Pages

Monday, February 23, 2009

Jenayah Siber

Pastikan anda ulangkaji berkaitan jenayah siber untuk peperiksaan kemahiran menulis. Antara artikel yang boleh dibaca boleh didapati di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm seperti yang dipetik di bawah. Selamat menelaah.

Risiko kerugian jutaan ringgit


Oleh SUBASHINI RAJANDRA



Keselamatan maklumat bukan lagi menjadi tanggungjawab penuh penyelia rangkaian sesebuah program atau sistem komputer tetapi ia adalah tanggungjawab bersama oleh setiap pengguna Internet. Ini kerana sikap tidak ambil peduli boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit termasuk nyawa.


'SEMUA pihak harus menyedari dan berwaspada terhadap risiko jenayah siber dan pengganas siber yang semakin memuncak. Sebarang tindakan tidak ambil peduli hanya membawa padah termasuk kehilangan dan kerugian besar dan adakalanya boleh membahayakan nyawa seseorang."


Begitulah respons yang dipersetujui sebulat suara oleh para peserta dalam majlis perasmian Forum Meja Bulat EC-Council Asia Pasifik (ECCRF) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bercakap pada sidang media forum itu, Presiden ECCRF, Jay Bavisi berkata: "Jenayah siber kini bukan hanya disaksikan dalam filem sains fiksyen tetapi ia adalah realiti hidup yang memberi kesan kepada setiap individu yang berhubung melalui komputer dan teknologi."


Beliau menambah: "Anda mungkin bukan seorang pelayar komputer yang aktif tetapi komputer anda ialah satu senjata yang berpotensi digunakan untuk menyerang anda (data) lalu membinasakan sesebuah negara, organisasi dan juga merancang memusnahkan kehidupan peribadi seseorang.


"Keselamatan maklumat bukan lagi menjadi tanggungjawab penuh penyelia rangkaian sesebuah program atau sistem komputer tetapi tanggungjawab bersama oleh setiap pengguna Internet. Sikap tidak ambil peduli boleh menyebabkan kerugian jutaan dolar termasuk nyawa."


Menurut Jay, perkembangan di Malaysia juga tidak jauh berbeza. Katanya: "Meskipun kita berada di kedudukan geografi, latar belakang dan kerjaya yang berlainan, namun fungsi penggunaan Internet adalah hampir sama. Daripada memeriksa e-mel, membuat pembayaran bil sehinggalah mengembangkan rangkaian kenalan melalui laman sosial atau berbual-bual di laman sembang, semuanya terdedah kepada satu tahap risiko tertentu."


Baru-baru ini, Bank Negara mendedahkan statistik penerimaan kira-kira 165 aduan yang melibatkan transaksi kewangan yang dilakukan secara tidak sah atau haram pada tahun 2008. Ia berlaku kerana kelicikan penipu atau juga dikenali sebagai hacker atau fraudster menerusi penghantaran e-mel dan mesej teks.


TREND perhubungan atau komunikasi dalam talian sudah banyak berubah kebelakangan ini.
Dengan berbuat demikian, penerima berasa lebih yakin terhadap seseorang atau syarikat penghantar sehingga tidak mengesyaki apa-apa. Bak kata perumpamaan, apabila nasi sudah menjadi bubur, apa gunanya menyesal dan merintih kemudian hari.


"E-mel, telefon bimbit, Facebook dan kini Twitter mempunyai satu persamaan iaitu semuanya disalahgunakan bagi tujuan penipuan siber. Jika anda seorang pengguna, pasti anda pernah mendengar tentang serangan jenayah siber yang berlaku baru-baru ini semasa menyambut Tahun Baru 2009. Pihak penyelenggaraan Twitter sendiri telah menghantar amaran awal kepada penggunanya agar tidak tertipu," ujar David Hall, Pengurus Pemasaran Produk Serantau dan Symantec Rantau Asia Pasifik.


Dengan lebih 10 tahun pengalaman dalam perniagaan sekuriti komputer, David yang diamanahkan untuk melakukan penyelidikan dan analisis terhadap trend sekuriti pasaran berkata, biasanya serangan sebegini menimpa seseorang tanpa mengira usia dan latar belakang.
Biasanya penjenayah siber akan menghantar seberapa banyak e-mel kepada seseorang sehingga ia menerima respons yang diingini. Penjenayah itu juga memilih untuk berkomunikasi dengan penerima dalam bahasa yang kerap digunakan atau sama agar memudahkan pertukaran informasi.


"Trend perhubungan atau komunikasi dalam talian sudah banyak berubah kebelakangan ini. Akibatnya, jenayah siber bertambah berlipat ganda dan mengancam pengguna dalam talian yang mendedahkan kata laluan dan kata kunci.


"Serangan sebegini disedari dan menjadi-jadi pada lewat tahun 1990-an dan ia menyasarkan kepada kumpulan wanita sebelum beralih kepada golongan remaja yang gemar melayari laman sosial, sembang atau permainan komputer," jelas Hall yang menambah perbuatan memuat turun sesebuah perisian atau program seperti lagu juga meningkatkan statistik jenayah siber.
MENYASAR lebih kepada kumpulan wanita sebelum beralih kepada golongan remaja yang gemar melayari laman sosial.


Biasanya, anda sendiri tidak menyedari apabila melayari sesebuah laman web yang nampak normal pada mata kasar. Kemudiannya, anda diminta untuk memasuki laman lain yang memerlukan anda memasukkan maklumat peribadi.


Perisian audio seperti RealPlayer dan Quick Player adalah antara program yang senang diperdaya. Dalam kebanyakan masa, hacker itu akan meletakkan sasaran pada jenama setempat yang popular kerana ia menuruti sikap pengguna yang melayari laman tersebut secara kerap, selain mudah untuk berubah mengikut kesesuaian. Jenama itu juga boleh jadi jenama global yang dikenali ramai seperti institusi perbankan dan pendidikan.


Semasa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah, banyak kes jenayah siber dilaporkan di peringkat antarabangsa. "Biasanya, pengguna akan tertipu kerana mesej yang dihantar tidak memerlukan tanda tangan atau sekadar bergantung kepada tanda tangan digital. Jika berasa ragu, anda dinasihatkan menghubungi syarikat tersebut bagi mendapatkan kepastian."


Di samping sentiasa mengingatkan diri supaya menyimpan kata kekunci secara rahsia, pemeriksaan sekuriti komputer dari semasa ke semasa amatlah berguna. Namun, jika anda masih terperangkap dengan penipuan hacker, Hall menasihatkan anda supaya melakukan dua perkara dengan serta-merta.


"Pertama, tukar semua kata kunci dengan secepat mungkin. Biasanya, jika anda mempunyai banyak kata kunci, ia sukar diingati dalam waktu terdesak. Dengan adanya Norton 360 dan Norton Internet Security 2009, masalah itu dapat ditangani. Ia juga menyediakan perlindungan teknologi untuk mengenal pasti yang sensitif dan canggih. Malah, Norton menawarkan kadar pergantungan sebanyak 90 peratus. Ia mengeluarkan amaran dan menutup laman yang disyaki dengan segera sebaik sahaja dibuka. Kedua, hubungi organisasi itu untuk memaklumkan masalah yang dihadapi dan tutup akaun anda sebelum diselidik oleh penjenayah siber," katanya.
Di Norton, produknya dibahagikan kepada individu perseorangan dan organisasi. Bagi organisasi, Norton menyediakan laporan pengurusan yang efektif.


Hall juga berkata, walaupun seseorang itu bertegas tidak pernah membuat pembelian secara dalam talian, kebarangkalian dirinya terperangkap dalam penipuan siber tetap tinggi kerana ia boleh berlaku dalam apa jua bentuk. Tidak kira sama ada anda memeriksa e-mel atau membuat transaksi kewangan, selagi anda seorang pengguna Internet, selagi itulah anda harus mengemaskini pengetahuan tentang jenayah siber.

Friday, February 20, 2009

Kebebasan Menulis

Artikel ini kaitan dengan etika dan kebebasan apabila menulis. Sila rujuk laman web Buku Ria (ada saya pautkan dalam blog ini) untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan.
Buku yang Terlarang
February 20th, 2009 Visited 32 times, 30 so far todayPosted in Artikel BukuRia by Najibah

Tidak lama lagi
Pesta Kesusasteraan Antarabangsa Dubai akan berlangsung daripada 26 Februari - 1 Mac 2009. Pesta ini sememangnya dinanti-nantikan oleh Geraldine Bedell. Ini kerana novel terbarunya berjudul Gulf Between Us akan menjadi satu-satunya buku berbahasa Inggeris yang akan dilancarkan di pesta tersebut.

Tetapi pada saat-saat akhir, buku itu telah disenarai hitam oleh pihak penganjur kerana intinya didapati boleh menimbulkan kontroversi. Antara kontroversi yang dimaksudkan adalah wujudnya watak seorang lelaki Arab homoseksual yang mempunyai teman lelaki Barat, cara buku tersebut membicarakan tentang Islam serta termuatnya tragedi perang Iraq.

Oleh sebab pengharaman ini, nampaknya Pesta Kesusasteraan Dubai telah menerima padah kerana kehilangan ramai peserta (penulis) terutamanya dari Barat yang menarik diri demi menyatakan penentangan terhadap apa yang disifatkan sekatan terhadap kebebasan menulis.

Di Miami, Amerika Syarikat pula gara-gara seorang bapa, Juan Amador membuat bantahan kepada sekolah anaknya tentang sebuah buku berjudul A Visit to Cuba (Vamos a Cuba), pihak sekolah telah menyenarai hitam buku terbabit daripada menjadi bahan bacaan. Naskhah yang berada di perpustakaan sekolah telah ditarik balik daripada rak.

Buku itu dikatakan menggula-gulakan suasana kehidupan di bawah pemerintahan komunis Fidel Castro. Ini bertentangan dengan dasar Amerika yang bermusuhan dengan Cuba. Akhirnya mahkamah menyebelahi keputusan pihak sekolah dan memutuskan bahawa pengharaman buku itu di sekolah rendah tersebut tidak menyalahi Perlembagaan.

Sebenarnya, perdebatan mengenai isu penapisan buku seperti yang berlaku di Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat tidak asing di mana-mana negara sekalipun. Di Malaysia sendiri, terdapat banyak buku-buku yang telah diharamkan oleh KDN ataupun JAKIM.

Antara buku-buku yang pernah diharamkan adalah buku The Malay Dilemma nukilan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohammad, buku Penilaian Semula Hadis oleh Dr Kassim Ahmad dan buku-buku kumpulan Sisters in Islam.

Antara buku dari luar negara yang telah ditapis pula adalah beberapa buah buku Karen Amstrong, seorang sarjana perbandingan agama dan memoir Josephine Gillespie yang menulis tentang kehidupan singkatnya di kalangan kerabat Sultan Terengganu sebagai isteri Raja Baharin. Manakala buku-buku yang ditapis oleh JAKIM biasanya merupakan buku-buku dakyah Kristianisasi yang secara terang-terangan mensasarkan orang Islam sebagai pembaca.

Walau bagaimanapun, ada antara buku-buku yang dihalang penyebarannya ini boleh didapati secara agak meluas, boleh dibaca serta dibincangkan tanpa banyak masalah. Pernahkah anda membaca mana-mana buku yang telah diharamkan sama ada penerbitan dalam negara atau luar negara? Pada pendapat anda, adakah buku-buku tersebut benar-benar sebahaya itu untuk dihadam oleh orang ramai secara berleluasa?

Atau mungkin pernah ibu bapa anda sendiri menghalang anda membaca buku-buku tertentu yang mereka rasakan kurang sesuai bagi anak seumur anda atau untuk corak pemikiran anda? Ada yang melemparkan pendapat bahawa ibu bapa tidak sepatutnya menyekat pembacaan anak-anak, tetapi mengawal dan melatih pemikiran anak dengan membelikan buku tambahan yang berpandangan sebaliknya. Dengan cara ini pemikiran anak akan lebih kritis dan maju. Apa pendapat anda?

Jika sebuah sekolah Amerika diberi pilihan untuk menapis sebuah buku kanak-kanak sekecil Visit to Cuba, bagaimana pula hak pemilihan sebuah negara yang tidak ’sekuat’ Amerika untuk melindungi ideologi, kepercayaan dan kebudayaan mereka? Apa pula kata anda jika penapisan digunakan sebagai senjata untuk menyelamatkan keberadaan politik?


2 Responses to “Buku Yang Terlarang”
isma Says:February 20th, 2009 at 10:12 am
Puan, saya sendiri pun tidak tetap pendirian dalam hal ini.Memang banyak buku yang boleh meracun pemikiran contoh buku Irsyad Manji, Faith Without Fear.Saya risau dengan cara beliau menulis bak air mengalir, penuh pujukan, sampai boleh mencair iman…isy.

Rozlan Mohamed Noor Says:February 20th, 2009 at 12:17 pm
Juga buku oleh penulis tempatan segelintir diterap secara halus beberapa pendirian dan pengangan ke arah sesuatu idea atau gagasan yang sensetif. Sebagai pembaca harus bijak menelaah. Kadang2 sedikit ilmu bantu perlu untuk menyerap falsafah dalam sesebuah naskhah.

Tuesday, February 17, 2009

Minggu ICT & Penampilan Diri



UKM. Seusai kuliah Kemahiran Menulis di DK3F 301, Bangunan Pusanika yang terlihat meriah kutuju. Pelbagai program menarik dijalankan di situ. Mengikut Pamplet yang kuperoleh;

Minggu ICT & Ketrampilan Diri
Tarikh: 16-20 Februari 2009
Tempat: Pusanika, UKM

Antara aturcara: jualan dan pameran, kampen Kitar Semula Komponen CPU dan alat elektrik, Pemeriksaan Gigi Percuma, Ikon Varsiti, Pertandingan sajak, bengkel photoshop dan lain-lain.

Kat sini yang menarik dan agak istimewa adalah Kampen Pelancaran Kitar Semula Komponen CPU dan Alat elektronik. Tak ramai yang ada kesedaran untuk kitar semula semua ni.


Ada pelbagai jualan dan pameran di semua aras Bangunan Pusanika. Meriah. Tak semua gambar-gambar yang tonjolkan kemeriahan berkenaan dapat diupload. sayang sungguh.


Pelbagai barangan dijual. Kamera, computer, insuran, pakaian, tudung, kerongsang dan sebagainya. Macam pasar malam pun ada.


Namun, dalam banyak-banyak gerai yang ada, gerai pameran citcat.com menarik perhatianku. Bukan sebab diberikan cenderahati berupa buku nota dan pen hijau yang comel sahaja, tetapi cotcat.com ini memang selalu kuguna. Maaf, lupa nak snap gambar masa tu. nak patah balik semula terasa malas pula. Jika nak tahu lebih lanjut tentang citcat.com ni bolehlah layari di http://www.citcat.com. Laman sawang ini menyediakan perkhidmatan terjemahan ke Bahasa Melayu. Cubalah!

Kiranya berminat, bolehlah ikuti pelbagai acara yang dianjurkan atau berkunjunglah ke Bangunan Pusanika untuk beli belah. Setakat nak habiskan seratus dua tu, tak perlu ke Bandar baru bangi atau Kuala Lumpur. Lansai di di sini sahaja.

Wednesday, February 11, 2009

Info IT

Info yang boleh dikongsikan bersama bagaimana malware/virus boleh masuk dan merosakkan PC anda sila klik address ini : http://ictso.ukm.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=167:httpwwwmicrosoftcom&catid=77:personal-tech&Itemid=177

Thursday, February 5, 2009

Buku Penulisan Untuk Rujukan

Berikut adalah disenaraikan beberapa buah buku yang boleh ditelaah untuk memantapkan lagi ilmu menulis anda. Selamat mengulangkaji...
Nisah Haron, 2008. Karya Kita Hak Kita, Ameen Publishing
Fatimah Busu. 2003. Memupuk Bakat & Minat Penulisan Kreatif: Teori & Proses , PTS Publication.
Hashim Othman.2003. Kemahiran Menulis: Perspektif Komunikatif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Shamsul Abdul Aziz. Khadijah Mohamed. 2008 . 100 Soalan Undang-Undang Hakcipta , Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Irma Indayu Omar, Yushiana Mansor, 2006 . Panduan Mencari Maklumat , PTS
Sulaiman Masri. 2003. Kaedah Penyelidikan dan Panduan Penulisan , Utusan Publication.
Goh Ying Soon, Wan Mohd Nazif Wan Mohd Nori. 2006 . Kemahiran Menulis , PTS
Nimoiz T Y. 2007. . Menjadi Penulis Jutawan , Truewealth Publishing
Mohd. Azhar Abd. Hamid, Halimah Ma'alip. Sanitah Mohd. Yusof. Sofri Ibrahim, Yusof Boon, Zaliza Mohd. Nasir, Zainudin Hassan. 2001 . Pengenalan kepada Penulisan Ilmiah. , UTM, Skudai.
Faisal Tehrani. 2008. Karya nan Indah. Kuala Lumpur: Ameen Publishing.