Pernah tak anda mencari nama anda sendiri di alam maya? Berapa banyak yang anda jumpa?
Saya merupakan antara orang yang sangat berhati-hati meninggalkan nama di alam maya. Profesyen saya yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam memerlukan saya menjaga nama baik sendiri dan nama baik JPA serta profesyen yang saya pegang. Jadinya, saya perlu pastikan nama saya bersih daripada sesuatu yang bersifat tidak profesional.
Amat sukar untuk menjaga nama baik sendiri dan institusi pada zaman dunia tanpa sempadan seperti sekarang. Ketika maklumat boleh dicapai di hujung jari, saya masih lagi perlu membataskan semua maklumat tentang diri sendiri agar tidak disalahgunakan oleh orang yang berkepentingan. Pada ketika Perdana Menteri Malaysia juga mempunyai jaringan rakan sosialnya di alam maya, saya masih juga belum mendaftar Facebook hanya kerana tidak mahu begitu terdedah dengan unsur negatif berkenaan. Ada ketikanya, saya terlihat bagaikan fobia dengan dunia tanpa sempadan, namun saya mempunyai sebab yang tersendiri.
Dalam setahun, saya akan menyemak nama sendiri di alam maya beberapa kali. Kenapa? Perasan popular? Tidak. Saya tidak sukakan populariti. Jika saya mahu popular, sudah tentu saya akan menjadi artis, bukannya kerja di Jabatan perkhidmatan Awam sebegini. Jadinya, untuk apa saya menyemak nama sendiri di dunia maya?
Pertamanya, untuk melihat berapa banyak tentang saya diperkatakan di dunia maya. Sudah tentu saya mahukan sesuatu yang baik sahaja agar reputasi saya sentiasa terjaga. Kedua, adakah hasil kerja saya diterbit seperti sepatutnya dan mudah dicapai secara online. Maksudnya, adakah tulisan saya atau semua kegiatan yang saya sertai dan lakukan seperti penyelidikan, pembentangan kertas kerja atau artikel saya telah disiarkan di merata tempat secara maya. Dah tentu semua ini sangat penting kerana ia akan menyerlahkan kepakaran saya kepada umum. Semakin banyak nama saya disebut, karya dan tulisan saya diterbitkan secara maya atau bercetak, serta semakin tinggi capaian terhadapnya akan mengukuhkan nama saya dalam bidang berkenaan.
Ketiga, adakah terdapat tulisan tertentu yang memburukkan nama saya? Ini sangat penting kerana saya perlu menjaga nama baik sendiri dan institusi tempat saya berkerja. Hal-hal buruk yang ditulis tentang saya boleh menyebabkan nama baik saya tercalar. Ini juga boleh menyebabkan masyarakat umum memandang rendah terhadap saya.