Pages

Friday, March 18, 2011

Merosakkan Bahasa Ibunda Sendiri?

Assalamualaikum. Salam Sejahtera.

Sistem Pesanan Ringkas (SMS), alat yang menjadi penghubung di antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan, dikatakan merosakkan bahasa. Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan tertentu secara meluas itu dikatakan punca kemerosotan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat dan pelajar sekolah.

Antara sebab kemerosotan pencapaian kelulusan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2003 dikatakan berpunca daripada budaya perkhidmatan SMS dan sembang Internet di kalangan pelajar. Ramai calon menggunakan singkatan perkataan dalam esei mereka seperti yang dilakukan ketika bersembang atau SMS. Semasa sedang menghadapi ujian dan peperiksaan, seseorang calon itu tidak ada banyak masa untuk berfikir lama. Senjata yang ada ialah kebiasaan berbahasa yang harus diluahkan dalam kertas jawapan sahaja. Kebiasaan yang berlaku kini adalah bahasa SMS. Menulis nota dalam bahasa SMS, menulis SMS dalam bahasa SMS, menulis blog dalam bahasa SMS, pendek kata semua perkara yang melibatkan bahasa akan menggunakan bahasa SMS. itulah yang akan mempengaruhi minda dan cara berfikir.

Setiap hari kita dapat melihat iklan SMS yang memaparkan penggunaan kata singkatan, kod atau simbol disiarkan di media elektronik dan media cetak. meminimumkan bahasa ketika berhubung dengan SMS sememangnya tidak dapat ditolak kerana ruang yang disediakan terhad. singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu banyak digunakan untuk menggantikan maksud sebenar. Kadang-kala ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu.

Thursday, March 10, 2011

Budi Bahasa Secara Maya

Budi Bahasa Budaya Kita. Kononnya. Sepatutnya. Namun, bagaimana kita berbudi bahasa secara maya?

Semua orang kelihatan sopan dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi secara berdepan. Penuh dengan tertib, bersopan santun. Bersusila. Bagaimana pula bila berkomunikasi secara maya? Masihkah begitu?

Walaupun anda hanya berada di hadapan komputer, namun, apabila anda menjelajah dunia secara maya, anda sebenarnya sedang mempamerkan siapa diri anda berdasarkan budi bahasa anda. Hanya menggunakan perkataan.

Bagaimana mahu berbudi bahasa secara maya?

1. Ucapan salam apabila bertegur sapa.
Bagi masyarakat Islam, ucapan Assalamualaikum merupakan antara ucapan yang paling baik. Anda juga boleh berikan ucapan “Salam Sejahtera”, “Selamat Pagi”, dan sebagainya mengikut kreativiti anda. Namun, elakkan penggunaan ucapan yang kasar seperti “Hoi”, menggelarkan orang lain dengan gelaran tertentu seperti “Hey Mun” (tambun), Debab, Gigi Mancung dan sebagainya sebagai panggilan berdasarkan rupa bentuk fizikal mereka. Sesiapapun tidak gemar dipersendakan.