Pages

Friday, January 30, 2009

Ayat2 Cinta


Dunia Buku: Sentuhan Ayat-Ayat Cinta
Oleh Nur Azzureen Nor Hisham




Catat kejayaan meskipun kehadirannya menimbulkan polemik

HAKIKAT Ayat-Ayat Cinta bangkit sebagai karya penuh kontroversi selepas kejayaannya dalam bentuk novel mahupun filem di Nusantara menguatkan lagi semangat mereka yang belum membaca novel atau menonton filem ini bagi mencari jawapan kepada kejayaannya. Novel dakwah karya Habiburrahman el-Shirazy ini sesuai dibaca sesiapa saja yang ingin mengetahui Islam secara mendalam, tetapi mendapat maklumat secara santai dan pasti turut disenangi generasi muda kerana pengarang turut menyulam kisah cinta penuh duga antara pasangan berlainan bangsa.


Pembaca disogokkan dengan kisah pertemuan mahasiswa Indonesia, Fahri Abdullah Shiddiq dengan mahasiswi Jerman, Aisha, dalam metro, sejenis pengangkutan darat di Kaherah dan kebetulan gadis itu sedang menangis ketakutan selepas dimaki serta dihamun penumpang Mesir. Segala-galanya berpunca daripada tindakan gadis itu memberi tempat duduknya kepada seorang nenek berbangsa Amerika yang hampir tersungkur dan meminta maaf kepadanya atas kebiadapan penumpang lain, ekoran keengganan mereka melepaskan tempat duduk masing-masing. Penumpang Mesir dalam metro berasa tersinggung dengan kata-kata gadis itu menyebabkan dirinya dimarahi bertubi-tubi dan Fahri cuba menghulur bantuan dengan meminta mereka agar berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW bagi meredakan kemarahan, tetapi gagal.



Bagaimanapun kekecohan menjadi tenang sebaik pemuda Mesir, Ashraf, yang baru dikenali Fahri dalam tren terbabit menjelaskan lelaki Indonesia yang menuntut di Universiti al-Azhar itu adalah pelajar Syeikh Utsman Abdul Fattah, guru agama tersohor dan disegani di Kaherah, Alicia, gadis Amerika yang menaiki Metro dengan nenek terbabit, berterima kasih kepada Fahrin kerana menyelamatkan keadaan dan Aisha sebelum turun di destinasinya, turut menyatakan rasa syukurnya atas bantuan pemuda terbabit sehingga menjadi detik permulaan persahabatan mereka. Di Mesir, Fahri tinggal dengan empat teman senegara, Saiful, Rudi, Hamdi dan Misbah di apartmen sederhana yang dihuni sejak tujuh tahun lalu serta berjirankan keluarga Kristen Koptik, pasangan Tuan Boutros dan Madame Nahed, di samping dua anak mereka, Maria serta Yousef. Walaupun agama mahupun akidah mereka berbeza, antara Fahri dan teman serumahnya terjalin hubungan baik dengan keluarga Boutros; suatu kebiasaan di Mesir untuk jiran Islam serta Kristian Koptek hidup dalam keadaan aman damai.


Maria digambarkan pengarang sebagai gadis manis lagi berpekerti mulia dan dianggap aneh oleh Fahri kerana berupaya menghafal dua surah dalam al-Quran, al-Maidah dan Maryam, meskipun tidak beragama Islam, juga dipertemukan dengan Fahri secara tidak sengaja ketika menaiki metro. Ketika meraikan ulang tahun Madame Nahed, ibu Maria meminta Fahri menari dengan anak gadisnya itu, tetapi ditolak secara bersopan dengan memberi alasan Islam melarang bukan muhrim berbuat demikian dan kesungguhan Fahri mempertahankan agamanya, menimbulkan rasa hormat.


Selain keluarga Boutros, Fahri juga berjiran dengan keluarga Bahadur, ketua keluarga yang kasar dengan sesiapa saja termasuk isterinya, Madame Syaima dan puteri bongsunya, Noura, berkulit putih dan berambut perang, berbeza dengan dua lagi saudaranya, Mona mahupun Suzanna. Kecantikan Noura menyebabkan dirinya dimusuhi keluarganya selain sering menjadi sasaran kemarahan bapanya yang kasar dan keras kepala, sehingga pernah diseret di hadapan orang ramai dan punggungnya penuh dengan luka kesan dipukul Bahadur. Pada malam Noura menerima kecederaan paling parah, Fahri melindunginya dengan mendapatkan bantuan daripada Maria yang meskipun pada mulanya takut berbuat demikian kerana bimbang akan malang menimpa dirinya sekiranya rahsia mereka bocor, tetapi akhirnya membantu.


Peristiwa malam itu menjerumuskan Fahri dalam penderitaan yang hampir meragut nyawanya apabila dirinya menjadi mangsa fitnah Noura dan hampir menggoncang kebahagiaan rumah tangga pemuda itu dengan Aisha. Pembaca novel ini dapat membayangkan latar sosiobudaya Asia Barat yang digambarkan pengarang dengan jelas, tepat dan hidup, lagi tidak menjemukan sehingga mereka mampu berimaginasi, selain jalan ceritanya menyebabkan mereka berasa menjadi sebahagian daripada watak. Suasana sedih, haru, pilu, senang dan gembira begitu sempurna sehingga pembaca turut berasa suka duka Fahri, kekagumannya saat pertama kali melihat wajah Aisha, bahagia menikmati malam zafaf dan rindunya kepada ibu bapa di tanah airnya. Pembaca turut sama tenggelam dalam kebingungan Fahri sebaik mengetahui rakan senegara, Nurul turut mencintainya pada saat akhir sebelum bernikah dengan Aisha, berasa pilu dengan fitnah ke atasnya serta terharu apabila membaca diari Maria yang ketika itu terlantar lemah di rumah sakit.


Ringkasnya novel ini bukan sekadar kisah cinta buta yang sarat dengan dusta, tetapi mampu membuka hati untuk mengenali erti sebenar cinta sejati, berlandaskan Islam yang penuh kesucian, mengenali kebesaran, rahmat dan kurniaan Ilahi yang tidak terhingga. Tidak ketinggalan, pengarang tidak mengabaikan kepentingan pendidikan dalam meletakkan status seseorang dalam masyarakat, nilai kekeluargaan dan adab rukun tetangga menurut kaca mata Islam serta ketakwaan kepada yang Maha Esa juga digarap dengan bersahaja lewat novel ini.


HABIBURRAHMAN el-Shirazy, lulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dilahirkan di Semarang, Indonesia, pada 30 September 1976, banyak menulis drama, menterjemah, menulis puisi dan bermacam-macam karya berlandaskan Islam. Beliau menerima pendidikan menengah di Futuhiyyah 1 Mranggen dan mendalami agama di Pondok Pesantren Al Anwar, Mranggen, Demak di bawah asuhan Abdul Bashir Hamzah, kini menangani Langit Makkah Berwarna Merah, Bulan Madu di Yerusalem dan Bidadari Bermata Bening.


Pada 1992, Habiburrahman merantau ke Surabaya untuk menambah ilmu agama di Madrasah Aliyah Program Khusus (MAPK) Sening Urakarta dan lulus pada 1995, sebelum meneruskan pengembaraan inteleknya dengan mempelajari bidang hadis di Kaherah. Pada 2001, beliau lulus Diploma Lepasan Ijazah di Institut Pengajian Islamik di Kaherah yang didirikan oleh Imam al-Baiquri dan mula menempa nama dalam bidang penulisan apabila karyanya banyak mendapat tempat dalam majalah di Indonesia mahupun Mesir.


Beliau yang lulus Diploma Lepasan Ijazah di Institut Pengajian Islamik di Kaherah yang didirikan oleh Imam al-Baiquri, mula menempa nama dalam bidang penulisan apabila karyanya banyak mendapat tempat dalam majalah di Indonesia mahupun Mesir. Novel Ayat-ayat Cinta yang dihasilkan pada 2004 sudah 12 kali diulang cetak dan mencatat jualan melebihi 300 ribu naskhah di seluruh Asia Tenggara dan mencetuskan fenomena luar biasa di Indonesia sehingga diangkat ke filem. Ia turut menerima Anugerah Buku Paling Digemari 2005 dan Anugerah Novel Terpuji Pena 2005 selain sambutan luar biasa disebabkan kejayaan pengarangnya mengadun nilai Islam mahupun budaya sambil disulami kisah cinta sehingga turut menarik perhatian remaja.


Novelnya, Mihrab Cinta yang diterbitkan pada 2007, turut mendapat sambutan hangat, Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2 (2007), Ketika Cinta Berbuah Surga (2005), Pudarnya Pesona Cleopatra (2005) manakala Di Atas Sajadah Cinta dijadikan drama televisyen di Indonesia (2004). INFO Ayat-Ayat Cinta Pengarang: Habiburrahman el-Shirazy Tebal: 510 halaman Penerbit: Al-Hidayah Publications Harga: 23.90 senaskhah

4 comments:

dina said...

saya sudah membacanya beberapa bulan yang lalu. cerita ini memang menarik dan hidup. bila membacanya kita seperti berada di tengah2 tempat yang diceritakan oleh penulis. malah saya amat mengagumi watak Fahri yang teguh pada agama. watak Maria memang agak keliru dan saya rasa kalau ada penulis di Malaysia yang menggambarkan watak persis watak Maria, akan timbul kontroversi-kerana rakyat Malaysia sensitif. Sebenarnya karya Habiburrahman El Syirazy ini menjadi popular kerana selitan hadis dan cara penyampaiannya yang keagamaan-pembaca beragama Islam sgt sensitif tentang ini. Saya sendiri kekaguman dgn garapan kisah hidup harian Fahri. HIngga kadang2 saya merasakan saya mahu menjadi Aisya yang bertuah itu. Namun hayalan tetap hayalan, novel ini tetap novel cinta yang terselit cebisan ilmu dan pengajaran...

maharam said...

Dina, Sejak novel ini diterbitkan, ramai pelajar saya sama ada di kampus atau pelajar program Jarak jauh menggunakan novel ini untuk dianalisis sebagai tugasan daripada pelbagai sudut. Novel-novel sebegini memang diperlukan dalam kesusasteraan di Malaysia.

Rantong; terima kasih. moga kita tergolong dalam golongan hambaNya yang saling mengingat sesamanya, sering bersyukur dengan kurniaNya dan insafi tentang kekerdilan diri...

Anonymous said...

saya juga sudah membacanya berulang kali..satu novel yang sangat menarik dan membuat pembaca berada di dalam cerita tersebut..novel yang sarat dengan ilmu..mudah difahami walaupun ditulis dalam bahasa indonesia.Tetapi kisah ini yang diangkat ke layar agak mengecewakan saya,ceritanya tidak terkesan dihati saya dan tidak mampu membuat saya menghayatinya seperti ketika membaca novel..

maharam said...

Betul tu, Fiza.Sebenarnya bila sesebuah karya itu diadaptasi(dilayar perakkan), ada banyak perkara yang berlaku kerana ianya adalah dua genre berbeza. Sebab itu banyak kes adaptasi menimbulkan rasa kecewa penulis asal seperti yang berlaku terhadap Sasterawan Negara S.Othman Kelantan apabila novel Juara diadaptasi menjadi filem Joghro. Lain masa saya akan cuba kumpulkan tulisan-tulisan tentang adaptasi pula...