Pages

Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Friday, January 9, 2009

Lesen Kreatif

Artikel ini dipetik di Utusan malaysia di http://202.190.126.84/utusan/info.asp?y=2008&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm. sebagai rujukan tambahan.
ARKIB : 13/10/2008


-->
Memanfaatkan lesen penulisan kreatif

Dalam Mingguan Malaysia semalam ada disiarkan cerpen Politik Baru YBJ. Cerpen itu ditulis oleh Datuk Chamil Wariya, bekas Ketua Pengarang Majalah Kumpulan Utusan. Chamil lebih dikenali sebagai penulis politik yang disegani dan banyak menghasilkan buku politik.

Apabila seorang wartawan besar seperti Chamil menulis cerpen, tentu ini ada suatu yang mahu disampaikan, barangkali tidak boleh dilahirkan tanpa melalui penulisan kreatif.

Wartawan menulis berlandaskan fakta. Putih adalah putih atau hitam adalah hitam. Tetapi dalam keadaan tertentu, hitam tidak boleh dikatakan hitam.

Jiwa wartawan tentu memberontak apabila tidak dapat menulis berlandaskan fakta. Maka di sinilah peri pentingnya lesen kreatif yang ada di luar prinsip kewartawanan.

Cerpen, puisi, drama atau apa saja karya kreatif mempunyai lesen yang lebih besar untuk mengatakan hitam adalah hitam. Golongan penulis karya kreatif atau sasterawan bukanlah duduk termenung di tepi pantai untuk mendapat ilham. Ini kerana ilham yang baik tidak ada di tepi pantai atau menyepikan diri, sebaliknya ilham ada di tengah-tengah masyarakat.

Maka yang melahirkan Politik Baru YBJ adalah ilham yang lahir daripada milieu politik semasa yang menggelegak dengan pelbagai isu sensitif.

Sensitiviti seorang wartawan menjadikan cerpen Politik Baru YBJ sebuah karya politik dari jurus pemikiran seorang wartawan.

Chamil menggunakan bahasa yang mudah sama seperti penulisan beliau dalam rencana politik. Chamil memanfaatkan lesen kreatif untuk menulis sesuatu yang tidak boleh ditulis menggunakan hukum hakam kewartawanan.

Sebenarnya ini adalah kelangsungan yang pernah dilakukan oleh generasi wartawan Melayu terdahulu. Kalau kita menoleh zaman memperjuangkan kemerdekaan, kemunculan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Samad Ismail; Dr. Ishak Haji Muhammad (Pak Sako); Sasterawan Negara, Kamaluddin Muhammad (Keris Mas); Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang; Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said serta beberapa tokoh lagi pernah menjadikan penulisan kreatif sebagai alternatif menyuarakan perjuangan bangsa.

Mereka adalah generasi wartawan yang terpaksa menggunakan lesen kreatif untuk menyampaikan pemikiran wartawan.

Samad Ismail misalnya menghasilkan beberapa karya kreatif yang menggunakan pendekatan kewartawanan seperti Patah Sayap Terbang Jua, Tembok Tidak Tinggi, Rumah Kedai Jalan Seladang, sementara Pak Sako dengan Anak Mat Lela Gila dan A. Samad Said dengan Sungai Mengalir Lesu.

Karya-karya ini memuatkan pemikiran dan perjuangan politik untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Memanglah sesetengahnya kurang memainkan bahasa tetapi inti pemikiran adalah lebih penting daripada keindahan bahasa.

Mereka menjadikan fakta sebagai fiksyen yang bergerak di atas landasan sejarah yang benar.
Ketika golongan sasterawan memainkan peranan mereka menyuarakan hasrat bangsa menerusi karya kreatif, penglibatan golongan wartawan dalam karya kreatif juga tidak boleh diperkecilkan.

Maka kelahiran cerpen Politik Baru YBJ menandakan satu lembaran baru di mana wartawan memilih penulisan kreatif untuk berhujah tentang banyak perkara yang dianggap 'rasis' dalam kewartawanan.

Beberapa tokoh kalangan sasterawan menganggap cerpen ini begitu radikal dan tidak mungkin dapat disampaikan kecuali menggunakan lesen kreatif.

Maka elok juga kalau diforumkan cerpen Politik Baru YBJ untuk dikupas yang tersurat dan tersurat di dalamnya.
E-mel: cp@galaxystudio.tv

Bila Orang Politik Baca Karya Sastera

Artikel ini dipetik dari Utusan malaysia di http://202.190.126.84/utusan/info.asp?y=2008&dt=1213&pub=utusan_malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm&arc=hive


Sila ikuti perbincangan dalam dewan kuliah untuk tajuk yang berkaitan

-->
Teresa fail saman RM30 juta terhadap Chamil, Utusan
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
ARKIB : 13/12/2008

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini memfailkan saman fitnah RM30 juta terhadap penulis, Datuk Chamil Wariya dan Utusan Melayu (M) Berhad kerana menerbitkan cerpen Politik Baru YBJ yang didakwa mempunyai kaitan dengan dirinya.

Teresa mendakwa cerpen tersebut yang diterbitkan dalam Mingguan Malaysia pada 12 Oktober lalu secara jelas merujuk kepada dirinya dan bukan sekadar kebetulan.

Beliau juga mendakwa, keseluruhan jalan cerita cerpen yang ditulis oleh Chamil itu seolah-olah menggambarkan dirinya secara jelas dan bukan digambarkan secara tidak sengaja.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Teresa, 44, selaku plaintif menamakan Chamil iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) defendan pertama dan Utusan Melayu defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, cerpen tersebut merupakan satu fitnah yang jelas terhadap dirinya dan dalam maksud semulajadi memperlihatkan dirinya seorang yang bersifat perkauman dan ahli politik yang jahat.

Cerpen itu juga didakwa diterbitkan dengan niat memperkecilkan beliau secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Selain itu, beliau mendakwa, tindakan kedua-dua defendan adalah dilakukan dengan niat jahat untuk menghasut kebencian umum terhadap dirinya.

Di samping itu, cerpen tersebut didakwa telah diterbitkan semula dan disebarkan secara meluas dalam Malaysia serta seluruh dunia melalui perkhidmatan dalam talian menerusi Internet pihak defendan.

Beliau mendakwa, kesan daripada penerbitan semula cerpen itu, reputasi beliau sebagai penjawat awam telah terjejas sehingga menyebabkannya menjadi skandal umum dan menerima kebencian masyarakat.

Plaintif seterusnya menyatakan, peguam caranya telah mengemukakan surat tuntutan bertarikh 15 September lalu untuk menuntut defendan menarik balik cerpen itu, meminta maaf dan ganti rugi tetapi pihak defendan enggan berbuat demikian.

Dengan itu, beliau menuntut ganti rugi pampasan RM30 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan lain-lain relif.

Turut dituntut Teresa ialah perintah injunksi menghalang pihak defendan sama ada melalui diri mereka sendiri, ejen atau pekerja mereka daripada mengungkap, bercakap atau menerbitkan cerpen tersebut.

Nilai Sebuah Cerpen


Artikel ini saya peti daripada tulisan Nisah Haron yang boleh dirujuk di http://annyss.blogspot.com/2008/12/tiba-tiba-sebuah-cerpen-bernilai-rm30.html sebagai maklumat untuk semua. Harap maklum.



Sunday, December 14, 2008

Tiba-tiba Sebuah Cerpen Bernilai RM30 juta!

Sejauh manakah seorang pengarang boleh menggunakan lesen kreatifnya untuk berkarya?

Inilah soalan yang datang melalui SMS ke telefon bimbit saya beberapa kali. Agak sukar juga untuk menjawab persoalan ini melalui pesanan ringkas. Bimbang akan disalah erti. (Seperti yang berlaku kepada entri Sesudah Eidul Adha yang cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu. Boleh lihat pautan ini.)

Kali ini, saya sedang bertugas di Bengkel Penulisan Cerpen DBP-PEN 2008. Sewaktu rehat petang semalam, persoalan yang sama juga ditanyakan oleh beberapa peserta. Sudah ada yang bimbang untuk menulis hal-hal yang boleh diambil tindakan sedemikian. Lalu, haruskah pengkarya sekadar meneruskan tradisi lemah - menulis hal-hal yang tetek-bengek, kisah cinta dan rindu separuh mati sehingga tidak mampu mencabar akal sendiri?

Saya melihat isu Teresa Kok menyaman Utusan Melayu dari dua sisi:

a) sejauh manakah kebebasan berkarya; dan
b) sebijak manakah seorang penulis dapat berselindung di sebalik karya

Sebagai pengarang, kita mempunyai lesen kreatif. Saya bersetuju dengan pendapat yang dikirimkan oleh pemilik e-mel - cp@galaxystudio.tv di dalam artikel Memanfaatkan Lesen Penulisan Kreatif. Sebagai pengarang yang tahu akan hak-haknya, tidak ada yang patut dibimbangkan. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan Kebebasan Bersuara kepada rakyat Malaysia.

Kebebasan Bersuara ada jaminan. (Kebebasan selepas bersuara, ada jaminan? Itu soal lain). Sebagai pengkarya, kita bebas untuk berkarya di bawah peruntukan perlembagaan ini.

Namun, sebagai pengarang juga, kita harus bijak mengungkapkan watak, latar dan elemen-elemen tertentu yang boleh dianggap 'menimbulkan persoalan' kepada pembaca tertentu, dengan tahap kiasan yang wajar. Di sinilah letaknya ketinggian akal budi seseorang pengarang. Ada pengarang yang menulis dengan agak langsung dan berkias di sebalik selapis kain kasa yang cukup jarang. Pembaca boleh 'lihat' apa dan siapa di sebalik tabir itu.

Saya juga pernah menulis cerpen bercorak sedemikian melalui cerpen-cerpen saya Resipi Dari Istana (30 Julai 2006 - Berita Minggu) dan Resipi Dari Istana 2 (24 Februari 2008- Berita Minggu).

Pengarang ialah manusia yang sensitif bukan sahaja kepada persekitarannya tetapi juga kepada isu yang berlaku dan bergolak di dalam dirinya. Ada sesuatu yang menjentik perasaan seseorang pengarang dan ini mendorongnya untuk meluahkan sama ada dalam bentuk emosi yang tidak terkawal ataupun dapat diungkapkan dalam karya.

Ketika saya menulis kedua-dua cerpen di atas, konteksnya berbeza dan emosinya juga tidak sama. Paling menarik, apa yang saya ungkapkan dalam karya-karya tersebut ditanggap oleh pembaca melalui tafsiran masing-masing. Boleh dikatakan tidak semua dapat melihat terus apa yang sebenarnya berlaku 'di sebalik tabir' yang saya pasang pada karya tersebut.

Pada saya, matlamat penulisan itu sedikit sebanyak sampai juga. Sebuah karya tidak harus bersifat peribadi dan hanya boleh ditafsirkan melalui satu hala. Tidak kurang penting apabila karya berkenaan dapat ditafsirkan kembali pada zaman yang berbeza. Misalnya, Pramoedya Ananta Toer telah mengungkapkan zaman internet ketika menulis Rumah Kaca. Padahal internet belum lagi wujud pada zaman tersebut. Bukanlah Pram itu seperti Nostradamus, tetapi karyanya itu melangkau zaman dan dapat ditafsirkan dengan cara yang berbeza mengikut zaman tertentu.

Cuba baca juga novel Kawin-kawin (Azizi Haji Abdullah). Lihat betapa halusnya satira Azizi dalam mengungkapkan senario politik Malaya-Malaysia. Tidak kurang juga menganggap novel ini mengandungi unsur lucah! Tapi, itu bergantunglah kepada pembaca itu sendiri. Jika hal-hal lucah memang sudah bermain-main dengan liar di dalam kepala, itulah yang akan terpancar melalui pembacaannya. Sebaliknya, apabila membaca secara terbuka, hal ini boleh sahaja ditafsirkan secara terbuka juga.

Pendek kata, sebuah karya boleh sahaja ditafsirkan dengan pelbagai cara dan itulah keistimewaan seni. Jika sudah terkunyah cili padi, pastilah terasa gigitan pedasnya pada lidah dan mulut. Sesiapa yang tidak memasukkan cili di dalam hidangannya, tentulah makanannya kurang perisa, barangkali!

Sebagai pengarang, saya berbangga apabila cerpen Politik Baru YB J tiba-tiba bernilai RM30 juta. Bukan senang sesebuah karya sastera mendapat perhatian yang cukup luas apatah lagi dibahaskan juga di dalam Parlimen!

Penulis wajar menggunakan lesen kreatif dengan sebijak mungkin. Seperti juga mendapat lesen memandu, pandai-pandailah memutar stereng kereta supaya tidak melanggar orang lain dan supaya orang lain tidak dapat menyaman kita kerana memandu dengan cara berbahaya!