Pages

Wednesday, December 23, 2009

Kajian Sastera Tentang Puisi Siber

Puisi Siber jarang diperkatakan, namun ianya semakin mendapat tempat di dunia maya. Ramai blogger menjadikan blog mereka sebagai media untuk menulis puisi siber. Kertas kerja berikut saya temui semasa menjelajah alam maya, semoga memanfaatkan anda semua.
Walau bagaimanapun, saya memerlukan kerjasama anda semua ataupun penulis asal kajian ini, sekiranya mengetahui penulis kertas kerja ini agar dimajukan kepada saya untuk dikreditkan disini.
Selamat membaca, menelaah dan mengkaji bagaimana sebuah tulisan berbentuk analisis dihasilkan.
KERTAS KERJA KOLOKIUM SASTERA DAN MEDIA BARU

Tema:

“KINETIK TIPOGRAFI DALAM PUISI SIBER”
Tarikh:
19 Oktober 2009

Tempat:
Dewan Mesyuarat PPIK

Anjuran:
BAHAGIAN KESUSASTERAAN, PUSAT PENGAJIAN ILMU KEMANUSIAAN
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA dan Penerbit USM



1. PENGENALAN
Dalam kebangkitan sastera multimedia di dunia termasuklah di Malaysia, paling banyak yang menerima impak ialah genre puisi. Oleh kerana sifatnya yang lebih ringkas dan lebih mudah dari genre sastera yang lain, puisi mendapat sambutan yang luar biasa dari penulis-penulis siber yang selama ini tidak berupaya mendapat tempat di dada-dada akhbar atau majalah. Dengan kemunculan era baru dalam berkarya iaitu menggunakan media elektronik, para pengkarya mula menghantar karya-karya mereka melalui internet dan ruangan yang disediakan untuk berkarya di laman-laman web. Dalam e-sastera sendiri, semenjak ditubuhkan pada tahun 2005, hinggalah sekarang, karya-karya yang dihantar sudah mencecah 12 ribu lebih. Lihat sahaja kebangkitan penulis-penulis baru yang datang dari segenap bidang dalam laman-laman web. Penulis ini ternyata tidak hanya terlingkung untuk golongan sastera sahaja.




Keghairahan untuk menghasilkan karya-karya yang bersifat lain mula menjadi tuntutan. Pengkarya mula bereksperimen untuk mencipta karya-karya yang lengkap dengan grafik, mempunyai muzik atau kesan khas, beranimasi atau berbentuk video. Apatah lagi terdapat ruangan sastera atau laman web yang menawarkan hadiah kepada para pengkarya. Maka, lambakan pengkarya sastera semakin bertambah dari masa ke semasa.

Walaubagaimanapun, salah satu elemen multimedia yang jarang dilihat oleh pengkarya puisi siber ialah melalui elemen tipografi. Kebanyakan penulis puisi siber cenderung menulis puisi yang panjang dan meleret-leret tanpa sedar kehendak puisi siber yang sebenarnya. Elemen ini jarang diberikan perhatian kerana kebanyakan penulis yang menulis di ruangan siber ialah penulis yang baru berjinak-jinak di dalam dunia perpuisian. Oleh kerana itu, aspek bahasa, kaitannya dengan bentuk, nada dan ekspresi puisi itu sendiri jarang diambil berat.

Kertas kerja ini bertujuan untuk melihat bagaimana tipografi mampu mengekspresikan puisi multimedia di dalam puisi siber.


Apa yang dikatakan tipografi?

Istilah Tipografi (Typography) berasal daripada Greek yang merupakan gabungan dua perkataan, iaitu Tupos bermaksud huruf dan Graphia pula yang bermaksud ilustrasi. Oleh itu, tipografi dapat ditakrifkan sebagai “Satu bidang seni reka penghurufan dan reka letak taip”. (Azahar Harun; 1)

Menurut Kamus Dewan, tipografi ialah kerja atau proses menyusun dan menyediakan bahan bertulis untuk percetakan; atau gaya, bentuk susunan dan rupa sesuatu bahan bercetak.(2007)

Manakala Steve Barth (2008) mengatakan, istilah tipografi merujuk kepada bagaimana huruf-huruf itu terbentuk dan tersusun dalam bentuk frasa, kenyataan, idea dan informasi yang ingin dihantar kepada khalayak.

Tipografi berfungsi sebagai ‘komunikasi penulisan’ (written communication) dan ‘komunikasi visual’ (visual communication). Huruf menjadi wakil sebagai bunyi kata dalam sesuatu perkataan. Ramai pembaca biasanya tidak menyedari tentang kepentingan penghurufan yang sebenarnya mampu memberi impak yang sangat besar dalam komunikasi visual. Ia hadir dalam dua versi iaitu sebagai teks atau simbol. Kebanyakan pembaca tidak memikirkan aspek tipografi apabila mereka membaca namun ia menentukan setiap aspek melalui cara perkataan-perkataan itu dipersembahkan

Oleh kerana perkataan-perkataan adalah sangat penting dalam mesej komunikasi, cara kata-kata itu dipersembahkan, membentuk satu ikatan yang penting di antara maksud kata-kata dan bagaimana kata-kata itu dilihat. Paul Martin Lester menggariskan enam perspektif dalam tipografi. (2005, ms 124). Aspek-aspek tersebut ialah melalui;



1. Perspektif Kendiri (Personal Perspektif)

Aspek ini merujuk kepada sifat-sifat dan rupabentuk tipografi itu sendiri seperti bagaimana menentukan jenis-jenis mukataip yang terbaik, saiz, warna, penggunaan huruf dan menentukan ukuran huruf-huruf tersebut.

2. Perspektif Sejarah (Historical Perspektive)
Walaupun seni tipografi secara rasminya bermula dari edisi pertama Kitab Gutenberg, tipografi berhubung secara langsung kepada sejarah penulisan. Peletakan mesej-mesej yang simbolik pada medium persembahan sudah bermula pada 20,000 tahun lamanya. Kaitan antara penulisan dan tipogarafi melibatkan empat tingkat pembentukan iaitu lukisan, penulisan, hot type production (prosuksi jenis panas-penggunaan logam dalam kaedah percetakan) dan cold type production (produksi jenis sejuk-penggunaan digital atau pengkomputeran)

3. Perspektif Teknikal (Technical Perspective)
Dalam menganalisa kepenggunaan mukataip dalam percetakan atau komunikasi skrin, pilihan perlu mempertimbangkan stail mukataip yang pelbagai, warna, huruf, saiz blok teks, pengimbangan dan ruang putih

4. Perspektif Etika (Ethical Perspective)
Masalah yang serious kepada pencipta typography ialah bagaimana hendak melindungi hasil kreativiti mereka. Mengubah versi taip yg lain daripada taip yang asal adalah tidak beretika dan sesetengahnya tidak membenarkannya.

5. Perspektif Budaya (Cultural Perspective)
Oleh kerana tipografi memberikan stail kepada artis terhadap sesebuah teks yang berhubungan dengan apa-apa sahaja bentuk seni kepada budaya tertentu kepada zaman tertentu, sejarah tipografi boleh dibahagikan kepada lima era terpenting iaitu;


1) Pra-Guternberg (sebelum tahun 1456)
2) Guternberg (1456-1760)
3) Industri (1761-1890)
4) Artistik (1891-1983)
5) Digital (1984 dan kemudiannya)
6. Perspektif Kritis (Critical Perspective

Apabila sejarah tipografi dilihat sebagai salah satu daripada sejarah penulisan yang luas, ianya semakin jelas menunjukkan bahawa dalam media cetak atau media skrin, perlulah bersifat ekspresif, mempunyai elemen-elemen grafik dengan kualiti emosi yang menjangkau maksudnya yang sebenar.

IMAJAN DALAM PUISI TIPOGRAFI
Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut tentang kinetik tipografi dalam puisi, seharusnya dibincangkan beberapa perkara penting dalam puisi tipografi iaitu imajan dan simbol yang kebiasaannya mewakili huruf di dalam puisi.
Istilah imej di dalam puisi merujuk kepada ‘unsur-unsur kata yang melahirkan kesan, tanggapan akal – sepintas lalu atau dengan lebih mendalam ke atas pembaca. Kesan atau perasaan yang dilahirkannya itu mungkin terbit melalui salah satu daripada pancaindera manusia: penglihatan, pendengaran, sentuhan, bauan atau rasaan atau lahir dari keseluruhan pancaindera sekaligus. (Ali Ahmad, 1971, 25)

Dalam tipografi kinetik ini, bukan sahaja hanya mengaplikasikan indera visual malah kesemua indera juga dapat turut berfungsi. Melalui indera visual, imej mental mampu menangkap cahaya, warna, pergerakan dan juga bentuk. Selain itu, indera dengar dan indera rasa akan turut terlibat kerana untuk mengukuhkan pergerakan visual, kinetik tipografi juga mampu mengaplikasikan penggunaan audio yang melibatkan indera dengar. Kedua-dua indera ini yang digabungkan akan menghubungkan deria rasa dengan meninggalkan kesan terhadap khalayak.

PERANAN TIPOGRAFI DI DALAM PUISI
Tipografi mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Selain daripada menjadi alat komunikasi, ia juga sebagai alat untuk menghantar maksud. Kata-kata lisan tidak mampu didokumentasikan tanpa huruf. Generasi akan datang juga tidak mampu mengetahui sejarah silam bangsa dan masyarakat mereka. Tipografi berfungsi untuk mencipta personaliti mesej untuk dihantar kepada khalayak. Ia juga mampu berkuasa sebagai medium dalam tindak balas komunikasi manusia.

Typography is not just about communication in a clinical sense; it really is about expressing emotion or grandeur…whether it’s lyric poetry or death metal lyrics or love notes, it really does need to express, really does need to capture the spirit of the moment. (Joe Clark, 2005)

Melalui tipografi, pembaca dapat merasai maksud visual yang dihantar melalui hasil seni. Oleh kerana sifatnya yang amat rapat dengan sastera, ia tidak akan lengkap melalui kemahiran menulis tanpa mengaplikasikan proses penghasilan. Sebagai alat untuk memvisualisasikan puisi, peranannya adalah untuk melihat, merasai dan berkomunikasi seperti yang dinyatakan di dalam kenyataan di bawah;

Typography suffers from a severe image problem. Most people either don’t realize there is such a thing, or they think it is the choice between Times and Arial. (Carolyn Brown, 2004)

Tipografi ialah alat kritikal dalam komunikasi visual sebahagiannya kerana ia mampu membangkitkan emosi manusia melalui gabungan bentuk dan teks naratif. Perasaan manusia mampu menjadi mendorong manusia mencipta imej-imej dalam persekitaran manusia tersebut. Emosi mempunyai kuasa yang kuat dan ia mampu digunakan sebagai wakil untuk membawa kualiti yang unik terhadap seseorang individu tersebut.

Typography can function by delivering a message, just as a postman delivers a letter, but it can also provide the elements and inspiration for an uninhibited play. Through play we experience the pure joy of typographic expression, and our eyes and minds are open to new ways of solving problems (Rob Carter, 1997, p. 25).
BENTUK-BENTUK PUISI TIPOGRAFI
Kemunculan puisi tipografi ini bukanlah sesuatu yang baru. Tradisi ini dikatakan bermula pada tahun 840-an masihi yang berbentuk puisi corak. Puisi yang dapat dikesan ialah yang ditulis oleh Hrabanus Maurus (784-865) iaitu dalam bentuk berpalang berbentuk mesositik (Sukri Mohamad Ali 1991, ms 7). Kesemua puisi ketika abad ini hadir dalam bentuk Greek sehingga kepada sajak-sajak labyrinth dan berkembang dalam abad ke-20. Zaman kegemilangan tipografi moden muncul pada 20 Februari 1909 dengan kehadiran Marinetti dalam Le Figaro iaitu sebuah akhbar Perancis. Kemudian muncul pula gerakan-gerakan Futurism, Dadaisme, Suprematisme dan Konstruktivisme yang turut meniru sajak berbentuk ini. (Sukri Mohamad Ali, 1991)

Puisi-puisi atau sajak Melayu agak lambat berkembang dari segi bentuknya. Bentuknya mula memperlihatkan perubahan baru sekitar tahun 30-1n setelah kedatangan Harun Amin al-Rashid melalui sajak “Oh Sarikoe” dan kemudiannya Md Yassin Maamor atau Pungguk iaitu “Angan-angan dengan Gurindam” yang mula menyimpang dari bentuk puisi biasa seperti pantun, syair, gurindam atau seloka.

Pada tahun 50-an, penulis-penulis mula memberi perhatian terhadap sajak-sajak dan mula bereksperimen dengan pelbagai pola tipografi. Muncullah Suhaimi Haji Muhammad yang digelar ‘reformis teknik persajakan Melayu’. Penerbitan Bumi Hijau iaitu kumpulan sajak pada tahun 1971 dikategorikan sebagai puisi konkrit. Puisi-puisi ini jelas berbeza dari segi bentuk puisi biasa dengan menggunakan teknik diagram.

Sajak-sajak seperti ini mula berkembang pada tahun-tahun 70-an dengan kehadiran beberapa penyair seperti A.Latif Mohiddin, Hazrami A.R., Siti Zainon Ismail, Dinsman, Abdul Ghafar Ibrahim, Puzi Hadi dan beberapa penyair lain.

Zaman kemuncak puisi tipografi ialah pada tahun 1980-an melalui karya-karya yang agak sukar difahami dan dihayati iaitu Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Kamal Abdullah, Ismail Abdullah dan Puzi Hadi. Seterusnya sajak seperti ini berkembang lagi pada tahun-tahun 1980-an dengan kehadiran beberapa lagi pengkarya seperti Anwar Ridhuan, T.Alias Talib, Ladin Nuawi dan beberapa lagi. Walaubagaimanapun, tidak ramai yang benar-benar serius dan produktif dalam puisi seperti ini.



KINETIK TIPOGRAFI DALAM MEDIA ELEKTRONIK
Kajian yang mendalam mengenai tipografi di dalam puisi sangat jarang disentuh. Tidak banyak kajian tentang tipografi terhadap puisi dijalankan. Malah, tidak ramai pengkarya yang menekankan aspek tipografi di dalam puisi-puisi mereka. Di antara pengkarya yang sering bereksperimen di dalam bentuk puisi ialah seperti yang dinyatakan sebelum ini iaitu A.Ghafar Ibrahim, Puzi Hadi dan Ismail Abdullah. Kreativiti mereka di dalam karya telah banyak merubah corak dan bentuk puisi di Malaysia.

Puisi tipografi ini biasanya dikenali dengan beberapa nama lain seperti puisi konkrit (concrete poetry) atau puisi corak (pattern poetry) iaitu puisi yang bersifat visual yang keindahannya bukan sahaja terletak pada bahasanya tetapi juga melalui penglihatan atau visual. Unsur-unsur tipografi ini bertujuan untuk memberi nada kepada sesebuah puisi tersebut. Nada di dalam puisi ialah sesuatu yang berhubung dengan corak isi hati yang dilahirkan oleh penyair. (Ali bin Ahmad; 19).

“....an image, which, like a picture, may take the place of a thousand words.”

Menulis puisi tidak hanya berdasarkan teks sahaja. Ia juga boleh menggunakan konsep Tri-V dan elemen-elemen lain. Kebanyakan khalayak pembaca menganggap puisi merupakan medium verbal namun sebenarnya lebih daripada itu. (A.Ghafar Ibrahim: 2006). Melalui pemerhatian yang dilakukan terhadap puisi media, sangat jarang penulis puisi Melayu mengimplementasikan elemen multimedia di dalam puisi mereka terutamanya menggunakan teknik tipografi

Kinetik tipografi merupakan bidang yang agak baru dalam motion graphic yang menggunakan perkataan-perkataan untuk mengilustrasi konsep. Penambahan elemen-elemen pergerakan dan masa memberikan keupayaan yang dapat memperkayakan kemajuan dalam tipografi ekspresif.

Kinetik tipografi ini merupakan satu usaha untuk menarik ‘mata’ atau pandangan khalayak terhadap puisi terutamanya bagi golongan bukan sastera sebagai langkah untuk berjinak-jinak di dalamnya. Ini merupakan pendekatan berbeza kerana kebiasaannya puisi siber hadir dalam bentuk konvensional tanpa elemen-elemen multimedia.

Terdapat banyak puisi di dalam multimedia tetapi kebanyakannya bersifat ‘menggunakan multimedia tetapi tidak mengaplikasikan penggunaan multimedia’. Puisi yang menggunakan multimedia ialah puisi-puisi yang ‘mengalami proses menulis’ mungkin mengambil masa tidak sampai lima minit untuk berkarya, kemudian menghantar ke mana-mana laman web atau blog malah kadang-kadang tidak sempat disunting. Puisi-puisi seperti ini sama sahaja seperti konvensional cuma menggunakan wahana multimedia.

Manakala dikatakan puisi multimedia ialah menggunakan salah satu elemen-elemen multimedia atau kesemua elemen multimedia. Puisi sebegini agak sukar kerana melibatkan pelbagai proses kreatif dan penggunaan software yang banyak. Ianya amat jarang dilakukan kerana mengambil masa yang lama dan perlu kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dalam bidang perkomputeran.


Puisi siber yang amat popular di Malaysia dan barangkali Indonesia ialah e-sastera yang mewakili laman web untuk karya-karya Melayu.

Eduardo Kac iaitu pemula kepada puisi eksperimental moden Barat dalam ruang siber terutamanya dalam puisi kinetik tipografi telah menghimpun satu antologi puisi-puisi visual. (Eduardo Kac; 2007) Buku ini memuatkan beberapa bentuk puisi yang dihasilkan dengan mengaplikasikan elemen-elemen multimedia.

DI MANA PUISI KINETIK TIPOGRAFI MAMPU HADIR?
Puisi kinetik tipografi ini biasanya dibina dengan kadar masa yang agak pendek atas beberapa faktor kendiri berdasarkan bentuk puisi itu sendiri. Atas sebab ini, puisi ini mampu dan berupaya dimuat turunkan ke dalam ruangan siber yang mempunyai kapasiti muatan yang rendah seperti Youtube, ruangan web sastera elektronik dan ruangan-ruangan sosial web seperti Myspace, Friendster, Facebook, Skype dan lain-lain.
Puisi ini juga berupaya dipaparkan melalui telefon mudah alih sebagai klip video dan dapat dihantar dengan mudah kepada khalayak yang lain. Telefon merupakan alat yang amat penting pada masa sekarang dan setiap individu mempunyainya. Dengan cara ini, puisi multimedia mampu disebarkan dengan mudah dan meluas kepada setiap orang. Ia juga sesuai untuk dimuatkan sebagai koleksi menggunakan gajet-gajet seperti ipod atau pemain media.
Masyarakat di Malaysia kebanyakannya tidak mengenali penulis-penulis terkenal berbanding penyanyi atau pelakon filem. Apatah lagi, media banyak memberi ruangan kepada golongan ini. Tidak banyak usaha dijalankan oleh media elektronik untuk mengangkat penulis atau pengkarya sastera ke tengah. Untuk memperkenalkan penulis-penulis puisi yang prolifik dan sering diabaikan oleh media, kinetik tipografi ini mampu menjadi batu loncatan dan salah satu pengenalan kepada khalayak terutamanya puisi untuk berjinak-jinak dengan dunia sastera. Oleh kerana sifatnya yang pendek, bervisual dan amat mesra dengan ‘mata’, puisi ini mampu menjadi klip video yang menarik sebagai selingan atau iklan di dalam stesen-stesen televisyen. Walaupun mungkin tidak banyak mengubah situasi sastera, namun ia mungkin sebagai dimensi baru bagi dunia penulisan puisi.



Kesimpulan
Kinetik tipografi dalam puisi merupakan satu kajian yang masih baru di Malaysia dan jarang diambil berat oleh pengkaji. Malahan penciptaan karya-karya puisi dalam bentuk ini juga hampir tidak ada berbanding dalam bentuk lain seperti puisi bunyi, puisi montaj, atau puisi deklamasi.

Walaupun kinetik tipografi ini kebiasaannya digunakan untuk klip lagu dan selalu juga sebagai pengenalan untuk tajuk babak dalam filem untuk motion clip dan sebagainya, ia juga mampu mengekspreskan puisi melalui pergerakan huruf. Walaupun ada sesetengah khalayak tidak menggemari puisi jenis ini, namun ia merupakan salah satu puisi multimedia yang tidak dapat dielakkan dalam ruang siber yang begitu cepat beredar.

BIBLIOGRAFI


BOOKS
Abdul Aziz Bari. (2006). Perlembagaan Malaysia, Asas-asas dan Masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anis Sabirin. (1989), Mengenal Puisi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Hj. Omar. (1995). Bahasa Kesusasteraan Klasik Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azahar Harun. (2006). Asas Tipografi dan Reka Letak Taip. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA)

Drs. Umar Junus. (1976). Perkembangan Puisi Melayu Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Eduardo Kac. (2007). Media Poetry, An International Anthology. Chicago USA: Intellect Bristol.

Francois, Rene Dailie, (1990). Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Frederich Friedl, Nicolaus Ott and Bernard Stein. (1998). New York: Black Dog & Leventhal Publishers.

Harry Aveling (trans.), Harun Mat Piah et al. (2002) Traditional Malay Literature, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harun Mat Piah, (2006) Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hizairi Othman. (1996). Kreativiti Dalam Penciptaan Karya Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Institut Bahasa. (1994). Strategi Pendidikan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail, A.M. (2004). Intipati dan Falsafah, Penyair Laut, J.M. Aziz. Kuala Lumpur: Percetakan Watan.

Masuri S.N (1968). Puisi Moden, Kumpulan Ceramah dan Tulisan, Penerbitan Pustaka Nasional, Singapura.

Matt Woolman. (2005). Type In Motion. United Kingdom: Thames & Hudson Ltd.

Mohd Amran Daud. (2006) Prosiding, Pemikiran Sasterawan Negara, Usman Awang. Selangor Darul Ehsan: Percetakan Dawama Sdn. Bhd.

Misran Rokimin (2006). Isu Pendidikan & Pembangunan Insan Menerusi Novel. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Newman, B. (1980). Modern Malaysian Poetry. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh. (1998). Tanggapan Terhadap Kesusasteraan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Rahman Shaari.(2005) Anjung Deklamator. Kuala Lumpur: Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.

Rahman Shaari. (2002). Esei & Puisi Baha Zain, Tentang Penulis dan Persekitarannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rejab F.I. (1986) Seribu Riak di Pantai Usia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Richard Kegler, James Grieshaber, Tamye Riggs. (2002) Indi Fonts, A Compendium of Digital Type From Indipendent Foundries. China: Rockport Publisher

Richard Kegler, James Grieshaber, Tamye Riggs. (2003) Indi Fonts 2, A Compendium of Digital Type From Indipendent Foundries. China: Rockport Publisher.

Rob Carter.(1997). Experimental Typography. New York: Watson Guptill Publications.

Sahlan Mohamad Saman. (2005) Sejarah Kesusasteraan Melayu: Puisi, Penerbit Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Sahlan Mohamad Saman, Shaiful Bahri Md. Radzi (2005). Persuratan Melayu Tradisional ke Moden. Bangi: Penerbit UKM.

Sohaimi Abdul Aziz. (2003). Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, Pencari dan Pemikir. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

S. Takdir Alisjahbana. (1967). Puisi Baru. Selangor: Zaman Baru Limited.

Talib Samat (2004). Memahami Isu-Isu Kesusasteraan, Kebudayaan, Pemikiran & Pendidikan. Shah Alam: Karisma Publicatons Sdn. Bhd.

Shahnon Ahmad (1991). Sastera Sebagai Seigmograf Kehidupan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sastera Melayu dan Tradisi Kosmopolitan, Kertas Kerja Hari Sastera ’85. (1987). Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Talib Samat (2004). Memahami Isu-Isu Kesusasteraan, Kebudayaan, Pemikiran & Pendidikan. Shah Alam: Karisma Publicatons Sdn. Bhd.

Tengku Mohd Tengku Sembok. (2007). Bahasa, Kecerdasan dan Makna. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

X.J. Kennedy, Dana Gioia Tenth Edition. (2001) An Introduction to Poetry, Longman New York: Longman Publishing.

Zahir Ahmad. (1991). Naskhah Melayu Jilid Satu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



MAGAZINES
Shahnon Ahmad (2007, April) Memetamorfosiskan Sasterawan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Ahmad Ismail (2007, April) Genre Sastera yang Semakin Sempit. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih dengan keprihatinan anda. Anda dialu-alukan meninggalkan komen dan pesan untuk setiap isu yang dipapar. Setiap komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab anda sebagai pembaca, tidak menggambarkan pandangan peribadi atau pemikiran MaharamDotCom. Sila pastikan anda memenuhi susila masyarakat Timur yang mengutamakan adab sopan. Sebarang komen yang jelas bertujuan menghina, menghasut, menimbulkan suasana tidak aman dan benci sesama manusia tidak akan disiarkan. Sebarang komen yang "tidak bernama" tidak akan dilayan biar berapa bagus pendapat dan cadangan anda. Sila ada rasa tanggungjawab dengan tulisan sendiri. Harap maklum.