Pages

Thursday, July 2, 2009

Demam Peperiksaan

Semester 3 hanyalah 7 minggu. Pendek sahaja tetapi sukatan kursus tetap sama seperti semester biasa. Ramai pelajar mahukan kerja kursus dan sukatan kursus dipendekkan, namun ianya sudah pasti tidak adil. Tidak ada sesiapa yang memaksa pelajar untuk mengikuti kursus dalam semester pendek seperti ini. Semuanya dengan kehendak pelajar sendiri. Jadinya, jika pelajar sanggup mengikuti mana-mana kursus dalam semester pendek ini, sudah pasti pelajar juga perlu sanggup belajar dan menyiapkan kerja kursus sama seperti semester biasa.

Peperiksaan semester 3 baru sahaja berlalu minggu lepas. Minggu ini, lebih tepatnya hari ini, semua markah perlu disahkan dalam mesyuarat lembaga peperiksaan peringkat Pusat, kemudian diperakukan, sebelum mesyuarat peringkat fakulti dan bahagian Akademik. Alhamdulillah, semester ini sebahagian besar pelajar mendapat markah yang cemerlang. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang bertungkus lumus menyiapkan tugasan, belajar, menelaah untuk peperiksaan, juga mengikuti 6 jam kuliah setiap minggu. Juga kepada pelajar yang tidak pernah jemu mendengar saya berleter dan membebel dalam dewan kuliah. Apalagi berdepan dengan kritikan saya yang panjang berjela-jela dan teliti semasa menyiapkan tugasan. Harapnya, semua pengalaman dan ilmu yang diperoleh dalam kursus ini dapat membantu sepanjang pengajian di UKM nanti.

Peperiksaan ZZZT 2243 Kemahiran Menulis telah berlangsung pada 25 Jun 2009 di Dewan Gemilang. Semuanya berlangsung lancar dengan 70 orang pelajar telah menduduki peperiksaan. Semasa menyemak kedatangan pelajar, saya menyedari terdapat seorang pelajar tidak tersenarai namanya dalam senarai nama yang diberikan Bahagian Akademik. Setelah menyemak dalam sistem, ternyata pelajar tersebut sebenarnya tidak layak untuk menduduki peperiksaan kerana statusnya Gagal Berhenti (GB).
GB adalah status bagi pelajar yang diberhentikan dari universiti kerana pencapaiannya kurang daripada 2.0 (CGPA) untuk dua semester secara berturut-turut. Ini secara automatik tidak melayakkan pelajar berkenaan mengikuti apa-apa kursus di universiti. Secara automatik juga, peperiksaan yang diikutinya pada hari tersebut tidak akan dikira. Pelajar berkenaan dari Fakulti Kejuruteraan (Alam Bina).

Pelajar yang berhadapan dengan situasi sama mempunyai pilihan lain iaitu memohon di Bahagian Akademik untuk menukar jurusan pengajian. Sangat rugi andai pelajar tidak lakukan sebegitu kerana balik kampung tanpa apa-apa sijil sangat membazir sama ada dari sudut masa, tenaga, wang dan banyak perkara lain lagi. Pelajar ini sebenarnya dalam proses permohonan tersebut, iaitu menukar jurusan Alam Bina ke jurusan Biologi. Kes-kes sebegini (tukar jurusan) kerap juga berlaku dan menjadi alternatif kepada pelajar untuk teruskan pengajian. Secara peribadi, saya memang menyokong cara ini kerana pelajar yang tidak dapat mengikuti dengan cemerlang dalam apa-apa jurusan di universiti diberi pilihan untuk mengikuti jurusan yang lain. Pelajar yang mendapat tempat di universiti sudah semestinya terdiri daripada golongan pelajar yang memang sudah “terpilih” antara puluhan ribu pelajar yang memohon. Ada masanya pelajar tidak mampu cemerlang dalam bidang yang dipilih, namun tidak bermakna pelajar yang sama tidak boleh mendapat keputusan yang bagus dalam bidang yang lain. Cara ini memang patut dilakukan bagi golongan pelajar yang menyedari tahap pencapaiannya dalam sesuatu jurusan itu tidak begitu memberangsangkan.

Saya sebenarnya kagum dengan semangat kental pelajar ini. Dia memang bersemangat waja, sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan arah tuju masa hadapannya sendiri. Dia sanggup mengikuti semester 3 yang pendek dan beban kerja yang banyak semata-mata untuk menambahbaikkan CGPAnya. Dia juga tetap berusaha hingga titisan peluh yang terakhir bagi memastikan dapat juga genggam segulung ijazah. Dia tidak mudah putus asa dan kecewa begitu sahaja. Dia memang kuat semangat. Dia memang seorang yang ada wawasannya sendiri. Orang yang sebeginilah diperlukan di negara kita. Orang yang sebeginilah yang akan memajukan negaranya, bangsanya, keluarganya, agamanya.

Proses untuk tukar jurusan pengajian akan memakan waktu, terutama pelajar terbabit menyerahkan permohonan di fakulti bukannya di Bahagian Akademik. Namun begitu, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Puan Rohana Tan yang sudi membantu, memberi cadangan dan nasihat kepada pelajar ini. Sikap sebegini yang diperlukan dikalangan pentadbir, sentiasa membantu dan memberi jalan yang dapat membantu serta memandu arah kepada pelajar. Selgi ada ruang dan cara, golongan pelajar yang bermasalah dengan pengajian mereka perlu dibantu secara sewajarnya agar mereka tidak keciciran pada tahap sebegini.

Sekiranya pelajar berkenaan mahu mencari pekerjaan separuh masa (partime) sebagai penterjemah, sila hubungi saya melalui emel atau telefon, atau datang sendiri jumpa saya di pejabat. Saya mempunyai beberapa artikel berbahasa Inggeris dalam bidang alam sekitar untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Saya tahu dia mampu menterjemah artikel berkenaan dengan baik kerana dia memohon mengikuti bidang biologi nanti. Walaupun begitu, saya tidak dapat menjanjikan bayaran yang lumayan. Kiranya ini dapat membantu, saya sangat berbesar hati untuk lakukannya.



No comments: