KHALAYAK DALAM PENULISAN
PENSYARAH : CIK MAHARAM BT MAMAT.
KUMPULAN : THE PEARL.
AHLI:
SUHAIBAH BT OTHMAN
NORA AZLINA BT SOBRI
NORLINDA BT IBRAHIM
NURFAIZAH BT ARZMI
SITI HASLINDA BT ADRIS
KANDUNGAN
1.0 TUJUAN KAJIAN
2.0 SKOP KAJIAN
3.0 KAEDAH KAJIAN
4.0 HASIL KAJIAN
4.1 Pendahuluan
4.2 Definisi
4.3 Jenis khalayak
4.3.1 Khalayak utama
4.3.2 Khalayak sekunder
4.3.3 Khalayak dalam penulisan berita
4.3.4 Teori Wolfgang Iser
4.3.5 Khalayak kanak-kanak dan remaja
4.4 Keperluan khalayak
4.5 Resepsi
4.6 Ciri-ciri khalayak
4.7 Peranan khalayak
4.8 Isu-isu khalayak
5.0 CADANGAN
6.0 PENUTUP
RUJUKAN
1.0 TUJUAN KAJIAN
Kajian ini dijalankan untuk mengupas tentang khalayak dalam penulisan. Skop kajian meliputi jenis-jenis khalayak, keperluan khalayak, ciri-ciri khalayak dan juga isu-isu yang berlaku tentang khalayak dalam penulisan. Kajian juga akan melihat siapakah yang dikatakan sebagai khalayak dalam penulisan atau karya sesorang penulis. Aspek ini dipilih kerana masih tidak ramai yang menyedari tentang kepentingan khalayak dalam penulisan kerana merekalah yang menentukan hala tuju sesuatu hasil karya penulisan.
2.0 SKOP KAJIAN
Kajian ini hanya melihat kepada khalayak yang dicapai dalam penulisan. Pembaca menjadi fokus kajian kerana mereka adalah klien bagi karya penulis. Skop kajian tidak melihat khalayak dalam aspek yang lain seperti pendengar radio, penonton wayang atau sebagainya.
3.0 KAEDAH KAJIAN
Kajian telah dijalankan menggunakan kaedah resensi perpustakaan di mana penyelidikan dilakukan berdasarkan pencarian di perpustakaan dan pusat sumber sama ada dalam bentuk data serta bahan sekunder atau primer. Bahan- bahan terdiri daripada buku, artikel, jurnal, mkirofilem, filem, video, sumber internet dan sebagainya.
(Bahagian ini sepatutnya diletakkan di bahagian bawah "Pengenalan" kerana ia menceritakan apa yang nak ditulis dalam tulisan ini)
4.0 HASIL KAJIAN (Sistem pernomboran perlu betul. Bagaimana untuk dapatkan hasil kajian sekiranya kajian/tulisan belumpun dimulakan lagi)
4.1 Pendahuluan
Seseorang penulis perlu tahu dan mementingkan khalayak pembacanya supaya bahan bacaan yang dihasilkan akan dimanfaatkan oleh khalayak tersebut sebaiknya. Walau bagaimanapun, sesetengah penulis tidak memikirkan tentang khalayak pembacanya dan membuat generalisasi bahawa setiap tulisan itu sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. Hal ini merupakan satu kesilapan besar malah merugikan diri sendiri. Tindakannya umpama mencurahkan air di atas daun keladi, menulis tetapi tidak dibaca oleh sesiapa pun. Tulisan yang berjaya adalah tulisan yang mendapat tempat di hati pembacanya malah karyanya dihargai oleh sesiapa pun.
4.2 Definisi
Khalayak ditakrifkan sebagai sekelompok orang yang mempunyai cita rasa yang sama. Mereka ini mungkin sahaja berbeza dari segi umur, ras, tahap pendidikan, ataupun kedudukan sosioekonomi mereka. Walau bagaimanapun, ada khalayak yang dikelompokkan berdasarkan maklumat demografi seperti pendapatan, jantina, pendidikan, pekerjaan, status perkahwinan, pemilikan rumah, umur, ras ataupun kedudukan sosioekonomi mereka (Mus Chairil Samani, 1997).
Selain itu, maklumat berbentuk psikografi juga diperlukan sebagai tambahan untuk mengenal pasti khalayak pembaca. Maklumat ini merupakan data tentang gaya kehidupan, sikap, dan tingkah laku pembaca (Mus Chairil Samani, 1997). Gabungan kedua-dua maklumat demografi dan psikografi akan membolehkan penulis memilih pendekatan yang paling berkesan untuk berkomunikasi dengan pembaca anda itu.
Sebagai contoh, (mulakan ayat dengan contoh? Pastikan subjek dan predikat ayat) kesan ekonomi Malaysia yang pesat membangun pada awal 1990-an telah melahirkan generasi eksekutif muda berpendidikan dalam lingkungan umur 25 hingga 35 tahun yang bukan sahaja berduit tetapi mempunyai gaya kehidupan tersendiri. Mereka ini mempunyai cita rasa atau gaya kehidupan memakai pakaian berjenama, memandu kereta jenis sport, kebanyakkannya bujang, tinggal di pangsapuri-pangsapuri dan memakan makanan di tempat yang terpilih. Mereka ini tidak berminat tentang politik secara khususnya. Oleh sebab itu, penulis harus menulis bahan yang selaras dengan minatnya itu dan bukan perkara lain. (copy and paste dari sumber rujukan. sumber rujukannya mana?)
Dalam erti kata lain, pengetahuan tentang khalayak sasaran amatlah penting dan secara tidak langsung mencetuskan idea tentang apa yang hendak ditulis. Tanpa pengetahuan ini, penulis mungkin memilih bahan atau tajuk yang tidak sesuai. Aspek ini juga penting dalam melihat keperluan penulisan tentang sesuatu tajuk atau kajian agar ia dapat diterima khalayak.
4.3 Jenis khalayak
Khalayak terbahagi kepada dua iaitu khalayak utama dan khalayak sekunder. (Mus Chairil Samani, 1997). Sebarang bentuk proses komunikasi dan penulisan rencana sebagai salah satu saluran dalam proses tersebut, mempunyai kedua-dua bentuk khalayak ini. Penulisan rencana bukan untuk tatapan diri sendiri, maka kedua-dua khalayak ini perlu dipertimbangkan supaya objektif penulisan untuk menyebarkan karya kepada seberapa ramai orang tercapai.
4.3.1 Khalayak Utama
Khalayak utama ditakrifkan sebagai golongan sasaran utama yang cuba dijangkau oleh penulis. Golongan yang membaca buku ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, taraf pendidikan dan pekerjaan namun mereka dikelompokkan berdasarkan minat yang sama. Ini menunjukkan, umur bukan kriteria utama tetapi minat.
Malahan sasaran sampingan dalam kelompok khalayak utama ialah terjangkau. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana buku ini akan diedarkan di pasaran umum serta di pusat pengajian tinggi. Khalayak utama adalah sangat penting sebagai penentu dan kayu pengukur kepada penerbitnya sama ada karya itu berpotensi dan bentuk penerbitnya sama ada bentuk buku, majalah, makalah, surat khabar, atau sebagainya. Sekiranya jumlah khalayak utama itu besar, maka pelaburan menerbitkan sesuatu terbitan itu akan menghasilkan keuntungan yang diharapkan. Mereka mempunyai kuasa pemutus sama ada untuk menerima atau menolak penerbitan yang diberikan kepada mereka.
Khalayak sasaran boleh dikenal pasti berdasarkan tinjauan yang dilakukan. Namun, kajian ini kebiasaannya memerlukan belanjawan yang tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kaedah mendapatkan maklumat tentang khalayak pembaca. Antaranya ialah isi kandungan terbitan, iklan, surat-surat pembaca, dan ada juga yang mengandungi pelbagai segmen masyarakat yang boleh menarik semua peringkat masyarakat. Dalam hal ini, penulis mesti memastikan bahan bacaan yang dihasilkan adalah bersesuaian dan menepati citarasa khalayaknya.
4.3.2 Khalayak sekunder
Khalayak sekunder ialah golongan sampingan yang terjangkau secara kebetulan (Mus Chairil Samani, 1997). Dalam erti kata lain, pembaca luar yang menilai sesuatu penulisan sebelum dipilih untuk diterbitkan dan editor yang menyunting penulisan tersebut. Dalam penulisan rencana, khalayak sekunder ialah majalah atau akhbar yang anda tujukan sesuatu tulisan itu. Sewajarnya anda mengetahui dasar penerbitan syarikat itu. Sesetengahnya mempunyai dasar tidak menerima sumbangan penulis luar. Sebagai contoh, seorang penulis menghantar karyanya ke majalah Dewan Bahasa. Maka, majalah ini merupakan khalayak sekunder bagi hasil penulisannya.
Dalam usaha mengenalpasti sesuatu terbitan, perhatikan penggunaan gambar dan ilustrasi yang digunakan. (ayat tak gramatis) Peluang untuk menerbitkan sesuatu tulisan adalah lebih baik sekiranya dilampirkan gambar. Gambar akan memberikan kesan rencana menjadi lebih menarik di samping membantu mengambarkan sesuatu tulisan tersebut. Penulisan menjadi lebih jelas dan secara tidak langsung menarik minat pembaca.
Selain itu, penulis juga perlu memerhatikan panjang sesuatu rencana itu. Rencana yang dihasilkan mestilah bersesuaian di mana tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. Malah, berkualiti tinggi dan berkesan kepada pembaca yang membaca artikel tersebut. Penulisan juga kadang-kadang dipengaruhi oleh kekangan ruang dan bilangan helaian penulisan.
Di samping itu, dengan mempertimbangkan editor yang mengetuai sesuatu redaksi juga membantu kita mengenalpasti gaya penulisannya. Penelitian editor akan menonjolkan falsafah editorial terbitan berkenaan. Malahan kita boleh memperhatikan gaya penulisan, trend dan corak pengendalian sesuatu isu, jenis rencana yang dihasilkan serta membandingkan keluaran terbaru dan keluaran lama majalah itu. Lagi banyak maklumat yang dapat diterokai, maka banyak yang dapat diketahui, malah tindakan ini akan memandu penulisan dan mengetahui khalayak yang disasarkan oleh sesuatu penulisan.
4.3.3 Khalayak dalam penulisan berita
Berita di dalam surat khabar mahupun secara atas talian merupakan salah satu aspek dalam penulisan. Penulisan berita adalah penting kerana ia memberi laporan tentang peristiwa yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat. Sebagai penulis, seseorang individu itu perlu tahu tentang khalayaknya kerana lebih banyak yang diketahui tentang masyarakat atau khalayak itu, lebih banyak maklumat yang dapat dan khidmat yang dapat diberikan.
Di barat penyelidikan khalayak dilakukan secara saintifik untuk mengetahui tentang persaingan di kalangan media. Walau bagaimana pun, masih ramai yang tidak memahami tentang khalayak dalam penulisan berita mereka. Dalam menyampaikan berita, seseorang penulis itu perlu mengetahui tentang maklumat latar khalayak mereka. Sebagai contoh, bagi khalayak yang tinggal di bandar, mereka memerlukan berita yang ringkas dan padat kerana kehidupan mereka yang sibuk dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk membaca sesuatu berita yang panjang. (sumber rujukan)
Selain itu, penulis juga perlu mengetahui sejauh mana pengetahuan khalayak, pendapat mereka, prasangka dan sebagainya. Aspek seterusnya ialah melihat sama ada berita yang disampaikan mudah difahami atau tidak. Berita yang ditulis juga perlu benar dan sahih. Penulis juga perlu melihat dari segi jantina, umur, kumpulan sosioekonomi dan sebagainya. Kesemua aspek ini penting untuk memastikan khalayak dalam sesebuah penulisan dapat dikekalkan. Misalnya, akhbar kosmo mensasarkan khalayak diperingkat umur remaja awal dewasa dalam penulisannya. Maka, ciri-ciri yang ada dalam surat khabar ini harus memenuhi kehendak dan jiwa remaja seperti ringkas, menarik dan menghiburkan. (sumber rujukan)
4.3.4 Teori Wolfgang Iser
Menurut pandangan Iser, (tiada dalam rujukan) istilah pembaca dapat dibahagikan kepada 'pembaca yang diperlihatkan' dan 'pembaca yang sebenarnya'. Pertama, khalayak yang diciptakan sendiri oleh teks itu dan merupakan 'rangkaian struktur yang mengundang jawapan', yang mengarahkan kita membaca dengan cara tertentu. 'Pembaca yang sebenarnya' menerima beberapa imej mental dalam proses pembacaan; tetapi imej itu pasti akan dipengaruhi oleh pengalaman lepas pembaca. Seseorang yang tinggal di Filipina mempunyai pandangan yang berbeza berbanding mereka yang tinggal di kota London. Perbezaan ini berlaku disebabkan hasil pembacaan dan tafsiran yang berbeza.
Perkataan yang ditulis dalam sesuatu karya penulisan tidak akan berjaya menyampaikan apa-apa jika minda khalayak tidak berjaya menafsirkan maksud penulisannya. Bahasa cereka membantu khalayak mencipta objek imiginari dalam fikiran mereka. Sebagai contoh, penulis menulis watak yang ganas, pembengis dan kaki pukul. Maka, pembaca akan membayangkan keadaan watak yang cuba disampaikan pengarang. (ayat tak gramatis)
Selain itu, pembaca turut dipengaruhi oleh norma-norma yang dipegang. Apa yang cuba disampaikan oleh penulis akan ditapis oleh norma-norma ini dan mempengaruhi proses pembacaan khalayak. Kesedaran yang ada dalam diri khalayak akan menentukan penyelesaian dalaman yang memungkinkannya menerima dan memproses sudut pandangan yang asing yang cuba dinyatakan oleh penulis.
Wolfgang (seragamkan cara tulis sumber rujukan di dalam teks) turut membahagikan khalayak kepada lapan jenis khalayak. Khalayak pertama ialah khalayak ideal. Khalayak ini adalah khalayak yang diidamkan oleh penulis. Mereka akan membaca dan menerima hasil penulisan tersebut dengan hati yang terbuka. Mereka akan setia dengan seseorang penulis dan bersifat klasik. Pembaca ini berupaya memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Keadaan ini banyak membantu penulis dan ia sangat ideal bagi pandangan seorang penulis.
Kedua ialah khalayak fiksyen. Khalayak fiksyen berlainan dengan khalayak ideal di mana ia berfungsi dalam mencari perbezaan dalam penulisan. Ia merupakan satu strategi penting yang digunakan untuk memenuhi kekosongan khalayak sebenar. Pembaca ini lebih berbentuk khayalan yang mengubah streotaip yang mungkin telah berlaku dalam sesebuah penulisan. Maka, khalayak fiksyen memberi satu perspektif baru dan membuka minda pembaca lain. Khalayak jenis ini penting agar idea baru dapat dicerna. (sumber rujukan)
Seterusnya ialah khalayak kontemporari. Seperti yang kita semua sedia maklum, kontemporari bermaksud sezaman. (ayat tak gramatis. Tulisan ilmiah pelu elakkan penggunaan kata ganti diri seperti saya, kita, kami) Di sini kita boleh mengatakan bahawa khalayak kontemporari merupakan khalayak yang sama dari dulu hingga sekarang. (ayat) Khalayak ini tidak mempunyai banyak perubahan sama ada dari segi pendapat mahupun pegangan kerana mereka tidak mengalami perubahan yang besar. (sumber rujukan)
Keempat pula adalah khalayak hipotetikal. Khalayak andaian ini adalah berlawanan dengan khalayak sebenar. Golongan ini bukan pembaca sebenar tetapi hanya bayangan penulis yang digunakan untuk mengarang. Penulis akan mengandaikan pembaca bagi hasil karyanya. (ayat tergantung ) (sumber rujukan)
Kelima adalah khalayak bermaklumat. Khalayak ini mewakili konsep pengstrukturan kendiri yang mensasarkan kepada peningkatan maklumat seseorang pembaca dan daya juang mereka melalui pemerhatian yang dapat dilihat daripada pembacaan bahan-bahan di dalam teks. Mereka mempunyai maklumat yang banyak untuk disampaikan kepada pembaca lain. (sumber rujukan)
Keenam pula adalah khalayak bayangan di mana khalayak ini cuba memahami pendapat penulisnya dan disampaikan kepada individu lain. Khalayak ini juga menghasilkan perkaitan antara sejarah dan dorongan kendiri di dalam teks yang ditulis dan menjadikannya mudah dicapai. Konsep khalayak bayangan ini juga membolehkan penulis mentafsir kesan dan respon pembaca terhadap teks penulisannya. (sumber rujukan)
Ketujuh ialah khalayak cadangan. Apabila seseorang penulis mempunyai khalayak cadangan, dia berupaya mencipta dan menghasilkan satu bentuk penulisan yang akan diterima dan disukai oleh pembaca. Realiti ini perlu diakui dan hasil penulisan akan masuk ke dalam pemikiran pembaca seterusnya membentuk satu fahaman atau pengetahuan yang sama dengan maksud penulis. (sumber rujukan)
Seterusnya ialah khalayak yang sebenar-benarnya. Khalayak ini merupakan khalayak yang dilihat oleh penulis sebagai golongan yang merefleks kepada sesuatu masyarakat di mana mereka berada. Ia merupakan khalayak yang akan memberikan gambaran sebenar tentang keadaan dan penerimaan masyarakat terhadap penulis. Pembohongan tidak akan berlaku dan khalayak ini berlawanan dengan khalayak fiksyen. (sumber rujukan)
Akhir sekali ialah khalayak yang lebih baik atau super. Khalayak ini merupakan golongan yang mempunyai banyak maklumat dan seringkali mendapat apa yang cuba disampaikan penulis. Khalayak ini juga digunakan untuk memahami teks yang ditulis. Penulis turut menggunakan khalayak ini sebagai satu jalan atau kaedah untuk menulis fakta atau maklumat yang dikira berguna dan penting. (sumber rujukan)
4.3.5 Khalayak Kanak-kanak dan Remaja
Golongan khalayak adalah terdiri daripada pelbagai peringkat umur tidak kira orang dewasa, warga emas, remaja mahupun kanak-kanak. Golongan muda perlu dilatih dan diasuh dari kecil supaya suka membaca. Namun, kita mengetahui bahawa tidak ramai penulis yang ingin menulis buku untuk kanak-kanak. Walaupun ramai yang ingin menceburi bidang ini, mereka belum memahami sepenuhnya keperluan khalayak mereka yang muda ini. Khalayak kanak-kanak memerlukan bahan bacaan yang menggembirakan, berbentuk penerokaan dan dipenuhi gambar yang berwarna-warni. Maka, kupasan ini bertujuan membuka mata penulis tentang kepentingan mengambil kira keperluan golongan muda ini.
Sebagai penulis, mereka dapat membantu memberikan rangsangan dan pengalaman kepada kanak-kanak dengan cara menyediakan bahan-bahan bacaan di dalam berbagai-bagai bidang dan jurusan pengetahuan. Kemudahan dan kesukaran sesuatu peringkat pengalaman itu terpulang kepada konsep-konsep yang hendak disampaikan oleh bidang pengalaman dan pengetahuan yang berkenaan. Jika seseorang tidak mendapat konsep asas, maka adalah sukar untuknya memahami dan menguasai pengetahuan tersebut. Jika pembacanya adalah seorang kanak-kanak, konsep-konsep yang disampaikan melalui pembacaaan itu perlulah merupakan lanjutan daripada konsep yang telah dikuasainya. Ini bererti, tahap yang tinggi akan mematikan minat dan semangat kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak juga memerlukan gambar, rajah, graf dan sebagainya untuk membantunya memahami sesuatu maklumat. Selain itu, gambar-gambar ini akan menambahkan minat dan mengurangkan kebosanan mereka.
4.4 Keperluan khalayak
Keperluan khalayak itu dapat dibahagikan kepada:-
i.Kepuasan segera
Kepuasan segera diperolehi daripada bahan bacaan yang diminati oleh pembaca. Minat yang tinggi mendorong pembaca membaca bahan tersebut kerana bahan itu boleh membantu mengatasi masalah seharian yang lebih mendesak. Sebagai contoh, bagi seseorang kanak-kanak, membaca komik atau kartun memberikan kepuasan kepada mereka.
ii. Kepuasan tertangguh
Kepuasan ini diperolehi daripada bahan bacaan yang boleh meningkatkan tahap pengetahuan dan pendidikan pembaca. Bahan seumpama ini hanya dibaca pada masa lapang apabila berkesempatan. Antaranya ialah bahan rujukan yang tebal dan ensiklopedia. Pembaca tidak akan menumpukan pembacaan kepada bahan ini kerana ia dibaca untuk mendapatkan maklumat di dalamnya. Oleh yang demikian, kepuasan yang diterima adalah kepuasan tertangguh. Keadaan ini dapat dilihat pada pelajar sekolah mahupun universiti yang membaca hanya untuk lulus peperiksaan.
4.5 Resepsi (resepsi atau resensi?)
Resepsi ialah reaksi pembaca terhadap sebuah teks. Sebuah resensi diteguhkan apabila sesuatu teks dihayati dengan sepenuhnya. Resensi ini akan membantu penulis untuk melihat sejauh mana keberkesanan dan penerimaan khalayak terhadap hasil tulisannya. Resepsi boleh diambil dari sumber-sumber seperti:- (sumber rujukan)
a) laporan daripada pembaca tidak profesional: catatan harian, catatan di
pinggir buku, laporan dalam autobiografi dan sebagainya.
b) laporan profesional.
c) terjemahan dan saduran.
d) pengolahan dalam buku-buku.
e) resepsi produktif: unsur-unsur dari sebuah karya sastera diolah dalam
sebuah karya baru.
Resepsi juga dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sejarah resepsi dan penelitian terhadap orang-orang dalam abad yang sama. Sejarah resepsi melihat bagaimana sebuah atau sekelompok teks, sejarah penerbitannya diterima dan bagaimana reaksi para pembaca. Dapat diilihat bahawa sejarah resepsi mempunyai dua aliran pula iaitu pertama yang memegang kepada pendapat sendiri dan yang kedua, pihak yang mengambil kira keperluan khalayaknya. Walau bagaimanapun, kedua-dua aliran ini melihat perkaitan khalayak dan teks yang dibaca.
Dalam meneliti penerimaan orang-orang dalam abad yang berbeza, dapat dikenalpasti bahawa penerima sesebuah masyarakat yang berlainan masa adalah berbeza. Sebagai contoh, penceritaan sastera di zaman Renaissance adalah berbeza jika dibandingkan dengan zaman Kesultanan Melayu Lama. Oleh itu, penulis seharusnya menyedari perubahan minda dan pengaruh kepada khalayak mereka agar karya yang dihasilkan dapat diterima.
4.6 Ciri-ciri khalayak
Khalayak dibezakan berdasarkan minat, amalan, sikap, dan kepercayaan. Sikap berkaitan dengan kegemaran atau kesukaan seseorang itu bersifat kekal dan separuh kekal. Manakala sikap ialah pegangan seseorang itu tentang sesuatu perkara dan tidak mudah berubah iaitu falsafah hidup seseorang itu yang tidak mungkin dipinda walau apa pun keadaannya.
Minat khalayak boleh dibahagikan kepada dua iaitu minat jangka pendek dan minat jangka panjang. Minat jangka pendek bersifat tidak kekal dan ia akan pudar apabila hasrat atau keinginan pembaca tercapai. Contohnya, hasrat seseorang untuk membeli kereta menyebabkan dia membaca semua risalah, iklan, tulisan tentang pelbagai model kereta dalam kelas yang ingin dibelinya. Menerusi pembacaan, dia boleh membuat perbandingan serta mendapat keputusan membeli model kereta yang sesuai dengan keperluannya. Keperluan khalayak jenis ini mungkin sukar dipenuhi kerana sebaik sahaja mereka membeli kereta yang diinginkan, mereka tidak lagi membaca penulisan tentang kereta. Walau bagaimnapun, minat ini tidak juga terhenti secara mendadak. Pembaca akan membaca selagi kereta tersebut belum dibelinya dan berlarutan hingga beberapa ketika selepas pembelian itu. Tempoh ini dikenali sebgai tempoh pengukuhan di mana maklumat masih diperlukan bagi menyakinkan bahawa keputusan memilih model kereta tersebut adalah keputusan yang bijak.
Berikutnya ialah minat jangka panjang yang bersifat kekal. Contohnya, khalayak yang berminat dalam bidang sukan bola sepak. Oleh itu, mereka sudah tentu akan cuba dan sentiasa mencari maklumat tentang perkembangan aktiviti sukan ini. Minat merupakan ciri khalayak yang aktif. Khalayak akan meninjau persekitaran dan mencari bahan yang bersesuaian dengan minatnya. Selain itu, mereka bukan sahaja membaca dari pelbagai bahan bacaan namun turut terlibat dalam persatuan dan pertandingan bola sepak yang dianjurkan di kawasan setempat. Minat khalayak golongan ini lebih mudah dipenuh.
Amalan khalayak juga bersifat kekal. Biasanya, seseorang yang sudah biasa mengamalkan sesuatu kaedah dalam melakukan kerja tidak akan menerima cara lain. Khalayak ini akan mencari mesej yang selaras dengan amalannya setiap hari. Manakala sikap pula merupakan pendirian yang dipegang oleh seseorang itu berhubung sesuatu perkara dan bersifat jangka panjang. Sikap selalunya terbentuk dalam jangka masa panjang dan perubahan sikap selalu berlaku secara perlahan-lahan. Penulis tidak boleh mengharapkan tulisannya boleh mengubah sikap seseorang. Perubahan sikap boleh berlaku apabila tulisan itu disokong oleh komunikasi bersemuka. Dalam hal ini, orang yang bersemuka dengan khalayak itu harus dikenali dan diyakininya. Bukan sebarangan orang menepati syarat ini. Biasanya orang itu terdiri daripada pemimpin masyarakat atau pemimpin setempat yang tinggal berhampiran dengan khalayak.
Kepercayaan merupakan ciri khalayak yang paling sukar untuk berubah. Kepercayaan melibatkan pegangan seseorang itu kepada ideologi sama ada bersifat keduniaan atau keagamaan. Contohnya, seseorang yang menganuti agama Buddha yang percaya akan kelahiran semula dan kelahiran tersebut ditentukan oleh kehidupan sekarang. Walhal, bagi agama Islam, kehidupan di dunia hanyalah sementara dan sekali sahaja. Kedua-dua agama ini berbeza kepercayaan maka sukarlah sekiranya pandangan Islam yang tidak mempercayai kelahiran semula ini diserapkan kepada golongan penganut agama Buddha. Kepercayaan seseorang sukar diubah dan bahan bacaan yang mereka pilih juga berdasarkan kepercayaan ini.
4.7 Peranan khalayak
Khalayak memainkan peranan yang penting kepada hasil penulisan penulis. Antara peranan mereka ialah merefleks kepada hasil penulisan. Apabila sekumpulan khalayak dalam sesuatu masyarakat membaca hasil karya seseorang, mereka akan berpegang kepada norma dan budaya di dalam masyarakatnya. Maka dari situ, penulis dapat melihat keadaan dan sikap yang pelbagai di sesebuah kawasan itu. Penilaian khalayak terhadap karya penulis boleh digunakan oleh penulis untuk lebih mengenali kehendak dan keperluan khalayaknya.
Selain itu, khalayak juga membantu menyebarkan maklumat dan pengetahuan yang cuba disampaikan oleh penulis. Mereka menjadi ejen yang secara tidak langsung memberi semangat dan mempengaruhi penulisan pengkarya pada masa akan datang. Sebagai contoh, seorang penulis muda mendapati khalayak memuji hasil penulisannya. Sudah tentu ini merupakan satu bonus yang menaikkan semangat untuknya terus berkarya. Peneguhan positif ini amat bermakna dan ia bergantung kepada penerimaan khalayak. Namun begitu, jika kritikan yang diterima, mereka harus memandangnya sebagai cabaran untuk melakukan yang lebih baik.
Semasa proses membaca, khalayak akan cuba menghayati dan memasukkan diri mereka ke dalam karya penulis. Pembaca akan berimiginasi dan membayangkan keadaan dalam sesebuah penulisan itu. Keberkesanan penulisan akan dapat dilihat apabila pembaca memahami dan merasai sendiri suasana yang cuba digambarkan penulis. Di sini, khalayak berperanan sebagai penterjemah idea penulis yang merupakan satu peranan penting dan mempengaruhi individu di sekeliling untuk turut membacanya.
4.8 Isu-isu khalayak
Penulis dan pembaca tidak dapat dipisahkan ibarat aur dengan tebing. Namun, berdasarkan pemerhatian kini, penulis kesusasteraan terutamanya sudah ketinggalan berbanding dengan pemikiran pembaca. Oleh hal yang demikian, sambutan terhadap penulisan juga merosot dan bahan yang dihasilkan tidak diminati oleh para pembaca.
Selain itu, berlaku "pendedahan paksaan" iaitu keadaan di mana para murid sekolah atau penuntut pengajian tinggi dipaksa membaca bahan kesusasteraan. Murid sekolah, penuntut maktab dan universiti dipaksa membaca, menghayati, mengulas dan mengupas sajak, cerpen, novel dan sebagainya. Jadi, bidang sastera cuma mempunyai khalayak yang terkepung dan dipaksa. Malahan di luar khalayak ini juga mungkin kesusateraan ketandusan peminat dan kekurangan pengikut. Anggapan bahawa kesusateraan membosankan dan memuakkan membuatkan khalayak yang menerima pendedahan paksaan akan terhenti selepas tamat pengajian.
Namun, perubahan berlaku pada tahun 1950-an dan 1960-an di mana sastera dan kesusateraan menjadi lebih menarik dan mendapat sambutan yang baik dari pembaca. Hal ini berlaku kerana penulisan membangkitkan dan membicarakan tentang isu dan perkara yang melibatkan kehidupan masyarakat. Walau bagaimanapun, penulisan juga berperanan mengembalikan manusia kepada kemanusiaan, serta mengembalikan insan kepada keinsanannya. Cara penyampaian boleh berubah dan pelbagai tetapi tidak menjejaskan matlamat asal. Mutu dan isi penulisan yang berkualiti mampu menarik ramai khalayak.
Budaya membaca kurang menjadi amalan di hati rakyat Malaysia. Ini merupakan isu yang menyebabkan hasil penulisan kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Malaysia. Kurang minat menjadi batu penghalang kepada budaya membaca. Walau bagaimanapun, hanya sesetengah peringkat masyarakat sahaja yang menyedari akan kepentingan membaca dan mahu menambahkan ilmu pengetahuan. Oleh itu, penulis berperanan menghasilkan karya yang menarik dan mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat supaya mencintai budaya membaca.
Setiap penulis ingin tulisannya dibaca oleh khalayak. Tanpa mengira tujuan mereka menulis sama ada untuk menyebar maklumat, mengubah sikap, menyampaikan pengetahuan atau untuk memberi pengalaman baru kepada pembaca, penulis hanya ingin tulisannya dibaca. Bagi memancing khalayak, penulis mesti berupaya menarik minat serta perhatian pembaca seterusnya mengekalkan pembacaan. Ini bermaksud, tulisan penulis mesti mematuhi beberapa syarat iaitu tulisannya mesti menarik, berisi dan seronok dibaca.
Keseronokkan dan kepuasan dalam pembacaan adalah bersifat subjektif dan bergantung kepada citarasa pembaca. Unsur inilah yang menentukan sama ada sesuatu tulisan itu akan mendapat sambutan atau tidak, sama ada ia akan mencapai tahap best-seller atau kekal di tahap non-seller. Setiap pengkarya berusaha untuk memenangi hati pembaca melalui penulisannya. Namun, yang menjadi persoalannya ialah ’apakah yang menjadikan sesuatu tulisan itu seronok untuk dibaca’.
Selain itu, tulisan yang dihasilkan juga perlulah rasional dan munasabah agar dapat menarik minat pembaca. Dari segi istilah pula, didapati khalayak tidak menggemari penulisan yang terlalu sukar dan menggunakan istilah hebat-hebat atau istilah besar-besar yang menyukarkan proses penyampaian maklumat.
5.0 CADANGAN
Penulisan adalah suatu seni yang diperlukan untuk menyampaikan maklumat tidak kira dalam bentuk rasmi atau tidak. Namun, kehadiran khalayak menjadikan perkara atau isu yang disampaikan lebih bermakna. Golongan inilah yang akan memastikan seseorang penulis terus menulis dan berkarya.
Bagi mewujudkan lebih ramai khalayak tidak kira usia, kaum, budaya mahupun pendapatan, penulis boleh mempelbagaikan penulisan dengan mengetengahkan isu berkaitan kehidupan, isu terkini, masalah dunia mahupun penulisan berdasarkan kisah benar.
Selain itu, penulisan yang dapat memenuhi keperluan pembaca juga memberi impak yang besar dalam menyampaikan isu penulisannya. Sebagai pembaca, seseorang berhak memilih bahan bacaan yang ingin dibaca. Oleh itu, penulis serta pengkarya harus bijak membaca minda khalayak. Sebagai contoh, ketika dunia digemparkan dengan berita kekejaman zionis di Iraq dan Palestin, terdapat penulis yang cuba menghasilkan karya berbentuk artikel mengenai keperitan hidup rakyat di sana. Sudah tentu hasil penulisannya akan dibaca dan mendapat perhatian kerana masyarakat ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut. Apabila penulis telah mensasarkan khalayak mereka, maka mudahlah untuk mendekati mereka.
Bagi penulisan yang berkualiti, pembaca tidak akan ragu-ragu untuk mengakui tentang kehebatan penulisan tersebut. Untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti, seseorang penulis perlu banyak berlatih di samping tidak malu untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan mereka. Keyakinan pembaca terhadap karya seseorang penulis tidak akan diperoleh dengan hanya satu hasil penulisan tetapi memerlukan usaha jangka panjang seperti yang dilakukan oleh A. Samad Said. Beliau tidak hanya dikenali kerana penulisan yang berkesan tetapi berjaya mencipta pengaruh sehingga diberi anugerah sasterawan negara.
6.0 PENUTUP
Sebagai kesimpulannya, khalayak adalah golongan yang penting dalam menjadikan karya seseorang penulis itu bermakna. Tanpa khalayak, penulisan yang dihasilkan tidak akan dihargai dan boleh berkubur begitu sahaja. Ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling bergantung antara satu sama lain. Maka, setiap penulis yang ingin memulakan penulisan perlu mengambil kira aspek yang penting ini. (kesimpulan tidak menjawab persoalan yang dikaji secara menyeluruh. Tidak menggambarkan keseluruhan isu yang dibincangkan)
RUJUKAN
Hasnah Ibrahim. 1982. Menulis untuk Berkomunikasi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors SDN BHD.
Jan V. L, Mieke B., Willem G. Weststeijn. 1984. Pengantar Ilmu Sastra. Terj. Dick Hartoko. Jakarta: Penerbit PT Gramedia.
Mansor Ahmad Saman. 1995. Penulisan dan Media. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mus Chairil Samani. 1996. Penulisan rencana berkesan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman Puteh, Abdul Ahmad. 1984. Sekitar Sastera Kanak-kanak dan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Panduan menulis tesis gaya UKM. 2007. Bangi: Pusat Pengajian Siswazah, UKM.
Paul De Maeseneer. 1986. Inilah Berita. Penterjemah Mohd Safar Hasim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raman Selden. 1989. Teori Kesusasteraan Sezaman. Terj. Umur Junus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wolfgang Iser. 1974. The Act of Reading. London: The John Hopkins University Press.
(sila gunakan Gaya UKM, APA atau MLA)
.
salam sejahtera bagi yang sudi berkongsi contoh kertas kerja yang sangat teliti bagi saya.ia amat membantu saya dalam menyiapkan kertas kerja saya dengan lebih sempurna dan tertib.sekian.
ReplyDelete