Pages

Tuesday, May 12, 2009

Segugus Kyuho untuk Cikgu

Sempena Hari Guru pada hujung minggu ini, saya kepilkan sebuah cerpen tentang pengorbanan seorang guru. Kepada guru-guru saya, kepada guru-guru kita, kepada semua guru-guru di dunia...biar hanya sebaris ayat yang diajarkan. Terima kasih, cikgu!
ARKIB : 30/11/2008
Segugus kyuho untuk cikgu
Semuanya siap sedia!
Saujana mata memandang. Hijau dan menyegarkan. Pekerja-pekerja sibuk melakukan tugasan masing-masing dengan penuh tanggungjawab.

“Encik Mustaffa, apa lagi yang perlu dilakukan?” tanya Ranjita pembantu peribadi Mustaffa, tuan punya ladang yang akan dirasmikan pagi itu.
“Saya sedang memikirkan orang yang saya jemput untuk merasmikan ladang ini. Adakah dia akan datang?” kata Mustaffa sambil bercekak pinggang. Ada sedikit kerisauan dalam nada suaranya. Matanya tetap mengimbau saujana kehijauan ladang anggur, seluas 200 hektar miliknya itu.
“Saya rasa, kalau Encik Mustaffa jemput Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani pun beliau pasti datang. Ladang Encik ini luar biasa! Ini ladang anggur komersial yang pertama di negara ini,” kata Ranjita sungguh- sungguh memberikan cadangan. Gadis berketurunan India berkelulusan dalam bidang hortikultur di sebuah universiti tempatan itu memang senang bekerja di ladang Segar Manis milik Mustaffa.
“Tapi..., rasa-rasanya terlalu tinggi untuk menjemput Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ladang ini bukannya besar sangat. Lagipun waktunya sudah hampir benar,” jelas Mustaffa dengan panjang lebar. Matanya masih memandang kejauhan, kehijauan.
“Siapakah yang Encik jemput?” Ranjita ingin tahu. Walaupun tugasnya sebagai pembantu peribadi Mustaffa, kali ini dia sendiri tidak mengetahui keputusan majikannya. Mustaffa seolah-olah mahu berahsia pula. Soalan Ranjita tidak dijawabnya.

Wakil-wakil media cetak dan wartawan stesen-stesen televisyen tempatan mula mengerumuni Mustaffa untuk mencungkil rahsia kejayaan anak muda itu. Dalam mengagumi detik permulaan kejayaan itu, Mustaffa terbayang masa lalu yang menjadi sejarah hidupnya. Sejarah yang mencetuskan titik permulaan semua kejayaan itu?

Kenangannya mengimbau ke denai-denai waktu yang pernah dilaluinya. Dulu, ketika di sekolah, bidang pertanian bukanlah pilihannya. Benci amat dia jika disuruh berkebun, biarpun waktu itu dia terpaksa mengambil mata pelajaran Sains Pertanian.
“Mana Mustaffa?” Tanya Cikgu Tan kepada ahli-ahli kelas Tingkatan 3 Emas. Guru mata pelajaran Sains Pertanian itu tahu benar akan kerenah anak muridnya yang seorang itu. Setiap kali giliran Cikgu Tan masuk ke kelas, pasti dia akan bertanya tentang Mustaffa.
“Dia tak masuk kelas, Cikgu!” jawab salah seorang rakannya. Kali ini entah kali yang ke berapa Mustaffa tidak masuk ke kelas. Setiap kali itu juga Cikgu Tan tidak pernah jemu- jemu untuk mencari. Kadang-kadang dengan bantuan rakan-rakan sekelas Mustaffa mereka akan mencari ke tempat-tempat yang sering menjadi tumpuan remaja belasan tahun itu.

“Saya tak minat Sains Pertanian Cikgu..!!” ujar Mustaffa tanpa berselindung. Kalau dulu ada-ada sahaja alasan yang diberikan. Kini dia sudah jemu diburu oleh Cikgu Tan. Dia tidak mahu berselindung lagi.

“Saya tak suruh kamu minat! Saya mahu kamu belajar sahaja,” jawab Cikgu Tan, seolah-olah tidak ada lagi pujukan yang mahu diberikan kepada Mustaffa. Dia tahu Mustaffa datang dari keluarga yang berada. Bapanya seorang ahli perniagaan yang ternama di bandar itu. Dia sahaja anak lelaki dalam keluarga kaya Datuk Zaki. Tidak keterlaluan jika dikatakan Mustaffa bakal mewarisi kekayaan bapanya suatu hari nanti.

Sekali lagi Mustaffa tewas dengan pujukan gurunya. Dia kembali ke kelas dengan berat hati. Berhadapan dengan Cikgu Tan menjadikan hatinya mudah mengalah. Sikap guru mata pelajaran Sains Pertaniannya yang tidak berputus asa itu menjadikan dia tidak dapat mengelak lagi. Sekurang-kurangnya untuk kali ini.
Daripada gelagatnya, memang Mustaffa tidak berminat dengan mata pelajaran Sains Pertanian. Apatah lagi jika Cikgu Tan mengajak anak-anak muridnya turun ke ladang. Wajah Mustaffa akan berubah. Langkahnya ke ladang di hujung padang sekolah itu nampak janggal. Kertas tisu dibawa untuk mengelap kasutnya yang dipenuhi bunga rumput dan lumpur.

Sains Pertanian
“Sudahlah Mus! Kau duduk sajalah kat atas bangunan sana…!” sindir kawan-kawannya. Ternyata Mustaffa memang tidak selesa dengan kerja amali Sains Pertanian. Terjengket-jengket dia berjalan mengelak rerumputan yang berbunga, pohon semalu, dan bunga kemuncup yang mencucuk dan melekat di kaki seluarnya.

Selepas setiap kali sesi kerja amali tamat, Mustaffa akan mengambil banyak masa membersih kasut dari kesan tanah, mencabut kemuncup, dan mengelap bunga rumput yang melekat di kasut dan kaki seluar. Sambil merungut-rungut seorang diri dia mengibas- ngibas semua kekotoran yang sangat menjijikkannya itu.
“Benci betul aku dengan keadaan kotor macam ni…!” rungut Mustaffa seorang diri.
Cikgu Tan hanya memerhatikan gelagat anak muridnya yang seorang itu. Dia sudah faham benar dengan perangai Mustaffa. Dia tidak menyalahkan Mustaffa. Barangkali Mustaffa tidak pernah disuruh oleh bapanya untuk bekerja di ladang. Datuk Zaki seorang usahawan yang berjaya. Dia menceburi pelbagai sektor perniagaan. Dia memiliki syarikat pembinaan yang melaksanakan projek perumahan berjuta-juta ringgit nilainya. Dia juga mempunyai rangkaian perniagaan di peringkat multinasional

“Bagaimanakah Encik Mustaffa mula terlibat dengan penanaman anggur ini?” tanya wartawan sebuah stesen televisyen. Soalan itu mematikan terus lamunan Mustaffa. Kenangannya ketika belajar di sebuah sekolah menengah di kampung kelahirannya lenyap sekelip mata.

“Saya mahu menyahut seruan kerajaan. Slogan “Pertanian Adalah Perniagaan” sangat menarik minat saya. Golongan muda, siswazah kini perlu mengubah persepsi terhadap pertanian. Pertanian kini sumber pendapatan yang lumayan jika dijalankan secara sistematik dan berbantukan teknologi,” jawab Mustaffa dengan penuh keyakinan, walaupun sebetulnya Mustaffa menyembunyikan sumber kejayaannya yang sebenar.

“Adakah iklim dan tanah-tanih negara kita sesuai untuk penanaman anggur?” soalan demi soalan diajukan kepada Mustaffa. Wartawan yang berduyun-duyun itu berminat benar untuk mengetengahkan kejayaan

“Pada hakikatnya, faktor iklim dan tanah yang membolehkan anggur tumbuh seperti di Thailand. Di negara itu terdapat kira-kira 2,717.9 hektar ladang anggur. Kawasan Ratchaburi dan Samut Sakhon ada persamaan dengan iklim di negara kita. Jadi, sudah tentu tanah dan iklim di sini juga sesuai untuk tanaman anggur!” jawab Mustaffa penuh karisma.
“Bolehkah Encik Mustaffa ceritakan spesies-spesies anggur yang ditanam di ladang Segar Manis ini?” kini soalan wartawan menjurus ke arah jenis-jenis anggur yang ditanam.
“Buat masa ini saya menanam beberapa spesies yang sama seperti yang terdapat di Thailand. Antaranya White Malaga, Cardinal, Kyuho, Beauty Seedless, Chenin Blanc, Shiraz, Early Muscat, Carolina Black Rose, dan macam-macam lagi. Secara peribadi, saya amat menyukai spesies Kyuho. Rasanya manis sekali!!” jawab Mustaffa sambil mengingat nama-nama spesies anggur yang ditanam.

“Adakah klon Eropah ditanam di ladang ini?” wartawan terus menyogok Mustaffa soalan demi soalan.
“Tidak! Maksud saya belum dicuba. Saya tertarik dengan beberapa spesies Eropah. Misalnya Cardinal, iaitu kacukan Flame Tokay dengan Ribier, saiznya besar berwarna merah tua. Tidak ada biji. Yang lain saya sedang mengkaji kesesuaian spesies Italia Muscat, Perlette Seedless, Queen, Red Globe, Red Malaga, Thomson Seedless, dan macam-macam lagi,” Mustaffa menjawab dengan wajah selambanya.
“Dari Amerika?!”
“Saya juga berminat dengan spesies Amerika kerana anggur di sana terkenal dengan jolokan slipskin. Kulitnya mudah tanggal dari isinya. Misalnya jenis Concord sangat wangi baunya. Delaware pula agak kecil berwarna merah jambu dan lembut isinya. Saya juga akan mencuba spesies Niagara, Steuben, dan lain-lain,” jawapan Mustaffa membuktikan dia kini serius dalam usahanya mengusahakan ladang anggur.

“Encik Mustaffa menggunakan teknik semaian yang mana satu?” wartawan itu sudah bersedia dengan siri-siri soalan yang akan diajukan kepada Mustaffa.
“Bagi saya, teknik keratan adalah yang terbaik dan yang saya gunakan di ladang ini. Kaedah semaian teknik keratan lebih mudah, proses pembesaran yang cepat, menghasilkan buah yang berkualiti, sesuai dengan cuaca dan tidak memerlukan kos pengeluaran yang tinggi.” Mustaffa pula cukup bersedia dengan jawapan-jawapan konkrit bagi menjawab semua soalan.

“Boleh saya tahu berapa lama pokok anggur boleh hidup,” tanya wartawan itu lagi.
“Jangka hayat pokok yang menggunakan teknik keratan juga lebih panjang hingga boleh menjangkau 80 tahun.” Balas Mustaffa tanpa ragu-ragu. Dia nampaknya sudah mahir benar dengan selok-belok penanaman anggur. Jika tidak, dia pasti tidak yakin dengan jawapannya.
“Apakah faktor yang memungkinkan Encik Mustaffa berjaya dalam bidang ini?” soal wartawan itu lagi. Soalan itu terus mengembalikan kenangan lama Mustaffa sekali lagi. Setiap kali ditanya tentang kejayaan, keazaman, kesungguhan, kenangan zaman sekolah terus tertayang di layar mindanya. Zaman persekolahan yang indah membawa perubahan pada dirinya. Perubahan yang membentuk jati dirinya. Setiap kali itu juga watak yang sering hadir dalam adegan kenangan itu tetap orang yang sama. Orang itulah yang mengubah segala-galanya. Siapakah lagi kalau bukan Cikgu Tan Lian Tong, guru mata pelajaran Sains Pertaniannya semasa di sekolah dahulu. Kenangannya terhadap guru itu kini berbunga kembali.

“Saya tak minat berkebun, Cikgu!” Mustaffa mengaku punca masalahnya tidak menyukai mata pelajaran yang diajarkan oleh Cikgu Tan.

“Ini bukan soal minat, tak minat. Kamu murid saya. Sebagai guru saya bertanggungjawab mengajar mata pelajaran yang diamanahkan kepada saya. Saya perlu mengajar semua murid, seorang pun tidak terkecuali, termasuk kamu!” balas Cikgu Tan, lembut tetapi tegas.

“Cikgu nak suruh saya berkebun dewasa nanti. Cikgu nak suruh saya tanam kangkung, tanam jagung??” Mustaffa tetap bertahan dengan pendiriannya.

“Kalau kamu tak mahu tanam kangkung, tanam jagung, barangkali kamu boleh tanam anggur!!” jawab Cikgu Tan sambil tersenyum, separuh bergurau.
“Ahhh, mustahil!” jawab Mustaffa spontan.
“Mustaffa, dalam hidup ini, selagi kita ada kemahuan, ada keyakinan, tidak ada sesuatu pun yang mustahil,” Cikgu Tan menyuntik semangat kepada anak muridnya yang pesimis itu.
Berubah fikiran

Akan tetapi kegigihan Cikgu Tan mengajar menjadikan dia berubah fikiran. Cikgu Tan tidak pernah jemu. Pujukan dan dedikasi Cikgu Tan telah menyebabkan Mustaffa lulus dengan cemerlang dalam mata pelajaran tersebut. Minatnya terhadap pertanian mula membugar selepas itu. Hasilnya, dia melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang pertanian. Malah rakan-rakannya terkejut dengan perubahan itu.

Tambahan pula selepas dia menamatkan pengajian, kegawatan ekonomi menyerang negara-negara Asia. Perniagaan bapanya merudum teruk. Akhirnya empayar perniagaan Datuk Zaki terpaksa menerima hakikat bahawa kemelesetan ekonomi telah menyebabkan perniagaannya terbantut. Malah Datuk Zaki mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Mustaffa terpaksa memikirkan cara-cara untuk mengembalikan kehidupan mereka sekeluarga seadanya, sementelah dia seorang anak lelaki dalam keluarga itu.

Ketika di kampunglah, Mustaffa mendapati banyak kawasan tanah terbiar yang tidak diusahakan. Anak-anak muda kampung sudah tidak ada lagi. Mereka lebih gemar bekerja di kilang-kilang di bandar. Ketika itulah juga dia teringat akan kata-kata Cikgu Tan lebih sepuluh tahun yang lalu.

“Saya mahu mengubah pandangan masyarakat. Pertama saya ingin mengubah pandangan bahawa anggur tidak boleh ditanam di negara ini. Kedua remaja kita terutama lepasan universiti terlalu bergantung untuk bekerja dalam sektor awam dan swasta. Mereka sepatutnya cuba untuk bekerja sendiri. Kerajaan telah menyediakan pendidikan yang terbaik. Janganlah sia-siakan ilmu yang dipelajari. Ketiga saya ingin mengubah pandangan teman-teman saya, bahawa pertanian ialah bidang yang lumayan jika diusahakan dengan serius. Selama ini mereka tidak yakin dengan potensi bidang pertanian. Mereka lebih rela makan gaji daripada bertani, biar bekerja kilang sekalipun. Saya terbaca bahawa sekarang ini terdapat lebih kurang 30,000 orang graduan menganggur. Golongan ini perlu mengubah paradigma,” kata Mustaffa sebaik sahaja kenangannya hilang.

Memang benar kata Mustaffa. Siswazah hari ini perlu menganjak paradigma mereka. Era makan gaji sudah berlalu. Mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan.

Isu siswazah menganggur telah menjadi isu negara selepas zaman kemelesetan. Setiap hari ada-ada sahaja berita tentang masalah siswazah menganggur. Isu ini juga dibincangkan di parlimen. Namun jalan penyelesaiannya belum ada yang untuk berkesan menangani masalah ini.

Pada pandangan Mustaffa, siswazah itu sendiri yang perlu mengubah nasibnya. Mereka tidak boleh terlalu manja dan dimanjakan. Mereka boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan, sementelah perniagaan merupakan sumber rezeki yang utama.

Jika tidak berniaga, siswazah boleh menjadi usahawan dalam bidang-bidang yang menjanjikan pendapat lumayan. Banyak sudah bukti yang menunjukkan siswazah yang bekerja sendiri mampu memperoleh kekayaan.

Banyak perkara yang boleh dilakukan. Mereka boleh bertani secara moden. Menanam tanaman yang komersial, menternak ikan atau udang, mengusahakan industri kampung, menceburi perniagaan landskap, dan macam- macam lagi. Kerajaan menyediakan berbagai- bagai kemudahan dan subsidi dalam bidang pertanian.

“Apakah masalah besar yang Encik Mustaffa hadapi dalam melaksanakan usaha penanaman anggur ini?” soalan wartawan membawa Mustaffa kembali ke dunia nyata.

“Kawasan ini bekas sawah terbiar. Jadi jenis tanahnya ialah tanah liat. Pembajaannya perlu mengikut spesifikasi yang betul. Misalnya sebelum dibuat pemangkasan, ammonium sulfat, urea atau baja lengkap hendaklah digunakan pada nisbah 15:15:15. Setiap pokok memerlukan antara 200 hingga 300 gram setiap bulan. Dua bulan sebelum masa pemangkasan baja pada kadar 9:25:25 ditabur. Sebaik sahaja mula berputik, baja lengkap pada nisbah 15:15:15 digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan buah. Akhirnya sebaik sahaja buah mula bertukar warna, sebulan sebelum penuaian baja lengkap 13:13:21 atau 9:25:25 ditabur untuk menjamin mutu buah yang dituai itu berkualiti,” jawab Mustaffa dengan panjang lebar. Dengan jawapan itu jelas Mustaffa memang mendalami bidangnya. Bidang yang dibencinya suatu ketika dahulu.
Masa berlalu pantas. Sesi wawancara selesai sudah. Di pentas yang terletak di pinggir ladang, semuanya sudah bersedia. Para jemputan sudah mengambil tempat. Hadirin yang datang tidak habis-habis teruja melihat buah anggur pelbagai spesies bergayutan di ladang yang melaut luasnya.

“Encik Mustaffa, bilakah kita hendak mulakan majlis? Nampaknya semua sudah bersedia..!” Ranjita ingin mendapatkan kepastian.
“Tunggu sekejap! Saya sedang menanti orang yang akan merasmikan majlis ini,” jawab Mustaffa.

“Siapa...!!??” tanya Ranjita tidak sabar. Sejak berhari-hari yang lalu dia ingin mendapat kepastian tentang perkara itu. Akan tetapi Mustaffa tidak memberitahunya.

Sebuah kereta Proton Saga biru tiba-tiba berhenti di muka jalan ke arah ladang. Kemudian seorang lelaki Cina, berwajah lembut dan berpakaian kemas turun dari kereta itu. Dengan tidak membuang masa, Mustaffa bergegas mendapatkan lelaki itu. Paluan kompang tiba-tiba memecah kesunyian. Semua hadirin tercengang-cengang. Mereka tertinjau-tinjau ingin melihat orang kenamaan yang akan merasmikan majlis pembukaan ladang anggur milik Mustaffa itu.

Akhirnya teka-teki itu terjawab. Dalam ucapannya, Mustaffa memperkenalkan Cikgu Tan Lian Tong, bekas guru Sains Pertaniannya semasa di sekolah dahulu.

Cikgu Tan dijemput menyampaikan ucapan. Namun Cikgu Tan tiba-tiba sebak, tidak mampu berucap panjang. Ketika dia memotong reben perasmian, terbukalah kain pemidang yang tertulis “Segugus Kyuho Untuk Cikgu”. Ketika itu juga Mustaffa menghadiahkan segugus buah anggur hitam dari spesies Kyuho untuk bekas guru Sains Pertaniannya, Cikgu Tan Lian Tong.
“Terima kasih, Cikgu! Cikgu telah mengubah persepsi saya tentang kehidupan..!!" Mustaffa memeluk erat bekas gurunya. Suasana menjadi senyap seketika. Perasaan hiba membauri hening pagi di ladang itu.

3 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Selamat Hari Guru. Cantik cerpen ini, terimbau cerpen 'Kerana Manisnya Epal'. Suka baca cerpen, tetapi cerpen sendiri tak buat pun. :D

    ReplyDelete
  2. Wsalam. Sadisnya pengakuan Tuan Hamba tu...

    Nak letak cerpen sendiri, memang dah lama tak tulis, jadi...sebarkan aje lah cerpen orang lain...istimewa buat guru2 yang berjasa.

    ReplyDelete
  3. Sayangnya nama penulis cerpen tersebut tidak disertakan di entri ini ye... Cerpen siapa agaknya ye..

    ReplyDelete

Terima kasih dengan keprihatinan anda. Anda dialu-alukan meninggalkan komen dan pesan untuk setiap isu yang dipapar. Setiap komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab anda sebagai pembaca, tidak menggambarkan pandangan peribadi atau pemikiran MaharamDotCom. Sila pastikan anda memenuhi susila masyarakat Timur yang mengutamakan adab sopan. Sebarang komen yang jelas bertujuan menghina, menghasut, menimbulkan suasana tidak aman dan benci sesama manusia tidak akan disiarkan. Sebarang komen yang "tidak bernama" tidak akan dilayan biar berapa bagus pendapat dan cadangan anda. Sila ada rasa tanggungjawab dengan tulisan sendiri. Harap maklum.