Pages

Tuesday, September 18, 2012

Petua Mendapat Markah Bonus dalam Peperiksaan

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat membaca.


Tulisan ini pernah disiarkan di 100 Penulis.

Saya memang pasti, tak ramai yang menulis tentang hal ini, bagaimana mendapat markah bonus apabila menjawab kertas peperiksaan. Petua ini tidak terdapat dalam mana-mana buku di dunia (saya agak sahaja, belum ada kajian dibuat). Namun, apa yang bakal saya tulis berdasarkan pengalaman saya sendiri sepanjang mengajar dan menanda markah untuk peperiksaan.

Sudah pasti semua pensyarah mahukan jawapan yang tepat dan betul apabila anda menjawab soalan peperiksaan. Walau bagaimanapun, pensyarah anda juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada stress terutama apabila perlu memberi markah pada musim peperiksaan. Pada waktu-waktu sebegini, mereka biasanya akan kekurangan tidur dan rehat, sekaligus sama ada sedar atau tidak turut mempengaruhi emosi sedikit sebanyak.

Semua tips dan petua yang anda akan baca nanti hanya relevan untuk kertas peperiksaan yang bersifat esei sahaja. Selain jawapan dan huraian yang anda berikan sebagai jawapan, pensyarah anda juga mengharapkan agar anda:

1. Menulis jawapan dengan kemas dan teratur

Pastikan anda menulis dengan kemas, teratur dan tulisan anda senang dibaca. Ini sangat penting terutamanya jika pensyarah anda seorang yang berkacamata macam saya. Bermakna, pensyarah anda itu rabun. Apabila dia seorang yang rabun, dia sangat mengharapkan agar anda menulis dengan tulisan yang mudah dibaca, bukannya seperti tulisan Tuan Doktor yang sengaja “mencacingkerawetkan” tulisannya.

Hurailah jawapan anda itu secara panjang lebar, menyertakan contoh atau kadangkala juga perlu menerangkan serba sedikit tentang contoh berkenaan. Apabila soalan peperiksaan anda bersifat esei, anda tidak hanya perlu menulis fakta semata-mata seperti yang anda hafal, namun sebenarnya, huraian terhadap fakta itulah yang memberi markah paling tinggi.

Kalaupun anda ‘menggoreng” jawapan tersebut, pastikan agar “gorengan” anda itu sesuai dan tidak “rentung”. Ini bermakna, jawapan anda itu tidak sahaja berdasarkan nota kuliah yang anda dapat semasa dalam dewan kuliah, tetapi juga berdasarkan pembacaan anda yang luas. Ada ketikanya, keluasan ilmu pengetahuan yang anda ada dari luar bilik darjah itu membuatkan pensyarah anda lebih tertarik dan “menganugerahkan” markah bonus kepada anda. Ketahuilah, apabila anda menjawab soalan berbentuk esei, tidak ada skima yang salah mengenainya kecuali memang fakta yang anda kemukakan itu bertentangan dengan jawapan asal. Bagaimana anda menghuraikan pendapat dan menyokongnya dengan fakta akan mempengaruhi keseluruhan markah.

Monday, June 18, 2012

Petua Bodek Pensyarah Tanpa Menyalahi Etika



Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.
Salam 1 Malaysia.
Apa khabar semua?

Sangat lama saya tidak berada di sini, mohon maaf kepada semua pembaca. Ayat tu bagaikan kenyataan perasan popular, usah ambil kira. 

Ada masa, kita tidak mampu mengawal arah hidup sendiri. Semester baru bukan sahaja telah lama bermula, namun kini berada di hujungnya. Kini musim peperiksaan pula melanda. Dan saya, akan terjebak dengan lebih banyak kesibukan lagi.

Kesempatan yang sempat diluangkan pada ketika ini, saya cuba untuk membayar hutang lepas dengan memberi panduan, petua dan tips kepada adik-adik yang sedang bertungkus lumus menjalani semester  di universiti. Belajar di universiti bukan seperti di sekolah. Anda bukan sahaja perlu kerja keras mengulangkaji pelajaran, namun sebaiknya anda juga perlu tahu bagaimana untuk bodek pensyarah dengan cara terhormat tanpa menyalahi etika. Orang kata, belajar di universiti perlu “work smart”. Jadi bagaimana caranya?


1.              Belajar cara pensyarah anda berfikir
Sebelum mengikuti mana-mana kursus, pernah anda selidik tentang pensyarah anda? Siapa dia? Apa yang dia suka? Apa yang dia tidak suka? Pernah tak anda ambil tahu bagaimana cara pensyarah anda berfikir?

Mengenali pensyarah anda daripada pelbagai sudut melalui senior yang pernah mengambil kursusnya agak membantu anda untuk memahami kesukaan dan pantang pensyarah anda. Bagaimana pula untuk mengetahui bagaimana cara dia berfikir? Mudah sahaja, baca semua artikel dan tulisannya. Tulisan menggambarkan pemikiran penulisnya. Membaca hasil penulisan seseorang bermakna membaca pemikirannya. Semakin banyak artikel atau tulisan seseorang dibaca, maka semakin jelas corak dia berfikir dipaparkan. Jadi, anda membaca caranya berfikir juga. Mudah sahaja kan?

Apa gunanya membaca cara pensyarah anda berfikir? Bagaimana cara dia menulis, sebegitu juga dia mengharapkan anda menulis apabila menyiapkan artikel, kertas kerja atau tugasan untuk melengkapkan kursus yang anda ambil. Mengenali cara dia menulis, berfikir dan menganalisis membantu anda melakukan hal yang serupa. Ini secara tidak langsung menjadi cara untuk bodek atau mengambil hati, malah mencuri perhatiannya terhadap kerja anda. Bermakna, peratusan untuk anda mendapat markah yang lebih murah dan tinggi berbanding rakan-rakan yang lain juga agak tinggi. Itu namanya bodek secara beretika. Bodek secara tidak langsung. Bodek yang tidak disedari oleh pensyarah anda, tetapi memberikannya rasa baik hati dan bermurah hati untuk memberikan markah yang lebih terhadap tugasan anda. Bodek yang bermaruah.



Friday, March 30, 2012

Rumah Lain Pula...

Gambar dari sini


Sengaja wujudkan rumah baru. Rumah ni kekal, tetapi saya akan perbaharui cerita-cerita terkini di sana. Jemput melawat  maharammamat.wordpress.com

Monday, October 10, 2011

Menyelesaikan Masalah Dengan Cara Kreatif

Masalah dan cabaran hidup adalah asam garam dalam kehidupan. Apa yang membezakan antara seorang individu dengan individu yang lain adalah: bagaimana cara berdepan dengan masalah itu, kemudian mencari penyelesaian yang terbaik.

Kreatif tak kita semasa sedang cuba mengatasi masalah? Cuba lihat video di bawah:



Apa pendapat anda?

Ramai menganggap Mr.bean sebagai manusia yang mempunyai tahap pemikiran yang rendah, namun, pernah tak kita terfikir bahawa watak Mr.Bean ini sebenarnya seorang yang kreatif? Dia mampu lakukan apa sahaja menggunakan bahan-bahan di sekelilingnya bagi mengatasi masalah dihadapi. Paling utama: bersikap positif.

Anda bersedia untuk positif? Kreatif?

Thursday, September 29, 2011

Biasiswa Tun Syed Nasir

TAWARAN BIASISWA TUN SYED NASIR ISMAIL BAGI SESI PENGAJIAN 2011

DBP mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon Biasiswa Tun Syed Nasir Ismail bagi mengikuti,kursus pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi-instilusi pengajian tinggi awam di dalam negeri tahun 2011 dalam bidang yang berikut:

i. BAHASA MELAYU/LINGUISTIK
ii. SASTERA MELAYU/PENGAJIAN MELAYU
iii. SASTERA INGGERIS/SASTERA BANDINGAN
iv. PENERBITAN


KELAYAKAN

Pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat yang berikut:
  1. Telah mendapat surat tawaran pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan untuk mengikuti pengajian dalam bidang Bahasa/Linguistik, Saslera Melayu/Pengajian Melayu, Sastera Inggeris/Saslera Bandingan alau Penerbitan.
  2. Mendapat kelulusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan/atau Sastera Melayu pada peringkal STPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya.
  3. Mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (termasuk lulus ujian Iisan) dan/atau Sastera Melayu pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf selaraf dengannya.
  4. Belum menerima sebarang bentuk bantuan kewangan/biasiswa daripada mana-mana organisasi.