Pages

Showing posts with label Arenawati. Show all posts
Showing posts with label Arenawati. Show all posts

Friday, January 30, 2009

ArenaWati: Dua X Pertemuan

Khamis, 29 Januari 2009 di
Godam: Sastera tanpa noktah buat Arena Wati
Bersama Salbiah Ani

MASIH lekat dalam ingatan penulis detik pertama kali bertemu Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Arena Wati, ketika ditugaskan menemuramahnya oleh mantan pengarang Sastera Berita Harian, Allahyarham AR Kamaluddin, bagi mendapatkan reaksi mengenai mogok seni kedua SN, Datuk (Dr) A Samad Said kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Rasa gentar menguasai diri ketika memujuk Allahyarham untuk sedia ditemu bual di hadapan pintu rumahnya di Kepong, tanpa membuat sebarang temu janji kerana mereka yang rapat dengannya, sememangnya tahu Arena Wati enggan memiliki telefon bagi mengelakkan dirinya daripada diganggu ketika berkarya. Degupan jantung yang kencang pada awal pertemuan, melayang pergi apabila wawancara akhirnya berlangsung hampir tiga jam dengan penulis bersimpuh di atas lantai sambil menulis di atas meja, manakala Allahyarham duduk di kerusi dan kebetulan tidak sihat pada masa itu.

Pertemuan itu, turut membuka peluang kepada penulis untuk melihat sendiri beberapa jenis ubat yang perlu diambil saban hari dengan membelinya di klinik swasta tanpa merungut, meskipun dirinya layak mendapatkannya daripada hospital kerajaan sesuai dengan kedudukannya sebagai SN, sebab pilihannya adalah mutu. Dalam pertemuan itu juga, Allahyarham menyatakan pendirian tidak masuk campur dalam hal yang membabitkan DBP dan dapat penulis rasanya betapa ada sesuatu yang dipendam dan enggan dikongsi sehingga trilogi karyanya, Armageddon yang memuatkan Mandala, Menora dan Pentagon, dibiarkan beberapa lama tanpa penerbit.
Kesediaannya membiarkan triloginya itu tanpa penerbit dan terus gigih menyiapkan Pentagon, satu daripada tiga triloginya itu yang tertangguh kerana rasa belum berpuas hati dengan fakta yang diperoleh, menyedarkan penulis betapa nyala cinta Allahyarham kepada dunia penulisan kreatif sentiasa membara dan tidak mungkin diganggu gugat.

Trilogi Armageddon yang bahannya dikumpul sejak 1974 seperti pengakuan Allahyarham pada wawancara dengan penulis, hanya mula digarap pada 2001 dan akhirnya diserahkan kepada Penerbit UKM untuk diterbitkan sebelum menemui pembaca pada 2005. Allahyarham mengaku tergerak untuk menangani trilogi Armageddon ketika berada di Jeddah ekoran perasaannya tertekan dengan peristiwa sekatan minyak oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec) kepada Eropah dan Amerika dalam usaha melawan Yahudi, tetapi gagal selepas Arab Saudi berlaku khianat.
Pertemuan kedua penulis dengan Allahyarham pada Mei 2003 ketika Arena Wati dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera yang pertama kali diperkenalkan dengan hadiah ditaja Kerajaan Brunei Darussalam, berlangsung dalam suasana ceria pagi. Penulis disambut Arena Wati dengan kata-kata, “Apa yang kau hendak budak.” dan berlangsung lebih sejam di satu ruang legar Dewan Bankuet, diakhiri dengan laungan, “Kau tengok budak perempuan ni, pagi-pagi hari dia hendak menyakitkan hati aku.”

Mereka yang mendengar laungan Arena Wati di Laman Karyawan DBP pada pagi itu, pasti menyangka Salbiah Ani dimarahi, tetapi hakikatnya ia seloroh pengarang itu kerana beliau berlalu pergi dengan wajah menyimpul senyum, manakala penulis memperoleh jawapan untuk kolum Bicara Pengarang yang diperkenalkan pada 2003 di laman Sastera, Berita Harian. Dua pertemuan dengan Allahyarham juga memadamkan segala tanda tanya mengenai kemarahannya kepada Gabungan Persatuan Penulis Muda Kelantan (Gema) ketika menjemput Arena Wati sebagai panel pembicara pada bengkel penulisan di Kota Bharu dan membenarkan kata-kata bahawa beliau manusia yang berpegang kepada janji.
Daripada tampangnya yang serius, sesiapa juga dapat menduga bahawa beliau tegas dalam pendirian dan langkahnya ke setiap majlis wacana di DBP dalam keadaan lengkap bersongkok dan bertongkat selagi tidak uzur, membuktikan kasihnya yang tidak bertepi kepada dunia sastera tanah air. Sesungguhnya Arena Wati tidak pernah menganggap dirinya berada pada kedudukan tinggi dan dalam kesibukan membaca beberapa bahan rujukan untuk menangani triloginya, ciri khas Allahyarham dalam dunia sastera Malaysia, beliau tetap mengikuti perkembangan generasi muda dalam dunia sastera.
Dalam pertemuan itu Allahyarham mengakui sesetengah pengarang muda mengatasi sasterawan tersohor dan menasihatkan mereka mementingkan ilmu dengan meluaskan bacaan dalam pelbagai bidang ilmu biarpun selepas tamat pengajian di universiti, bagi membolehkan karya mereka mendapat pengiktirafan selain tidak diperlekehkan. Tidak mungkin juga akan penulis lupakan kenyataan apabila ditanya perasaannya ketika dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera 2003, “Saya bersyukur. Tidak terlalu gembira kerana nanti mati dalam kegembiraan. Anugerah ini satu lagi cabaran yang diletakkan di bahu dan saya junjung. Jangan beri anugerah hanya untuk melihat keris atau badik lama. Nama dan gambar disiarkan, tetapi karya apa pun tidak ada selepas itu. Nilai dulu yang kita capai, boleh dicapai anak muda sekarang.” Tidak keterlaluan untuk dikatakan iltizamnya dalam dunia sastera banyak dipengaruhi pengalaman selama sembilan tahun sebagai pelaut yang turut membuka keajaiban dunia ilmu dalam buku kepada Arena Wati atau nama sebenarnya, Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, anak kelahiran Makasar, Indonesia. Kelebihan ilmu dalam karyanya juga yang turut memungkinkan Allahyarham dilantik sebagai Felo di Universiti Cornell, Amerika Syarikat; Universiti Leiden, Belanda; Universiti Kyoto, Jepun; Karyawan Tamu UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia penyelidik di Yayasan Sabah dan Penulis Tamu di DBP.

ArenaWati

Belasungkawa: Karya sarat nasihat pertahan jati diri Melayu
Oleh Salbiah Ani dan Nazmi Yaakub


SASTERAWAN Negara (SN), Arena Wati, 84, yang pulang ke rahmatullah awal pagi semalam adalah lambang kegigihan pengarang negara ini dalam menghasilkan karya yang sarat dengan kritik sosial dan peringatan kepada bangsa Melayu agar tidak hilang jati diri. Allahyarham juga dilihat sebagai pengarang yang tinggi semangatnya terhadap kewujudan bangsa Melayu dengan menjadikannya sebagai perjuangan sepanjang hayat. Dilahirkan di Makasar, Indonesia, pada 30 Julai 1925, Arena Wati atau nama sebenarnya Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, berkelana ke Singapura dan akhirnya memilih Malaysia sebagai bumi untuk menetap.

Mula menulis seawal usia 22 tahun selepas menghabiskan usia remaja sebagai pelaut selama sembilan tahun, Arena Wati pernah terbabit dalam dunia kewartawanan dan penerbitan dengan menyertai majalah Hiboran di Singapura; Penerbitan Melayu Ltd (Johor Bahru); Percetakan Light (Bandar Seri Begawan) dan Pustaka Antara (Kuala Lumpur). Novel keempatnya, Tumbangnya Pokok Tak Berlangit yang kemudian ditukar judul kepada Lingkaran melonjakkan namanya apabila meraih tempat ketiga Peraduan Mengarang Novel Sempena 10 Tahun Merdeka. Sandera ditulis pada 1969 pula dianggap antara novel terbaiknya dan diangkat sebagai salah satu teks untuk Kertas 2 Bahasa Malaysia Sijil Tinggi Pelajaran (STP) dari 1960-an hingga 1980-an.

Arena Wati turut dikenali sebagai pengarang yang banyak melahirkan novel dalam bentuk trilogi dan menjadi ikutan penulis mutakhir, bermula dengan Bunga dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak ia diikuti dengan trilogi Pantai yang menghimpunkan Pantai Harapan, Turina serta Citra. Trilogi Busa pula merangkumi Busa Hati, Busa Sukma dan Busa Kalbu yang diikuti trilogi Armageddon dengan jilid Mandala, Menora dan Pentagon serta trilogi terbarunya iaitu novel Samira, kumpulan cerpen Antara Manusia dan teks drama lima babak, Kepala Bapak Itu. Kepengarangannya diperakukan pada peringkat serantau melalui Anugerah Penulisan Sea 1985, Anugerah Sastera Negara (1987) dan Anugerah Sastera Mastera (ASM) 2003 daripada Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera). Allahyarham turut menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam Kesusasteraan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada 2003 dan diberi penghormatan sebagai Karyawan Tamu UKM pada 1985 hingga 1989.

Arena Wati juga dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga 1990 dan Felo di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (AS); Universiti Leiden, Belanda serta Universiti Kyoto, Jepun. Sementara itu, Ketua Bahagian Agama dan Tamadun Islam (DBP), Azmi Ibrahim, yang menguruskan penerbitan beberapa karya Arena Wati antaranya novel, Sukma Angin dan drama, Kutukan Dari Langit, menyifatkannya sebagai insan yang sangat berpegang kepada janji dan bersedia menerima penjelasan. Pegawai Perancang Bahasa DBP, Mohd Hanafi Ibrahim, berkata novel Allahyarham paling mendapat perhatian di kalangan pengkaji sehingga kini adalah Lingkaran yang diterbitkan pada 1965, meskipun banyak karyanya lahir selepas itu. Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal, pula berkata, Arena Wati menjadi contoh penulis yang gigih dan tidak pernah mengalah untuk meluahkan pendiriannya melalui kesusasteraan.