Pages

Monday, February 21, 2011

Menjadi Kaya dengan Menulis?

Semua orang bercita-cita untuk kaya. Lagi mudah cara untuk menjadi kaya, lagi ramai orang akan cuba. Kalau tidak, skim cepat kaya tidak akan berjaya walaupun kerap benar kita tengok banyak kali berlaku penipuan. Mengapa ramai masih tidak serik? Mudah sahaja, mana tahu untung sabut…mana tahu tiba-tiba boleh jadi kaya.

Pada zaman penulis-penulis veteran seperti A.Samad said, Abdullah Hussin, Usman Awang dan ramai penulis veteran lain giat berjuang dalam dunia penulisan, mereka perlu mempunyai pekerjaan yang tetap seperti wartawan, pemberita, guru atau jawatan lain yang boleh menjamin kehidupan seharian. Mereka tidak boleh menjadikan menulis sebagai kerjaya kerana dunia penulisan pada ketika itu tidak mendatangkan sumber rezeki yang lumayan.

Walaupun begitu, terdapat juga beberapa orang penulis dan orang seni yang menghambakan diri sebagai kerjaya tetap dan menjadikan penulisan sebagai sumber pendapatan seperti Norhisyam Mustafa, A.Samad said dan beberapa nama lain. Dengan situasi semasa pada ketika itu, mereka hidup dalam dunia yang serba ringkas, zuhud, dan adakalanya tidak dianggap sebagai kerjaya pilihan. Menulis tidak menjadi kerjaya yang mendatangkan kesenangan material dalam hidup.

Namun, dunia semakin berubah. Jika kita seorang kaki penyibuk yang suka bertanya kepada penerbit tentang pendapatan penulis di Malaysia kini, kita akan terkejut besar. Penulis novel seperti Norhayati Ibrahim, Norsuraya, Ramlee Awang Murshid, Abdul Latip Talib, (sekadar menyebut beberapa nama) mendapat bayaran royalti yang sangat mengujakan. Ratusan ribu setahun mereka perolehi hanya dengan menulis novel dan buku. Ain Maisarah umpamanya, menerima royalti mencecah RM80,000 hasil jualan tiga buah novel pertamanya. Anda tidak teruja?

Thursday, February 17, 2011

Lagu Saduran dalam Industri Hiburan

Dah banyak entri saya sebelum ini terlihat berat, ilmiah dan terlalu memaksa anda untuk serius. Jadinya, kali ini entri saya sangat santai. Memberi peluang kepada anda berhibur sambil berfikir dan menilai.

Sangat sering kita temukan hasil seni yang seakan-akan sama, terutama dalam penulisan kreatif. Paling mudah dikesan adalah dalam bentuk lagu dan musik. Sejak era 70-an lagi, Syarifah Aini pernah dendangkan lagu yang alunan muziknya sama seperti lagu 'Seasons In The Sun'. Lagu yang berjudul Cahaya Keinsafan merupakan lagu saduran dengan seni kata ditulis Ismail Haron. Jadi, apa kata kalau kita nikmati lagu-lagu ini dalam versi yang berbeza;

Tuesday, February 15, 2011

Stail Eewwwww Moncong-Moncong Mulut

Ramai anak muda kini suka menerima sesuatu yang baru dengan mudah. Budaya paling jelas kini adalah bahasa sms yang akan memendek-mendekkan perkataan. Cuba lihat contoh ayat di bawah;

Apa pendapat anda?
Apalh budk skrg ni, minum arak cm minum air teh je…xtau ke bende tu haram? klu adik aku dh lma aku pelangkung dgn kayu..Sedih tgk org melayu skrg….
I kan nak go sanalah
Pu3 2 kn x senonoh, suka kcu ppl
2nang dier ni bks bfrn bdk 2
Tht prnces is bad, suka kcu org
Tunang dia ni ex-bfrn tht boy



Tak salah anda pendekkan istilah terutama bila menggunakan SMS yang sangat terhad ruangnya. Namun, kependekan berkenaan biarlah berpada-pada. biarlah tidak mencacatkan keindahan bahasa kita. bira juga difahami oleh orang yang menerimanya.

Bagaimana pula jika melibatkan hal-hal yang tidak berkaitan dengan “untuk menjimatkan ruang” seperti penggunaan “ewwww”, “nyerrrr”, “skunk”, “ittew” dan sebagainya. Semakin banyak ruang yang digunakan, semakin panjang istilah pula.

Thursday, December 30, 2010

Pengumuman: Perpindahan Tempat Kuliah ZZZT 2243 Kemahiran Menulis

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Pengumuman ini ditujukan kepada para pelajar yang mengikuti kursus ZZZT 2243 Kemahiran Menulis. Tempat kuliah telah berpindah dari Bilik Seminar 3A509 dan 3A510 di FSSK ke tempat baru. Maklumat lanjut adalah seperti berikut;


Hari: Isnin
Masa: 5PM - 7PM
Tempat: Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan Tun Sri Lanang.


Hari: khamis
Masa: 5PM - 6PM
Tempat: Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan Tun Sri Lanang.

Semoga perpindahan ini akan meningkatkan lagi tahap pembelajaran dan menambah keselesaan anda.

Sekian, harap maklum.

Sunday, November 21, 2010

Nama Anda Menjadi Daya Tarik ke Web Lucah?

Pernah tak anda mencari nama anda sendiri di alam maya? Berapa banyak yang anda jumpa?

Saya merupakan antara orang yang sangat berhati-hati meninggalkan nama di alam maya. Profesyen saya yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam memerlukan saya menjaga nama baik sendiri dan nama baik JPA serta profesyen yang saya pegang. Jadinya, saya perlu pastikan nama saya bersih daripada sesuatu yang bersifat tidak profesional.

Amat sukar untuk menjaga nama baik sendiri dan institusi pada zaman dunia tanpa sempadan seperti sekarang. Ketika maklumat boleh dicapai di hujung jari, saya masih lagi perlu membataskan semua maklumat tentang diri sendiri agar tidak disalahgunakan oleh orang yang berkepentingan. Pada ketika Perdana Menteri Malaysia juga mempunyai jaringan rakan sosialnya di alam maya, saya masih juga belum mendaftar Facebook hanya kerana tidak mahu begitu terdedah dengan unsur negatif berkenaan. Ada ketikanya, saya terlihat bagaikan fobia dengan dunia tanpa sempadan, namun saya mempunyai sebab yang tersendiri.

Dalam setahun, saya akan menyemak nama sendiri di alam maya beberapa kali. Kenapa? Perasan popular? Tidak. Saya tidak sukakan populariti. Jika saya mahu popular, sudah tentu saya akan menjadi artis, bukannya kerja di Jabatan perkhidmatan Awam sebegini. Jadinya, untuk apa saya menyemak nama sendiri di dunia maya?

Pertamanya, untuk melihat berapa banyak tentang saya diperkatakan di dunia maya. Sudah tentu saya mahukan sesuatu yang baik sahaja agar reputasi saya sentiasa terjaga. Kedua, adakah hasil kerja saya diterbit seperti sepatutnya dan mudah dicapai secara online. Maksudnya, adakah tulisan saya atau semua kegiatan yang saya sertai dan lakukan seperti penyelidikan, pembentangan kertas kerja atau artikel saya telah disiarkan di merata tempat secara maya. Dah tentu semua ini sangat penting kerana ia akan menyerlahkan kepakaran saya kepada umum. Semakin banyak nama saya disebut, karya dan tulisan saya diterbitkan secara maya atau bercetak, serta semakin tinggi capaian terhadapnya akan mengukuhkan nama saya dalam bidang berkenaan.

Ketiga, adakah terdapat tulisan tertentu yang memburukkan nama saya? Ini sangat penting kerana saya perlu menjaga nama baik sendiri dan institusi tempat saya berkerja. Hal-hal buruk yang ditulis tentang saya boleh menyebabkan nama baik saya tercalar. Ini juga boleh menyebabkan masyarakat umum memandang rendah terhadap saya.