Pages

Tuesday, September 18, 2012

Petua Mendapat Markah Bonus dalam Peperiksaan

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat membaca.


Tulisan ini pernah disiarkan di 100 Penulis.

Saya memang pasti, tak ramai yang menulis tentang hal ini, bagaimana mendapat markah bonus apabila menjawab kertas peperiksaan. Petua ini tidak terdapat dalam mana-mana buku di dunia (saya agak sahaja, belum ada kajian dibuat). Namun, apa yang bakal saya tulis berdasarkan pengalaman saya sendiri sepanjang mengajar dan menanda markah untuk peperiksaan.

Sudah pasti semua pensyarah mahukan jawapan yang tepat dan betul apabila anda menjawab soalan peperiksaan. Walau bagaimanapun, pensyarah anda juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada stress terutama apabila perlu memberi markah pada musim peperiksaan. Pada waktu-waktu sebegini, mereka biasanya akan kekurangan tidur dan rehat, sekaligus sama ada sedar atau tidak turut mempengaruhi emosi sedikit sebanyak.

Semua tips dan petua yang anda akan baca nanti hanya relevan untuk kertas peperiksaan yang bersifat esei sahaja. Selain jawapan dan huraian yang anda berikan sebagai jawapan, pensyarah anda juga mengharapkan agar anda:

1. Menulis jawapan dengan kemas dan teratur

Pastikan anda menulis dengan kemas, teratur dan tulisan anda senang dibaca. Ini sangat penting terutamanya jika pensyarah anda seorang yang berkacamata macam saya. Bermakna, pensyarah anda itu rabun. Apabila dia seorang yang rabun, dia sangat mengharapkan agar anda menulis dengan tulisan yang mudah dibaca, bukannya seperti tulisan Tuan Doktor yang sengaja “mencacingkerawetkan” tulisannya.

Hurailah jawapan anda itu secara panjang lebar, menyertakan contoh atau kadangkala juga perlu menerangkan serba sedikit tentang contoh berkenaan. Apabila soalan peperiksaan anda bersifat esei, anda tidak hanya perlu menulis fakta semata-mata seperti yang anda hafal, namun sebenarnya, huraian terhadap fakta itulah yang memberi markah paling tinggi.

Kalaupun anda ‘menggoreng” jawapan tersebut, pastikan agar “gorengan” anda itu sesuai dan tidak “rentung”. Ini bermakna, jawapan anda itu tidak sahaja berdasarkan nota kuliah yang anda dapat semasa dalam dewan kuliah, tetapi juga berdasarkan pembacaan anda yang luas. Ada ketikanya, keluasan ilmu pengetahuan yang anda ada dari luar bilik darjah itu membuatkan pensyarah anda lebih tertarik dan “menganugerahkan” markah bonus kepada anda. Ketahuilah, apabila anda menjawab soalan berbentuk esei, tidak ada skima yang salah mengenainya kecuali memang fakta yang anda kemukakan itu bertentangan dengan jawapan asal. Bagaimana anda menghuraikan pendapat dan menyokongnya dengan fakta akan mempengaruhi keseluruhan markah.



2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang betul

Tulisan anda itu juga terhindar daripada tulisan yang penuh dengan kependekan dan bahasa kontot-kontot yang hanya anda seorang sahaja memahaminya, seperti;


X dpt x rmi fkr bhs sgt ptg

Bayangkan bagaimana berkerutnya dahi pensyarah anda yang kebanyakannya sudah melepasi had umur 40 tahun untuk fikirkan apakah ayat yang anda maksudkan itu. Mereka sebenarnya tidak begitu mahir dengan bahasa singkatan seperti ni terutamanya saya.

Walaupun anda mengejar masa, pastikan anda tidak menggunakan bahasa pasar, bahasa singkatan seperti sms atau bahasa apa-apa sahaja bahasa kacukan yang semakin berleluasa digunakan kini. Ini tidak bermakna, kesalahan dalam struktur ayat dan ayat yang tidak gramatis akan mengurangkan markah anda, namun, sekiranya anda menggunakan bahasa campuran yang bersifat tidak rasmi sebegitu, kemungkinan untuk anda mendapat markah yang rendah sangat tinggi peratusnya.



3. Menstrukturkan jawapan agar mudah dibaca

Strukturkanlah jawapan anda sebaiknya. Walaupun anda menjawab bahagian B terlebih dahulu berbanding bahagian A, pastikan anda menulis pembahagian itu dengan jelas. Bahagian B itu ditulis berderet jawapannya untuk satu bahagian, begitu juga jawapan untuk bahagian A. Contohnya begini:

Bahagian B soalan 1 pada halaman pertama dan kedua kertas jawapan. Soalan 2 pada halaman 3 dan 4 manakala soalan tiga pada halaman 5. Bahagian A pula anda tulis pada halaman 6 dan seterusnya.

Elakkan menulis jawapan secara berterabur tunggang terbalik dan lintang pukang seperti;

Bahagian B soalan 1 halaman 1 dan 2, diikuti dengan soalan 1 bahagian A pada halaman 3, kemudian menulis jawapan untuk soalan 3 bahagian B pada halaman 4 hingga 5 dan seterusnya sesedap hati anda sahaja.

Tidak ada peraturan yang menetapkan bagaimana anda perlu menulis jawapan apabila menjawab soalan dalam peperiksaan anda, namun, apabila anda berurusan dengan manusia, iaitu pensyarah anda, anda juga perlu tahu bahawa dia juga manusia biasa yang beremosi dan tidak dapat lari daripada stress. Mungkin anda melihatnya sebagai satu isu yang kecil, namun cuba bayangkan sekiranya semua pelajar yang mengikuti kursus berkenaan berbuat demikian. Bayangkanlah sekiranya 100 orang bertindak begitu. Sedikit sebanyak emosi pensyarah anda akan terganggu. Dalam situasi mengejar waktu untuk menyerahkan markah peperiksaan, mengendalikan juga semua markah tugasan, bersambung lagi dengan tidak cukup rehat, mengantuk atau bermasalah dengan tulisan yang sukar dibaca, ada ketikanya markah yang anda dapat tidak setimpal dengan jawapan terbaik yang anda berikan.

Anda boleh membantu dan menenangkan emosi pensyarah anda agar terdorong memberikan markah yang lebih baik dengan memudahkan semua urusan pemarkahannya. Tulisan yang cantik, teratur, menstrukturkan jawapan sebaiknya sedikit sebanyak turut mempengaruhi nilai markah yang bakal anda terima.



4. Elakkan rayuan berani mati

Saya pernah menerima nota ugutan beberapa minggu sebelum peperiksaan berlangsung. Nota itu antara lain bermaksud “sekiranya saya tidak berikan pelajar berkenaan markah A, dia akan bunuh diri”. Agaknya apa reaksi saya ketika itu?

Saya masih berdarah panas lagi ketika itu, masih muda belia seperti anda. Jadi...semasa kuliah seterusnya, saya umumkan dalam dewan kuliah tentang hal ini tanpa menyebut namanya. Saya katakan “sila nyatakan butiran secara terperinci iaitu tempat, tarikh dan masa” untuk pelajar ini bunuh diri supaya “saya boleh hubungi TV3 untuk buat liputan secara langsung, panggil orang akhbar”. Saya akan popularkan dia sebelum dia terjun bunuh diri. Panggil kereta jenazah siap-siap, penggali kubur, imam untuk bacakan talkin. Saya juga meminta pelajar ini tinggalkan wasiat tentang apa-apa harta yang dia ada, senaraikan semua hutang piutang yang dia belum jelaskan termasuk hutang dengan PTPTN dan kata-kata terakhir kepada orang tuanya di kampung.

Sebenarnya, saya juga bimbang kalau-kalau pelajar itu benar-benar bunuh diri, namun, saya tunjukkan yang saya tidak pernah ambik kesahpun sama ada dia mahu bunuh diri atau tidak. Kehidupan dia tidak ada kena mengena dengan hidup saya. Saya tak akan rugi apa-apapun dengan semua tindakannya.

Saya melupakan hal itu kemudiannya hinggalah semester hadapan berlangsung. Bila teringat semula, saya menyemak markah diperolehi pelajar berkenaan. Dia tidak mendapat A seperti yang dia minta walaupun semasa memeriksa kertas jawapannya, saya tidak pernah menilai dia dengan tahap penilaian yang berbeza dengan pelajar yang lain. Hingga kini juga, saya tidak mendengar mana-mana pelajar telah membunuh diri terjun bangunan atau tasik kerana tidak mendapat markah A untuk kursus saya.

Usah ulangi hal sebegini. Walaupun saya tidak prejudis semasa memberi markah untuk skrip jawapan peperiksaannya ketika itu, bagaimana dengan pensyarah lain? Anda juga mungkin pernah mengalami atau berhadapan dengan situasi pensyarah anda yang jenis prejudis. Begitu juga dengan saya. Saya juga pernah menjadi pelajar, pernah berdepan dengan pensyarah yang suka menghukum pelajar tanpa usul periksa. Dan kerana itu, saya sedaya upaya cuba untuk elakkannya daripada berlaku kepada pelajar saya kerana saya sangat memahami betapa tidak tenteramnya menjadi “orang yang dipersalahkan” walaupun sebenarnya kita tidak bersalah.

Anda juga perlu elakkan diri daripada menulis masej kepada pensyarah dalam kertas jawapan peperiksaan seperti “Dr. tolonglah bagi saya A, saya nak naikkan CGPA untuk semester ni” atau lain-lain masej yang bermaksud lebih kurang begitu. Secara psikologinya, anda sengaja memberi izin kepada pensyarah anda untuk lebih “kedekut” memberi markah terhadap setiap jawapan anda.

Pensyarah anda itu juga manusia biasa yang ada emosi, ada stress, ada kekalutan yang menuntut untuk mengejar tarikh akhir. Ada masanya, semua ini yang berbaur akan mengganggu pertimbangan dan rasional semasa menanda jawapan kertas peperiksaan anda. Walaupun anda tidak mampu menjawab dengan cara paling baik bagi mendapatkan markah yang tertinggi, atau sebaliknya, faktor-faktor persekitaran seperti diterangkan di atas turut mempengaruhi. Tidak salah anda membantu pensyarah anda menjalankan tugasnya dengan lebih cemerlang dengan mengelakkan beberapa perkara kerana akhirnya akan tetap memberi keuntungan kepada anda juga.

Rasanya, cukuplah dahulu tips untuk minggu ini. Anda juga boleh melihat petua bagaimana untuk memenangi hati pensyarah bagi mendapatkan markah yang maksimum tanpa menyalahi etika sebagai pelajar. Dengan ayat paling mudah, bagaimana cara untuk bodek pensyarah dengan cara yang betul. Jika kena gayanya, tidak mustahil anda akan mendapat markah yang cemerlang, CGPA yang cemerlang juga.




No comments: