan kebebasan sepenuhnya kepada syarikat akhbar dalam penerbitannya. Ini kerana, akan menyebabkan rakyat yang terdiri daripada wartawan boleh menyebarkan semangat bencikan Inggeris. Kebebasan mutlak kepada syarikat akhbar menyiarkan pelbagai rencana dan sebagainya boleh melumpuhkan jentera kerajaan British.


Akhbar Wadah Maklumat

“Saya lebih rela hidup dalam sebuah negara yang mempunyai akhbar tanpa kerajaan daripada hidup di sebuah negara yang mempunyai kerajaan tanpa akhbar”. Ungkapan ini adalah daripada Thomas Jefferson sebagai memperlihatkan surat khabar boleh memimpinkan masyarakat secara senyap dan berkesan. Kerajaan yang memerintah sering menggunakan arahan dan perintah menyebabkan rakyat tertekan dan cepat bosan. Kebosanan masyarakat sering dikaitkan dengan pemerintahan yang kuku besi menidakkan pemikiran, luahan dan kritikan mereka. Rakyat tidak diberikan mengeluarkan pendapat yang bertentangan dengan dasar kerajaan. Kerajaan menidakkan kebolehan rakyat memberi kritikan yang membina seolah-olah mengugat kewibawaan pentadbiran kerajaan.


Sesungguhnya tugas akhbar adalah penyambung lidah rakyat disamping mereka perlu mengetahui fakta sebenar setiap yang berlaku dalam negaranya. Rakyat yang memilih kerajaan dan rakyat pula perlu mengetahui apakah yang sedang berlaku dalam jentera kerajaan. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya menuding jari kepada rakyat. Rakyat yang terdedah dengan ICT akan menolak pendirian kerajaan yang menidakkan kepentingan mereka, kerana janji-janji ketika kempen pilihan raya perlu dikotakan tetapi bukan dimungkiri. Kaedah mendidik dan memimpin rakyat perlu ada batas-batas tertentu mengikut saluran logik akal.


Penerimaan akal rakyat banyak bergantung pada pendidikan yang diperolehi oleh mereka. Rakyat di sekitar tahun 1990-2002 dan seterusnya lebih pintar dan cekap dalam segala hal kerana didedahkan dengan ICT. Berita dan maklumat seluruh jagat raya cuma dihujung jari dapat diperolehi walaupun di mana-mana seseorang berada.


Menerusi Email mereka boleh memberi pendapat dan berhujah mengutuskannya seluruh pelusuk dunia dengan menekan kekunci komputer. Justeru, apakah maklumat dan segala-galanya perlu sekatan yang mana boleh mengalir terus melalui internet? Kebebasan akhbar sebenarnya sudah menyeluruh tetapi bukan bentuk percetakan tapi dalam bentuk maya (cyber). akhbar maya ataupun vitual newspaper ataupun sudah meluas penyebarannya tanpa dapat dibendung.


Pengguna boleh melayari pelbagai laman web akhbar tempatan dan antarabangsa tanpa halangan dan gangguan. Sama ada berita tersebut sahih dan tepat bergantung pada kredibiliti penerimanya mengikut kefahaman dan pendidikan mereka. Pendidikan yang mencukupi menyebabkan seseorang lebih dewasa memahami segala-galanya walaupun dalam usia masih mentah. Namun, segalanya adalah untuk memperolehi maklumat tanpa batasan dan halangan. Maklumat penyebaran melalui internet yang secara totalnya tanpa tapisan sehingga laman web negatif mudah dilayari.



Peranan Wartawan


Wartawan adalah seorang insan yang bergelumang dengan pelbagai masalah tidak sebagaimana insan lain. Profesion mencabar yang dipikul boleh memaksa mereka terperap dalam penjara ataupun didakwa kerana pelbagai kesilapan dan kecuaian yang tidak sengaja ataupun sebaliknya. Namun, mereka adalah insan menagih berita daripada sumber-sumber yang dipercayai untuk mengelakkan diri mereka terperangkap oleh halangan undang-undang. Dua kategori wartawan yang menjadi insan istimewa tersebut ialah satu wartawan arus perdana dan wartawan media alternatif.


Wartawan arus perdana terdiri daripada mereka yang berkerja dengan akhbar milik atau pantauan kerajaan, manakala wartawan media alternatif adalah seperti malaysiakini.com, di barat seperti American Journalism Review, Newslink dan lain-lain. Kedua-dua wartawan ini mempunyai agenda yang berlainan tetapi peranan untuk rakyat dan pembaca tetap ada. Mereka menyampaikan berita maklumat dan rencana untuk tatap serba hari kepada masyarakat pembaca. Wartawan arus perdana lebih memihak kepada kerajaan yang mendukong pentadbiran negara, manakala wartawan media alternatif lebih pro pembangkang. Wartawan arus perdana kurang terdedah dengan undang-undang, manakala wartawan media alternatif terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan yang barangkali boleh memerapkan diri mereka dalam penjara.



Alasan kebebasan akhbar



Alasan logik akal kebebasan akhbar perlu di tanahair ini adalah memberi peluang rakyat mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku di belakang tabir pemerintahan kerajaan. Pemerintahan kerajaan adalah atas usaha rakyat yang memilih pemimpin melalui pilihan raya. Dalam pilihan raya menentukan corak pemimpinan sesebuah kerajaan. Sesebuah kerajaan yang stabil pemerintahannya memiliki organisasi persuratkhabaran yang bebas sifat penyiarannya. Sehubungan dengan itu, Dennis dan Merrill, mengatakan:


Freedom of the press is said to ensure satisfaction of society’s need for a maximum flow of information and opinion and the individual’s right to self-fulfillment. Freedom of the press is also a promoter and protector of rights.[3][2]


Kebebasan akhbar bertujuan memberi manfaat kepada rakyat sebagai wadah penyaluran maklumat. Rakyat pula memerlu dan menginginkan maklumat tepat yang mana tidak menyongsangkan pemikiran mereka dengan maklumat dan propaganda yang diada-adakan untuk kepentingan politik. Rakyat memerlukan penerangan yang memihak kepada kepentingan mereka. Akhbar perlu melapor dan mengenengahkan permasalahan dan pemikiran rakyat untuk mendapat pembelaan kerajaan dan badan-badan NGO. Sekatan terhadap media massa, sebagai memperlihatkan pentadbiran kerajaan tidak telus dan seolah-olah penyembunyikan sesuatu ke pengetahuan rakyat.


Menurut Pesuruhjaya Suhakam Datuk Prof. Hamdan Adnan, sekatan terhadap media sebenarnya merugikan negara sendiri kerana rakyat tidak mendapat maklumat yang sepatutnya dan ini boleh menyebabkan negara menghadapi kurang daya ketahanan dalam menghadapi arus globalisasi. Buat masa ini ada kira-kira 50 undang-undang yang membataskan komunikasi dan media.


[4][2] Everette E. Dennis & John C. Merrill, 1996. Media Debates: Issues In Mass Communication, Longman Publishers, USA.(m.s. 6).


Lebih menyedihkan ialah adanya undang-undang yang memberikan kuasa kepada menteri untuk mentup akhbar tanpa sebarang alasan serta tidak perlu ke mahkamah.[5][3] Pada 3 Mei 1993 diisytiharkan sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Perhimpunan Agung PBB pada 1993 setelah dicadangkan oleh PBB bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (Unesco) melalui resolusi berkaitan dengan “Penggalakan Kebebasan Akhbar di Dunia”.

Berikut adalah resolusi perhimpunan Agung PBB sebagai[6][4];

a). menggalakan dan membina usaha bagi menyokong kebebasan akhbar,

b). menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia.

c). mengingatkan kerajaan masing-masing agar menunjukkan iltizam untuk menghormati kebebasan akhbar,

d). menyedarkan orang ramai betapa pentingnya akhbar itu bebas,

e). mengingatkan petugas-petugas media dan menggalakkan debat di kalangan mereka betapa pentingnya kebebasan akhbar dan etika kewartawanan,

f). mengenang jasa wartawan yang terkorban di seluruh dunia, dan

g).menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi mangsa tindakan-tindakan menghalang, atau usaha menghapuskan, kebebasan akhbar.


Apapun yang berlaku di negara luar tidak akan berlaku di negara ini. Akhbar tanahair masih dibelenggu dengan beberapa Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. Dengan hal yang demikian, badan bertindak penulis bagi kebebasan media (WAMI), Jawatankuasa Menentang Pengambilalihan Nanyang oleh MCA (CAT) dan Pusat untuk Kewartawanan Bebas (CIJ) telah menghantar tujuh muka surat memorandum sempena Hari Kebebasan Media Sedunia kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Antara maksud dalam memorandum tersebut iaitu pertubuhan wartawan itu turut membantah keengganan kementerian penerangan untuk memberi kad akreditasi kepada wartawan yang bekerja dengan media Internet kerana menganggap mereka bukan sebahagian daripada media tradisional. Ekoran itu, wartawan daripada golongan media alternatif beranggap mereka telah diberi layanan yang tidak sepatutnya sehingga dipandang hina oleh masyarakat wartawan arus perdana dalam hubung sosial mereka.


Kesimpulan

Kebebasan akhbar di sesebuah negara bukanlah hak mutlak. Kadangkala kebebasan yang dimaksudkan hanya untuk kebaikan masyarakat (rakyat) dan negara. Sesebuah negara yang berbilang kaum sebagaimana di Malaysia menginginkan kesejahteraan dan keharmonian dari segi perpaduan dan politik. Perpaduan di antara kaum tidak akan tercapai bilamana akhbar boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan pelbagai isu dengan kebebasan mutlak. Kebebasan mutlak yang diberikan oleh kerajaan barangkali boleh mengugat ataupun menjerut leher kerajaan sendiri. Tidak ada sesebuah negara di dunia ini yang mengamalkan kebebasan akhbar secara mutlak. Dari segi istilah yang dilaung-laungkan kebebasan akhbar namun segi praktisnya tidak mungkin berlaku.


Jika kebebasan akhbar berlaku di negara ini sudah tentu pelbagai isu dikemukakan di dada akhbar tanpa kawalan. Misalnya yang menjadi teras politik ialah isu perkauman, isu agama dan isu sosial boleh diperdebat dan dibangkitkan di dada akhbar tanpa sekatan. Hal ini sudah tentu boleh memperakperandakan jentera kerajaan yakni mengucahkacihkan pemikiran rakyat.


Di zaman parti perikatan memerintah negara ini di bawah pucuk pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sekatan akhbar tetap berlaku. Kerajaan di zaman itu amat perihatin mengenai kesejahteraan rakyat. Kebebasan akhbar bukan memberi satu kebaikan ketika itu tetapi menambahkan beban politik yang bakal dihadapi oleh pemimpin.


Parti pembangkang dengan sewenang-wenangnya membuat tuduhan dan pelbagai lagi dengan media milik mereka. Sedangkan sekatan yang ada masakinipun masih berlaku fitnah dan keceluparan yang sangat memalukan di sesuatu pihak. Pihak pembangkang akan memainkan peranan menghentam pentadbiran kerajaan yang nampak jelik di mata mereka. Kebiasaannya mereka mudah nampak kelemahan tetapi kebaikan diselindungi untuk membantu mereka dapat sokongan rakyat. Daripada kekalahan pilihan raya yang menimpa parti pembangkang sudah menunjukkan rakyat tidak menyokong mereka.


Rakyat Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang sudah memahami analogi politik dan percaturannya mengikut tahap pendidikan mereka. Tidak ada lagi rakyat Malaysia yang buta ilmu dan buta huruf. Disebab oleh itulah Perdana Menteri merealisasikan korridor raya multimedia untuk kesejahteraan rakyat mengikut lunas-lunas undang-undang yang dibenarkan. Namun, dalam segala hal, kerajaan perlu memantau segenap aktiviti penyiaran media sebagai melindungi kepentingan politik kerajaan. Sesiapa juga bakal menjadi pucuk pimpinan negara, pasti mengadakan sekatan akhbar dan tidak ada kebebasan multak diberikan. Akhbar media alternatif masih diberi ruang dan melepaskan perasaan dan emosi mereka dalam internet. Adakah ini kerajaan menidakkan kebebasan bersuara untuk mereka?


Kebaikan kebebasan akhbar hanyalah bersifat sementara tetapi akan memberi implikasi buruk kepada rakyat semua khasnya masyarakat Melayu dan bumiputra. Mereka ini akan menjadi mangsa penyalahgunaan ruang akhbar dan sebagainya. Parti pembangkang boleh sewenang-wenangnya memainkan pelbagai isu untuk menyemarakkan semangat perkauman dan anti-agama dan sebagainya. Itu sebab George Soros melalui Open Society Institute (OSI) menaja Malaysiakini.com melalui the Bangkok-based Southeast Asia Press Alliance (SEAPA) dengan tujuan untuk memprakperandakan jentera kerajaan Malaysia. Begitu juga majalah Far Eastern Economic Review (FEER) banyak memperburukkan pentadbiran Mahahir daripada menyokong. Adakah ini memberi kebaikan kebebasan akhbar?


Di awal Januari 2000, dengan penangkapan Karpal Singh, Mohamed Ezam Mohamed Nor, Zullkifli Sulong dan Chia Lim Thye adalah sebagai ikhtiar kerajaan membendung masalah politik yang mengancam keselamatan negara. Mereka boleh menaikkan semangat bencikan pentadbiran kerajaan dengan adanya kebebasan akhbar. Namun, rakyat yang peka seharusnya memahami kesukaran mentadbirkan Malaysia sehingga ada putrajaya, KLCC, Monorel, LRT dan banyak lagi. Kesemuanya sebelum kewujudannya telah mendapat kritikan membuta tuli daripada parti pembangkang. Sesungguhnya, kebaikan kebebasan akhbar cuma untuk seketika sahaja yang selainnya pelbagai kaum di Malaysia ini akan berkecekaran sesama sendiri sebagaimana Mei 13, 1969 dahulu.

*Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dewan Budaya (Oktober, 2003), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.*

RUJUKAN


1. Everette E. Dennis & John C. Merrill, 1996. Media Debates: Issues In Mass Communication, Longman Publishers, USA.
2. Robert E. Park, 1995. (Terj) “Peranan Berita”, dalam Everette E. Dennis dan rakan-rakan, Isu-Isu Komunikasi Massa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
3. Haq, Mahbul ul. 1995. Reflections on human development. Oxford: Oxford University Press.
4. Mahathir Mohamad. 1996. Globalization – What it means to small nations. Syarahan Perdana Prime Minesters of Malaysia Fellowship Exchange Programme yang disampaikan oleh Perdana Menteri Dr. Mahathier Mohamad di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 24 Julai.
5. Malaysia. 1999. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad
6. A. Samad Ismail, 1989. Kebebasan Akhbar: Di mana Kita?, Siri Syarahan Umum Bil. 5, Universiti Sains Malaysia.
7. Norani Othman. 1999. Grounding human rights arguments in non-western culture: shari’a and the citizenship rights of women in a Modern Islamic state. Dlm. The East Asian challenge for human rights, disunting oleh Joanne R. Bauer & Daniel A. Bell. Cambridge: Cambrige Universitu Press.
8. Poynter Institut, “New Media Timeline – 1995, “Poynter Online. http://www.poynter.org/research/nm/timeline/nt95.htm
9. Angus Reid, “Canadians and the News Media, “January 1998.
http://www.angusreid.com/pressrel/pr120398.htm
10. J.D. Lasica, “A New Concept of News, from “Net Gain” series in AJR News
http://ajr.newslink.org/ajrjd14.html

[11][3] http://www.malaysiakini.com/news/8/19/2002

[12][4] http://detik.daily.tripod.com/julaia/27julai_13.htm