Pages

Friday, January 30, 2009

Bahasa SMS

Artikal ini diperolihi sumbernya di harian Metro bertarikh 30 Januari 2009 yang boleh dilayari di http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/itMetro/20090128091423/Article/indexv_html
Singkatan cemar bahasa?
Oleh Afiq Hanif

MASALAH bahasa ringkas dalam dunia digital seperti 'mn ko nk pegi?' atau ayat sebenarnya 'ke mana kau mahu pergi?' bukanlah isu baru namun ia belum mendapat perhatian ramai.

MASALAH bahasa ringkas dalam dunia digital seperti 'mn ko nk pegi?' atau ayat sebenarnya 'ke mana kau mahu pergi?' bukanlah isu baru namun ia belum mendapat perhatian ramai.Kalau dulu ringkasan melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) mungkin disebabkan had teks sebanyak 150 perkataan yang ditawarkan dalam telefon bimbit menjadi penghalang, namun apa pula alasannya jika bersembang atau chatting di ruang siber kerana jumlah teks tidak pula dihadkan?

Tentunya, bahasa ringkas membawa implikasi besar dalam kehidupan manusia kerana ia membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati diri setiap bangsa diwakili.Pakar bahasa dan motivasi, Dr Rubiah K Hamzah, berkata bahasa singkatan menjadi amalan harian memandangkan ia sentiasa didengar, dilihat dan dipertontonkan terutama dalam teknologi semasa."Amalan seharian yang diguna pakai ini menjadi ikutan remaja diperturunkan daripada ibu bapa sehingga mereka mengadaptasikan sebagai bahasa ringkas dalam perbualan siber," katanya.
Menurut beliau, remaja akan sentiasa peka menggunakan setiap perkara yang didengar, ditonton dan dilihat setiap hari termasuk penggunaan bahasa ketika mereka menggunakan teknologi seperti ruang sembang siber, SMS dan blog."Ledakan teknologi menyebabkan bahasa turut masuk dalam arus perkembangannya memandangkan ia bentuk komunikasi digunakan seharian."Secara tidak langsung ia mempengaruhi komunikasi secara online apabila pengguna mahu menggunakan bahasa ringkas atau rojak untuk berhubung antara satu sama lain," katanya.
Katanya, penggunaan bahasa ringkas dan rojak secara berleluasa tanpa sekatan mengakibatkan remaja malas untuk mempelajari bahasa sebenar secara menyeluruh."Bahasa ringkas dan rojak digunakan lebih meluas berbanding bahasa sebenar kerana penerimaannya lebih selari dengan aliran kini sehinggakan remaja kurang berminat untuk berkomunikasi melalui bahasa terutama bahasa Melayu yang memiliki tatabahasa dan frasa lebih tersusun," kata Rubiah.
Beliau berkata, penggunaan ayat dalam ruang sembang siber seperti Yahoo Messenger, GoogleTalk dan MSN Messenger mengurangkan pengayaan bahasa dalam jiwa remaja."Boleh dikatakan teknologi memperkenalkan bahasa yang kurang tersusun dari segi tatabahasa, frasa dan banyak aspek lain memandangkan ia tidak diambil berat dalam bidang terbabit," kata Rubiah.
Menurutnya, jika keadaan itu berterusan, masyarakat akan membenarkan bahasa terutama bahasa Melayu rosak memandangkan keindahan ayat terkandung di dalamnya bakal terhakis."Sebaik fenomena terbabit menular tanpa kawalan di kalangan remaja, mereka beranggapan tutur bahasa yang baik dipandang enteng kerana penggunaan bahasa ringkas lebih diutamakan dalam perbualan online," katanya.
Rubiah berkata, amat sukar untuk mendidik remaja menggunakan bahasa dengan tepat dalam perbualan harian serta mengelak untuk mempelajari lenggok keindahan bahasa apabila beranggapan penggunaannya tidak perlu serius."Tentunya ramai menyuarakan pandangan, apa perlunya bahasa yang dipelajari secara tersusun jika bahasa ringkas lebih mudah dan kerap digunakan seharian," katanya.Beliau berpendapat, generasi yang terhasil daripada pembangunan teknologi tidak seimbang boleh mengundang keanehan kaedah komunikasi lebih kasar berasaskan bahasa kurang sopan."
Malah, kedudukan bahasa itu sendiri akan tergugat mengakibatkan keindahannya terhakis dek campur aduk istilah sehingga mengganggu strukturnya sendiri yang secara tidak langsung memupuskan ketamadunan bangsa," kata Rubiah.Tambahnya, aspek jangka panjang akibat masalah bahasa ringkas di ruang sembang siber dan SMS boleh mengakibatkan generasi baru tidak lagi terliur untuk mempertahankan bahasa sebenar mereka memandangkan bahasa ringkas lebih sebati dalam jiwa."Inilah virus lebih teruk daripada serangan virus yang menular ke sistem komputer apabila 'virus jiwa' dibawa teknologi itu sendiri tidak disedari manusia secara terang-terangan walaupun kita bukanlah mahu menidakkan perkembangannya," katanya.
Menurutnya, manusia kerap berbicara mengenai tahap pemikiran tertinggi, tetapi terlupa memperkatakan tahap bahasa yang semakin rendah akibat perkembangan arus teknologi."Hilang bahasa bermakna terhapuslah jati diri manusia itu sendiri seterusnya menghilangkan martabat yang sepatutnya dipertahankan."Kita tidak dapat mengelak daripada ledakan teknologi, tetapi jika tidak terkawal, ia menyebabkan orang ramai 'ditapaikan' dengan penggunaan bahasa kurang cantik sehingga adab sopan pun boleh terabai," katanya.
Beliau menasihatkan masyarakat agar tidak menciplak bahasa ringkas atau rojak sebagai bahasa rasmi melalui ruang teknologi yang ada ke dunia sebenar sehingga menjadikan bahasa sendiri parah diserang tanpa disedari."Semua pihak perlu memberi kerjasama dalam mempertahankan keindahan bahasa sendiri kerana ia adalah nadi bangsa seterusnya membina masyarakat berakhlak mulia di zaman letusan teknologi melanda dunia," katanya.
Masalah bahasa ringkas membabitkan seluruh bahasa dituturkan masyarakat sedunia, malah terdapat laporan di Dublin sedikit masa lalu yang mendapati SMS mengancam kemampuan pelajar sekolah menulis, menurut ahli akademik.Menurut Suruhanjaya Peperiksaan Dublin, kesalahan nahu dan tatabahasa pelajar kini di tahap membimbangkan."Kewujudan telefon bimbit dan peningkatan penggunaan SMS dalam komunikasi nampaknya memberi kesan kepada tahap penulisan pelajar," menurut laporan itu.
Dalam banyak keadaan, laporan berkenaan menyatakan, pelajar gemar menggunakan perkataan ringkas, ayat mudah dan perbendaharaan kata terhad.Sementara itu, pensyarah bahasa Inggeris Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Raishah Abd Hamid, berkata masalah bahasa ringkasan di arus teknologi membabitkan semua bahasa di dunia dan mampu mengundang masalah jangka panjang."Masyarakat gemar meringkaskan bahasa dengan menggunakan ayat tertentu, tetapi tidak menyedari ia dilakukan tanpa perbendaharaan tepat sehinggakan bahasa jadi tunggang terbalik," katanya.
Menurut Raishah, ejaan yang digunakan dalam Yahoo Messenger, GoogleTalk, MSN Messenger dan sebagainya mempengaruhi kosa kata digunakan ketika belajar dan mengarang esei."Saya sendiri berpengalaman memeriksa ayat ditulis pelajar mendapati ada antara mereka yang sudah biasa menggunakan bahasa ringkas melakukan perkara sama ketika belajar," katanya.Menurutnya, ia mengundang kesalahan ejaan yang ketara seperti penggunaan 'U' bagi menggantikan 'You' tanpa disedari akibat terlalu biasa dengan perbualan harian di ruang siber."
Tidak cukup dengan itu, pelajar yang mengaplikasikan bahasa teknologi malas untuk mengarang esei panjang apabila merasakan ia menyusahkan mereka," katanya.Raishah turut berpendapat tahap komunikasi masyarakat akan merudum kerana terlalu berhubung dengan mesin berbanding manusia.Pakar bahasa, Prof Dr Datuk Nik Safiah Karim pernah menceritakan keadaan di Amerika Syarikat satu ketika dulu apabila seorang guru mengeluh kerana tidak memahami perkara yang ditulis pelajarnya memandangkan bahasa digunakan tidak menyerupai bahasa Inggeris biasa.
Beliau berkata, budaya bahasa dalam teknologi mempengaruhi pengguna komputer dan telefon bimbit sehingga lahir satu generasi yang amat gemar perhubungan melalui cara ini kerana beranggapan ia lebih cepat, ringkas dan canggih. Nik Safiah melahirkan kerisauan apabila dari sudut bahasa itu sendiri, ia boleh mengakibatkan bahasa yang buruk, ejaan tidak betul serta sifat bahasa yang terlalu ringkas sehingga melanggar kemurnian dan keaslian bahasa.
Menurut Nik Safiah, pelajar perlu dipupuk supaya dapat membezakan antara bentuk rasmi dan bentuk tidak rasmi bagi mengelak timbulnya kerisauan mengenai kecacatan bahasa.Sebaliknya, terdapat kajian yang dilakukan pensyarah universiti tempatan suatu ketika dulu berpendapat bahasa ringkas melalui SMS mampu merevolusikan bahasa Melayu.Kajian Prof Madya Dr Supyan Husin daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika itu yang dibentangkan beberapa tahun lalu beranggapan, bahasa ringkas tidak boleh menggantikan bahasa Melayu rasmi, tetapi memungkinkan komunikasi jadi lebih pantas berdasarkan beberapa kategori bahasa.
Lima kategori singkatan yang boleh diterima pakai adalah singkatan lazim, singkatan gugur vokal atau konsonan, singkatan lazim kolokial, singkatan perwakilan bunyi dan singkatan kata ganda, sementara dua kategori lagi boleh mencemar bahasa.

8 comments:

  1. Saya dah baca huraian panjang Dr Supyan ttg bahasa SMS di blog dia. Mungkin ada orang nak tahu juga

    http://supyanhussin.wordpress.com

    ReplyDelete
  2. Terima kasih dengan makluman berkenaan. Saya baru sahaja berbincang dengan Dr. Supyan tentang hal ini. Di harap link ini memberi lebih banyak bahan bacaan yang bermanfaat untuk dikongsi bersama.

    ReplyDelete
  3. pihak berkuasa mana yg luluskan lesen sms yg limited to 160 characters ONLY, disinilah sebenarnya wabak short hand bermula...

    ReplyDelete
  4. Syukur alhamdulillah, sekarang aku bisa dapat referensi tentang pemakaian bahasa singkat yang akan menjadi topik menarik jika dibawa k forum resmi untuk diperbincangkan. terimakasih

    ReplyDelete
  5. hakikatnya bila bahasa runtuh,tamadun pun jatuh!!!

    ReplyDelete
  6. apa-apa pun maklumat ini sangat berguna bagi saya..terima kasih

    ReplyDelete
  7. maklumat yang amat berguna bagi saya

    ReplyDelete

Terima kasih dengan keprihatinan anda. Anda dialu-alukan meninggalkan komen dan pesan untuk setiap isu yang dipapar. Setiap komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab anda sebagai pembaca, tidak menggambarkan pandangan peribadi atau pemikiran MaharamDotCom. Sila pastikan anda memenuhi susila masyarakat Timur yang mengutamakan adab sopan. Sebarang komen yang jelas bertujuan menghina, menghasut, menimbulkan suasana tidak aman dan benci sesama manusia tidak akan disiarkan. Sebarang komen yang "tidak bernama" tidak akan dilayan biar berapa bagus pendapat dan cadangan anda. Sila ada rasa tanggungjawab dengan tulisan sendiri. Harap maklum.