KUALA LUMPUR 5 Nov. - Institut Akhbar Malaysia (MPI) akan memperkenalkan satu lagi kategori iaitu Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail selain 13 kategori lain sempena penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2008.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPI, Datuk Azman Ujang berkata, kategori baru itu diperkenalkan sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan Tokoh Wartawan Negara itu dalam bidang kewartawanan sejak zaman mudanya.
''Kategori ini terbuka kepada semua wartawan berumur 30 tahun ke bawah dengan hadiah yang ditawarkan bernilai RM11,000. Pertubuhan berita berkenaan boleh mencalonkan mana- mana wartawan muda yang dirasakan mempunyai potensi untuk menjadi wartawan besar negara pada masa akan datang,'' katanya pada sidang akhbar Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya dan Ahli Majlis Pentadbir MPI, Maimunah Abd. Rashid.
Menurut Azman, 13 kategori lain yang dipertandingkan ialah Hadiah Kajai, Kewartawanan Sukan, Foto Media Terbaik, Foto Esei Terbaik, Penulis Majalah Terbaik, Rencana TV Terbaik, Laporan Ekonomi/Kewangan, Kewartawanan TV Terbaik dan Kewartawanan Hiburan.
Selain itu, katanya, kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas, Anugerah Khas Juri serta Tokoh Wartawan Negara turut dipertandingkan.
''Bermula tahun 1994 hingga kini, Petronas telah menjadi penaja utama penganjuran hadiah ini dan seperti sebelumnya, hadiah lumayan bernilai RM200,000 menanti para pemenang bagi semua kategori yang dipertandingkan," katanya.
Azman berkata, pembaharuan juga turut dibuat apabila para pemenang tidak lagi dipilih mengikut kompartmen bahasa, sebaliknya setiap penyertaan akan diadili secara sama rata untuk mencari seorang pemenang bagi setiap kategori.
''Perubahan ini dibuat untuk meningkatkan lagi mutu kewartawanan negara dengan penyertaan setiap satu kategori bagi semua bahasa, maka persaingan bergelar pemenang dijangka lebih sengit,'' katanya.
Beliau berkata, penyertaan kini dibuka sehingga 15 Januari 2009 dan dengan setiap penyertaan hendaklah meliputi karya- karya kewartawanan yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, penyertaan hanya terbuka kepada semua organisasi media cetak, elektronik dan secara Online yang berdaftar sebagai sebuah entiti perniagaan di bawah Akta Syarikat sahaja.
Dalam pada itu, Azman memberitahu, majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada awal April depan dan ia dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih dengan keprihatinan anda. Anda dialu-alukan meninggalkan komen dan pesan untuk setiap isu yang dipapar. Setiap komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab anda sebagai pembaca, tidak menggambarkan pandangan peribadi atau pemikiran MaharamDotCom. Sila pastikan anda memenuhi susila masyarakat Timur yang mengutamakan adab sopan. Sebarang komen yang jelas bertujuan menghina, menghasut, menimbulkan suasana tidak aman dan benci sesama manusia tidak akan disiarkan. Sebarang komen yang "tidak bernama" tidak akan dilayan biar berapa bagus pendapat dan cadangan anda. Sila ada rasa tanggungjawab dengan tulisan sendiri. Harap maklum.