AWAS: entri kali ini saya tulis dalam bentuk tulisan popular. Tulisan popular tidak sesuai digunakan untuk dijadikan sumber rujukan bagi tulisan ilmiah.
Dunia maya menjanjikan banyak nilai kemudahan dan kebaikan sekiranya pengguna tahu manfaatkan. Pengguna internet bukan sahaja boleh manfaatkan kelebihan dunia maya semasa mencari maklumat di pelbagai sumber (sila pastikan maklumat yang anda ambil adalah maklumat yang sahih, sah dan daripada sumber yang boleh dipercayai seperti agensi kerajaan, tokoh terkemuka yang pakar dalam bidangnya dan perkumpulan tertentu yang berdaftar dan sah fungsinya), malah pada masa yang sama boleh membantu anda mengasah bakat menulis.
Bagaimana cara untuk mengasah bakat menulis secara maya? Terdapat pelbagai pihak menyediakan tapak interaktif yang membolehkan orang ramai menghasilkan sendiri medium untuk mereka berkomunikasi dan meningkatkan mutu penulisan. Sekiranya anda seorang yang gigih, berkeyakinan dan berwawasan tinggi, anda boleh hasilkan e-book dalam pelbagai bidang. Boleh jualkannya secara online juga sekiranya anda mahir membuat promosi. Kalau sebuah e-book atau e-novel boleh anda jual dengan harga RM10 sebuah, ramai pembaca yang tak kesah untuk membelinya secara online. Murah, tetapi ramai pembelinya tetap akan mendatangkan keuntungan.