PENULIS DAN HAKCIPTA
Oleh :NISAH HAJI HARON
Peguambela dan Peguamcara
HASIL karya seorang penulis adalah jerih payah katih fikirnya berlari bersama pena atau ketukan papan kekunci yang terserlah dari keresahan di sudut nalurinya. Bayangkan keresahan dan kesukaran melahirkan idea ke dalam bentuk yang boleh diamati dan dibaca khalayak serta jumlah masa dan tenaga minda yang dicurahkan bagi menghasilkan sesebuah karya. Sesungguhnya menjadi seorang penulis bukanlah suatu tugas mudah. Maka dari kesedaran inilah, undang-undang hakcipta wujud sebagai salah satu daripada cabang undang-undang harta intelektual.
Secara amnya, undang-undang harta intelektual terdiri daripada:
a) Hakcipta (Copyright)
b) Paten (Patent)
c) Tandaniaga (Trademark)
d) Rekabentuk (Design)
Hakcipta di Malaysia adalah satu rangka undang-undang yang wujud untuk melindungi hak-hak pencipta yang menghasilkan karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran. Dengan kata lain, hakcipta diwujudkan bagi maksud melindungi mereka yang mencipta hasil karya seperti ini ataupun mereka yang membeli hak-hak seperti ini.
Seorang penulis boleh mendapat perlindungan hakcipta seperti yang telah dijelaskan oleh Akta Hakcipta 1987 (Akta 332) iaitu antara lain, novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, syair, drama, arahan pentas, senario filem, skrip siaran, sejarah,2biografi, karangan dan artikel, ensiklopedia dan kamus. Penulis juga telah diistilahkan dalam undang-undang hakcipta sebagai pembuat karya itu.
Walau bagaimanapun, undang-undang hakcipta tidak hanya melindungi hak-hak penulis atau pencipta di dalam karya mereka sama ada di dalam bentuk buku, pementasan drama, lukisan ataupun penciptaan muzik. Ia juga termasuk perlindungan ke atas hak-hak penerbit buku, penerbit filem serta penyiar.
Undang-undang hakcipta wujud di atas keperluan mengawasi dan merangsang pemasaran karya-karya sastera, muzik dan seni. Matlamat ini dicapai dengan memberi salinan dan keluaran ulangan karya bagi penyebaran dan jualan serta untuk memberi kuasa kepada orang lain menggunakan hak berkenaan.
Jika diteliti dengan betul, undang-undang hakcipta tidak bertujuan melindungi buah fikiran atau idea pengarang atau pencipta tetapi hanya cara penyampaiannya. Seksyen 7(3) Akta Hakcipta menyatakan bahawa:
“Sesuatu karya sastera, muzik atau seni tidaklah layak mendapat hakcipta melainkan:
a) usaha yang mencukupi telah dilakukan untuk menjadikan karya itu bersifat asli; dan
b) karya itu telah ditulis, direkod dan selainnya dijadikan dalam bentuk bahan.”
Dengan erti kata lain, karya itu hendaklah dipindahkan daripada bentuk idea kepada bentuk penulisan ataupun direkodkan. Oleh itu, jelas bahawa perkara yang ingin dielakkan itu adalah perbuatan menceduk langsung, plagiat atau meniru sepenuhnya atau sebahagian daripada karya yang asli.
Undang-undang ini melindungi hak-hak penulis atau pencipta di dalam karya-karya mereka. Tujuan utama wujudnya undang-undang harta intelektual ini secara am dan khususnya undang-undang hakcipta adalah untuk merangsang perkembangan seni dan sastera untuk kepentingan masyarakat.
Dalam masa yang sama ia memberi penghargaan yang sewajarnya kepada penulis dan pencipta tersebut. Dengan cara sebegini, adalah diharapkan supaya kreativiti di dalam bidang-bidang ini dapat diwujudkan di dalam usaha menyaksikan perkembangan positif seni dan sastera untuk generasi masa depan.
Meskipun undang-undang hakcipta tidak sama sekali melindungi idea yang masih belum dijadikan dalam bentuk bahan, kualiti sesuatu karya pula bukanlah satu kayu ukur untuk mendapat hakcipta. Secara nyata, Seksyen 7(2) Akta ini menerangkan bahawa “karya-karya adalah dilindungi tanpa mengira kualiti dan tujuan karya-karya itu dihasilkan.”
Ini bermakna, selagi ia wujud dalam bentuk yang material dan tidak sekadar berada di minda atau tidak sekadar suatu konsep yang masih belum direkodkan, pencipta atau penulis itu masih boleh mendapat perlindungan hakcipta karyanya.
Perkara penting mengenai idea dan ekspresi penulis di dalam karya seringkali menjadi isu yang mengundang perdebatan. Akta ini tidak melindungi idea dengan tujuan supaya tidak wujud monopoli idea, maka setiap penulis berhak untuk menyampaikan sesuatu idea yang sama dalam cara penyampaian yang berbeza lagi kreatif. Undang-undang membenarkan mana-mana penulis untuk menghasilkan karya di atas suatu topik yang sama selagi penghasilan tersebut berbeza antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah jika kita berjumpa di toko-toko buku kisah Cinderella, Hang Tuah dan sebagainya dalam pelbagai versi. Setiap penulis karya tersebut mendapat hak perlindungan hakcipta.
Bagi membolehkan sesuatu karya mendapat hakciptanya, ia haruslah sebuah karya yang asli. Istilah asli di sini bukan sahaja bermaksud baru. Ini bermakna, karya tersebut bukan disalin atau diplagiat dari mana-mana sumber lain. Adalah memadai untuk kita amati di sini bahawa karya tersebut lahir dari tangan penulis yang berkenaan dan dia telah menggunakan kemahiran, usaha serta iltizamnya untuk menghasilkan karya tersebut.
Akta ini juga membenarkan pindah milik hakcipta daripada seorang penulis kepada suatu pihak yang lain. Walau bagaimanapun, penyerahan hakcipta atau pemberian lesen oleh seorang penulis hanya boleh berkuatkuasa sekiranya ia dilakukan secara bertulis. Ini menunjukkan bahawa seorang penulis boleh memberi lesen kepada penerbit karyanya, ataupun seorang produser filem untuk membuat adaptasi, ataupun seorang penulis penulis skrip. Keadaan tersebut tidak melanggar hakcipta setelah penulis memberi kebenaran dan lesen kepada pihak yang lain bagi tujuan mewujudkan karya-karya terbitan (derivative works). Pemberian lesen tersebut pula tidak bermakna penulis menyerahkan hakmilik karyanya kepada pihak-pihak tersebut.
Perlanggaran hakcipta boleh berlaku secara langsung ataupun tidak langsung. Perlanggaran secara langsung berlaku apabila seseorang itu melakukan mana-mana perbuatan yang dikawal oleh Seksyen 13 Akta Hakcipta tanpa sebarang kebenaran daripada pemegang hakcipta.
Seksyen 13 tersebut berbunyi : “Hakcipta mengenai karya sastera, muzik atau seni, filem atau rakaman bunyi adalah hak eksklusif bagi mengawal dalam Malaysia
a) pengeluaran semula dalam apa-apa bentuk bahan;
b) pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam;
c) siaran;
d) perhubungan melalui kabel; dan
e) pengedaran salinan-salinan karya kepada orang awam melalui penjualan, sewaan, pajakan atau pinjamankeseluruhan atau sebahagian besar karya itu, sama ada dalam bentuk asal atau bentuk terbitan.
”Dalam kes perlanggaran hakcipta secara langsung, bagi membuktikan bahawa suatu perlanggaran hakcipta berlaku, seseorang itu hendaklah membuktikan:
a) wujudnya persamaan bersifat objektif yang cukup (sufficient objective similarity) di antara karya asal atau sebahagian daripada karya asal dengan karya yang ditiru;
b) Terdapat kaitan antara karya asal dengan karya yang ditiru, iaitu karya terkemudian itu mestilah dapat ditunjukkan bahawa ia telah ditiru sepenuhnya atau sebahagian daripada karya asal tersebut; dan
c) Apa yang telah ditiru itu adalah perkara yang penting (substantial part) daripada karya asal tersebut.
Perlanggaran hakcipta secara tidak langsung pula berlaku apabila suatu transaksi komersial atau sebarang aktiviti diadakan berkaitan dengan salinan langgaran karya tersebut. Perbuatan yang termasuk di dalam aktiviti ini adalah menjual, mengedar atau mengimport karya yang dilindungi hakciptanya. Ini telah dijelaskan oleh Seksyen 36(2) Akta Hakcipta.
Apabila perlanggaran hakcipta telah dibuktikan berlaku, remedi di dalam undang-undang pula boleh diperolehi di dalam dua bentuk utama.
Pertama, remedi sivil dan yang kedua dalam bentuk hukuman. Ini kerana, perlanggaran hakcipta boleh dikaitkan kepada kesalahan sivil ataupun jenayah.Bagi remedi sivil, hak tersebut diberikan kepada pemegang hakcipta ataupun pemegang lesen yang telah diberikan oleh pemegang hakcipta. Ia terpulang kepada beliau sama ada tindakan sivil harus diambil kepada pihak yang telah melanggar hakciptanya.
Dalam hal ini, penulis itu sendiri ataupun penerbit yang telah diberi lesen oleh penulis boleh mengambil tindakan sivil ke atas mana-mana individu yang melakukan perkara yang disenaraikan di dalam Seksyen 13 di atas tanpa kebenaran.
Bentuk-bentuk remedi yang boleh diperolehi oleh pemegang hakcipta apabila suatu perlanggaran hakcipta telah dibuktikan di mahkamah adalah gantirugi, perintah penahanan atau injunksi dan pembayaran keuntungan. Dalam kes-kes tertentu pula, mahkamah juga boleh memberikan gantirugi tambahan seperti sebarang faedah kewangan yang terkumpul akibat daripada perlanggaran tersebut.
Gantirugi diberikan oleh mahkamah dengan tujuan untuk meletakkan pemegang hakcipta itu kembali kepada keadaan asal sebelum perlanggaran itu berlaku. Perintah penahanan pula dikeluarkan oleh Mahkamah bagi menghalang pihak yang melanggar hakcipta daripada terus berbuat demikian kepada pemegang hakcipta. Ia boleh jadi perintah penahanan sementara ataupun perintah penahanan kekal. Sementara itu, perintah supaya pembayaran keuntungan dibuat kepada pemegang hakcipta oleh pihak pihak yang telah melanggar hakcipta tersebut itu pula bermaksud, keuntungan yang diperolehi setelah ditolak kos penghasilan karya.
Sementara itu, Seksyen 41 Akta Hakcipta pula menyenaraikan kesalahan-kesalahan perlanggaran hakcipta yang terletak di bawah bidangkuasa jenayah. Seksyen ini dengan jelas memperincikan bahawa sesiapa yang menjual, menyewa, mengedar, memiliki (selain daripada untuk kegunaan sendiri), mempamerkan atau mengimport satu salinan langgaran boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Seksyen ini juga menyebut mana-mana orang yang membuat atau ada dalam miliknya apa-apa alat yang boleh digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi maksud untuk membuat salinan langgaran, maka dia boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM40,000-00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Kawalan ke atas hakcipta diperolehi melalui undang-undang. Namun penguatkuasaan undang-undang sahaja tanpa kesedaran sosial yang tinggi tidak akan memberi erti kepada konsep hakcipta yang sebenarnya. Ramai di antara kita yang7memperkecil-kecilkan perlanggaran Akta Hakcipta sebagai sesuatu yang tidak signifikan berbanding jenayah pembunuhan. Mungkin secara dasarnya ia tidak sehebat jenayah yang tersenarai di dalam Kanun Keseksaan, tetapi berapa ramai yang menyedari bahawa plagiat dan cetak rompak telah “membunuh” kerjaya dan tugas penulis dengan mengakui sesuatu yang bukan milik sendiri.
Secara keseluruhannya, undang-undang hakcipta wujud di dalam usaha untuk menghalang plagiat serta cetak rompak ke atas harta intelektual. “Rompakan” ke atas karya intelektual sesungguhnya adalah suatu “jenayah” yang kejam. Mengakui karya orang lain sebagai hasil kita sendiri benar-benar menjatuhkan moral seorang penulis itu sendiri terutama sekali apabila penulis itu mengambil jalan termudah bagi mencipta nama.