Pages

Monday, June 18, 2012

Petua Bodek Pensyarah Tanpa Menyalahi Etika



Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.
Salam 1 Malaysia.
Apa khabar semua?

Sangat lama saya tidak berada di sini, mohon maaf kepada semua pembaca. Ayat tu bagaikan kenyataan perasan popular, usah ambil kira. 

Ada masa, kita tidak mampu mengawal arah hidup sendiri. Semester baru bukan sahaja telah lama bermula, namun kini berada di hujungnya. Kini musim peperiksaan pula melanda. Dan saya, akan terjebak dengan lebih banyak kesibukan lagi.

Kesempatan yang sempat diluangkan pada ketika ini, saya cuba untuk membayar hutang lepas dengan memberi panduan, petua dan tips kepada adik-adik yang sedang bertungkus lumus menjalani semester  di universiti. Belajar di universiti bukan seperti di sekolah. Anda bukan sahaja perlu kerja keras mengulangkaji pelajaran, namun sebaiknya anda juga perlu tahu bagaimana untuk bodek pensyarah dengan cara terhormat tanpa menyalahi etika. Orang kata, belajar di universiti perlu “work smart”. Jadi bagaimana caranya?


1.              Belajar cara pensyarah anda berfikir
Sebelum mengikuti mana-mana kursus, pernah anda selidik tentang pensyarah anda? Siapa dia? Apa yang dia suka? Apa yang dia tidak suka? Pernah tak anda ambil tahu bagaimana cara pensyarah anda berfikir?

Mengenali pensyarah anda daripada pelbagai sudut melalui senior yang pernah mengambil kursusnya agak membantu anda untuk memahami kesukaan dan pantang pensyarah anda. Bagaimana pula untuk mengetahui bagaimana cara dia berfikir? Mudah sahaja, baca semua artikel dan tulisannya. Tulisan menggambarkan pemikiran penulisnya. Membaca hasil penulisan seseorang bermakna membaca pemikirannya. Semakin banyak artikel atau tulisan seseorang dibaca, maka semakin jelas corak dia berfikir dipaparkan. Jadi, anda membaca caranya berfikir juga. Mudah sahaja kan?

Apa gunanya membaca cara pensyarah anda berfikir? Bagaimana cara dia menulis, sebegitu juga dia mengharapkan anda menulis apabila menyiapkan artikel, kertas kerja atau tugasan untuk melengkapkan kursus yang anda ambil. Mengenali cara dia menulis, berfikir dan menganalisis membantu anda melakukan hal yang serupa. Ini secara tidak langsung menjadi cara untuk bodek atau mengambil hati, malah mencuri perhatiannya terhadap kerja anda. Bermakna, peratusan untuk anda mendapat markah yang lebih murah dan tinggi berbanding rakan-rakan yang lain juga agak tinggi. Itu namanya bodek secara beretika. Bodek secara tidak langsung. Bodek yang tidak disedari oleh pensyarah anda, tetapi memberikannya rasa baik hati dan bermurah hati untuk memberikan markah yang lebih terhadap tugasan anda. Bodek yang bermaruah.




2.              Sentiasa menonjol di dalam kuliah (bertanya & menjawab)
Menonjol dalam kuliah dan tutorial berlaku dalam banyak cara. Selalu tidak hadir dan menimbulkan masalah dalam kuliah juga boleh menonjolkan diri dan nama anda berbanding rakan-rakan yang lain. Namun, adakah cara ini boleh dijadikan cara untuk bodek markah lebih? Sudah pasti tidak.

belajar di universiti tidak serupa seperti belajar di sekolah menengah; semua perkara guru yang berikan, manakala pelajar hanya bersetuju dengan semua perkara yang guru sogokkan. di universiti, anda bebas untuk bertanya, memberi pendapat dan berkomunikasi secara dua hala walaupun dalam dewan kuliah. tidak semua perkara yang pensyarah anda berikan perlu anda setujui. namun, sekiranya anda mempunyai pendapat, pandangan dan pegangan anda sendiri, pastikan semua itu anda salurkan secara berhemah. anda boleh untuk “tidak bersetuju” dengan pendapat pensyarah anda sekiranya mempunyai sebab, alasan dan pandangan yang bernas.

Ini bermakna, anda boleh berbincang, memberi pendapat dan pandangan secara ilmiah dan berilmu. Anda juga boleh mengajukan pertanyaan. Semua ini (pendapat, pandangan, pegangan dan pertanyaan) boleh dikemukakan dalam dewan kuliah dengan perbincangan secara ilmiah. Secara tidak langsung, anda telah menonjolkan diri pada pandangan matanya. Secara tidak langsung, pensyarah anda mula memantapkan ingatannya tentang anda di mindanya.

3.              Kerap menemuinya
Menemui pensyarah secara kerap juga adalah satu bentuk bodek yang beretika. Memunculkan diri anda secara kerap di hadapannya boleh memantapkan lagi ingatan pensyarah anda terhadap anda. Walaupun begitu, anda perlu mempunyai sebab untuk menemuinya. Jika anda menemuinya sekadar untuk berbual kosong atau belanjanya makan, pensyarah anda tetap akan mengetahui “bodek tidak beretika”  anda itu. Dia sudah lama berkecimpung dalam dunianya yang sentiasa dikelilingi para pelajar yang dahagakan markah tinggi. Sudah pasti dia sentiasa berhadapan dengan kerenah pelajarnya yang kaki bodek.  Jadi bagaimana? Bagaimana untuk bodek pensyarah anda secara beretika? Membodek pensyarah anda untuk dapatkan markah yang baik tanpa membuatkan dia rasa tertekan, terpaksa atau merendahkan anda.

Setiap kursus mempunyai keperluan tertentu yang perlu dipenuhi seperti menyiapkan kertas kerja, tugasan, kuiz dan sebagainya. Jadikan keperluan untuk penilaian kursus ini sebagai cara untuk kerap menemuinya. pastikan anda telah bersedia semasa menemuinya. anda tahu apa yang sepatutnya anda tahu, contohnya, sekiranya anda menemuinya kerana ingin berbincang tentang kertas kerja, anda sepatutnya telah menyediakan draf awal kertas kerja tersebut walaupun kelihatan kucar kacir dan tidak tersusun. kesungguhan anda itu (walaupun sebenarnya tidaklah bersungguh mana) akan membuatnya bersedia membantu anda.

Semua garis panduan, tunjuk ajar dan pembetulan yang diberikan pensyarah anda itu akan anda betulkan. Seterusnya anda akan menemuinya semula pada waktu yang lain dengan penambahbaikan dalam kerja anda. Tunjukkanlah semula kepadanya. Komen dan saranannya pada kali ini juga anda akan betulkan. Jumpalah pensyarah anda sehingga dia berpuas hati dengan kerja anda. Soalnya, mengapa perlu kerap?

Semakin kerap dia membaca tugasan yang sedang anda siapkan, bermakna semakin dia mengingati hasil kerja anda. Anda juga mampu mengurangkan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam kerja anda sehingga menepati kehendaknya. Ini akan memudahkannya semasa memberi markah. Bukankah kedua-dua sebab ini akan menentukan markah yang anda perolehi nanti? Semakin mudah kerja pensyarah anda, semakin murah markah yang akan diberikan. Mudah kan bodek sebegini?


4.              Jadikan dia sebagai sumber rujukan

Siapa berikan markah kepada anda untuk kursus itu? Tentulah pensyarah anda itu. Jadi, semua hal-hal yang berkaitan kursus berkenaan perlu anda rujuk kepadanya. Apa sahaja tunjuk ajar, nasihat, komen dan panduan yang diberikan kepada anda nanti sangat berkaitan dengan struktur markah yang bakal diberikan. Mungkin ada ketikanya anda tidak bersetuju dengan pendapat pensyarah anda dalam beberapa hal, namun, tidak rugi anda mengikut kehendaknya apabila berkaitan dengan markah. Kemukakan pandangan dan pendapat anda semasa berbincang, berdiskusi dan bertutorial yang memberi anda dan rakan-rakan lebih ruang untuk menyatakan pendirian.

Gunakan pelbagai medium yang ada seperti email, telefon atau berjumpa secara bersemuka sebagai tanda anda sentiasa merujuknya dalam setiap perkara yang perlu disiapkan. Walaupun begitu, anda perlu pastikan bahawa kekerapan itu bukanlah membawa sindrom “bertanya perkara yang sering diberitahunya” ataupun diterangkan secara detail dalam kuliah, blog, atau sumber rujukan lain, kecuali “lanjutan” daripada maklumat sedia ada. Sekiranya anda belum lagi membaca maklumat yang ada dalam blog, nota kuliah atau sumber maklumat lain yang sering diingatkannya, usah tampakkan betapa tak bersedianya anda. Usah tonjolkan betapa anda tidak bersungguh untuk mengenali kursus berkenaan sehingga perkara asas yang perlu diketahuipun anda tertinggal.

Bagaimana? Empat cara di atas membantu anda dalam usaha bodek markah tinggi daripada pensyarah anda? Tak salah bodek markah daripada pensyarah anda, namun pastikan bodek anda itu mempunyai kreativiti yang tinggi. Bodek yang tidak menampakkan bahawa anda mengambil mudah dalam hal-hal berkaitan pengajian. Bodek cerdik yang menonjolkan ketinggian IQ anda. Bodek yang beretika dan mampu diterima dalam dunia akademik. Bodek yang tidak merugikan anda kerana selain mendapat markah yang bagus, anda juga mendapat ilmu dan pengalaman sepanjang menjalani kursus berkenaan. Juga, bodek yang membuatkan pensyarah anda “sudi” untuk dibodek. Sanggup untuk lakukan? Tanyalah hati sendiri. belajar di universiti memerlukan anda untuk “berkerja secara bijaksana, bukan semata-mata kerja kuat sahaja”. Secara pribadi, saya juga sudi dibodek sekiranya beginilah cara anda bodek saya. 




No comments: