Pages

Monday, October 10, 2011

Menyelesaikan Masalah Dengan Cara Kreatif

Masalah dan cabaran hidup adalah asam garam dalam kehidupan. Apa yang membezakan antara seorang individu dengan individu yang lain adalah: bagaimana cara berdepan dengan masalah itu, kemudian mencari penyelesaian yang terbaik.

Kreatif tak kita semasa sedang cuba mengatasi masalah? Cuba lihat video di bawah:



Apa pendapat anda?

Ramai menganggap Mr.bean sebagai manusia yang mempunyai tahap pemikiran yang rendah, namun, pernah tak kita terfikir bahawa watak Mr.Bean ini sebenarnya seorang yang kreatif? Dia mampu lakukan apa sahaja menggunakan bahan-bahan di sekelilingnya bagi mengatasi masalah dihadapi. Paling utama: bersikap positif.

Anda bersedia untuk positif? Kreatif?

Thursday, September 29, 2011

Biasiswa Tun Syed Nasir

TAWARAN BIASISWA TUN SYED NASIR ISMAIL BAGI SESI PENGAJIAN 2011

DBP mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon Biasiswa Tun Syed Nasir Ismail bagi mengikuti,kursus pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi-instilusi pengajian tinggi awam di dalam negeri tahun 2011 dalam bidang yang berikut:

i. BAHASA MELAYU/LINGUISTIK
ii. SASTERA MELAYU/PENGAJIAN MELAYU
iii. SASTERA INGGERIS/SASTERA BANDINGAN
iv. PENERBITAN


KELAYAKAN

Pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat yang berikut:
  1. Telah mendapat surat tawaran pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan untuk mengikuti pengajian dalam bidang Bahasa/Linguistik, Saslera Melayu/Pengajian Melayu, Sastera Inggeris/Saslera Bandingan alau Penerbitan.
  2. Mendapat kelulusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan/atau Sastera Melayu pada peringkal STPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya.
  3. Mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (termasuk lulus ujian Iisan) dan/atau Sastera Melayu pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf selaraf dengannya.
  4. Belum menerima sebarang bentuk bantuan kewangan/biasiswa daripada mana-mana organisasi.


E-mel: Definisi dan Kelebihan

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera.

Penulisan E-mel

Emel sudah menjadi satu bentuk komunikasi yang penting kini dan mula diterima untuk urusan rasmi, walaupun masih memerlukan penggunaan surat menyurat. pelbagai kelebihan yang dimiliki menyebabkan ramai pengguna enggan menafikan kepentingannya, malah menjadi pilihan utama dalam semua urusan.

Persoalannya, mahirkah anda menulis emel? Tahukah anda etika dan tatacara menulis email? Adakah anda sudah mengenalpasti beberapa perkara yang perlu dielakkan semasa menulis emel? Entri kali ini akan membicarakan tentang penulisan emel terutama emel yang bersifat rasmi.


Definisi E-mel

E-mel adalah kependekan daripada Elektronik Mel atau Surat elektronik yang menghantar maklumat dan fail melalui rangkaian komputer.  Mel elektronik (singkatan e-mel, sinonim surat elektronik, mel komputer) ialah satu kaedah mengarang, menghantar, menyimpan dan menerima masej melalui sistem komunikasi elektronik. ia merupakan satu kaedah komunikasi eksekutif yang efektif dalam era globalisasi.


Monday, September 26, 2011

Etika Bila Berkomunikasi

Sensitiviti wujud mengikut sempadan negara, undang-undang, masyarakat setempat dan norma-norma yang tidak tertulis secara khusus seperti budaya, amalan dan kepercayaan serta kesantunan. Sebagai penulis, kita perlu sensitif dengan persekitaran walaupun tidak tertulis dengan jelas dalam undang-undang.


Adakah wajar, profesional dan beretika bila mengendalikan satu rancangan TV dengan cara ini? Ikuti pengalaman seorang pengacara TV yang sukar mengawal dirinya semasa satu temuramah secara langsung di TV:



Walaupun kelihatan seperti kesilapan itu kecil iaitu "tidak mampu menahan ketawa" kerana gelihati dengan suara tetamu yang diundang, namun, impaknya sangat besar. Pengacara ini dianggap kurang ajar, tidak bersimpati dengan nasib malang pesakit berkenaan, malah dilabelkan sebagai menghina. Dia akhirnya telah diberhentikan dari stesyen TV berkenaan serta merta hanya kesilapan "kecil" itu.

Dari sudut komunikasi, tindakan pengacara ini sudah tentu bertentangan dengan nilai komunikasi berkesan. Dia tidak mampu mengawal komunikasi bukan verbal yang sepatutnya diaplikasikan secara serentak dengan komunikasi lisan. Dia memang bersimpati dengan nasib malang tetamu Undangan dalam rancangan ini dengan nada suaranya yang sedih, namun apabila dia tidak mampu menahan diri untuk ketawa semata-mata kerana suara si tetamu yang kedengaran pelik dan menggelikan hatinya, tindakan itu telah melenyapkan rasa simpati itu. Komunikasi tidak berlangsung seperti yang sepatutnya.

Saksikan pula komunikasi yang berlaku antara seorang guru dan seorang murid yang sedang marah ini.



Apa pendapat anda? Bagaimana seharusnya komunikasi itu berlangsung?

Tuesday, September 20, 2011

Perubahan Tempat Kuliah

Pengumuman ini khas kepada pelajar saya yang mengikuti kursus ZZZT2213 bentuk-bentuk Penulisan. Seperti dijanjikan dalam kuliah lepas, berikut adalah pertukaran tempat kuliah bagi kursus ini;

Kursus: ZZZT2213 bentuk-bentuk Penulisan
Masa Kuliah: 2 petang hingga 5 petang
Tempat asal kuliah: Bilik Seminar 3A 512
Tempat baru kuliah: Bilik Serba Guna, aras 2, Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM
Tarikh kuliah di tempat baru: 28 September 2011

Kuliah pada minggu ini, 21 September 2011 masih berlangsung di Bilik Seminar 3A 512.

Sekian, harap maklum.

Friday, September 16, 2011

PERTANDINGAN MENULIS SKRIP ADAPTASI NOVEL KE FILEM 2011


PERTANDINGAN MENULIS SKRIP ADAPTASI NOVEL KE FILEM
anjuran
Dewan Bahasa dan Pustaka  
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Persatuan Pengarah Filem Malaysia

Latar belakang
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) adalah penganjur Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel ke Filem bertujuan untuk menggalakkan penghasilan skrip filem  yang berkualiti tinggi yang diadaptasi daripada novel terpilih. 

objektif
Menghasilkan skrip filem berkualiti yang ceritanya diangkat daripada novel.
(ii)     memperbanyak penghasilan skrip filem yang berasaskan novel tempatan.
(iii)    Menggalakkan penulis skrip di Malaysia membuat adaptasi daripada novel tempatan
(iv)    Meningkatkan nilai tambah yang ada pada sesebuah novel itu sendiri.
(v)     Membantu seni filem tempatan dalam menghasilkan filem yang mempunyai kualiti cerita yang baik dan menarik.


Thursday, September 15, 2011

Sayembara Mencipta Lagu Puisi ke-11


Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka
dan RTM sedang menganjurkan
Sayembara Mencipta Lagu Puisi ke-11



Latar belakang

Sayembara Mencipta Lagu Puisi ke-11 adalah program tahunan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM). Program ini bermula sejak tahun 1998 lagi yang pada mulanya diadakan sempena Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada setiap bulan Februari. Lagu puisi yang dipertandingkan dicipta berdasarkan puisi-puisi di dalam buku/majalah terbitan DBP.

Matlamat

  • Meneruskan tradisi mencipta lagu puisi sebagaimana matlamat penyebaran karya sastera yang termaktub dalam penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka.
  •  Menambah dan meningkatkan nilai puisi melalui penciptaan lagu puisi.
  •  Memperbanyakkan penciptaan lagu puisi yang bermutu tinggi.
  • Memasyarakatkan puisi daripada karya penyair tempatan melalui persembahan lagu puisi yang diiringi oleh orkestra.
  •  Memasyarakatkan sastera dalam pelbagai medium (televisyen, DVD, VCD, CD).

Tuesday, September 13, 2011

SAYEMBARA MENULIS SKRIP DRAMA PENDEK 2011


Dewan Bahasa dan Pustaka sedang menganjurkan:

SAYEMBARA MENULIS
SKRIP DRAMA PENDEK 2011



LATAR BELAKANG
Sayembara Menulis Skrip Drama Pendek diadakan untuk menggalakkan penghasilan skrip drama yang berkualiti di negara ini khususnya dalam kalangan generasi muda dalam usaha mengembangkan dan memperluaskan khalayak sastera.
Penganjuran sayembara ini akan diikuti dengan pementasan 5 karya terbaik hasil sayembara ini melalui Festival Drama Pendek yang akan diadakan pada penghujung November 2011.
Sayembara merupakan satu alternatif untuk mempergiatkan usaha menangani masalah ketandusan skrip di Malaysia. Di samping itu, sayembara ini bermatlamat untuk menyemarakkan serta mempopularkan drama pendek dan menjadikan Stor Teater DBP sebagai pusat kegiatan dramatis muda tanah air.

Friday, March 18, 2011

Merosakkan Bahasa Ibunda Sendiri?

Assalamualaikum. Salam Sejahtera.

Sistem Pesanan Ringkas (SMS), alat yang menjadi penghubung di antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan, dikatakan merosakkan bahasa. Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan tertentu secara meluas itu dikatakan punca kemerosotan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat dan pelajar sekolah.

Antara sebab kemerosotan pencapaian kelulusan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2003 dikatakan berpunca daripada budaya perkhidmatan SMS dan sembang Internet di kalangan pelajar. Ramai calon menggunakan singkatan perkataan dalam esei mereka seperti yang dilakukan ketika bersembang atau SMS. Semasa sedang menghadapi ujian dan peperiksaan, seseorang calon itu tidak ada banyak masa untuk berfikir lama. Senjata yang ada ialah kebiasaan berbahasa yang harus diluahkan dalam kertas jawapan sahaja. Kebiasaan yang berlaku kini adalah bahasa SMS. Menulis nota dalam bahasa SMS, menulis SMS dalam bahasa SMS, menulis blog dalam bahasa SMS, pendek kata semua perkara yang melibatkan bahasa akan menggunakan bahasa SMS. itulah yang akan mempengaruhi minda dan cara berfikir.

Setiap hari kita dapat melihat iklan SMS yang memaparkan penggunaan kata singkatan, kod atau simbol disiarkan di media elektronik dan media cetak. meminimumkan bahasa ketika berhubung dengan SMS sememangnya tidak dapat ditolak kerana ruang yang disediakan terhad. singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu banyak digunakan untuk menggantikan maksud sebenar. Kadang-kala ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu.

Thursday, March 10, 2011

Budi Bahasa Secara Maya

Budi Bahasa Budaya Kita. Kononnya. Sepatutnya. Namun, bagaimana kita berbudi bahasa secara maya?

Semua orang kelihatan sopan dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi secara berdepan. Penuh dengan tertib, bersopan santun. Bersusila. Bagaimana pula bila berkomunikasi secara maya? Masihkah begitu?

Walaupun anda hanya berada di hadapan komputer, namun, apabila anda menjelajah dunia secara maya, anda sebenarnya sedang mempamerkan siapa diri anda berdasarkan budi bahasa anda. Hanya menggunakan perkataan.

Bagaimana mahu berbudi bahasa secara maya?

1. Ucapan salam apabila bertegur sapa.
Bagi masyarakat Islam, ucapan Assalamualaikum merupakan antara ucapan yang paling baik. Anda juga boleh berikan ucapan “Salam Sejahtera”, “Selamat Pagi”, dan sebagainya mengikut kreativiti anda. Namun, elakkan penggunaan ucapan yang kasar seperti “Hoi”, menggelarkan orang lain dengan gelaran tertentu seperti “Hey Mun” (tambun), Debab, Gigi Mancung dan sebagainya sebagai panggilan berdasarkan rupa bentuk fizikal mereka. Sesiapapun tidak gemar dipersendakan.

Monday, February 21, 2011

Menjadi Kaya dengan Menulis?

Semua orang bercita-cita untuk kaya. Lagi mudah cara untuk menjadi kaya, lagi ramai orang akan cuba. Kalau tidak, skim cepat kaya tidak akan berjaya walaupun kerap benar kita tengok banyak kali berlaku penipuan. Mengapa ramai masih tidak serik? Mudah sahaja, mana tahu untung sabut…mana tahu tiba-tiba boleh jadi kaya.

Pada zaman penulis-penulis veteran seperti A.Samad said, Abdullah Hussin, Usman Awang dan ramai penulis veteran lain giat berjuang dalam dunia penulisan, mereka perlu mempunyai pekerjaan yang tetap seperti wartawan, pemberita, guru atau jawatan lain yang boleh menjamin kehidupan seharian. Mereka tidak boleh menjadikan menulis sebagai kerjaya kerana dunia penulisan pada ketika itu tidak mendatangkan sumber rezeki yang lumayan.

Walaupun begitu, terdapat juga beberapa orang penulis dan orang seni yang menghambakan diri sebagai kerjaya tetap dan menjadikan penulisan sebagai sumber pendapatan seperti Norhisyam Mustafa, A.Samad said dan beberapa nama lain. Dengan situasi semasa pada ketika itu, mereka hidup dalam dunia yang serba ringkas, zuhud, dan adakalanya tidak dianggap sebagai kerjaya pilihan. Menulis tidak menjadi kerjaya yang mendatangkan kesenangan material dalam hidup.

Namun, dunia semakin berubah. Jika kita seorang kaki penyibuk yang suka bertanya kepada penerbit tentang pendapatan penulis di Malaysia kini, kita akan terkejut besar. Penulis novel seperti Norhayati Ibrahim, Norsuraya, Ramlee Awang Murshid, Abdul Latip Talib, (sekadar menyebut beberapa nama) mendapat bayaran royalti yang sangat mengujakan. Ratusan ribu setahun mereka perolehi hanya dengan menulis novel dan buku. Ain Maisarah umpamanya, menerima royalti mencecah RM80,000 hasil jualan tiga buah novel pertamanya. Anda tidak teruja?

Thursday, February 17, 2011

Lagu Saduran dalam Industri Hiburan

Dah banyak entri saya sebelum ini terlihat berat, ilmiah dan terlalu memaksa anda untuk serius. Jadinya, kali ini entri saya sangat santai. Memberi peluang kepada anda berhibur sambil berfikir dan menilai.

Sangat sering kita temukan hasil seni yang seakan-akan sama, terutama dalam penulisan kreatif. Paling mudah dikesan adalah dalam bentuk lagu dan musik. Sejak era 70-an lagi, Syarifah Aini pernah dendangkan lagu yang alunan muziknya sama seperti lagu 'Seasons In The Sun'. Lagu yang berjudul Cahaya Keinsafan merupakan lagu saduran dengan seni kata ditulis Ismail Haron. Jadi, apa kata kalau kita nikmati lagu-lagu ini dalam versi yang berbeza;

Tuesday, February 15, 2011

Stail Eewwwww Moncong-Moncong Mulut

Ramai anak muda kini suka menerima sesuatu yang baru dengan mudah. Budaya paling jelas kini adalah bahasa sms yang akan memendek-mendekkan perkataan. Cuba lihat contoh ayat di bawah;

Apa pendapat anda?
Apalh budk skrg ni, minum arak cm minum air teh je…xtau ke bende tu haram? klu adik aku dh lma aku pelangkung dgn kayu..Sedih tgk org melayu skrg….
I kan nak go sanalah
Pu3 2 kn x senonoh, suka kcu ppl
2nang dier ni bks bfrn bdk 2
Tht prnces is bad, suka kcu org
Tunang dia ni ex-bfrn tht boy



Tak salah anda pendekkan istilah terutama bila menggunakan SMS yang sangat terhad ruangnya. Namun, kependekan berkenaan biarlah berpada-pada. biarlah tidak mencacatkan keindahan bahasa kita. bira juga difahami oleh orang yang menerimanya.

Bagaimana pula jika melibatkan hal-hal yang tidak berkaitan dengan “untuk menjimatkan ruang” seperti penggunaan “ewwww”, “nyerrrr”, “skunk”, “ittew” dan sebagainya. Semakin banyak ruang yang digunakan, semakin panjang istilah pula.