Artikel ini dipetik di laman sawang Utusan online di
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm
Utusan malaysia
ARKIB : 04/01/2009
Hubungan sains dan sastera
Dewasa ini, novel remaja menjadi satu bahan bacaan yang popular dalam kalangan remaja yang suka membaca. Novel-novel ini memperkatakan tentang dunia mereka iaitu dunia remaja daripada pelbagai segi dan yang paling dominan ialah permasalahan cinta. Semacam menjadi satu keperluan untuk mereka memiliki novel daripada pengarang yang mereka gemari. Ada pengarang-pengarang novel remaja ini yang mempunyai kelab peminatnya sendiri untuk bukan sahaja mempromosikan karya-karya mereka tetapi juga bertemu dengan peminat novel-novel mereka. Mereka menjadi semacam selebriti dan tidak kalah dengan pengarang tersohor dunia J.K Rowling yang menghasilkan novel remaja Harry Potter. Sesetengah jualan novel-novel remaja ini sangat laris dan diulang cetak beberapa kali.
Tambahan pula, novel-novel remaja ini boleh di dapati di kedai-kedai buku terkenal tanah air dan diletakkan di ruang yang strategik di kedai-kedai ternama ini. Perkara ini tidak berlaku pada masa dahulu dan novel-novel remaja Melayu dikatakan tidak ada nilai sastera dan pembacanya pula kurang. Namun keadaan telah jauh berubah. Ada di antara pengarang-pengarang ini telah menjadi senang dengan menikmati royalti daripada penjualan novel-novel yang dihasilkan. Daripada satu segi, perkembangan ini sangat baik, misalnya ia memperlihatkan minat remaja kita untuk membaca sudah meningkat, industri penerbitan buku kita turut memperlihatkan peningkatan yang memberangsangkan.
Namun di dalam suasana yang menggembirakan ini, terserlah satu kebimbangan yang munasabah. Apakah novel-novel remaja yang disajikan di ruang-ruang strategik kedai- kedai buku itu adalah novel- novel yang baik?. Baik di sini bermaksud dalam konteks pembinaan personaliti remaja itu sendiri. Remaja adalah satu angkatan muda yang sedang melalui proses pembentukan personaliti yang penting dan mencabar. Mereka sedang melepasi zaman kanak-kanak dan sedang memasuki alam dewasa. Zaman yang penuh cabaran dan dugaan, di samping keseronokan dan keindahan. Namun adakah novel-novel remaja itu membantu remaja membina personaliti yang sihat atau sebaliknya? Kalau kita teliti novel-novel remaja yang popular itu, kebanyakannya membincangkan tentang cinta dan cinta yang dikupas itu adalah cinta sensasi yang mengarah kepada khayalan yang melalaikan.
Perlambakan novel-novel remaja yang sensasi sifatnya ini seperti tidak dapat dibendung lagi. Ada yang melihat perkembangan ini sangat baik dan kita tidak perlu bimbang kerana ia menandakan remaja kita sudah minat membaca khususnya sastera dan mereka akan menjadi khalayak masa depan sastera Melayu. Betulkah ini akan terjadi? Apa yang kita dapati, khalayak sastera Melayu semakin kecil. Mereka yang menjadi pembaca novel-novel remaja yang sensasi itu, apabila dewasa mereka menyedari bahawa novel-novel yang mereka pernah baca itu adalah hampas sahaja.
Mereka membuat satu generalisasi yang mungkin kurang tepat dengan mengatakan bahawa sastera adalah hampas sahaja atau khayalan murahan sahaja. Kenapa ini berlaku? Banyak jawapan yang boleh kita peroleh. Namun yang jelas, mereka tidak mendapat novel-novel remaja yang bermutu yang boleh menyebabkan mereka jatuh cinta kepada sastera. Mereka tidak terdedah dengan novel-novel yang bermutu daripada segi persoalan-persoalan yang dibincangkan. Mereka terlepas daripada isu-isu sejagat yang berada di sekeliling mereka. Kesedaran mereka tentang isu-isu global tidak terusik. Mereka gagal untuk menjadi orang dewasa yang boleh berfikir dan mempunyai idealisme yang dapat menggerakkan mereka ke hadapan.
Pandangan seorang saintis Melayu yang luar biasa minatnya kepada kesenian dan kebudayaan yang sedang menerajui sebuah universiti tempatan perlu dibincangkan difikirkan untuk kemajuan sastera remaja Melayu. Pandangannya tentang sastera remaja sangat menerik difikirkan. Beliau telah memberi satu hala tuju kepada sastera remaja di dalam satu persidangan iaitu Persidangan Kebangsaan Kesusasteraan Remaja 2008 baru-baru ini di Universiti Sains Malaysia. Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak adalah seorang saintis dalam bidang farmasi dan beliau telah memberi pandangannya bagaimana sastera remaja itu perlu dibangunkan sesuai dengan perkembangan negara sekarang dan dunia amnya. Sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia iaitu sebuah universiti yang berakarkan kepada sains dan teknologi, beliau melihat sastera juga memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia dan keprihatinan beliau kepada hal ini diperlihatkan di dalam wacana- wacananya dan yang terbaru ialah melalui ucap utama yang disampaikan di dalam persidangan ini. Melalui ucap utama yang bertajuk Kesusasteraan Remaja: Menjana Korpus, Membina Khalayak, beliau telah meletakkan satu halu tuju sastera remaja yang diasaskan kepada empat koordinat iaitu; sastera sebagai dunia idea, remaja sebagai dunia hari muka, korpus sebagai dunia ilmu dan khalayak sebagai dunia sejagat yang sejahtera. Koordinat ini berhubungan dan membentuk satu makna yang besar terhadap sastera remaja.
Bagi Prof. Dzulkifli, sastera sebagai dunia idea tidak harus terpisah membincangkan tentang hari muka iaitu memperkatakan tentang kemanusiaan dalam dalam arus perdana sains dan teknologi. Krisis kemanusiaan yang terjadi daripada kesan sains dan teknologi kepada manusia perlu mendapat perhatian sastera remaja. Permasalahan "manusia itu robot dan robot itu manusia" seperti dalam genre "cyborg" perlu diperbanyakkan dalam sastera remaja dan bukan tentang permasalahan cinta yang sensasi itu semata. Beliau selalu merujuk kepada genre cereka sains sebagai satu alternatif sastera remaja untuk mendokong sastera sebagai dunia idea. Sebagai seorang Profesor farmasi, Prof. Dzulkifli selalu meluahkan rasa kecewanya betapa ilmu sains yang diceburinya selama tidak memperkatakan seluruh dimensi manusia. Beliau penuh yakin berpandangan bahawa seni dan budaya seperti sastera dapat menyatakan dimensi yang ditinggalkan oleh sains dan teknologi. Maka remaja perlu menyelami dimensi manusia yang diabaikan oleh sains dan teknologi. Baginya, remaja adalah manusia masa depan dan sebagai manusia masa depan mereka perlu sensitif dan mempunyai kesedaran tentang bukan sahaja masa depan mereka sendiri tetapi juga masa depan dunia. Remaja mesti juga memikirkan hal-hal global seperti tentang pencemaran alam yang sangat kritikal sekarang. Remaja tidak boleh dilalaikan oleh novel-novel sensasi kerana mereka mempunyai peranan yang penting untuk mengatasi masalah dunia pada masa depan. Di tangan mereka terletak kesejahteraan masa depan dunia yang semakin terancam. Maka remaja perlu mencari kebenaran ini dan bukan dikurung dalam kotak fikiran dan emosi yang sempit. Jika kita tidak menyedarkan remaja bahawa mereka adalah manusia masa depan maka mereka akan terus dirantai dengan kejumudan tentang diri dan persekitarannya. Remaja sebagai manusia masa depan perlu dibentuk menjadi manusia masa depan yang kukuh peribadinya dan kental identitinya dalam menghadapi rembatan globalisasi. Maka novel-novel remaja futuristik harus memaparkan bagaimana seharusnya mereka mendepani masa depan mereka.
Sastera remaja sebagai satu korpus atau sebagai satu ilmu, membicarakan tentang satu genre yang kaya dengan unsur-unsur penerokaan, pemikiran dan penyelidikan. Novel-novel remaja yang dihasilkan mampu mengerakkan minat remaja untuk meneroka ilmu-ilmu yang diperkatakan pelbagai perkara seperti alam sekitar, sains dan teknologi, angkasa lepas dengan lebih mendalaminya. Sastera remaja harus mampu menggerakkan remaja ke arah melakukan penerokaan ilmu melalui bahan-bahan bacaan tambahan dan barangkali membaca novel-novel yang memperkatakan hal yang sama. Baginya, sastera remaja yang berasaskan ilmu mampu menghasilkan sifat-sifat pembaca seperti ingin meneroka ilmu baru atau mendalami ilmu yang sedia ada, berbudaya berfikir yang bernas dan Baginya, novel remaja mesti boleh mengerakkan remaja bertanya dengan pertanyaan yang betul tentang perkara-perkara yang mereka lalui dan akan mereka tempuhi. Bertanya dengan soalan yang betul perlu kepada budaya berfikir dan budaya ini perlu disuburkan dalam sastera remaja sebagai korpus ilmu. Persoalan yang penting terlintas di fikiran ialah, adakah pengarang-pengarang sastera remaja kita banyak membaca untuk menambah ilmu mereka dan mampu menghasilkan novel-novel yang diharapkan oleh saintis ini?
Sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal esei ini, pembaca sastera remaja khususnya novel remaja semakin bertambah, namun kelangsungan mereka sebagai pembaca masa depan membimbangkan dan ini ada hubungannya dengan mutu novel-novel yang dihasilkan. Bagi Prof. Dzulkifli , sastera remaja mesti membentuk khalayak yang lebih luas iaitu khalayak sejagat dan kesejagatan itu boleh dicapai dengan memberi perhatian kepada perkara-perkara yang dihadapi oleh manusia sejagat seperti kemiskinan, peperangan, pencemaran alam dan sebagainya. Sastera remaja dapat memberi makna, kebenaran dan kesejahteraan kepada pembacanya. Makna yang ingin disampaikan haruslah benar dan bukan satu rembasan daripada kepalsuan. Maka penulisan sastera remaja harus berdasarkan kepada ilmu kental dan bukan imaginasi serta rasa semata-mata. Lantaran itu, bagi Prof. Dzulkifli jika ilmu dijadikan asas penulisannya maka sastera remaja tidak akan menjadi sastera yang remeh. Sastera remaja boleh dan mampu menjadikan khalayaknya beradab dan bertertib dengan pelbagai nilai-nilai murni dan agama. Sastera remaja yang berasaskan ilmu dapat menyuntik kesedaran di dalam diri khalayaknya tentang pelbagai isu yang penting yang mengancam masa depan mereka dan seterusnya menyedarkan mereka tentang tanggungjawab untuk mengatasinya.
Pandangan dan harapan Prof. Dzulkifli ini sangat penting difikirkan dan sudah lama kita mendengar rungutan demi rungutan tentang buku-buku sastera yang digunakan di sekolah-sekolah kita yang tidak mencerminkan perkembangan semasa dan masa depan yang sesuai untuk pembentukan personaliti remaja yang menjadi manusia masa depan seperti yang dinyatakan oleh saintis ini.
Kesimpulannya, pandangan seorang saintis seperti Prof. Dzulkifli terhadap sastera seperti sastera remaja ini menunjukkan bahawa golongan saintis seperti beliau berfikir tentang sastera dan keistimewaannya sehingga menaruh harapan dan kepercayaan bahawa sastera remaja sangat penting dalam membentuk personaliti remaja yang menjadi manusia masa depan yang sejahtera hidup dan fikirannya. Namun, adakah pengarang-pengarang sastera remaja terpanggil dengan pandangan dan harapan saintis ini untuk berkarya seperti yang dimahukan atau masih mahu atau rela dibelenggu oleh kongkongan konsumerisme sehingga gagal membentuk remaja yang sejahtera personalitinya dan gagal membentuk personaliti manusia masa depan yang teguh dengan pelbagai kesedaran yang membawa kebaikan. Pandangan Prof. Dzulkifli ini menuntut direnung dan difikirkan dengan mendalam dan bijaksana demi kebaikan sastera remaja dan manusia masa depan ini.
No comments:
Post a Comment