Dipetik dari Berita Harian, Khamis, 30 Oktober 2008, boleh dilayari juga di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Hip/20081030070226/Article/index_html
Epilog: Penapisan filem tak sekat kreativiti
Oleh Akmal Abdullahakmel@bharian.com.my
Oleh Akmal Abdullahakmel@bharian.com.my
Kawalan, garis panduan ketat cabar hasil karya lebih bermutu
DALAM bulan ini pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Bahagian Kawalan Filem sedang giat mendapatkan maklum balas beberapa pihak termasuk daripada organisasi media berkaitan garis panduan filem yang boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa dalam prosesnya untuk mengemaskini kandungan filem yang mahu disiarkan di negara ini. Usaha ini bagus dan wajar dinilai dari semasa ke semasa supaya garis panduan untuk segala pengisian dan kandungan pelbagai jenis filem yang mahu ditayang atau disiarkan di negara ini harus menunjukkan ia sentiasa relevan dan bertanggungjawab kepada imej sesebuah negara itu seperti Malaysia serta masyarakatnya.
Ia juga penting dari segi menjaga kesejahteraan bersama, selain memupuk ketenteraman dan keharmonian minda, emosi dan hubungan sosial rakyat di negara ini. Difahamkan proses mengemaskini Garis Panduan Penapisan Filem itu diguna pakai sejak 1993 dan selepas 15 tahun eloklah ia dinilai, diubah suai diperketat atau dilonggarkan pada bahagian tertentu supaya ia dilihat sentiasa perlu tetapi pada masa itu tidak pernah menafikan hak dan kebebasan rakyat untuk menonton filem dan hak kreativiti karyawan filem.
Maksud filem dalam konteks garis panduan ini membabitkan apa saja bahan visual yang mahu ditayang dan disiarkan menerusi pawagam atau kaca televisyen, termasuklah segala filem cereka, selain drama TV, sitkom atau apa saja program serta iklan komersial, treler filem, klip video mahupun bahan publisiti filem. Tapisan itu dibuat bukan saja dari segi perlakuan atau aksi tetapi jenis barangan, kelakuan, kata-kata mahupun simbol yang dipaparkan.
Dalam konteks ini, kita menyedari imej setiap negara dari segi budaya, pemikiran masyarakatnya, tata susila, kesopanan dan norma kehidupan sesuatu kelompok masyarakat secara majoritinya adalah tidak sama dengan yang lain. Seperti Malaysia, budaya kehidupan rakyatnya yang pelbagai kaum tidak sama dengan negara jirannya seperti Thailand atau Singapura. Meskipun sekali lihat ia kelihatan sama kerana kita dalam negara yang saling berjiran di dalam lingkungan Asean tetapi jika diperhalusi dari segi budaya, amalan politik, ideologi dan amalan hariannya, ia akan berbeza dan di sinilah juga garis panduan filem diberi penekanan.
Tidak sama di sini bererti cara hidup itu sendiri sebenarnya berbeza dari segi sentimen agama, kefahaman kerajaan, budaya dan pegangan nilai. Malaysia adalah bertunjangkan Islam sebagai agama rasminya meskipun ramai juga rakyatnya bukan beragama Islam. Pegangan nilai yang berteraskan nilai Islam dan budaya Melayu yang menjurus pada kehendak keagamaan, ketertiban dan ketatasusilaan itu ditekankan dan disesuaikan mengikut keperluan penganut agama lain.
Sebab itu, ada filem yang tidak diharamkan di Malaysia tetapi dilarang ditayangkan di Thailand, begitu juga Singapura pernah mengharamkan satu filem yang hakikatnya di Malaysia ia boleh ditayangkan. Malah, Malaysia juga pernah beberapa kali tidak meluluskan sesuatu filem tetapi di Singapura, ia selamba saja ditayangkan untuk umum. Kalau dilihat secara global, tapisan filem di Amerika Syarikat atau Jepun diibarat seperti tidak ada lagi tapisan kerana apa saja produk filem sekalipun yang melanggar etika, kesopnanan dan budaya orang Asia dengan selambanya boleh dipasarkan secara terbuka, waima negara berkenaan dapat membangunkan industri filem lucah. Sebab itu karyawan filem dan masyarakat harus faham dan sedar bahawa sesebuah negara itu mengadakan garis panduan filem mengikut kepentingan, negara dan rakyatnya.
Rasa tidak puas hati karyawan filem terhadap larangan tertentu sering dikaitkan dengan tuduhan ia menyekat kebebasan dan kreativiti mereka untuk berkarya. Namun, kita juga harus faham erti kebebasan dan demokrasi itu sering kali berbeza mengikut acuan budaya, kefahaman agama, tata susila, etika dan nilai moral. Ia bergantung pada pegangan dan pemikiran majoriti masyarakat yang menghuni sesebuah negara itu.
Desakan kumpulan minoriti yang mahukan kebebasan ada kalanya boleh dilihat sebagai satu keperluan dan hak mereka tetapi majoriti yang mahukan sekatan dan larangan seperti yang terkandung pada sesuatu garis panduan kandungan filem itu juga harus dihormati. Namun, sudah terbukti, banyak negara yang lebih ketat garis panduan dan kawalan terhadap produk filemnya tetapi semakin mencabar rakyatnya untuk tampil secara lebih kreatif bagi menghasilkan karya bermutu, malah lebih hebat daripada karyawan dari negara yang ada longgar tapisannya.
Di Malaysia, keperluan garis panduan memang masih dan amat diperlukan demi menjaga kesejahteraan rakyat pelbagai kaum. begitu mudah berlaku ketegangan jika tidak ada tapisan dalam produk filem. malah dalam keadaan tapisan sudah dikenakan menerusi undang-undang, sikap individu tertentu yang sengaja untuk menghasilkan sesuatu produk untuk mewujudkan sentimen agama, kaum dan pencemaran budaya tetap berlaku. Sikap tidak hormat terhadap agama dan budaya murni masyarakat di negara ini boleh mengundang kontroversi, mewujudkan sentimen kebencian dan pada masa sama menaikkan kemarahan majoriti rakyat. Begitu juga elemen berunsur lucah sering diguna pakai sebagai bahan jenaka dan komedi tetapi sebenarnya ia jika tidak dikawal boleh memudaratkan minda, begitu juga paparan babak tertentu secara simbolik dan halus sebenarnya cuba mempengaruhi keseronokan atau simpati penonton ke arah melakukan dan bersetuju mengenai perbuatan jijik atau tidak bermoral adalah sesuatu yang tidak salah.
Kita berharap, proses mengemas kini garis panduan filem yang dilakukan Bahagian Kawalan Filem KDN akan lebih relevan dan tegas dengan kehendak dan masyarakat di negara ini, bukannya tunduk kepada segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Kata orang, kebebasan sebenar yang dicari tidak akan diperoleh di mana-mana...
No comments:
Post a Comment