Pages

Showing posts with label teknologi. Show all posts
Showing posts with label teknologi. Show all posts

Friday, March 27, 2009

Perpustakaan Maya

Artikel ini menjadi rujukan terkini untuk kursus 2243 Kemahiran Menulis untuk bab terakhir: Kemahiran Mencari Maklumat. Artikel ini disisipkan dari Utusan Malaysia ARKIB : 26/03/2009 yang boleh dilayari di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_01.htm

Perpustakaan maya teknologi digital
Oleh LAUPA JUNUS


FENOMENA baru! Barangkali itu kata-kata paling tepat apabila revolusi teknologi elektronik melanda dunia yang mana, peralatan dan sistem menjadi semakin canggih.

Tidak terkecuali dunia perbukuan dan perpustakaan menerima impak apabila helai demi helai kertas yang anda pegang kini berubah wajah ke format digital.

Teknologi elektronik menjadikan dunia semakin kecil, semakin moden dan segalanya bergerak pantas yang mendorong kepada penciptaan inovasi baru untuk menyokong kemajuan itu.

Bahan bacaan bertukar kepada format digital termasuk dokumen, buku, majalah dan apa juga lembaran kertas yang dahulunya anda pegang kini berubah kepada format yang lebih mudah.
Pembaca elektronik untuk e-buku diperkenalkan oleh Sony (Kindle) dan Amazon (PRS-500).

Medium pembacaan bertukar daripada bentuk buku atau majalah bercetak kepada peranti elektronik mudah alih tetapi lebih jauh daripada itu, anda akan dapat membayangkan satu gedung buku tidak lagi kelihatan di depan mata.

Pengguna buku atau apa juga dokumen, kertas kerja dan laporan malah manuskrip bersejarah boleh dibaca dengan hanya menekan ‘klik’ pada tetikus, kerana semua boleh diubah wajah kepada bahan bacaan elektronik atau dicapai dalam talian.

Konsep tersebut boleh disebut dengan apa juga terminologi, perpustakaan maya, perpustakaan elektronik atau perpustakaan digital tetapi kefahaman mendalam mengenai ledakan teknologi elektronik dan pendigitalan akan dapat memberi gambaran senario sebenar yang berlaku.

Konsep perpustakaan tersebut dikatakan diperkenalkan pada 1994 dan banyak perpustakaan tersohor telah mengaplikasikannya.

Tidak semua buku perlu digitalkan kerana masih ada ruang untuk medium pembacaan itu dinikmati secara konvensional.

‘‘Saya tidak fikir buku akan lupus meskipun dalam tempoh 100 tahun lagi kerana ia mudah dan fleksibel, mudah dibawa,” kata Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Amir Hussain Md. Ishak.

Bagaimanapun, PSAS antara universiti yang tidak mahu ketinggalan memanfaatkan teknologi tersebut dengan mengaplikasi konsep perpustakaan maya atau digital untuk kemudahan pelajar.

Bukan semua bahan bercetak dalam perpustakaan boleh didigitalkan ke format buku elektronik, kerana setiap buku mempunyai hak cipta tersendiri yang perlu diawasi, mengikut piawaian dunia, hak cipta mana-mana buku tamat selepas 50 tahun ia diterbitkan. Selain melanggan bahan penerbitan bercetak, pangkalan data e-jurnal dan e-buku juga dilanggan oleh PSAS bagi membolehkan pihaknya memperoleh bahan bacaan digital untuk kegunaan pelanggan perpustakaan tersebut,.

Bahan-bahan tersebut boleh diakses 24 jam sehari, katanya, dilanggan daripada pemiliknya di Amerika Syarikat dan Eropah. Ia diakses daripada pelayan (server) yang berada di sana, melalui pelayan proksi PSAS yang mengawal, memantau dan memberi akses hanya kepada pelajar dan staf UPM sahaja.

“Melalui pelayan proksi pengguna dapat akses pangkalan data yang dilanggan, walaupun mereka berada di luar kampus ataupun luar negara’' katanya.

Antara dari 59 pangkalan data e-jurnal yang dilanggan oleh PSAS adalah Science Direct, EBSCOhost, Blackwell Synergy dan Springer Link

Dengan kemudahan seumpama itu, pihaknya telah membantu pelajar dan pensyarah mengakses lebih daripada 58,000 jurnal bagi menjalankan tugasan dan penyelidikan mereka dengan lebih mudah.

Bahan bacaan yang diperoleh dalam format digital adalah sama kandungannya dengan medium buku atau jurnal bercetak.

‘‘Zaman kita belajar dulu, kena pergi ke rak untuk mencari jurnal atau buku berkaitan bidang yang kita kehendaki tetapi kini semua tersedia dalam talian,” ujarnya.

UPM kata beliau, pada masa sama, sedang dalam proses mendigitalkan tesis dan hasil penulisan penyelidik untuk disimpan dalam bentuk elektronik.

Apa yang dilakukan ialah tesis dan kertas penulisan penyelidik yang diserahkan akan diimbas dan disimpan dalam server serta diberi indeks sebagai rekod pengenalan.
Satu lagi pendekatan ialah pelajar menyerahkan tesis mereka dalam fail soft copy dan fail ini ditukarkan ke format PDF untuk dimuat turun ke pelayan.

Menyimpan dan mendigitalkan tesis iaitu dalam elektronik adalah bagi merealisasikan perpustakaan maya yang membolehkan mana-mana penyelidik mengaksesnya untuk membuat rujukan dan perbandingan melalui Internet.

Kaedah tersebut juga dapat mempromosikan nama UPM ke seluruh dunia jika mereka mengakses penulisan pegawai atau tesis tersebut secara online.

Ketika ini, tesis-tesis tersebut belum boleh diakses secara online kerana ada berapa isu yang perlu diatasi dahulu antaranya isu hak cipta dan harta intelek.

“Setengah pensyarah mungkin enggan membenarkan tesis diakses secara teks penuh melalui Internet atas faktor ia satu penemuan terbaru dan belum dipatenkan. Bagi tesis-tesis yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk dikomersialkan perpustakaan akan menyekat tesis tersebut daripada diakses” katanya.

Index Tesis-Tesis IPTA
Bagi memudahkan pencarian maklumat mengenai tesis-tesis sarjana dan doktor falsafah yang disimpan di perpustakaan IPTA, satu pangkalan data tesis telah dihasilkan dengan kerjasama antara 20 perpustakaan IPTA dan empat perpustakaan IPT GLC Sehingga kini lebih dari 25,000 tesis yang dihasilkan oleh universiti telah berjaya di indeks. Pangkalan data Malaysian Thesis Online ini boleh di akses melalui portal PERPUN http://portal.perpun.net.my/.

Indeks akan dapat membantu para pelajar yang akan menulis tesis, untuk menyemak sama ada bidang penyelidikan yang dibuat sudah ada orang lain yang terdahulu telah membuat penyelidikan yang sama melalui pencarian di satu portal web sahaja.

Malah beliau yang juga Pengerusi Persidangan Perpustaakan Universiti dan Perpustakaan Negara (Perpun), yang menghasilkan portal web tersebut, mengimpikan supaya, teks penuh tesis dapat di up load untuk bacaan satu hari nanti. Ini kerana setakat ini hanya indeks atau abstrak tesis tersebut sahaja yang diletakkan.

‘‘Usaha tersebut kata beliau, untuk menjadi kenyataan, memerlukan isu hak cipta tesis kepunyaan setiap IPTA terlibat perlu diperhalusi serta mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti terdahulu,” kata beliau.

Jika impian tersebut tercapai, maka mana-mana pelajar yang ingin merujuk pada tesis-tesis IPTA tidak lagi perlu mengunjungi perpustakaan-perpustakaan universiti secara fizikal, sebaliknya mereka hanya melayari portal tersebut bagi mendapatkan sumber rujukan.

Monday, March 23, 2009

Penyangak Siber

Artikel yang dipetik dari KOSMO ini boleh memberi sedikit maklumat tentang jenayah siber ini.
Moga-moga maklumat ini memberi lebih banyak kefahaman anda tentangnya.

RENCANA UTAMA

Awas penyangak siber

Oleh MELATI MOHD. ARIFF

Semakin maju tekonologi hari ini, semakin licik penjenayah. Yang pasti, mereka juga tidak ketinggalan melakukan jenayah siber.

PENGGUNA e-mel perlu sentiasa berhati-hati apabila menerima e-mel yang diragui.

TANPA diragui, Internet semakin penting dalam kehidupan hari ini. Ramai yang menggunakan Internet bukan sahaja untuk mencari maklumat tetapi juga untuk membeli-belah dan membuat transaksi perniagaan termasuk perbankan online.

"Penggunaan Internet yang berleluasa dengan bilangan pengguna yang semakin ramai memberikan kesempatan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu pengguna. Oleh itu, wujudlah pelbagai penipuan untuk memerangkap pengguna."

Demikian komen Mohd. Yusof Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca).

"Banyak penipuan yang dirujuk untuk perhatian kami. Ia termasuk penipuan menang loteri dan cabutan bertuah, membantu memindahkan wang yang dimiliki oleh waris hartawan, meminta bantuan kerana terkandas atau kecurian, e-mel membeli perisian komputer, produk makanan yang sebenarnya berkualiti rendah dan bermacam-macam lagi," katanya.

BANYAK penipuan dirujuk kepada Fomca termasuk penipuan menang loteri dan cabutan bertuah atau membantu memindahkan wang.

Mohd. Yusof menggesa orang ramai khususnya pengguna e-mel supaya sentiasa berhati-hati apabila menerima e-mel seperti yang dinyatakan.

Pihak yang melakukan penipuan itu juga, katanya, kini menjadi semakin berani dan sofistikated dalam melakukan jenayah siber.

"Jangan mudah terpengaruh dan cuba melayan e-mel yang tidak diketahui kebenarannya.
"Apatah lagi, sekiranya terpedaya dengan e-mel penipuan. Sukar untuk mendakwa mereka yang terlibat khususnya jika pihak yang menghantar e-mel tipu ini beroperasi di luar negara," kata Mohd. Yusof.

Phishing

Dalam teknologi komunikasi maklumat, perkataan phishing digunakan berhubung fraud dan penipuan siber.

Menurut ensiklopedia Wikipedia, phishing boleh didefinisikan sebagai proses fraud jenayah dalam cubaan untuk memperoleh maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar sebagai entiti yang boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik.

Komunikasi berkenaan dikatakan datang dari laman web sosial popular seperti You Tube dan Facebook, laman lelongan (e-Bay), perbankan online atau pentadbir IT seperti Yahoo yang biasa digunakan untuk memancing mereka yang tidak mengesyaki.

Menurut ensiklopedia itu lagi, phishing secara lazimnya dilakukan melalui e-mel atau mesej segera (instant messaging) dan sering kali ia akan mengarahkan pengguna untuk memasukkan butiran di laman web palsu yang paparannya seakan-akan sama dengan yang sah.

Sebutan pertama dicatat mengenai istilah phishing dilaporkan pada 1996.

Penipuan satu kesalahan

Di dalam negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima laporan berhubung phishing sejak tahun 2004. Pada 2008, SKMM menerima sebanyak 86 aduan mengenai phishing.

Menurut Suruhanjaya itu, e-mel yang berasaskan penipuan yang mengandungi unsur penipuan seperti mengutip wang daripada orang ramai adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara mandatori minimum setahun hingga 10 tahun serta mandatori sebat, dan mahkamah juga mempunyai kuasa mengikut budi bicara untuk seterusnya mengenakan denda.

Menurut SKMM, siasatan terhadap kes penipuan berasaskan e-mel berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bukannya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau SKMM.

Bagaimanapun, kata suruhanjaya itu, ia boleh mengambil tindakan serta-merta dengan menyekat akses ke laman phishing di bawah Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Berhati-hati

"Yang paling penting ialah pengguna perlu ingat bahawa jangan sekali-kali mendedahkan sebarang maklumat peribadi dan lebih berhati-hati apabila menerima e-mel yang menyatakan penerima e-mel memenangi loteri atau pertandingan, menerima wang daripada cabutan bertuah atau menyatakan akaun bank anda perlu dikemaskini sistem keselamatannya kerana ia boleh dipecah masuk.

"Seseorang harus bersikap berhati-hati apabila menerima e-mel daripada orang yang tidak dikenali. Di samping penipuan, e-mel juga mungkin boleh mengandungi virus atau malware (perisian berniat jahat)," kata SKMM.

Katanya, pengguna juga boleh memasang penapis anti-phishing yang boleh memberi mereka amaran terhadap laman phishing.

Menurut SKMM, sesiapa yang menerima e-mel yang meragukan dan dipercayai satu penipuan, mereka dinasihat merujuk perkara itu kepada polis atau sebagai pilihan mengemukakan aduan atau merujuk laman Internet yang diragui itu kepada Biro Aduan SKMM secara online di http://aduan.skmm.gov.my atau telefon 1-800-888-030. - Bernama
Satu tulisan lain yang hampir sama cara yang digunakan saya perolehi semasa surf tentang tajuk ini di internet. Penulis blog (http://www.rileks.info/coollist/2009/03/awasi-jerat-penyangak-cyber/) ini tidak menyatakan kutipan asal artikel ini, namun berdasarkan nama penulisnya, saya agak dari akhbar Kosmo (seperti di atas). Walaupun sumbernya tidak dinyatakan secara jelas, saya tampalkan juga artikel berkenaan di sini dengan harapan ilmunya dikutip untuk semua. Sekiranya anda terjumpa sumber asal artikel ini, mohon diberitahu kepada saya untuk saya nyatakan kreditnya di sini. Artikel berkenaan adalah seperti di bawah;
Minda: Mematahkan jerat penyangak siber
Oleh Melati Mohd Ariff

“SAYA menghantar mesej ini dalam keadaan tergesa-gesa. Semalam, saya melawat sebuah kompleks penyelidikan baru di Imperial College England, London. Kami dirompak di hotel ketika saya membuat tempahan dan mereka melarikan dompet saya (yang mengandungi wang tunai dan kad kredit).

“Tolonglah. Saya perlukan bantuan wang, harap boleh kirimkan 1,500 paun. Anda boleh hantar melalui Western Union Money Transfer, harap balas mesej saya supaya saya dapat memberikan nama penuh saya dan alamat supaya wang itu boleh dihantar.”

E-mel yang bunyinya “agak terdesak” itu kononnya dihantar seorang aktivis kepenggunaan Malaysia.

Ia bukan pertama kali diterima penulis.

Sekitar tahun lalu, penulis menerima e-mel hampir sama kandungannya, kononnya daripada seorang aktivis alam sekitar yang memberitahu dia berada di sebuah negara Afrika dan dirompak. Dia memerlukan wang dan perlu dihantar segera.

Dalam kedua-dua kes, penulis mendapat pengesahan bahawa mereka tidak menghantar e-mel berkenaan, malah berada dalam negara.

Jelas kedua-dua e-mel itu palsu dan mahu menipu!

“Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang kawan memberitahu saya yang dia menerima e-mel menyatakan saya dirompak dan terkandas di London. Sudah tentunya e-mel itu cuba menipu dengan tujuan mendapatkan wang ihsan daripada mereka yang mempercayai kandungan e-mel itu.

“Tetapi yang menghairankan bagaimana orang jahat itu boleh membolosi e-mel saya. Bagaimana mereka memperoleh kata laluan saya?” kata aktivis kepenggunaan, Ismail Abdul Aziz.

Beliau turut memberitahu e-mel palsu itu mencetuskan rasa cemas bukan saja di kalangan keluarganya, tetapi rakan yang menjadi sasaran penghantaran e-mel itu.

Ismail yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling (CAPs) berkata antara faktor memungkinkan e-melnya dibolosi ialah apabila beliau terlupa rakam keluar (sign-off).

“Mungkin apabila saya terlupa rakam keluar selepas mengirim e-mel, seseorang yang mempunyai cara untuk memasuki e-mel saya berjaya berbuat demikian dan kemungkinan juga si penyangak ini dari luar negara.”

Sejak insiden pengiriman e-mel palsu itu, beliau menukar kata laluan e-melnya.

Beliau membuat laporan kepada Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan (NCCC) yang kemudian mengemukakan aduan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Tanpa diragui, Internet semakin penting dalam kehidupan hari ini. Ramai menggunakan Internet bukan sahaja untuk mencari maklumat, tetapi untuk membeli-belah dan membuat transaksi perniagaan termasuk perbankan online.

“Penggunaan Internet yang berleluasa dengan bilangan pengguna semakin ramai memberikan kesempatan kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu pengguna. Oleh itu, wujudlah pelbagai penipuan untuk memerangkap pengguna.”

Demikian komen Mohd Yusof Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca).

“Banyak sekali penipuan dibawa kepada perhatian kami. Ia termasuk penipuan menang loteri atau cabutan bertuah, membantu memindahkan wang yang dimiliki waris hartawan, meminta bantuan kerana terkandas atau kecurian, e-mel membeli perisian komputer, produk makanan berkualiti rendah dan bermacam-macam lagi,” katanya.

Mohd Yusof menggesa orang ramai khususnya pengguna e-mel supaya berhati-hati apabila menerima e-mel seperti dinyatakan.

Pihak melakukan penipuan itu juga, katanya kini semakin berani dan canggih.
“Usah mudah terpengaruh untuk melayan e-mel tidak diketahui kebenarannya.
“Apatah lagi jika terpedaya dengan e-mel penipuan ini, sukar untuk mendakwa mereka terbabit khususnya jika penipu ini beroperasi di luar negara,” kata Mohd Yusof.

Dalam teknologi komunikasi maklumat, perkataan “phishing” digunakan berhubung fraud dan penipuan siber.

Menurut ensiklopedia Wikipedia, “phishing” didefinisikan sebagai proses fraud jenayah dalam cubaan untuk memperoleh maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar entiti boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik.

Komunikasi berkenaan dikatakan dari laman web sosial popular seperti You Tube dan Facebook, laman lelongan (e-Bay), perbankan online atau pentadbir IT seperti Yahoo yang biasa digunakan untuk memancing mereka yang tidak mengesyaki.

Menurut ensiklopedia itu lagi, “phishing” biasanya dilakukan melalui e-mel atau mesej segera dan mengarahkan pengguna memasukkan butiran di laman web palsu.

Sebutan pertama dicatat mengenai istilah “phishing” dilapor pada 1996.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima laporan berhubung “phishing” sejak 2004. Pada 2008, SKMM menerima 86 aduan “phishing”.

Menurut suruhanjaya itu, e-mel mengandungi penipuan seperti mengutip wang daripada orang ramai satu kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori minimum setahun hingga sepuluh tahun serta mandatori sebat dan mahkamah mempunyai kuasa mengikut budi bicara untuk mengenakan denda.

Menurut SKMM, siasatan kes penipuan berasaskan e-mel adalah dalam bidang kuasa polis dan bukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau SKMM.

Bagaimanapun, kata suruhanjaya itu, ia boleh mengambil tindakan serta-merta dengan menyekat akses ke laman “phishing” mengikut Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sesiapa tidak pasti kesahihan laman perbankan Internet, rujuklah SKMM.

Sebagai tambahan, SKMM dan Internet Service Providers (ISPs) bekerjasama dengan PDRM dalam siasatan berhubung kes e-mel berasaskan penipuan.

“Paling penting pengguna perlu ingat, jangan sekali-kali mendedahkan maklumat peribadi dan lebih berhati-hati apabila menerima e-mel menyatakan menang loteri atau pertandingan, menerima wang daripada cabutan bertuah atau meminta derma.

“Berhati-hati apabila menerima e-mel daripada orang tidak dikenali. Di samping penipuan, e-mel juga mungkin boleh mengandungi virus atau “malware” (perisian berniat jahat),” kata SKMM.

Pengguna juga boleh memasang penapis anti-phishing yang boleh memberi mereka amaran mengenai laman phishing.

Sesiapa menerima e-mel meragukan, rujuk perkara itu kepada polis atau sebagai pilihan mengemukakan aduan atau merujukkan laman web diragui kepada Biro Aduan SKMM secara online di http://aduan.skmm.gov.my atau telefon 1-800-888-030.

Aduan juga boleh dihantar menerusi faks ke nombor 03-8688 1880 atau menulis kepada Biro Aduan Pengguna, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Off Persiaran Multimedia, 63000 Cyberjaya, Selangor.

SKMM menasihatkan pengguna Internet tidak melakukan perkara berikut:

# Pastikan tiada sesiapa memiliki akses komputer anda atau kegiatan online.
# Selalu rakam keluar e-mel atau transaksi online dengan segera sebelum melayari laman web lain.
# Jangan menghantar maklumat peribadi atau perbankan seperti nombor akaun, baki bank dan PIN (nombor pengenalan peribadi) menerusi e-mel. - Bernama
Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tindakan undang-undang bukan sahaja boleh diambil terhadap golongan yang menggunakan rangkaian dan internet untuk melakukan penipuan berbentuk wang ringgit dan harta benda sahaja, tetapi turut merangkumi pelbagai bentuk tulisan, komen atu pendapat secara maya di mana-mana laman web, blog, forum dan sebagainya.
Petikan yang dikutip dari Utusan Malaysia, mungkin boleh menjadi contoh yang jelas membuktikan bahawa tidak pernah wujud kebebasan bersuara sepenuhnya di Malaysia walaupun mengamalkan demokrasi berparlimen (sila rujuk isi kuliah tentang "kebebasan menulis di Malaysia" dalam kuliah lepas). Bernama telah melaporkan tentang kes penghinaan terhadap sultan perak seperti berikut;
13 Mac, 2009 20:51 PM
Lima Didakwa Hina Sultan Perak
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Sistem perundangan negara Jumaat mencatat sejarah apabila lima lelaki didakwa di mahkamah kerana menghina Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Seorang daripada mereka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur manakala empat lagi mengaku tidak bersalah masing-masing di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Butterworth dan Kota Kinabalu.

Seorang lagi bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Ahad ini dan seorang wanita yang merupakan isteri kepada tertuduh di Butterworth akan turut didakwa pada 15 April nanti.

Azrin Md Zain, 33, seorang pembantu makmal di sebuah sekolah swasta dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara lima bulan atas kesalahan itu sebagai satu pengajaran kepadanya dan orang lain.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan menghantar komen yang menghina baginda ke laman web http://books.dreambook.com/duli/duli.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak iaitu www.sultan.perak.gov.my dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 8, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail pada 12 Feb 2009, pukul 9.12 malam.

Di Mahkamah Sesyen yang sama, Muslim Ahmad, 54, yang bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan kesalahan yang sama.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa menghantar komen yang jelek sifatnya di laman web yang sama (http://books.dreambook.com/duli/duli.html) yang mempunyai pautan dengan laman web pejabat Sultan Perak.

Dia juga menghadapi dua lagi pertuduhan serupa kerana menulis komen yang jelek sifatnya di laman web yang sama. Kesalahan pertama dan kedua didakwa dilakukan pada 7 Feb lepas pada pukul 2.21 petang dan 2.27 petang manakala kesalahan ketiga pada 8 Feb pukul 4.39 petang.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di alamat 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan Muslim dijamin RM3,000 dan menetapkan 8 April untuk sebutan kes. Dia diwakili peguam K. Periasamy manakala pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh Nahra Dollah.

Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pula seorang pengukur tanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.

Nor Hisham Osman, 36, dari Sri Kembangan didakwa telah menghantar komen yang menghina baginda di http://books.dreambook.com.webper/dul1.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak dengan niat untuk menyakitkan hati.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di alamat No.16-01-06, Blok 16, Pangsapuri Sri Indah, Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan, Selangor, pada pukul 12.34 tengah hari, pada 11 Feb lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam dan ia satu penghinaan bukan kepada orang biasa tetapi Sultan Perak iaitu lambang kepada institusi beraja.

Katanya perbuatan itu bukan sahaja merendahkan maruah Sultan dan secara moralnya tertuduh melanggar perkara kedua dalam Rukun Negara.

Terdahulu peguam Edmund Bon yang mewakili Nor Hisham memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana anak guamnya berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga.

Sebelum mahkamah menetapkan jumlah jaminan, Nor Hisham menarik perhatian orang ramai yang berada di galeri mahkamah dengan kata-kata rayuannya sambil menitiskan air mata.

"Sejak kematian anak saya pada tahun lepas, saya berasa tertekan. Perkara ini lagi menekankan saya. Saya dalam dilema sekarang sama ada nak mengaku salah atau tidak," katanya dengan nada yang rendah.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali kemudian menetapkan 14 April untuk sebutan semula kes dan menawarkan jaminan RM4,000. Hisham membayar jaminan tersebut.

Di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, seorang jurujual telefon bimbit didakwa melakukan perbuatan yang sama dengan membuat penghantaran komen yang menghina Sultan Perak di http://books.dreambooks.com/duliduli.html yang mempunyai pautan ke laman web pejabat baginda.

Rutinin Suhaimin, 36, didakwa melakukan kesalahan itu pada 6.33 petang 13 Feb di Blok A, Lot 4, Kedai Sedco, Kundasang, Ranau.

Hakim Ummu Kalthom Abdul Samad menetapkan 25 dan 26 Mei ini untuk perbicaraan dan membenarkan Rutinin dijamin RM10,000.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib manakala Rutinin diwakili peguam Muammar Julkarnain.

Di Pulau Pinang, seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan mengedar komen lucah mengenai Sultan Perak menerusi
http://books.dreambook.com/duli/duli.html yang mempunyai pautan ke laman web pejabat baginda.

Chan Hon Keong, 26, dari Permatang Pauh dekat sini, didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama isterinya Khoo Hui Chuang, 27, di No 5 Lorong Arowana Emas 2, Taman Arowana Emas, Permatang Pauh pada kira-kira pukul 12.05 pagi, 13 Feb.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 292 yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding hari ini, Chan diwakili peguam Datuk C.V.Prabhakaran manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof dan Radhi Abas.

Selain pertuduhan itu, Chan juga menghadapi pertuduhan pilihan bersama-sama isterinya secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen lucah itu menggunakan aplikasi internet yang sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Chan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 15 April ini untuk sebutan kedua-dua kes itu serta membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu prosiding seterusnya.

Isteri Chan, Khoo tidak hadir di mahkamah untuk prosiding hari ini kerana berada di Sarawak dan akan hadir pada tarikh sebutan kes itu bagi menghadapi pertuduhan yang sama seperti suaminya.

Prabhakaran berkata anak guamnya itu tidak sempat pulang ke Butterworth kerana serahan saman mengenai kes itu hanya dibuat tengah hari semalam dan diminta hadir ke mahkamah pagi ini untuk menghadapi pertuduhan.

Sementara itu, Chan dan isteri juga menghadapi pertuduhan yang sama di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di Butterworth di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.

Bagaimanapun, Fatnin memberitahu mahkamah itu bahawa pihaknya menarik balik saman terhadap Chan kerana dia telah dituduh di mahkamah terdahulu tetapi saman terhadap Khoo adalah kekal dan meminta kes itu disebut semula pada 15 April ini.

Prabhakaran memohon supaya mahkamah menolak kedua-dua saman terhadap Chan dan Khoo berikutan tuduhan yang sama telah dikemukakan di Mahkamah Sesyen sebelum ini dan Khoo tidak menerima notis saman yang diserahkan kerana ketiadaannya.

Bagaimanapun, Amernudin membenarkan permohonan Fatnin dan menerima hujahan beliau bahawa saman terhadap Khoo kekal sehingga dia hadir di mahkamah dan tindakan Chan menandatangani notis saman itu bagi pihak Khoo diterima sebagai notis telah diserahkan kepada tertuduh.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara minimum setahun.

-- BERNAMA


Tulisan berkaitan kes ini juga boleh juga dibaca di http://202.190.126.84/utusan/info.asp?y=2009&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm
ARKIB : 14/03/2009



Pembantu makmal didenda RM10,000

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Mac - Seorang pembantu makmal sebuah sekolah swasta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menulis komen yang menghina Sultan Perak di sebuah laman web pada pertengahan Februari lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff turut memerintahkan Azrin Md. Zain, 33, dipenjara lima bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda tersebut.

Bapa kepada seorang anak itu merupakan salah seorang daripada lima tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hari ini dan dia merupakan individu pertama yang disabitkan bagi kesalahan tersebut.

Kes ini merupakan kes pertama dalam sejarah perundangan negara yang melibatkan seksyen ini.

Beliau berkata, Azrin tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu kerana ia memberi kesan kepada orang lain dan hukuman setimpal diperlukan sebagai pengajaran agar ia tidak berulang.
Azrin yang berkemeja merah dan berseluar gelap kelihatan terkejut dan hampir menangis sebaik mendengar hukuman itu sambil memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.

Mengikut pertuduhan, Azrin didakwa menggunakan perkhidmatan Internet melalui Internet Protokol (IP) 60.48.118.87 dengan membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di http://books.dreambook.com/duli.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak iaitu http://www.sultan.perak.gov.my/.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No.8, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail di sini kira-kira pukul 9.12 malam, 12 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Azrin merayu agar tidak dipenjara dan hanya didenda dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Katanya, selepas melayari laman web berkaitan pelaburan mata wang asing, fikirannya berkecamuk dan mula menulis komen tersebut tanpa memikirkan akibatnya.

''Gaji pokok saya hanya RM1,680 sebulan dan saya tidak mahu dipenjara. Harap beri hukuman ringan. Saya akui kesilapan saya dan ini merupakan kesalahan pertama. Selama ini saya seorang warganegara yang baik dan patuh pada undang-undang,'' rayunya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah bagaimanapun memohon hukuman yang setimpal kerana ia satu kesalahan serius melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja serta mampu mengugat keharmonian negara.

Katanya, ia juga sebagai pengajaran kepada masyarakat terutama generasi muda yang banyak menggunakan Internet agar tidak melakukan perbuatan tersebut.

Sementara itu, seorang peniaga, Muslim Ahmad, 54, pula mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas tiga tuduhan menulis komen menghina Sultan Perak di laman web berkenaan pada awal Februari lalu.

Muslim didakwa menggunakan perkhidmatan Internet melalui alamat IP 202.190.131.200 untuk menghantar dua komen menghina Sultan Perak di No.1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai Setapak di sini pada pukul 2.21 dan 2.27 petang, 7 Februari lalu.

Sementara satu lagi komen yang lebih kurang sama dihantar pada pukul 4.39 petang, keesokan harinya di alamat yang sama.

Rozana membenarkan Muslim dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes itu.
Ini adalah antara kes yang berjaya dihidu pihak berkuasa. Maklumat lanjut boleh dibaca di Utusan Malaysia yang boleh disurf online di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm
ARKIB : 25/03/2009


Warga Nigeria menipu dipenjara 16 bulan

KUALA LUMPUR 24 Mac - Seorang wanita warga Nigeria dihukum penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menipu seorang kakitangan awam mengenai hadiah kemenangan bernilai AS$1 juta (RM3.6 juta), tahun lalu.

Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Peace Okotie, 26, yang didakwa di atas dua pertuduhan iaitu, menipu dan tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.
Okotie yang merupakan pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan di sebuah kolej swasta di sini didakwa menipu Buang Md. Sayuti, 42, dengan memperdaya mangsa mempercayai bahawa dia boleh menguruskan proses membawa masuk hadiah Microsoft 2008 sehingga mangsa itu menyerahkan AS$2,750 (RM9,969.85) kepadanya.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 19 Ogos 2008, Buang yang bertugas sebagai pegawai tadbir telah mendapat e-mel mengenai kemenangannya dalam cabutan bertuah yang melayakkan dirinya mendapat wang AS$1 juta.

Sebagai syarat, dia menghantar maklumat diri dan kemudian diumumkan sebagai pemenang keempat.

Selepas enam hari, mangsa mendapat satu panggilan telefon dari tertuduh yang memperkenalkan diri sebagai Sophia Young yang memberitahunya barangan dari London sudah sampai, namun Buang perlu membayar AS$2,750 sebagai bayaran caj pengurusan untuk mengeluarkan barangan tersebut daripada gudang simpanan di United Kingdom.

Buang yang merasa kurang yakin, kemudian menghubungi polis bagi membantunya semasa berjumpa tertuduh.

Setelah siasatan dilakukan, didapati hadiah berkenaan tidak wujud dan tertuduh berada di sini menggunakan pas pelajar yang telah tamat tempoh.

Tertuduh diwakili peguam B. Renuka, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya itu tidak mendapat manfaat di atas perbuatan itu dan menanggung beban hutang yang banyak di negaranya.

Monday, February 23, 2009

Jenayah Siber

Pastikan anda ulangkaji berkaitan jenayah siber untuk peperiksaan kemahiran menulis. Antara artikel yang boleh dibaca boleh didapati di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm seperti yang dipetik di bawah. Selamat menelaah.

Risiko kerugian jutaan ringgit


Oleh SUBASHINI RAJANDRA



Keselamatan maklumat bukan lagi menjadi tanggungjawab penuh penyelia rangkaian sesebuah program atau sistem komputer tetapi ia adalah tanggungjawab bersama oleh setiap pengguna Internet. Ini kerana sikap tidak ambil peduli boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit termasuk nyawa.


'SEMUA pihak harus menyedari dan berwaspada terhadap risiko jenayah siber dan pengganas siber yang semakin memuncak. Sebarang tindakan tidak ambil peduli hanya membawa padah termasuk kehilangan dan kerugian besar dan adakalanya boleh membahayakan nyawa seseorang."


Begitulah respons yang dipersetujui sebulat suara oleh para peserta dalam majlis perasmian Forum Meja Bulat EC-Council Asia Pasifik (ECCRF) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bercakap pada sidang media forum itu, Presiden ECCRF, Jay Bavisi berkata: "Jenayah siber kini bukan hanya disaksikan dalam filem sains fiksyen tetapi ia adalah realiti hidup yang memberi kesan kepada setiap individu yang berhubung melalui komputer dan teknologi."


Beliau menambah: "Anda mungkin bukan seorang pelayar komputer yang aktif tetapi komputer anda ialah satu senjata yang berpotensi digunakan untuk menyerang anda (data) lalu membinasakan sesebuah negara, organisasi dan juga merancang memusnahkan kehidupan peribadi seseorang.


"Keselamatan maklumat bukan lagi menjadi tanggungjawab penuh penyelia rangkaian sesebuah program atau sistem komputer tetapi tanggungjawab bersama oleh setiap pengguna Internet. Sikap tidak ambil peduli boleh menyebabkan kerugian jutaan dolar termasuk nyawa."


Menurut Jay, perkembangan di Malaysia juga tidak jauh berbeza. Katanya: "Meskipun kita berada di kedudukan geografi, latar belakang dan kerjaya yang berlainan, namun fungsi penggunaan Internet adalah hampir sama. Daripada memeriksa e-mel, membuat pembayaran bil sehinggalah mengembangkan rangkaian kenalan melalui laman sosial atau berbual-bual di laman sembang, semuanya terdedah kepada satu tahap risiko tertentu."


Baru-baru ini, Bank Negara mendedahkan statistik penerimaan kira-kira 165 aduan yang melibatkan transaksi kewangan yang dilakukan secara tidak sah atau haram pada tahun 2008. Ia berlaku kerana kelicikan penipu atau juga dikenali sebagai hacker atau fraudster menerusi penghantaran e-mel dan mesej teks.


TREND perhubungan atau komunikasi dalam talian sudah banyak berubah kebelakangan ini.
Dengan berbuat demikian, penerima berasa lebih yakin terhadap seseorang atau syarikat penghantar sehingga tidak mengesyaki apa-apa. Bak kata perumpamaan, apabila nasi sudah menjadi bubur, apa gunanya menyesal dan merintih kemudian hari.


"E-mel, telefon bimbit, Facebook dan kini Twitter mempunyai satu persamaan iaitu semuanya disalahgunakan bagi tujuan penipuan siber. Jika anda seorang pengguna, pasti anda pernah mendengar tentang serangan jenayah siber yang berlaku baru-baru ini semasa menyambut Tahun Baru 2009. Pihak penyelenggaraan Twitter sendiri telah menghantar amaran awal kepada penggunanya agar tidak tertipu," ujar David Hall, Pengurus Pemasaran Produk Serantau dan Symantec Rantau Asia Pasifik.


Dengan lebih 10 tahun pengalaman dalam perniagaan sekuriti komputer, David yang diamanahkan untuk melakukan penyelidikan dan analisis terhadap trend sekuriti pasaran berkata, biasanya serangan sebegini menimpa seseorang tanpa mengira usia dan latar belakang.
Biasanya penjenayah siber akan menghantar seberapa banyak e-mel kepada seseorang sehingga ia menerima respons yang diingini. Penjenayah itu juga memilih untuk berkomunikasi dengan penerima dalam bahasa yang kerap digunakan atau sama agar memudahkan pertukaran informasi.


"Trend perhubungan atau komunikasi dalam talian sudah banyak berubah kebelakangan ini. Akibatnya, jenayah siber bertambah berlipat ganda dan mengancam pengguna dalam talian yang mendedahkan kata laluan dan kata kunci.


"Serangan sebegini disedari dan menjadi-jadi pada lewat tahun 1990-an dan ia menyasarkan kepada kumpulan wanita sebelum beralih kepada golongan remaja yang gemar melayari laman sosial, sembang atau permainan komputer," jelas Hall yang menambah perbuatan memuat turun sesebuah perisian atau program seperti lagu juga meningkatkan statistik jenayah siber.
MENYASAR lebih kepada kumpulan wanita sebelum beralih kepada golongan remaja yang gemar melayari laman sosial.


Biasanya, anda sendiri tidak menyedari apabila melayari sesebuah laman web yang nampak normal pada mata kasar. Kemudiannya, anda diminta untuk memasuki laman lain yang memerlukan anda memasukkan maklumat peribadi.


Perisian audio seperti RealPlayer dan Quick Player adalah antara program yang senang diperdaya. Dalam kebanyakan masa, hacker itu akan meletakkan sasaran pada jenama setempat yang popular kerana ia menuruti sikap pengguna yang melayari laman tersebut secara kerap, selain mudah untuk berubah mengikut kesesuaian. Jenama itu juga boleh jadi jenama global yang dikenali ramai seperti institusi perbankan dan pendidikan.


Semasa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah, banyak kes jenayah siber dilaporkan di peringkat antarabangsa. "Biasanya, pengguna akan tertipu kerana mesej yang dihantar tidak memerlukan tanda tangan atau sekadar bergantung kepada tanda tangan digital. Jika berasa ragu, anda dinasihatkan menghubungi syarikat tersebut bagi mendapatkan kepastian."


Di samping sentiasa mengingatkan diri supaya menyimpan kata kekunci secara rahsia, pemeriksaan sekuriti komputer dari semasa ke semasa amatlah berguna. Namun, jika anda masih terperangkap dengan penipuan hacker, Hall menasihatkan anda supaya melakukan dua perkara dengan serta-merta.


"Pertama, tukar semua kata kunci dengan secepat mungkin. Biasanya, jika anda mempunyai banyak kata kunci, ia sukar diingati dalam waktu terdesak. Dengan adanya Norton 360 dan Norton Internet Security 2009, masalah itu dapat ditangani. Ia juga menyediakan perlindungan teknologi untuk mengenal pasti yang sensitif dan canggih. Malah, Norton menawarkan kadar pergantungan sebanyak 90 peratus. Ia mengeluarkan amaran dan menutup laman yang disyaki dengan segera sebaik sahaja dibuka. Kedua, hubungi organisasi itu untuk memaklumkan masalah yang dihadapi dan tutup akaun anda sebelum diselidik oleh penjenayah siber," katanya.
Di Norton, produknya dibahagikan kepada individu perseorangan dan organisasi. Bagi organisasi, Norton menyediakan laporan pengurusan yang efektif.


Hall juga berkata, walaupun seseorang itu bertegas tidak pernah membuat pembelian secara dalam talian, kebarangkalian dirinya terperangkap dalam penipuan siber tetap tinggi kerana ia boleh berlaku dalam apa jua bentuk. Tidak kira sama ada anda memeriksa e-mel atau membuat transaksi kewangan, selagi anda seorang pengguna Internet, selagi itulah anda harus mengemaskini pengetahuan tentang jenayah siber.

Thursday, November 27, 2008

Blog: Teknologi jadi Raja

dipetik dari http://www.malaysiandigest.com/index.php?view=article&catid=102%3Aopinion&id=791%3Aetik-teknologi&tmpl=component&print=1&page=&option=com_content&Itemid=105

Etik Teknologi

Blog Tanpa Etika:Teknologi Jadi Raja


Baha Zain


13 OCTOBER 2008


Apakah kita sedang berhadapan dengan kebudayaan baru di mana sains dan teknologi telah mengubah kepercayaan , sikap, dan gaya hidup kita ; dan mengubah pertanyaan-pertanyaan biasa tentang apa dan siapa kita? Kita tidak sempat lagi menentukan kehidupan secara terperinci kerana sains dan teknologi dengan lebih pantas mengubah persepsi serta tindakan kita tanpa kita sedari.

Seorang ahli jemaah di masjid dengan pantas merujuk SMS melalui Nokianya pada saat tazkirah sedang sopan dan jelas disampaikan di ruang solat. Matanya terbuka luas membaca: “kewangan US merudum hari ini”. Wau! Seolah-olah malaikat turun membawa berita besar dari langit. Alat canggih teknologi komunikasinya telah merebut perhatian dan pendengarannya daripada agamawan yang sedang bersyarah di depan mukanya.

Apakah kita ada pilihan lain lagi ? Sains , teknologi dan perniagaan akan membentuk kebudayaan pada zaman ini dan akan datang . Seluruh landasan fikiran dan landasan bertindak pihak politik dan sesiapa yang hendak terus berkuasa mesti berpandukan sains, teknologi dan perniagaan kerana ia menentukan arah, penguasaan (control), pengurusan, inovasi, dan perluasan pengaruh. Di sini bergantung kekuasaan ( politik dan ekonomi) bagi individu, institusi, parti, dan malahan negara.

Internet, e-mel, sms , dan blog sekarang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia yang menghantar kita sebagai warga masyarakat global. Prasarana maklumat moden ini membebaskan rakyat daripada propaganda dan manipulasi akhbar, radio dan TV yang bertahun-tahun membentuk pandangan massa yang kritikal. Kerajaan BN melalui parti-parti komponennya melalui proksinya telah memanfaatkannya dan menggaji ribuan kakitangan media untuk bekerja dan mengerjakan jenis kebebasan berfikir serta cara membuat keputusan di kalangan pembacanya. Tetapi sejak empat lima tahun yang lalu dominasi ini dihakis dan diruntuhkan oleh internet dan blog sehingga mempengaruhi keputusan Pilihan Raya 2008.

Satu prasarana mental baru seolah-olah terentang sebagai jaring dari utara ke selatan dan dari timur ke barat Malaysia bagi menapis maklumat, laporan dan propaganda media perdana supaya fikiran masyarakat bebas daripada perhambaan yang dideritainya selama bertahun-tahun. Blogs telah menyediakan “swarming” atau analisis daripada pelbagai sudut dan penjuru.
Dunia blog telah mengubah sifat pelaporan berita ke arah yang baru, dan pantas, walaupun belum tentu lebih baik dan sempurna.

Walau bagaimana pun setiap sesuatu perkembangan itu ada kebaikan dan kelemahannya. Bloggers juga tidak sunyi daripada mengulangi kedurjanaan yang pada mulanya diserangnya. Dia lalu menjadi pendosa yang baru. Kenapa?Kalau manusia tidak dipandu oleh etika , dia akan menjadi seperti haiwan. Apa yang membezakan manusia daripada haiwan ialah akhlak yang baik ,rohani yang jernih, dan fikiran yang rasional bagi mengawalnya daripada nafsu dan naluri yang tabii.

Etika bertujuan membawa manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan. Mana agama besar dalam dunia (Islam, Kristian dan Judaisme etc) yang tidak menekankan pentingnya etika kerana etika mengatur perhubungan baik manusia dengan manusia, antara individu dengan individu lain, antara individu dengan masyarakat, antara pemimpin dengan yang terpimpin, dan sebaliknya. Matlamat ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan sesama manusia ini menjadi suluh bagi tindak tanduk, percakapan, penulisan dan tutur kata kita.

Tuhan memberikan seseorang itu bakat kreatif, kepandaian berbahasa serta kepintaran mengucapkan perasaan, pandangan ; dan fikiran yang kritis atau bernas. Bakat itu adalah suatu amanah yang dipinjamkan kepada kita; dan bukan hak mutlak kita. Ia diamanahkan kepada seseorang untuk menggunakannya bagi kebaikan, kebahagiaan dan kesejahteraan dunia di sekelilingnya. Inilah asas dan prinsip etika bagi umat yang bernama Islam. Demikian juga bagi mereka yang mempunyai bakat sebagai pemimpin, ilmuwan, wartawan, pemuzik, peniaga atau pekebun.

Falsafah Konfusius pun menekankan bahawa etika seseorang itu bertujuan bukan sahaja sebagai pedoman hidup bagi dirinya dengan orang lain, tetapi juga sebagai norma sosial supaya masyarakat boleh berlangsung dalam keharmonian. Sejak Plato dan Aristotle lagi soal etika ini sangat dipentingkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Tegasnya ia tidak menggalakkan percakapan, perbuatan dan tingkah laku yang melukai orang lain, lebih-lebih lagi kalau sengaja berniat melukai, menjatuhkan, merosakkan nama baik orang, mencerca dan memfitnah. Ingat ! ini adalah suatu dosa; dan melakukannya adalah berdosa.

Walaupun ruang siber (cyberspace) adalah dunia maya atau dunia virtual dan bukan dunia kenyataan, tetapi ia masih menggunakan bahasa, simbol, konotasi, dan malahan berfungsi untuk menimbulkan kesan terhadap manusia di dalam dunia yang nyata. Apabila ia menjejaskan sesuatu pihak, ia adalah salah walaupun dilakukan dalam ruang siber. Kebebasan berfikir dibenarkan dalam apa-apa komunikasi pun, tetapi tindakan dan tingkah laku yang membabitkan akibat tertentu mungkin harus dibayar dengan harga yang mahal.

Manusia adalah makhluk simbol (kata Ernst Cassirer), tetapi dia juga adalah makhluk moral yang boleh memilih antara buruk dan baik. Justeru itu dia harus bertanggungjawab dengan pengertian bahawa melalui istilah tanggungjawab itu dia tahu apa konsekuensi daripada perbuatannya (buruk atau baik). Kalau akibatnya buruk , itu adalah akibat daripada pilihannya sendiri , dan dia tidak boleh menyalahkan takdir atau orang lain. Prinsip inilah yang harus difahami oleh penulis , wartawan atau sesiapa sahaja.

Setiap perbahasan lebih-lebih lagi dialog yang intelektual sifatnya, bukan sekadar memikirkan hal-hal teknik digital, stail dan retorik yang memikat pembaca, etiket penulisan yang standard, tetapi juga memikirkan segi falsafah tentang prinsip etika yang menyangkut tingkah laku orang di sekitar dunia siber.

Apakah kita harus mengekang diri daripada berkata tentang kebenaran? Tidak. Kebenaran harus dinyatakan, tetapi bukan secara bebal dan tidak beradab. Korupsi, kezaliman, penindasan, ketidakadilan, diskriminasi, jenayah, penipuan, pecah amanah, tirani, konspirasi dan pembunuhan bangsa, budaya dan bahasa harus didedah dan diperangi terhadap siapa sahaja, walaupun Menteri. Tentu ada fakta dan buktinya. “Fakta itu sakti; dan pendapat harus adil”, facts are sacred; and opinion must be fair. Ini prinsipnya untuk bercakap tentang kebenaran seperti kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-Hud dalam al-Quran (Surah Semut atau An-Naml (27): 20-23 ). Makhluk kecil , burung Hud-Hud, berani menceritakan kebenaran yang telah dipastikannya walaupun di depan Nabi Sulaiman atau seorang penguasa atau hakim yang hebat yang pada mulanya murka terhadapnya. Dan Nabi Sulaiman pula telah menunjukkan keadilan dan merendahkan dirinya di depan kebenaran. Inilah yang patut menjadi panduan kepada yang kerdil mahupun kepada yang besar. Kebenaran itu walaupun nampak kecil, tetapi di sisi Tuhan ia adalah lebih besar daripada segala-gala di sekelilingnya. Jadi jangan mengalah kepada nafsu dan amarah; dan jangan remehkan fakta, bukti, dan kebenaran . Sama pentingnya ialah penampilan pendapat atau fikiran apa sahaja haruslah disalurkan melalui ungkapan yang bersopan, beradab dan berakal budi seperti kata pantun Melayu lama:

"Apalah tanda batang tebu,
Batang tebu halus ruasnya;
Apalah tanda orang berilmu,
Orang berilmu halus sifatnya."