Sebelum menelaah entri ini sepenuhnya, sila baca entri saya terdahulu di Etika dalam Penulisan untuk lebih memahami secara kasar tentang pematuhan yang diperlukan apabila menulis.
Pelbagai fonomena berkaitan penulisan, terutama secara maya boleh dibaca di entri-entri berikut sebagai contoh pelanggaran etika dan akta secara maya yang sepatutnya tidak dilakukan; Apabila Rafiqin Darwisy Tiba-tiba Menjadi Satu Fonomena Maya dan Salleh Groger Samsa di Facebook. Sila baca juga entri Bila Menulis Secara Maya sebagai bacaan tambahan.
Undang-undang tidak membezakan antara penulis dengan rakyat lain dan tidak memberikan sebarang keistimewaan kepada mereka. “Penulis” kontaks ini bukan bermakna, anda perlu mengistiharkan diri sebagai penulis secara sepenuh masa atau melibatkan diri dalam dunia penulisan, namun, ia bererti: sesiapa sahaja yang menulis sama ada secara sepenuh masa, sambilan ataupun menulis sebagai hobi dan menyebarkannya (sama ada dalam bentuk bercetak atau secara maya). Sekiranya tulisan berkenaan tidak dibaca oleh orang lain dan hanya catatan peribadi yang tidak disebarkan, kemungkinan untuk penulis berkenaan diambil tindakan sangat rendah, kecuali ia disebarkan kemudiannya (dengan persetujuan penulis atau tanpa persetujuan).
Apabila menulis, seseorang itu akan dikaitkan dengan undang-undang secara langsung atau tidak langsung. Undang-undang akan dikaitkan secara langsung dengan penulis apabila kesan sesuatu undang-undang itu amat rapat dengan hasil penulisan seseorang penulis seperti undang-undang hakcipta, manakala kaitan tidak langsung kepada penulis boleh diterima apabila sesuatu tulisan itu mengarah kepada hal-hal yang menjurus kepada kesalahan (melanggar undang-undang negara) seperti kesalahan menghasut (akan didakwa di bawah undang-undang hasutan), menfitnah (akan didakwa di bawah undang-undang menfitnah) dan sebagainya.
Hak penulis juga dijamin oleh undang-undang. Penulis akan dilindungi jika tulisan disiarkan atau diterbitkan dan ini terjamin dalam undang-undang kontrak, manakala hasil karya itu sendiri dilindingi hakciptanya.
Isu tentang kebebasan menulis di Malaysia pernah hangat beberapa waktu dahulu, namum kebebasan ini telah dimasukkan dalam dalam Perlembagan Malaysia. Negara Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen melalui pilihanraya telah membenarkan kebebasan bersuara secara terhad dalam penulisan. Walaupun boleh menulis secara bebas untuk mengutarakan pendapat dan fikiran kepada umum, namun perlu disedari bahawa kebebasan ini bersifat terhad.
Setiap penulisan perlu mematuhi undang-undang negara. Antara akta yang mengawal dan melindungi setiap orang yang terlibat dalam penulisan adalah seperti berikut;
1. Akta hak cipta
Setiap penulisan perlu mematuhi undang-undang negara. Antara akta yang mengawal dan melindungi setiap orang yang terlibat dalam penulisan adalah seperti berikut;
1. Akta hak cipta
2. Akta Fitnah
3. Akta hasutan
4. Akta kontrak
5. Akta rahsia rasmi
6. Akta keselamatan dalam negeri
7. Akta mesin cetak dan penerbitan
8. Akta kawalan penerbitan yang diimport
9. Akta siber
Entri ini hanya berkisar tentang undang-undang siber sahaja. Akta-akta lain yang berkaitan akan dipaparkan dalam entri yang lain.
Undang-Undang Siber
Berikut adalah lima akta siber yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1997 dan 1998 iaitu:
1. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
2. Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia 1998.
3. Akta Tandatangan Digital 1997.
4. Akta Jenayah Komputer 1997.
5. Akta Teleperubatan 1997.
Kategori Jenayah Siber
Secara kasar, jenayah siber dilakukan melalui internet, oleh itu rangkuman jenayah ini boleh meliputi negara luar dan juga lingkungan penguatkuasaan di Malaysia. Walau bagaimanapun, undang-undang siber yang digubal hanya boleh dikuatkuasakan kepada pesaalah yang berada di Malaysia sahaja. Sekiranya penjenayah berkenaan tidak berada di Malaysia, akta ini tidak dapat digunakan kepada mereka. Walau bagaimanapun, dalam kes tertentu, pihak berkuasa di Malaysia boleh berkerjasama dengan pihak berkuasa di negara berkenaan dan interpol bagi menangani kegiatan jenayah yang serius.
Video berikut boleh menerangkan kepada anda tentang jenayah siber;
Juga video ini dan sirinya yang lain:
Jenayah siber dikategorikan kepada;
a) jenayah siber terhadap harta benda,
b) jenayah siber terhadap manusia/ individu dan
c) keganasan siber.
Jenayah siber terhadap harta benda
Jenayah Siber yang melibatkan harta benda ini melibatkan semua bentuk harta benda seperti mencuri maklumat, wang, harta atau perkhidmatan. Ia merangkumi penipuan, pemalsuan dan penggangu (mischief) yang boleh dilihat melalui beberapa contoh di bawah;
- kesalahan menggunakan kenyataan dan salahtafsiran untuk memujuk negara memberikan harta, barang-barang berharga secara rela seperti: pemasaran secara 'mutilevel', francais, lelongan dan sebagainya.
- Perlakuan mengubahsuai dokumen dengan niat menggunakan dokumen-dokumen itu untuk menipu. Jenayah siber jenis ini dilakukan apabila seseorang yang menggunakan komputer.
- Menggangu seperti dilakukan secara maya oleh virus komputer. Virus ini boleh dihasilkan dan disebarkan melalui muat turun (download), laman web pornografi dan games, dan membuka program atau file yang berpaut pada e-mail.
- vandalisme siber: iaitu seorang yang menceroboh masuk sistem komputer bagi tujuan merosakkan atau memusnahkan maklumat yang ada.
Jenayah siber terhadap manusia
Walaupun jenayah siber tidak melibatkan kesan terhadap kecederaan fizikal, namun, ia masih lagi mampu memberi kesan buruk kepada mangsanya. Contoh:
- pornografi: foto boleh diubahsuai menjadi foto pornografi melalui pelbagai teknik super impose, menyebarkan rakaman video
- gangguan siber di mana mangsa diganggu melalui internet dan dilakukan ke atas mangsa melalui laman web, e-mail atau program 'chat'.
- pengintipan yang dilakukan untuk mengancam mangsa melalui mesej e-mail seperti kes yang berlaku kepada Bill Gates; menerima ugutan bunuh.
Keganasan siber
Keganasa jenis terancang ini telah dirancang dengan teliti dan dimotivasikan secara politik terhadap pencerobohan maklumat, sistem komputer, program komputer dan data oleh segolongan kecil orang dan agen-agen sulit sahaja.
• Contoh: jenayah yang melibatkan kawalan trafik udara terjejas mengakibatkan perlanggaran kapal terbang.
Pencerobohan Papan Digital Jalan Raya boleh ditonton dalam video berikut:
1. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Akta ini merupakan akta yang digubal berkenaan undang-undang siber dan dibentuk sebagai satu rangka kerja bagi campur tangan kerajaan Malaysia dalam memantau industri komunikasi dan multimedia.
Aktiviti-aktiviti yang dikawal di bawah akta ini merangkumi:
- penyiaran tradisional,
- telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut.
Walau bagaimanapun, tiada peruntukan membenarkan penapisan Internet. Namun akta ini boleh memantau kegiatan di dunia maya yang melanggar undang-undang Malaysia termasuk penulisan. Sekiranya sesuatu tulisan di laman web atau blog didapati menyalahi undang-undang, tindakan akan diambil dengan mengarahkan Internet Service Provider (ISP) menyekat laman-laman web tertentu yang menyalahi undang-undang negara di bawah peruntukan pencegahan yang dibenarkan oleh Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM 98). Tindakan ini tidak boleh dianggap sebagai menapis Internet, sebaliknya ia adalah tindakan penguatkuasaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang negara.
Sepanjang tempoh Januari 2008 hingga Julai 2009, sebanyak 470 laman web yang didapati melakukan kesalahan telah dikenakan tindakan sekatan oleh Internet Service Provider (ISP) atas arahan SKMM. Begitu juga dengan beberapa kes pendakwaan di mahkamah atas kesalahan tertentu seperti kes Raja Petra Kamarudin (RPK) didakwa menghasut berhubung dengan artikel beliau di Malaysia Today, “Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell” pada 25 April 2008.
Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. Melalui syeksen ini, Seorang kerani bank telah menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah melalui Internet bagi tujuan komersial. Tajulzairi Tajuddin, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet di laman web wanitamelayu2.com dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial telah didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Akta ini merupakan sendi kepada semua undang-undang siber di Malaysia. Pendakwaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula membabitkan apa-apa kegiatan berkaitan penyalahgunaan akaun komunikasi untuk mengelak bayaran.
Selain itu, penyebaran maklumat berunsur fitnah atau menjatuhkan maruah orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut Kanun Keseksaan. Akta ini menggabungkan penyiaran dan komunikasi iaitu menggantikan Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988.
2. Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia 1998
Akta ini membolehkan ditubuh sebuah suruhanjaya untuk mengendalikan urusan berkaitan dengan jaringan seperti internet. Suruhanjaya berkenaan adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), iaitu badan penyeliaan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia. Badan ini juga akan mengambilalih kuasa pelesenan terhadap spectrum penyiaran dan telekomunikasi. Urusan pos juga kini diletakkan di bawah suruhanjaya ini.
Tujuan utama dibentuk suruhanjaya ini adalah sebagai salah satu usaha untuk mengawal selia industri telekomunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan kuasa-kuasa yang diberi menurut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (1998) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Peranan utama SKMM adalah:
- melaksanakan dan memupuk objektif dasar kebangsaan Kerajaan Malaysia untuk sektor telekomunikasi dan multimedia.
- menyelia rangka penyeliaan baru untuk kegiatan industri-industri telekomunikasi, penyiaran dan on-line yang semakin berkait rapat.
3. Akta Tandatangan Digital 1997
Akta ini digubal untuk membolehkan segala urusan melalui online diterima secara sah termasuk penggunaan tandatangan secara digital. Tujuan utama Akta Tandatangan Digital digubal untuk membolehkan tandatangan elektronik dan tanda tangan dalam bentuk bukan tulisan dapat diterima dalam urusan perniagaan dan perundangan bagi melicinkan urusan dagangan secara elektronik, sebagai usaha meningkatkan e-commerce atau e-dagang.
Tandatangan digital ini sebenarnya satu nombor kekunci yang digunakan untuk tujuan penyulitan dan tandatangan maklumat digital. Kelulusan undang-undang ini sangat diperlukan kerana tanpa pengesahan dari segi undang-undang, dokumentasi secara online sukar untuk dilaksanakan.
4. Akta Jenayah Komputer 1997
Undang-undang ini memberi satu rangka kepada pihak penguatkuasa untuk mendefinisikan aktiviti membaca, memintas dan menggunakan komputer serta maklumat komputer secara haram, piawaian untuk pembekal khidmat dan menggariskan hukuman kepada mereka yang salah di sisi undang-undang.
Jenayah komputer adalah apa-apa kegiatan jenayah yang menggunakan komputer sebagai alat dan melibatkan hubungan yang terus antara komputer dengan penjenayah berkenaan. Akta ini digubal untuk melengkapkan undang-undang jenayah sedia ada khususnya berkaitan dengan jenayah yang dilakukan melalui jaringan komputer. Pengguna yang terbabit dalam kegiatan pencerobohan rangkaian komputer, penipuan perbankan internet, pemalsuan kad ATM serta penyebaran virus boleh didakwa mengikut Akta Jenayah Komputer 1997. Akta ini dikuatkuasakan pada 1 Jun 2000, bertujuan menyediakan hukuman berkaitan penyalahgunaan komputer.
Antara kesalahan yang dijelaskan ialah:
- capaian tanpa kuasa ke atas bahan komputer,
- capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut,
- pengubahsuaian tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer dan komunikasi salah.
- Menceroboh, mencuri & membinasakan data,
- merosakkan laman web, mencuri e-mail, menyalahgunakan kad kredit untuk penipuan dan lain-lain lagi.
5. Akta Teleperubatan 1997
Akta ini membolehkan para doktor dan pengamal perubatan lain menggunakan jaringan internet untuk menjalankan operasi perubatan dari jarak jauh. Ia memperuntukkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal perubatan. Akta ini membawa bidang perubatan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.
Akta ini menyediakan garis panduan yang membolehkan pengamal perubatan berlesen memberi teleperubatan melalui audio, visual dan komunikasi data. Seorang doktor boleh menggunakan kemudahan multimedia untuk mendapatkan bacaan tekanan darah, denyutan nadi, sehu badan yang diambil oleh pesakit sendiri melalui skrin komputer, merujuk pada rekod sedia ada, membuat diagnosis dan rundingan secara telesidang. Melalui perkhidmatan dengan perlindungan insuran ini, pesakit berpeluang mendapat rawatan seolah-olah hadir sendiri di hospital.
Para doktor dan pakar perubatan pula boleh bertukar pendapat dan pandangan perubatan daripada pakar lain yang jauh tanpa 'duduk' berbincang di tempat yang sama. Jarak tidak lagi menjadi halangan utama. Ini amat menjimatkan masa, kos dan dapat menyelamatkan nyawa dalam situasi yang kritikal.
Undang-undang lain yang melindungi penulis apabila berkarya, ataupun boleh dikenakan tindakan terhadap penulis yang melanggarnya akan saya tulis dalam entri-entri akan datang. Dokumen lengkap tentang akta-akta yang terdapat di Malaysia boleh dilihat secara online di Akta-akta di Malaysia. Selamat menelaah.
1 comment:
Salam, banyak saya belajar dari blog ini, terutama dalam dunia penulisan dan hak cipta karya sendiri. Kalaulah boleh dishare ke grup penulisan alangkah baiknya. Terima kasih atas info yang berguna ini..
Post a Comment