Pages

Wednesday, October 15, 2008

Penulis Vs Pengarah



Berita harian, Khamis 11 September 2008
Epilog: Kenapa produser filem, novelis sukar bekerjasama
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my


SAYA tertarik mengikuti rancangan Helo Malaysia menerusi saluran Bernama TV baru-baru ini yang membincangkan topik berkaitan mengadaptasikan karya sastera Melayu seperti novel dan cerpen atau buku biografi atau apa saja bahan bacaan tempatan ke layar perak atau skrin visual seperti dokumentari dan drama TV. Dua ahli panel yang bercakap isu itu ialah aktivis teater dan drama, Fauziah Nawi dan pengkritik filem, A Wahab Hamzah. Antara perkara disentuh mereka termasuklah perlunya kerajaan menyediakan geran untuk tujuan ini dan pada masa sama sudah tiba masanya golongan sasterawan atau penulis dunia sastera bergabung tenaga secara profesional dengan karyawan filem untuk membantu industri filem yang kini terus berdepan masalah mendapatkan skrip bermutu.


Sebenarnya, isu ini bukan baru dan sering menjadi bahan perbincangan sesuatu seminar perfileman atau kesusasteraan. Isu kenapa orang filem kita ramai tidak minat pindah novel ke filem bukan disebabkan mereka terlalu ego sebaliknya alasan yang selalu diberikan ialah kerumitan dari segi prosedur, pegangan hak cipta dan faktor kewangan. Jika ditinjau dalam sejarah perfileman Melayu, memang ada beberapa judul filem cereka sudah diadaptasi daripada novel. Begitu juga drama TV, ada beberapa judul novel dan cerpen juga pernah diadaptasikan dalam bentuk visual.




Di Malaysia, setakat ini novel yang diangkat sebagai filem cereka ialah Langit Petang karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menerusi arahan Shahrom Mohd Dom; Ranjau Sepanjang Jalan Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad arahan Datuk Jamil Sulong. Novel popular seperti Mira Edora karya Khadijah Hashim juga pernah diadaptasi menjadi filem oleh Zulkeflie M Osman manakala Juara karya Prof Dr S Othman Kelantan pula diangkat menjadi Jogho menerusi U-Wei Saari. Insiden ada sasterawan tidak puas hati terhadap karya mereka yang dianggap ‘dirosakkan’ selepas proses adaptasi dibuat, mungkin menyebabkan orang filem sentiasa ragu-ragu dan takut atau serik untuk mengambil novel bermutu dijadikan skrip filem. Namun, ini tidak boleh dijadikan alasan.


Warga filem sewajarnya berani untuk terus memperbanyakkan filem berdasarkan karya sastera dan perlu ada persefahaman baik dan sikap toleransi antara kedua-dua pihak sebelum kerja produksi berjalan. Memang sukar untuk pindahkan cerita dalam tulisan ke layar perak seperti novel. Contohnya untuk babak yang tidak ada dialog dan sekadar satu watak utama yang sedang berfikir sesuatu dalam biliknya memang menarik jika dibaca dalam bentuk teks dan rumit untuk dipindahkan ke skrin bagi menggambarkan pemikiran watak itu. Jadi perlu ada ubah suai mengikut ciri tertentu supaya maksud babak dan naratifnya tidak terjejas. Dari sinilah juga persefahaman di pihak penulis novel itu harus ada untuk bertolak ansur dengan penerbit dan pengarah filem.


Apapun masalah dihadapi, perlu ada gabungan baik antara golongan sasterawan dengan penggiat filem kerana industri filem di negara ini memerlukan input daripada orang sastera untuk membantu menyediakan bahan skrip bermutu dan menarik untuk mengisi industri filem Melayu. Ini penting kerana banyak novel bermutu tinggi sama ada novel klasik mahupun novel era moden dalam pendekatan popular cukup sesuai untuk dijadikan filem. Dalam dunia sastera, kita ada ramai pemikir yang hebat dan pemikiran mereka diterjemahkan dalam karya seperti novel mahupun cerpen. Namun, sayang, novel mereka itu selalunya tidak begitu meluas dari segi pasaran atau terhad kepada segelintir masyarakat yang suka membaca novel saja (budaya membaca belum utuh di kalangan rakyat Malaysia) sedangkan karya itu seharusnya boleh dikongsi dengan lebih meluas untuk rakyat negara ini. Sebab itu industri filem kita sering menghadapi konflik skrip tidak bermutu dan bahan cerita yang dipaparkan tidak mempunyai kekuatan pemikiran dan spiritual. Sudah tiba masanya juga penggiat filem terutama produser dan pengarah filem mencari bahan menarik dan bermutu untuk dijadikan kerja produksi mereka, manakala proses mendapatkan hak cipta tayangan atau sebagainya boleh dirundingkan dengan secara berhemah dan situasi menang-menang.

Produser juga tentunya mahu melihat sesuatu karya itu ada elemen komersial, yakni ada potensi untuk mendapat kutipan baik di pawagam, maka mungkin sesebuah novel itu perlu dibuat ubah suai mengikut struktur dan pola ceritanya tanpa menghilangkan maksud naratifnya. Konflik di sinilah selalunya yang menjadi ‘perbalahan’ antara novelis dengan pengarah. Seelok-eloknya ada jalan terbaik untuk sama-sama berpuas hati sebelum kata putus dibuat supaya hasil karya novel itu akan dilihat juga menarik sesudah dipindahkan ke layar perak. Semua novel di luar negara yang pernah diadaptasi menjadi filem juga tidak mengikut bulat-bulat apa yang dipaparkan dalam sesebuah novel itu, sebaliknya karyawan di sana dan penulis novel cukup faham mengenai perbezaan bentuk seni antara kedua-duanya meskipun ia tetap masih dalam medium seni berdasarkan idea dan pemikiran. Yang penting mereka ada toleransi dan saling menghormati tugas dan peranan masing-masing. Seperti di Hollywood, filem yang diadaptasi dari novel seperti Bourne Ultimatum, Lord of the Ring, De Vinci Code, Harry Potter dan The Chronicles of Narnia tidak mengikut 100 peratus seperti novel sebaliknya kesesuaian itu harus ada mengikut kesesuaian dramatik visual dan kemampuan pelakon beraksi mengikut situasi.



Ramai penonton akui, versi filem ternyata lebih menarik berbanding apa dibacakan menerusi novel. Akhbar ini pada 4 Jun lalu turut melaporkan saranan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang meminta novelis tempatan dan pengeluar filem atau drama disaran bekerjasama menghasilkan filem dan drama yang diadaptasi daripada karya buku penulis berkenaan bagi meluaskan lagi penyebaran budaya tempatan dan nilai sejagat yang positif khususnya pada peringkat global. Kenyataan menteri itu ada benarnya juga kerana menerusi usaha membawa kandungan novel ke layar perak, ia sekali gus pemilihan karya buku yang hendak dijadikan filem menepati kriteria seperti isi kandungan bermutu termasuk olahan cerita menarik dan menonjolkan nilai murni, jati diri serta budaya tempatan, selain penulis dan pengeluar filem perlu kreatif ketika proses menghasilkan filem dengan mengambil kira olahan skrip terbaik, penggambaran di tempat menarik dan penggunaan teknik penggambaran serta teknologi moden.


Sesuai dengan saranan Mohd Shafie itu, rasanya kementerian beliau juga harus berani memulakan usaha menggerakkan kerja adaptasi novel bermutu menerusi karya sasterawan hebat kita untuk dipindahkan ke layar perak. Jadi, kementerian wajarlah sediakan geran awal yang boleh menggerakkan usaha ini, sesuai saranan Mohd Shafie sendiri. Kata orang, jangan biarkan hidup ibarat pohon kayu tidak berbuah...

No comments:

Post a Comment

Terima kasih dengan keprihatinan anda. Anda dialu-alukan meninggalkan komen dan pesan untuk setiap isu yang dipapar. Setiap komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab anda sebagai pembaca, tidak menggambarkan pandangan peribadi atau pemikiran MaharamDotCom. Sila pastikan anda memenuhi susila masyarakat Timur yang mengutamakan adab sopan. Sebarang komen yang jelas bertujuan menghina, menghasut, menimbulkan suasana tidak aman dan benci sesama manusia tidak akan disiarkan. Sebarang komen yang "tidak bernama" tidak akan dilayan biar berapa bagus pendapat dan cadangan anda. Sila ada rasa tanggungjawab dengan tulisan sendiri. Harap maklum.