Pages

Friday, October 10, 2008

Karya Diciplak

Oleh : Nisah Haji Haron (www.nisah.cjb.net)

Soalan: Apakah tindakan yang patut dilakukan sekiranya sebuah karya penulis diciplak oleh orang lain.

Isu penciplakan ini boleh dilihat dalam dua keadaan: sama ada penulis asalnya mahu menyelesaikan secara senyap-senyap ataupun menghebahkan perkara ini.
Apakah makna karya yang telah diciplak ini? Ia mempunyai beberapa maksud. Antaranya, karya tersebut telah diterbitkan tanpa izin penulis. Ataupun karya tersebut telah dihantar oleh penulis asal tetapi apabila diterbitkan, nama penulis lain yang dikembarkan dengan judul karya.

Hal ini membolehkan penulis asal hilang reputasinya sebagai penulis. Namun, penulis haruslah tidak terburu-buru dalam tindakan. Sekiranya karya yang dimaksudkan itu sebuah cerpen yang tersiar dalam majalah bulanan, misalnya, penulis asal boleh menyemak hal tersebut dengan editor. Sewajarnya editor akan menjelaskan keadaan tersebut.

Sekiranya masalah tersebut merupakan masalah teknikal, iaitu kesilapan menaip ataupun terlepas pandang sewaktu proses membaca pruf, hal tersebut boleh diselesaikan dengan mudah. Biasanya editor akan memohon maaf dan akan menyediakan ruangan "ralat" dalam edisi yang seterusnya.

Ini pernah berlaku dalam majalah Dewan Siswa sekitar akhir 90-an. Ketika itu penulis Zaid Akhtar sedang menempa nama dunia penulisan. Walau bagaimanapun, ketika cerpen beliau berjudul "Juara Yang Tewas" tersiar, majalah tersebut telah meletakkan nama penulis lain. Sebagai penulis dan mana-mana penulis sekalipun akan berasa amat kecewa. Namun setelah kesilapan tersebut disedari, pihak editorial membetulkan keadaan dengan menyiarkan ruangan ‘ralat’ dan memaklumkan hal yang sebenarnya.

Namun, ada hal yang lebih besar daripada kesilapan menaip, membaca pruf dan sebagainya. Tidak dinafikan terdapat juga penulis yang berani mengambil jalan pintas. Ada yang tidak terfikir bahawa para editor juga banyak membaca karya lain daripada majalah yang berbeza-beza. Jadi, penulis yang tidak bertanggungjawab ini menyalin bulat-bulat ataupun menyalin sebahagian besar daripada karya orang lain yang telah diterbitkan lalu dikirimkan kepada editor.

Sekiranya editor terlebih dahulu menyedari hal tersebut, tentu sekali editor tidak akan menyiarkan karya yang telah diciplak itu. Selepas daripada itu, editor akan mengambil ingatan bahawa karya penulis ini, biarpun karya aslinya, tidak akan disiarkan selama tempoh tertentu bergantung kepada polisi sesuatu majalah. Tindakan sebegini tentu sekali akan merugikan penulis tersebut.

Namun, jika editor terlepas pandang pada mana-mana karya ciplakan lalu menyiarkannya, penulis asal haruslah memaklumkan hal tersebut kepada editor. Oleh sebab tuduhan ini amat berat kerana tindakan penulis ciplakan itu telah melanggar peruntukan dalam Akta Hak Cipta 1987, penulis asal hendaklah membuktikan perkara ini kepada editor tersebut terlebih dahulu.

Penulis asal boleh membuktikan dengan beberapa cara. Sekiranya karya penulis asal itu telah diterbitkan dalam media lain, itu sebagai satu bukti kukuh. Majukan sahaja maklumat tersebut kepada editor sama ada dengan membawa yang asal (dengan datang sendiri bertemu editor) ataupun salinannya (boleh berurusan secara pos).

Jika karya asal masih dalam bentuk manuskrip iaitu ia masih belum diterbitkan tetapi telah diceduk oleh orang lain, pembuktian masih boleh dibuat dengan menunjukkan manuskrip asal ataupun proses-proses kreatif yang dicetak seperti draf awal manuskrip, proses pengeditan sendiri dan perkara-perkara yang berkaitan.

Akhir sekali, jika tiada tindakan yang diambil oleh pihak editor atau penerbitan dan sebagai langkah keselamatan, penulis asal hendaklah membuat laporan polis dengan menyatakan tujuan laporan, dan kronologi bagaimana karya tersebut dihasilkan sehinggalah karya tersebut diciplak oleh penulis lain ataupun pihak penerbitan yang tidak bertanggungjawab.

Dengan adanya laporan polis, ini akan memudahkan proses seterusnya sekiranya penulis asal ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis ciplakan tersebut ataupun pihak penerbit.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih dengan keprihatinan anda. Anda dialu-alukan meninggalkan komen dan pesan untuk setiap isu yang dipapar. Setiap komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab anda sebagai pembaca, tidak menggambarkan pandangan peribadi atau pemikiran MaharamDotCom. Sila pastikan anda memenuhi susila masyarakat Timur yang mengutamakan adab sopan. Sebarang komen yang jelas bertujuan menghina, menghasut, menimbulkan suasana tidak aman dan benci sesama manusia tidak akan disiarkan. Sebarang komen yang "tidak bernama" tidak akan dilayan biar berapa bagus pendapat dan cadangan anda. Sila ada rasa tanggungjawab dengan tulisan sendiri. Harap maklum.