Pages

Showing posts with label penulis. Show all posts
Showing posts with label penulis. Show all posts

Sunday, September 5, 2010

Etika dalam Penulisan

Di Malaysia, setiap orang yang terlibat dalam penulisan sama ada secara bercetak atau secara maya perlu menyedari tentang beberapa perkara yang perlu mereka patuhi. Perkara yang sangat perlu dipatuhi setiap orang apabila menulis adalah;

i. Etika penulisan

ii. Akta dan undang-undang negara

iii. Kepelbagaian bangsa, agama dan kepercayaan di Malaysia

iv. Beberapa perkara sensitif yang tidak boleh disentuh dan dibincangkan secara terbuka

Friday, March 20, 2009

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009


Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 (PPMN 2009) bertemakan “Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran”.

Tarikh: 17 hingga 19 April 2009
Tempat: Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka
Yuran: RM 30
Syarat: Penulis berusia bawah 40 tahun
Anjuran: Biro Penulis Muda, PENA
Antara matlamat PPMN 2009 ini untuk mengintrospeksi perjuangan penulis muda hari ini setelah negara melalui cabaran 50 tahun mengekalkan kemerdekaan negara. Selain daripada pembentangan kertas kerja, PPMN 2009 ini membuka ruang diskusi penulis muda mapan dan baru.
Pendaftaran boleh dibuat melalui persatuan penulis yang dianggotai, atau mendaftar secara persendirian.
Borang pendaftaran hendaklah tiba ke meja urus setia sebelum 8 April 2009.
Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, sila hubungi
Saifullizan Yahaya (03-2148 2480 - saif@dbp.gov.my),
Wan Zaida Hj. Wan Yussof (013-691 5266 – nuhamelissa@yahoo.com),
atau
Muhammad Lufti Ishak (013-2650 876).

Friday, January 30, 2009

Islam dan Penulisan

Artikel ini dipetik dari berita Harian, selasa 27 januari 2009 yang boleh dilayari di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20090119222950/Article/
Tajdid Iman: Cetek agama punca penulisan anti-Muslim

Penulis jahil sering salah guna blog, internet untuk persenda kemuliaan ajaran Islam
LAUNGAN slogan kembali kepada Islam menimbulkan reaksi pelbagai lapisan masyarakat. Ada bersikap prejudis penuh kecurigaan dan menganggap sebagai seruan kembali kepada kemunduran, semua serba haram dan bayangan kerumitan dalam melaksanakan nilai ajarannya. Wujud juga golongan mahu mengambil kesempatan terhadap Islam, mereka mengambil semangat Islam untuk kepentingan peribadi. Ada pula golongan yang Islamnya hanya kulit, mereka menggunakan Islam pada saat diperlukan untuk mendapat keuntungan duniawi.

Sementara inti ajaran Islam yang mengatur seluruh dimensi kehidupan dicampak bagai sampah tidak terpakai. Lalu, bagaimanakah sikap seorang Muslim ketika menyahut seruan ini? Sudahkah dikaji keaslian Islamnya bersih daripada penyelewengan akibat percampuran fahaman buatan manusia seperti kapitalisme, sosialisme, nasionalisme, liberalisme, hedonisme dan pelbagai isme lainnya. Apakah Islam yang dianuti itu bebas sama sekali daripada pengaruh transformasi budaya yang sudah membuka pintu dunia seluas-luasnya? Atau masih digigit dengan gigi geraham peninggalan nenek moyang tanpa usul periksa?

Untuk itu, sesiapa yang mahu hidup dalam pimpinan Islam yang benar hendaklah kembali kepada asal. Hanya pendedahan ilmu yang boleh menjawab semua persoalan itu kerana pusaka nabi yang tidak akan hilang ditelan zaman. Pada masa teknologi maklumat yang semuanya serba hebat dan cepat seperti sekarang, muncullah Islam yang terpampang di blog ciptaan manusia. Ramai pula orang Islam yang mencari hidayah Allah dengan belayar di lautan siber tanpa sempadan. Hakikatnya pemikiran dan fahaman dipaparkan dalam blog berkenaan perlu dikaji, diuji dan diperiksa kesahihannya, adakah benar ia tidak menyalahi al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Proses mencari ilmu tidak boleh terlepas daripada amalan membaca, berdialog bersama ulama dan melakukan perbandingan kajian secara bertanggungjawab. Boleh jadi, ajaran sesat sudah menyusup masuk tanpa disedari melalui teknologi maklumat dengan begitu mudah. Sikap menerima dan mengikut secara membuta-tuli tanpa usul periksa dan mencari daripada sumber lain boleh memudaratkan seorang penuntut ilmu.

Mencari kebenaran Islam mestilah dipandu oleh ulama yang amanah dengan ilmunya. Jangan pula taksub kepada seseorang dan menolak pandangan ulama lain. Ada kala hujah dinyatakan dalam blog sebegini terlalu miskin ilmu umpama perbualan di kedai kopi dengan memperguna dalil al-Quran dan hadis yang disalah guna, lebih teruk lagi sikap hentam dan caci maki, fitnah dan kebencian mula menjadi aliran dihalalkan dalam blog yang kononnya berlandaskan Islam itu. Islam yang begitukah boleh diharap membangkitkan jiwa umat supaya berjuang memartabatkan agama? Tidak nampak keindahan ketika membaca maklumat yang bertajuk Islam tetapi berisi sumpah seranah tidak bertamadun.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Setiap Muslim itu bersaudara, maka jangan kamu menganiaya dan menghina saudaramu. Takwa itu ada di sini (me-nunjuk dada tiga kali). Seseorang cukup dianggap jahat apabila ia menghina saudara muslimnya, setiap Muslim diharamkan darah, harta dan kehormatannya." (Hadis riwayat Muslim)
Bukankah satu ayat yang ditulis itu akan menjadi saksi bagi penulis pada hari kiamat nanti, adakah dia berkata jujur atau menipu manusia atas nama Allah dan Rasul-Nya? Seperti sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya kebenaran itu menunjukkan jalan kebaikan dan kebaikan pula memimpin ke syurga. Sesungguhnya seseorang itu bersikap jujur (siddiq) sehingga ditulis di sisi Allah sebagai orang yang siddiq.
Sesungguhnya dusta itu menunjukkan kepada jalan kemaksiatan dan maksiat menunjukkan pada neraka. Sesungguhnya seseorang itu berbuat dusta hingga ditulis di sisi Allah sebagai pendusta." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi) Melalui tulisan, seorang penulis boleh membuka mata hati manusia dan menolongnya mencari cahaya Allah di atas jalan yang diredai. Tetapi tidak mustahil dia bertanggungjawab menjerumuskan manusia dengan tulisan ke lembah gelap, penuh kebencian dan membutakan hati. Oleh itu, pencari Islam mesti mengikuti arahan al-Quran dalam mengumpulkan maklumat supaya mereka tidak tersesat dalam pencariannya.
Firman Allah bermaksud; "Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Penulis mesti bersikap adil dalam memandang suatu isu. Sikap fanatik dengan pandangan sendiri biasanya terbentuk kerana mereka tidak berminat bermuzakarah dan berbincang dengan orang berlainan pendapat dengan mereka. Tertutup pintu musyawarah dan usaha menganalisis kesahihan maklumat antara mereka. Keadaan mereka seperti diceritakan al-Quran bermaksud: "Iaitu orang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka." (Surah al-Rum, ayat 32)
Apabila sikap fanatik itu mencapai puncaknya, kadang-kadang mereka berdusta atas nama Rasulullah SAW untuk menguatkan hujah mereka tanpa takut lagi atas ancaman neraka. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja dia sudah menempah tempatnya dalam neraka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di manakah kedudukan ilmu jika hati mereka dipenuhi kebencian dan permusuhan. Keadaan sebegini bukan hanya ditemui di internet bahkan di masjid yang mengadakan majlis ilmu pun dijumpai sikap tak beradab yang semestinya dikawal oleh seorang penuntut ilmu. Tidakkah mereka melihat keagungan Al-Imam Al-Syafi'ie yang mencari ilmu daripada pelbagai sumber dan manhaj. Beliau bersedia menerima pandangan guru mempunyai manhaj dan kaedah berlainan. Beliau pernah berguru dengan Imam Malik, bahkan pernah dikatakan berguru pada guru berfahaman Muktazilah dalam menzahirkan ilmu kalam tetapi tidak pernah mengakui bahawa beliau termasuk daripada golongan Muktazilah. Sesungguhnya penyelewengan di atas jalan ilmu terjadi apabila matlamat akhir dalam mencari ilmu itu berada pada puncak kepuasan hawa nafsu. Penulis dan pembaca blog yang bernafaskan Islam akan mendapatkan faedah dan ganjaran serta keluasan ilmu daripada aktiviti mereka jika mereka mengamalkan adab yang dituntut al-Quran dan hadis kepada seorang pencari hidayah antaranya:

Meletakkan sumber utama bagi setiap pandangan berasaskan al-Quran dan hadis.
Berbuat adil dan menghormati kewibawaan, ketokohan dan pandangan orang lain walaupun bertentangan dengan pendapat peribadi seperti seruan Al-Quran bermaksud: "Jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Maidah, ayat 8)

Tidak terikat dengan taklid buta dan semangat asabiyah yang memandulkan kajian ilmiah.
Ikhlaskan niat, bersihkan hati dan meletakkan matlamat mencari ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengenal kelemahan diri dan memperbaiki hubungan sesama manusia.

Sentiasa mengemaskini maklumat dan menganalisis semula maklumat dengan melakukan ujian dan pemeriksaan berterusan terhadapnya serta bersedia berubah pandangan jika menepati al-Quran dan al-Sunnah.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Wednesday, October 15, 2008

Penulis Vs Pengarah



Berita harian, Khamis 11 September 2008
Epilog: Kenapa produser filem, novelis sukar bekerjasama
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my


SAYA tertarik mengikuti rancangan Helo Malaysia menerusi saluran Bernama TV baru-baru ini yang membincangkan topik berkaitan mengadaptasikan karya sastera Melayu seperti novel dan cerpen atau buku biografi atau apa saja bahan bacaan tempatan ke layar perak atau skrin visual seperti dokumentari dan drama TV. Dua ahli panel yang bercakap isu itu ialah aktivis teater dan drama, Fauziah Nawi dan pengkritik filem, A Wahab Hamzah. Antara perkara disentuh mereka termasuklah perlunya kerajaan menyediakan geran untuk tujuan ini dan pada masa sama sudah tiba masanya golongan sasterawan atau penulis dunia sastera bergabung tenaga secara profesional dengan karyawan filem untuk membantu industri filem yang kini terus berdepan masalah mendapatkan skrip bermutu.


Sebenarnya, isu ini bukan baru dan sering menjadi bahan perbincangan sesuatu seminar perfileman atau kesusasteraan. Isu kenapa orang filem kita ramai tidak minat pindah novel ke filem bukan disebabkan mereka terlalu ego sebaliknya alasan yang selalu diberikan ialah kerumitan dari segi prosedur, pegangan hak cipta dan faktor kewangan. Jika ditinjau dalam sejarah perfileman Melayu, memang ada beberapa judul filem cereka sudah diadaptasi daripada novel. Begitu juga drama TV, ada beberapa judul novel dan cerpen juga pernah diadaptasikan dalam bentuk visual.




Di Malaysia, setakat ini novel yang diangkat sebagai filem cereka ialah Langit Petang karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menerusi arahan Shahrom Mohd Dom; Ranjau Sepanjang Jalan Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad arahan Datuk Jamil Sulong. Novel popular seperti Mira Edora karya Khadijah Hashim juga pernah diadaptasi menjadi filem oleh Zulkeflie M Osman manakala Juara karya Prof Dr S Othman Kelantan pula diangkat menjadi Jogho menerusi U-Wei Saari. Insiden ada sasterawan tidak puas hati terhadap karya mereka yang dianggap ‘dirosakkan’ selepas proses adaptasi dibuat, mungkin menyebabkan orang filem sentiasa ragu-ragu dan takut atau serik untuk mengambil novel bermutu dijadikan skrip filem. Namun, ini tidak boleh dijadikan alasan.


Warga filem sewajarnya berani untuk terus memperbanyakkan filem berdasarkan karya sastera dan perlu ada persefahaman baik dan sikap toleransi antara kedua-dua pihak sebelum kerja produksi berjalan. Memang sukar untuk pindahkan cerita dalam tulisan ke layar perak seperti novel. Contohnya untuk babak yang tidak ada dialog dan sekadar satu watak utama yang sedang berfikir sesuatu dalam biliknya memang menarik jika dibaca dalam bentuk teks dan rumit untuk dipindahkan ke skrin bagi menggambarkan pemikiran watak itu. Jadi perlu ada ubah suai mengikut ciri tertentu supaya maksud babak dan naratifnya tidak terjejas. Dari sinilah juga persefahaman di pihak penulis novel itu harus ada untuk bertolak ansur dengan penerbit dan pengarah filem.


Apapun masalah dihadapi, perlu ada gabungan baik antara golongan sasterawan dengan penggiat filem kerana industri filem di negara ini memerlukan input daripada orang sastera untuk membantu menyediakan bahan skrip bermutu dan menarik untuk mengisi industri filem Melayu. Ini penting kerana banyak novel bermutu tinggi sama ada novel klasik mahupun novel era moden dalam pendekatan popular cukup sesuai untuk dijadikan filem. Dalam dunia sastera, kita ada ramai pemikir yang hebat dan pemikiran mereka diterjemahkan dalam karya seperti novel mahupun cerpen. Namun, sayang, novel mereka itu selalunya tidak begitu meluas dari segi pasaran atau terhad kepada segelintir masyarakat yang suka membaca novel saja (budaya membaca belum utuh di kalangan rakyat Malaysia) sedangkan karya itu seharusnya boleh dikongsi dengan lebih meluas untuk rakyat negara ini. Sebab itu industri filem kita sering menghadapi konflik skrip tidak bermutu dan bahan cerita yang dipaparkan tidak mempunyai kekuatan pemikiran dan spiritual. Sudah tiba masanya juga penggiat filem terutama produser dan pengarah filem mencari bahan menarik dan bermutu untuk dijadikan kerja produksi mereka, manakala proses mendapatkan hak cipta tayangan atau sebagainya boleh dirundingkan dengan secara berhemah dan situasi menang-menang.

Produser juga tentunya mahu melihat sesuatu karya itu ada elemen komersial, yakni ada potensi untuk mendapat kutipan baik di pawagam, maka mungkin sesebuah novel itu perlu dibuat ubah suai mengikut struktur dan pola ceritanya tanpa menghilangkan maksud naratifnya. Konflik di sinilah selalunya yang menjadi ‘perbalahan’ antara novelis dengan pengarah. Seelok-eloknya ada jalan terbaik untuk sama-sama berpuas hati sebelum kata putus dibuat supaya hasil karya novel itu akan dilihat juga menarik sesudah dipindahkan ke layar perak. Semua novel di luar negara yang pernah diadaptasi menjadi filem juga tidak mengikut bulat-bulat apa yang dipaparkan dalam sesebuah novel itu, sebaliknya karyawan di sana dan penulis novel cukup faham mengenai perbezaan bentuk seni antara kedua-duanya meskipun ia tetap masih dalam medium seni berdasarkan idea dan pemikiran. Yang penting mereka ada toleransi dan saling menghormati tugas dan peranan masing-masing. Seperti di Hollywood, filem yang diadaptasi dari novel seperti Bourne Ultimatum, Lord of the Ring, De Vinci Code, Harry Potter dan The Chronicles of Narnia tidak mengikut 100 peratus seperti novel sebaliknya kesesuaian itu harus ada mengikut kesesuaian dramatik visual dan kemampuan pelakon beraksi mengikut situasi.



Ramai penonton akui, versi filem ternyata lebih menarik berbanding apa dibacakan menerusi novel. Akhbar ini pada 4 Jun lalu turut melaporkan saranan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang meminta novelis tempatan dan pengeluar filem atau drama disaran bekerjasama menghasilkan filem dan drama yang diadaptasi daripada karya buku penulis berkenaan bagi meluaskan lagi penyebaran budaya tempatan dan nilai sejagat yang positif khususnya pada peringkat global. Kenyataan menteri itu ada benarnya juga kerana menerusi usaha membawa kandungan novel ke layar perak, ia sekali gus pemilihan karya buku yang hendak dijadikan filem menepati kriteria seperti isi kandungan bermutu termasuk olahan cerita menarik dan menonjolkan nilai murni, jati diri serta budaya tempatan, selain penulis dan pengeluar filem perlu kreatif ketika proses menghasilkan filem dengan mengambil kira olahan skrip terbaik, penggambaran di tempat menarik dan penggunaan teknik penggambaran serta teknologi moden.


Sesuai dengan saranan Mohd Shafie itu, rasanya kementerian beliau juga harus berani memulakan usaha menggerakkan kerja adaptasi novel bermutu menerusi karya sasterawan hebat kita untuk dipindahkan ke layar perak. Jadi, kementerian wajarlah sediakan geran awal yang boleh menggerakkan usaha ini, sesuai saranan Mohd Shafie sendiri. Kata orang, jangan biarkan hidup ibarat pohon kayu tidak berbuah...

Friday, October 10, 2008

Karya Diciplak

Oleh : Nisah Haji Haron (www.nisah.cjb.net)

Soalan: Apakah tindakan yang patut dilakukan sekiranya sebuah karya penulis diciplak oleh orang lain.

Isu penciplakan ini boleh dilihat dalam dua keadaan: sama ada penulis asalnya mahu menyelesaikan secara senyap-senyap ataupun menghebahkan perkara ini.
Apakah makna karya yang telah diciplak ini? Ia mempunyai beberapa maksud. Antaranya, karya tersebut telah diterbitkan tanpa izin penulis. Ataupun karya tersebut telah dihantar oleh penulis asal tetapi apabila diterbitkan, nama penulis lain yang dikembarkan dengan judul karya.

Hal ini membolehkan penulis asal hilang reputasinya sebagai penulis. Namun, penulis haruslah tidak terburu-buru dalam tindakan. Sekiranya karya yang dimaksudkan itu sebuah cerpen yang tersiar dalam majalah bulanan, misalnya, penulis asal boleh menyemak hal tersebut dengan editor. Sewajarnya editor akan menjelaskan keadaan tersebut.

Sekiranya masalah tersebut merupakan masalah teknikal, iaitu kesilapan menaip ataupun terlepas pandang sewaktu proses membaca pruf, hal tersebut boleh diselesaikan dengan mudah. Biasanya editor akan memohon maaf dan akan menyediakan ruangan "ralat" dalam edisi yang seterusnya.

Ini pernah berlaku dalam majalah Dewan Siswa sekitar akhir 90-an. Ketika itu penulis Zaid Akhtar sedang menempa nama dunia penulisan. Walau bagaimanapun, ketika cerpen beliau berjudul "Juara Yang Tewas" tersiar, majalah tersebut telah meletakkan nama penulis lain. Sebagai penulis dan mana-mana penulis sekalipun akan berasa amat kecewa. Namun setelah kesilapan tersebut disedari, pihak editorial membetulkan keadaan dengan menyiarkan ruangan ‘ralat’ dan memaklumkan hal yang sebenarnya.

Namun, ada hal yang lebih besar daripada kesilapan menaip, membaca pruf dan sebagainya. Tidak dinafikan terdapat juga penulis yang berani mengambil jalan pintas. Ada yang tidak terfikir bahawa para editor juga banyak membaca karya lain daripada majalah yang berbeza-beza. Jadi, penulis yang tidak bertanggungjawab ini menyalin bulat-bulat ataupun menyalin sebahagian besar daripada karya orang lain yang telah diterbitkan lalu dikirimkan kepada editor.

Sekiranya editor terlebih dahulu menyedari hal tersebut, tentu sekali editor tidak akan menyiarkan karya yang telah diciplak itu. Selepas daripada itu, editor akan mengambil ingatan bahawa karya penulis ini, biarpun karya aslinya, tidak akan disiarkan selama tempoh tertentu bergantung kepada polisi sesuatu majalah. Tindakan sebegini tentu sekali akan merugikan penulis tersebut.

Namun, jika editor terlepas pandang pada mana-mana karya ciplakan lalu menyiarkannya, penulis asal haruslah memaklumkan hal tersebut kepada editor. Oleh sebab tuduhan ini amat berat kerana tindakan penulis ciplakan itu telah melanggar peruntukan dalam Akta Hak Cipta 1987, penulis asal hendaklah membuktikan perkara ini kepada editor tersebut terlebih dahulu.

Penulis asal boleh membuktikan dengan beberapa cara. Sekiranya karya penulis asal itu telah diterbitkan dalam media lain, itu sebagai satu bukti kukuh. Majukan sahaja maklumat tersebut kepada editor sama ada dengan membawa yang asal (dengan datang sendiri bertemu editor) ataupun salinannya (boleh berurusan secara pos).

Jika karya asal masih dalam bentuk manuskrip iaitu ia masih belum diterbitkan tetapi telah diceduk oleh orang lain, pembuktian masih boleh dibuat dengan menunjukkan manuskrip asal ataupun proses-proses kreatif yang dicetak seperti draf awal manuskrip, proses pengeditan sendiri dan perkara-perkara yang berkaitan.

Akhir sekali, jika tiada tindakan yang diambil oleh pihak editor atau penerbitan dan sebagai langkah keselamatan, penulis asal hendaklah membuat laporan polis dengan menyatakan tujuan laporan, dan kronologi bagaimana karya tersebut dihasilkan sehinggalah karya tersebut diciplak oleh penulis lain ataupun pihak penerbitan yang tidak bertanggungjawab.

Dengan adanya laporan polis, ini akan memudahkan proses seterusnya sekiranya penulis asal ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis ciplakan tersebut ataupun pihak penerbit.

Penulis dan HakCipta

PENULIS DAN HAKCIPTA
Oleh :NISAH HAJI HARON
Peguambela dan Peguamcara
HASIL karya seorang penulis adalah jerih payah katih fikirnya berlari bersama pena atau ketukan papan kekunci yang terserlah dari keresahan di sudut nalurinya. Bayangkan keresahan dan kesukaran melahirkan idea ke dalam bentuk yang boleh diamati dan dibaca khalayak serta jumlah masa dan tenaga minda yang dicurahkan bagi menghasilkan sesebuah karya. Sesungguhnya menjadi seorang penulis bukanlah suatu tugas mudah. Maka dari kesedaran inilah, undang-undang hakcipta wujud sebagai salah satu daripada cabang undang-undang harta intelektual.
Secara amnya, undang-undang harta intelektual terdiri daripada:
a) Hakcipta (Copyright)
b) Paten (Patent)
c) Tandaniaga (Trademark)
d) Rekabentuk (Design)
Hakcipta di Malaysia adalah satu rangka undang-undang yang wujud untuk melindungi hak-hak pencipta yang menghasilkan karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran. Dengan kata lain, hakcipta diwujudkan bagi maksud melindungi mereka yang mencipta hasil karya seperti ini ataupun mereka yang membeli hak-hak seperti ini.
Seorang penulis boleh mendapat perlindungan hakcipta seperti yang telah dijelaskan oleh Akta Hakcipta 1987 (Akta 332) iaitu antara lain, novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, syair, drama, arahan pentas, senario filem, skrip siaran, sejarah,2biografi, karangan dan artikel, ensiklopedia dan kamus. Penulis juga telah diistilahkan dalam undang-undang hakcipta sebagai pembuat karya itu.
Walau bagaimanapun, undang-undang hakcipta tidak hanya melindungi hak-hak penulis atau pencipta di dalam karya mereka sama ada di dalam bentuk buku, pementasan drama, lukisan ataupun penciptaan muzik. Ia juga termasuk perlindungan ke atas hak-hak penerbit buku, penerbit filem serta penyiar.
Undang-undang hakcipta wujud di atas keperluan mengawasi dan merangsang pemasaran karya-karya sastera, muzik dan seni. Matlamat ini dicapai dengan memberi salinan dan keluaran ulangan karya bagi penyebaran dan jualan serta untuk memberi kuasa kepada orang lain menggunakan hak berkenaan.
Jika diteliti dengan betul, undang-undang hakcipta tidak bertujuan melindungi buah fikiran atau idea pengarang atau pencipta tetapi hanya cara penyampaiannya. Seksyen 7(3) Akta Hakcipta menyatakan bahawa:
“Sesuatu karya sastera, muzik atau seni tidaklah layak mendapat hakcipta melainkan:
a) usaha yang mencukupi telah dilakukan untuk menjadikan karya itu bersifat asli; dan
b) karya itu telah ditulis, direkod dan selainnya dijadikan dalam bentuk bahan.”
Dengan erti kata lain, karya itu hendaklah dipindahkan daripada bentuk idea kepada bentuk penulisan ataupun direkodkan. Oleh itu, jelas bahawa perkara yang ingin dielakkan itu adalah perbuatan menceduk langsung, plagiat atau meniru sepenuhnya atau sebahagian daripada karya yang asli.
Undang-undang ini melindungi hak-hak penulis atau pencipta di dalam karya-karya mereka. Tujuan utama wujudnya undang-undang harta intelektual ini secara am dan khususnya undang-undang hakcipta adalah untuk merangsang perkembangan seni dan sastera untuk kepentingan masyarakat.
Dalam masa yang sama ia memberi penghargaan yang sewajarnya kepada penulis dan pencipta tersebut. Dengan cara sebegini, adalah diharapkan supaya kreativiti di dalam bidang-bidang ini dapat diwujudkan di dalam usaha menyaksikan perkembangan positif seni dan sastera untuk generasi masa depan.
Meskipun undang-undang hakcipta tidak sama sekali melindungi idea yang masih belum dijadikan dalam bentuk bahan, kualiti sesuatu karya pula bukanlah satu kayu ukur untuk mendapat hakcipta. Secara nyata, Seksyen 7(2) Akta ini menerangkan bahawa “karya-karya adalah dilindungi tanpa mengira kualiti dan tujuan karya-karya itu dihasilkan.”
Ini bermakna, selagi ia wujud dalam bentuk yang material dan tidak sekadar berada di minda atau tidak sekadar suatu konsep yang masih belum direkodkan, pencipta atau penulis itu masih boleh mendapat perlindungan hakcipta karyanya.
Perkara penting mengenai idea dan ekspresi penulis di dalam karya seringkali menjadi isu yang mengundang perdebatan. Akta ini tidak melindungi idea dengan tujuan supaya tidak wujud monopoli idea, maka setiap penulis berhak untuk menyampaikan sesuatu idea yang sama dalam cara penyampaian yang berbeza lagi kreatif. Undang-undang membenarkan mana-mana penulis untuk menghasilkan karya di atas suatu topik yang sama selagi penghasilan tersebut berbeza antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah jika kita berjumpa di toko-toko buku kisah Cinderella, Hang Tuah dan sebagainya dalam pelbagai versi. Setiap penulis karya tersebut mendapat hak perlindungan hakcipta.
Bagi membolehkan sesuatu karya mendapat hakciptanya, ia haruslah sebuah karya yang asli. Istilah asli di sini bukan sahaja bermaksud baru. Ini bermakna, karya tersebut bukan disalin atau diplagiat dari mana-mana sumber lain. Adalah memadai untuk kita amati di sini bahawa karya tersebut lahir dari tangan penulis yang berkenaan dan dia telah menggunakan kemahiran, usaha serta iltizamnya untuk menghasilkan karya tersebut.
Akta ini juga membenarkan pindah milik hakcipta daripada seorang penulis kepada suatu pihak yang lain. Walau bagaimanapun, penyerahan hakcipta atau pemberian lesen oleh seorang penulis hanya boleh berkuatkuasa sekiranya ia dilakukan secara bertulis. Ini menunjukkan bahawa seorang penulis boleh memberi lesen kepada penerbit karyanya, ataupun seorang produser filem untuk membuat adaptasi, ataupun seorang penulis penulis skrip. Keadaan tersebut tidak melanggar hakcipta setelah penulis memberi kebenaran dan lesen kepada pihak yang lain bagi tujuan mewujudkan karya-karya terbitan (derivative works). Pemberian lesen tersebut pula tidak bermakna penulis menyerahkan hakmilik karyanya kepada pihak-pihak tersebut.
Perlanggaran hakcipta boleh berlaku secara langsung ataupun tidak langsung. Perlanggaran secara langsung berlaku apabila seseorang itu melakukan mana-mana perbuatan yang dikawal oleh Seksyen 13 Akta Hakcipta tanpa sebarang kebenaran daripada pemegang hakcipta.
Seksyen 13 tersebut berbunyi : “Hakcipta mengenai karya sastera, muzik atau seni, filem atau rakaman bunyi adalah hak eksklusif bagi mengawal dalam Malaysia
a) pengeluaran semula dalam apa-apa bentuk bahan;
b) pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam;
c) siaran;
d) perhubungan melalui kabel; dan
e) pengedaran salinan-salinan karya kepada orang awam melalui penjualan, sewaan, pajakan atau pinjamankeseluruhan atau sebahagian besar karya itu, sama ada dalam bentuk asal atau bentuk terbitan.
”Dalam kes perlanggaran hakcipta secara langsung, bagi membuktikan bahawa suatu perlanggaran hakcipta berlaku, seseorang itu hendaklah membuktikan:
a) wujudnya persamaan bersifat objektif yang cukup (sufficient objective similarity) di antara karya asal atau sebahagian daripada karya asal dengan karya yang ditiru;
b) Terdapat kaitan antara karya asal dengan karya yang ditiru, iaitu karya terkemudian itu mestilah dapat ditunjukkan bahawa ia telah ditiru sepenuhnya atau sebahagian daripada karya asal tersebut; dan
c) Apa yang telah ditiru itu adalah perkara yang penting (substantial part) daripada karya asal tersebut.
Perlanggaran hakcipta secara tidak langsung pula berlaku apabila suatu transaksi komersial atau sebarang aktiviti diadakan berkaitan dengan salinan langgaran karya tersebut. Perbuatan yang termasuk di dalam aktiviti ini adalah menjual, mengedar atau mengimport karya yang dilindungi hakciptanya. Ini telah dijelaskan oleh Seksyen 36(2) Akta Hakcipta.
Apabila perlanggaran hakcipta telah dibuktikan berlaku, remedi di dalam undang-undang pula boleh diperolehi di dalam dua bentuk utama.
Pertama, remedi sivil dan yang kedua dalam bentuk hukuman. Ini kerana, perlanggaran hakcipta boleh dikaitkan kepada kesalahan sivil ataupun jenayah.Bagi remedi sivil, hak tersebut diberikan kepada pemegang hakcipta ataupun pemegang lesen yang telah diberikan oleh pemegang hakcipta. Ia terpulang kepada beliau sama ada tindakan sivil harus diambil kepada pihak yang telah melanggar hakciptanya.
Dalam hal ini, penulis itu sendiri ataupun penerbit yang telah diberi lesen oleh penulis boleh mengambil tindakan sivil ke atas mana-mana individu yang melakukan perkara yang disenaraikan di dalam Seksyen 13 di atas tanpa kebenaran.
Bentuk-bentuk remedi yang boleh diperolehi oleh pemegang hakcipta apabila suatu perlanggaran hakcipta telah dibuktikan di mahkamah adalah gantirugi, perintah penahanan atau injunksi dan pembayaran keuntungan. Dalam kes-kes tertentu pula, mahkamah juga boleh memberikan gantirugi tambahan seperti sebarang faedah kewangan yang terkumpul akibat daripada perlanggaran tersebut.
Gantirugi diberikan oleh mahkamah dengan tujuan untuk meletakkan pemegang hakcipta itu kembali kepada keadaan asal sebelum perlanggaran itu berlaku. Perintah penahanan pula dikeluarkan oleh Mahkamah bagi menghalang pihak yang melanggar hakcipta daripada terus berbuat demikian kepada pemegang hakcipta. Ia boleh jadi perintah penahanan sementara ataupun perintah penahanan kekal. Sementara itu, perintah supaya pembayaran keuntungan dibuat kepada pemegang hakcipta oleh pihak pihak yang telah melanggar hakcipta tersebut itu pula bermaksud, keuntungan yang diperolehi setelah ditolak kos penghasilan karya.
Sementara itu, Seksyen 41 Akta Hakcipta pula menyenaraikan kesalahan-kesalahan perlanggaran hakcipta yang terletak di bawah bidangkuasa jenayah. Seksyen ini dengan jelas memperincikan bahawa sesiapa yang menjual, menyewa, mengedar, memiliki (selain daripada untuk kegunaan sendiri), mempamerkan atau mengimport satu salinan langgaran boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Seksyen ini juga menyebut mana-mana orang yang membuat atau ada dalam miliknya apa-apa alat yang boleh digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi maksud untuk membuat salinan langgaran, maka dia boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM40,000-00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Kawalan ke atas hakcipta diperolehi melalui undang-undang. Namun penguatkuasaan undang-undang sahaja tanpa kesedaran sosial yang tinggi tidak akan memberi erti kepada konsep hakcipta yang sebenarnya. Ramai di antara kita yang7memperkecil-kecilkan perlanggaran Akta Hakcipta sebagai sesuatu yang tidak signifikan berbanding jenayah pembunuhan. Mungkin secara dasarnya ia tidak sehebat jenayah yang tersenarai di dalam Kanun Keseksaan, tetapi berapa ramai yang menyedari bahawa plagiat dan cetak rompak telah “membunuh” kerjaya dan tugas penulis dengan mengakui sesuatu yang bukan milik sendiri.
Secara keseluruhannya, undang-undang hakcipta wujud di dalam usaha untuk menghalang plagiat serta cetak rompak ke atas harta intelektual. “Rompakan” ke atas karya intelektual sesungguhnya adalah suatu “jenayah” yang kejam. Mengakui karya orang lain sebagai hasil kita sendiri benar-benar menjatuhkan moral seorang penulis itu sendiri terutama sekali apabila penulis itu mengambil jalan termudah bagi mencipta nama.