Pages

Tuesday, December 30, 2008

Isu Blog lagi!

Artikel ini dipetik di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm untuk tatapan anda.


Pantau blog 'sampah'

Oleh Mohamad Sofee Razak

Ketika umat Islam di ambang sambutan Maal Hijrah 1430, negara digemparkan dengan sebuah laman blog yang menghina Islam dan keperibadian Nabi Muhammad SAW secara membabi buta, tidak bertanggungjawab serta sangat tidak beradab.

Blog berkenaan dikatakan milik seorang wanita Melayu Islam tempatan yang mana kemudiannya beliau tampil menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dengan segala isi kandungan blog 'sampah' dan bermasalah berkenaan.

Penggunaan blog secara amnya semakin popular dan menjadi trend komunikasi serta interaktif di alam siber masa kini. Jika sebelum ini e-mel menjadi penghubung paling berkesan, interaktif dan kewujudan blog telah menjadikan dunia komunikasi maya semakin kompleks, moden dan menarik.

Namun begitu, laman blog umpama madu dan racun kepada pembacanya serta membuka dimensi baru kepada teknologi maklumat global.

Baru-baru ini heboh diperkatakan sebuah laman blog yang cuba bermain dengan isu sensitif dan menyemarak api kemarahan umat Islam yang secara lantang melemparkan pelbagai tuduhan palsu dan menghina kehidupan Rasulullah SAW atas premis keterbukaan bersuara.

Individu atau mana-mana kumpulan yang terbabit dalam penyiaran blog sampah dan bermasalah tersebut mungkin mempunyai agenda tersendiri atau cuba menguji reaksi umat Islam di negara ini dengan menimbulkan isu berkenaan.

Tambahan pula segala penghinaan serta tuduhan dalam laman blog tersebut turut disertakan dengan gambar wajah orang yang diubah suai bagi tujuan menghina dan mempersenda serta lukisan-lukisan memburuk-burukkan keperibadian Nabi Muhammad yang pernah disiarkan oleh beberapa akhbar Eropah sebelum ini.

Penyiaran laman blog tersebut jelas berniat jahat yang sengaja mahu menimbulkan kemarahan umat Islam dan kewujudan laman blog sedemikian perlu ditangani segera. Ini kerana jika dibiarkan begitu sahaja, ia boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara.

Kehadiran blog sedemikian juga membuktikan wujudnya pihak yang cuba menggunakan isu agama sebagai strategi untuk menimbulkan rasa syak wasangka rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita.

Ini sangat bahaya dan secara langsung menunjukkan ada kecenderungan segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab menggunakan laman blog sebagai medium untuk mencetuskan huru-hara di dalam negara dengan mengeksploitasi isu-isu sensitif seperti penghinaan kepada Nabi Muhammad dengan menyamar nama dan peribadi wanita Islam tempatan dan menjadikan laman blognya untuk menghina Islam.

Daripada segi perundangan, individu yang menyamar menggunakan identiti orang lain untuk menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Mengancam

Penguatkuasaan itu sama seperti pengendali mana-mana laman web atau blog yang menyebar kandungan bersifat jelik, mengancam dan mengugut di mana mereka juga boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

Sehubungan itu, individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyiaran laman blog itu amat berbahaya kepada negara dan perlu dikenakan tindakan paling tegas termasuk di bawah Akta Hasutan 1948 atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 di samping peruntukan undang-undang sedia ada supaya menjadi pengajaran kepada anggota masyarakat lain agar tidak sewenang-wenangnya mempermainkan perkara-perkara sensitif terhadap mana-mana kaum atau agama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera terhadap laman blog yang dikesan penuh dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW itu.

Menurut Perdana Menteri, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menimbulkan kekacauan dan mengundang masalah kepada negara.

Pihak berkuasa lain terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu aktif memantau, mengawal serta tegas menguatkuasakan peraturan dan bertindak segera menyekat kewujudan blog-blog sampah dan bermasalah yang menghina agama, cubaan memesongkan akidah umat Islam, mengancam perpaduan atau berunsur hasutan serta mengandungi isu perkauman yang keterlaluan di negara ini.

Institusi dan agensi agama di negara kita juga tidak boleh berpeluk tubuh dalam menangani masalah serius ini. Umat Islam hendaklah lebih peka dan sensitif dalam memastikan kejadian serupa tidak lagi berulang serta sentiasa memantau blog-blog sedemikian agar tidak terus bermaharajalela dan berleluasa di alam maya.

Semua pihak juga bertanggungjawab membela dan mempertahankan Islam dan Nabi Muhammad SAW daripada dihina dan dipersenda sedemikian rupa oleh mana-mana pihak.

No comments: