Pages

Thursday, November 27, 2008

Blog: Teknologi jadi Raja

dipetik dari http://www.malaysiandigest.com/index.php?view=article&catid=102%3Aopinion&id=791%3Aetik-teknologi&tmpl=component&print=1&page=&option=com_content&Itemid=105

Etik Teknologi

Blog Tanpa Etika:Teknologi Jadi Raja


Baha Zain


13 OCTOBER 2008


Apakah kita sedang berhadapan dengan kebudayaan baru di mana sains dan teknologi telah mengubah kepercayaan , sikap, dan gaya hidup kita ; dan mengubah pertanyaan-pertanyaan biasa tentang apa dan siapa kita? Kita tidak sempat lagi menentukan kehidupan secara terperinci kerana sains dan teknologi dengan lebih pantas mengubah persepsi serta tindakan kita tanpa kita sedari.

Seorang ahli jemaah di masjid dengan pantas merujuk SMS melalui Nokianya pada saat tazkirah sedang sopan dan jelas disampaikan di ruang solat. Matanya terbuka luas membaca: “kewangan US merudum hari ini”. Wau! Seolah-olah malaikat turun membawa berita besar dari langit. Alat canggih teknologi komunikasinya telah merebut perhatian dan pendengarannya daripada agamawan yang sedang bersyarah di depan mukanya.

Apakah kita ada pilihan lain lagi ? Sains , teknologi dan perniagaan akan membentuk kebudayaan pada zaman ini dan akan datang . Seluruh landasan fikiran dan landasan bertindak pihak politik dan sesiapa yang hendak terus berkuasa mesti berpandukan sains, teknologi dan perniagaan kerana ia menentukan arah, penguasaan (control), pengurusan, inovasi, dan perluasan pengaruh. Di sini bergantung kekuasaan ( politik dan ekonomi) bagi individu, institusi, parti, dan malahan negara.

Internet, e-mel, sms , dan blog sekarang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia yang menghantar kita sebagai warga masyarakat global. Prasarana maklumat moden ini membebaskan rakyat daripada propaganda dan manipulasi akhbar, radio dan TV yang bertahun-tahun membentuk pandangan massa yang kritikal. Kerajaan BN melalui parti-parti komponennya melalui proksinya telah memanfaatkannya dan menggaji ribuan kakitangan media untuk bekerja dan mengerjakan jenis kebebasan berfikir serta cara membuat keputusan di kalangan pembacanya. Tetapi sejak empat lima tahun yang lalu dominasi ini dihakis dan diruntuhkan oleh internet dan blog sehingga mempengaruhi keputusan Pilihan Raya 2008.

Satu prasarana mental baru seolah-olah terentang sebagai jaring dari utara ke selatan dan dari timur ke barat Malaysia bagi menapis maklumat, laporan dan propaganda media perdana supaya fikiran masyarakat bebas daripada perhambaan yang dideritainya selama bertahun-tahun. Blogs telah menyediakan “swarming” atau analisis daripada pelbagai sudut dan penjuru.
Dunia blog telah mengubah sifat pelaporan berita ke arah yang baru, dan pantas, walaupun belum tentu lebih baik dan sempurna.

Walau bagaimana pun setiap sesuatu perkembangan itu ada kebaikan dan kelemahannya. Bloggers juga tidak sunyi daripada mengulangi kedurjanaan yang pada mulanya diserangnya. Dia lalu menjadi pendosa yang baru. Kenapa?Kalau manusia tidak dipandu oleh etika , dia akan menjadi seperti haiwan. Apa yang membezakan manusia daripada haiwan ialah akhlak yang baik ,rohani yang jernih, dan fikiran yang rasional bagi mengawalnya daripada nafsu dan naluri yang tabii.

Etika bertujuan membawa manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan. Mana agama besar dalam dunia (Islam, Kristian dan Judaisme etc) yang tidak menekankan pentingnya etika kerana etika mengatur perhubungan baik manusia dengan manusia, antara individu dengan individu lain, antara individu dengan masyarakat, antara pemimpin dengan yang terpimpin, dan sebaliknya. Matlamat ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan sesama manusia ini menjadi suluh bagi tindak tanduk, percakapan, penulisan dan tutur kata kita.

Tuhan memberikan seseorang itu bakat kreatif, kepandaian berbahasa serta kepintaran mengucapkan perasaan, pandangan ; dan fikiran yang kritis atau bernas. Bakat itu adalah suatu amanah yang dipinjamkan kepada kita; dan bukan hak mutlak kita. Ia diamanahkan kepada seseorang untuk menggunakannya bagi kebaikan, kebahagiaan dan kesejahteraan dunia di sekelilingnya. Inilah asas dan prinsip etika bagi umat yang bernama Islam. Demikian juga bagi mereka yang mempunyai bakat sebagai pemimpin, ilmuwan, wartawan, pemuzik, peniaga atau pekebun.

Falsafah Konfusius pun menekankan bahawa etika seseorang itu bertujuan bukan sahaja sebagai pedoman hidup bagi dirinya dengan orang lain, tetapi juga sebagai norma sosial supaya masyarakat boleh berlangsung dalam keharmonian. Sejak Plato dan Aristotle lagi soal etika ini sangat dipentingkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Tegasnya ia tidak menggalakkan percakapan, perbuatan dan tingkah laku yang melukai orang lain, lebih-lebih lagi kalau sengaja berniat melukai, menjatuhkan, merosakkan nama baik orang, mencerca dan memfitnah. Ingat ! ini adalah suatu dosa; dan melakukannya adalah berdosa.

Walaupun ruang siber (cyberspace) adalah dunia maya atau dunia virtual dan bukan dunia kenyataan, tetapi ia masih menggunakan bahasa, simbol, konotasi, dan malahan berfungsi untuk menimbulkan kesan terhadap manusia di dalam dunia yang nyata. Apabila ia menjejaskan sesuatu pihak, ia adalah salah walaupun dilakukan dalam ruang siber. Kebebasan berfikir dibenarkan dalam apa-apa komunikasi pun, tetapi tindakan dan tingkah laku yang membabitkan akibat tertentu mungkin harus dibayar dengan harga yang mahal.

Manusia adalah makhluk simbol (kata Ernst Cassirer), tetapi dia juga adalah makhluk moral yang boleh memilih antara buruk dan baik. Justeru itu dia harus bertanggungjawab dengan pengertian bahawa melalui istilah tanggungjawab itu dia tahu apa konsekuensi daripada perbuatannya (buruk atau baik). Kalau akibatnya buruk , itu adalah akibat daripada pilihannya sendiri , dan dia tidak boleh menyalahkan takdir atau orang lain. Prinsip inilah yang harus difahami oleh penulis , wartawan atau sesiapa sahaja.

Setiap perbahasan lebih-lebih lagi dialog yang intelektual sifatnya, bukan sekadar memikirkan hal-hal teknik digital, stail dan retorik yang memikat pembaca, etiket penulisan yang standard, tetapi juga memikirkan segi falsafah tentang prinsip etika yang menyangkut tingkah laku orang di sekitar dunia siber.

Apakah kita harus mengekang diri daripada berkata tentang kebenaran? Tidak. Kebenaran harus dinyatakan, tetapi bukan secara bebal dan tidak beradab. Korupsi, kezaliman, penindasan, ketidakadilan, diskriminasi, jenayah, penipuan, pecah amanah, tirani, konspirasi dan pembunuhan bangsa, budaya dan bahasa harus didedah dan diperangi terhadap siapa sahaja, walaupun Menteri. Tentu ada fakta dan buktinya. “Fakta itu sakti; dan pendapat harus adil”, facts are sacred; and opinion must be fair. Ini prinsipnya untuk bercakap tentang kebenaran seperti kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-Hud dalam al-Quran (Surah Semut atau An-Naml (27): 20-23 ). Makhluk kecil , burung Hud-Hud, berani menceritakan kebenaran yang telah dipastikannya walaupun di depan Nabi Sulaiman atau seorang penguasa atau hakim yang hebat yang pada mulanya murka terhadapnya. Dan Nabi Sulaiman pula telah menunjukkan keadilan dan merendahkan dirinya di depan kebenaran. Inilah yang patut menjadi panduan kepada yang kerdil mahupun kepada yang besar. Kebenaran itu walaupun nampak kecil, tetapi di sisi Tuhan ia adalah lebih besar daripada segala-gala di sekelilingnya. Jadi jangan mengalah kepada nafsu dan amarah; dan jangan remehkan fakta, bukti, dan kebenaran . Sama pentingnya ialah penampilan pendapat atau fikiran apa sahaja haruslah disalurkan melalui ungkapan yang bersopan, beradab dan berakal budi seperti kata pantun Melayu lama:

"Apalah tanda batang tebu,
Batang tebu halus ruasnya;
Apalah tanda orang berilmu,
Orang berilmu halus sifatnya."

No comments: